Sunday, June 27, 2010

Peranan keluarga bendung gejala luar nikah

 

MUAR 26 Jun - Institusi keluarga perlu memainkan peranan penting dalam membendung masalah gadis bawah umur mengandung luar nikah yang didapati semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, masalah tersebut dilihat cukup membimbangkan dan boleh memberi kesan buruk kepada pembangunan masyarakat secara menyeluruh.
"Saya meminta kepada semua ibu bapa jangan lepas tangan dalam isu sosial ini, 'tangan' agensi kerajaan tidak cukup untuk pergi memeriksa setiap rumah di Malaysia.
"Oleh itu, institusi keluarga adalah segala-galanya, sekiranya semua ibu bapa menjaga anak-anak mereka, kita akan dapat mengatasi masalah sosial ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Muar di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Michael Chong semalam yang memberitahu, sebanyak 111 kes remaja bawah umur mengandung dilaporkan berlaku tahun ini, dalam tempoh Januari sehingga April lalu.
Statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) itu menyaksikan peningkatan membimbangkan kerana 131 kes direkodkan pada tahun lalu dan 107 kes pada 2008.
Menurut Shahrizat, JKM memandang berat isu berkenaan dengan remaja-remaja mengandung terbabit diberi perlindungan di sebuah rumah kebajikan di Perak.
"Kita menerima anak-anak dan ibu-ibu yang memerlukan perlindungan ini. Jika remaja terbabit tiada tempat untuk mendapat pembelaan dan berusia di bawah 18 tahun, institusi di bawah JKM sedia beri perlindungan," katanya.
Jelasnya, selain peranan yang dimainkan kerajaan, pihaknya turut mengalu-alukan kerjasama daripada pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk bersama-sama mengatasi masalah sosial ini.
Sementara itu, dalam ucapan perasmiannya, Shahrizat menyeru Pergerakan Wanita UMNO mempertingkatkan lagi usaha di peringkat akar umbi dalam membela nasib rakyat.
"Saya berharap program Jalinan Rakyat yang dianjurkan secara berterusan akan dapat dibuat bersama kerjasama pihak NGO supaya setiap lapisan rakyat dapat didampingi.
"Kita tidak mahu program yang dianjurkan hanya tertumpu kepada ahli-ahli parti kita, sebaliknya dikembangkan kepada semua lapisan masyarakat yang memerlukan pembelaan," katanya.

*****Makngah nak ulaslah sedikit pasal perkara ini berkaitan dengan seorang pelajar tingkatan lima yang mati kerana tumpah darah di sebuah resort di PCB, Kota Bharu. Berdasarkan sumber orang kampung, semuanya berpunca daripada ketidakprihatinan ibu bapa yang tidak mempedulikan aduan anak perempuan mereka perihal dia telah dirogol oleh abang sendiri sehingga mengandung. Apabila tidak dipedulikan, maka meranalah si anak itu sehingga terpaksa mengadu kepada kawan lelakinya dan terjadilah peristiwa seperti apa yang telah terjadi.

Pelajar maut keguguran...Terkulai di resort


KOTA BHARU: Seorang pelajar lelaki sebuah sekolah menengah agama di Pasir Mas, dekat sini, panik apabila teman wanitanya tiba-tiba rebah dan pengsan dipercayai akibat keguguran yang menyebabkan pendarahan teruk sebelum meninggal dunia di sebuah resort di Pantai Cahaya Bulan (PCB) di sini, semalam.
Difahamkan, mangsa yang juga pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Sultan Ibrahim (1), Pasir Mas, pergi ke resort berkenaan dengan membonceng motosikal ditunggang teman lelakinya, kira-kira jam 9 pagi.

Sebaik tiba di resort berkenaan, teman lelaki mangsa yang juga berusia 17 tahun, mendaftar masuk sebuah bilik di situ, namun difahamkan, sejurus tiba di depan bilik itu, gadis terbabit ‘tumpah darah’ teruk dipercayai akibat keguguran.

Panik dengan situasi dihadapi itu, teman lelaki mangsa memaklumkan kejadian menimpa teman wanitanya kepada seorang petugas di kaunter penyambut tetamu resort berkenaan untuk mendapatkan bantuan.

Pemuda berkenaan dikatakan memberitahu teman wanitanya pengsan dalam bilik, namun apabila diperiksa, gadis terbabit didapati sudah meninggal dunia.

Sumber memberitahu, pekerja resort yang bergegas ke bilik berkenaan menemui mangsa dalam keadaan terbaring dengan berlumuran darah di bahagian pinggang ke bawah, lalu menghubungi polis untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, pelajar perempuan yang mengalami pendarahan serius itu kemungkinan keguguran sehingga membawa kepada kematiannya. Bagaimanapun, setakat ini, usia kandungan gadis berkenaan belum diketahui.

Sementara itu, seorang guru sekolah berkenaan yang enggan namanya disiarkan memberitahu, pelajar itu ponteng selepas dihantar ibunya ke sekolah bersama seorang adiknya, pagi semalam.

“Dia seorang pelajar yang pendiam dan tidak menghadapi masalah disiplin walaupun tidak tergolong sebagai pelajar cemerlang dalam pelajaran,” katanya.

Menurutnya, sepanjang pengetahuannya pelajar terbabit mempunyai perwatakan yang baik dan sering solat berjemaah di masjid serta pernah menyertai kegiatan agama di sekolahnya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner II Datuk Amir Hamzah Ibrahim, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Beliau berkata, pihak polis yang menerima laporan kejadian itu bergegas ke tempat kejadian dan mendapati mangsa sudah meninggal dunia akibat pendarahan teruk.

Katanya, siasatan awal dilakukan mendapati mangsa mengalami pendarahan selepas keguguran dan polis tidak mengesyaki sebarang perbuatan khianat yang mengakibatkan kematiannya.

“Polis sudah menghantar mayat mangsa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), untuk dibedah siasat. Setakat ini, polis mengklasifikasikan kes ini sebagai mati mengejut,” katanya.

*****Makngah-demikianlah adanya.


Friday, June 25, 2010

PANDANGAN BERNAS YANG PERLU DIBERI PERHATIAN



UPSR dan PMR Penghalang Kegiatan Kokurikulum?

1. Cadangan Kementerian Pelajaran untuk menghapuskan peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) harus diteliti dengan mendalam sebelum dilaksanakan. Fahami dahulu keperluan peperiksaan ini dan teliti apa kelemahan sistem pendidikan sedia ada sebelum membuat perubahan besar ini.  --jangan kerana desakan sebahagian orang berkepentingan sahaja
2. Tujuan sistem peperiksaan kebangsaan adalah untuk mewujudkan satu keadaan yang memastikan para pelajar memberi tumpuan kepada sukatan pelajaran yang disediakan dan guru-guru pula tidak mengabaikan tugas mereka.
3.Beberapa peringkat peperiksaan seperti UPSR, PMR, SPM dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) membolehkan ujian tersebut dilakukan secara berperingkat dan tidak membebankan pelajar untuk dinilai sepanjang 11 tahun di peringkat persekolahan dengan satu peperiksaan sahaja. Kewujudan sistem peperiksaan di peringkat UPSR dan PMR juga membolehkan ibu bapa, guru dan kerajaan menilai keberkesanan sistem pendidikan dari semasa ke semasa dan mencari jalan membantu pelajar yang lemah.
4. Penghapusan kedua-dua peperiksaan ini akan menyebabkan tiada mekanisme kawalan dan dorongan memastikan para pelajar menguasai ilmu pengetahuan yang diajar kepada mereka. Dalam keadaan kewujudan sistem peperiksaan pun ramai pelajar yang ketinggalan kerana mengambil sikap sambil lewa dan tidak peduli, maka bayangkanlah kalau UPSR dan PMR dihapuskan. --bayang 10 tahun dibangku sekolah tidak ada satupun sistem ujian yang pelajar hadapi bagi membuktikan kebolehan dan kemahiran mereka, agak-agak apalah yang pelajar dan guru-guru akan berbuat setiap hari di sekolah?
5. Kewujudan kedua-dua sistem peperiksaan ini mendorong pelajar berusaha menguasai ilmu yang diajar dan membolehkan kementerian mengawal selia keberkesanan sistem pembelajaran di sekolah di peringkat awal lagi. Jika dihapuskan, ibu bapa dan kerajaan sendiri tidak akan mengetahui tahap pengetahuan para pelajar di sekolah sehinggalah mereka mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
6. Dalam jangka masa panjang ia boleh menjadi bom jangka apabila kita mendapati para pelajar yang lulus dari sekolah menengah mempunyai pengetahuan yang sangat terhad dan tidak menguasai dengan baik ilmu yang sepatutnya mereka kuasai untuk persaingan dunia dewasa mereka.
7. Pada hemat saya, masalah yang berlaku sekarang bukan kerana kewujudan peperiksaan. Sebaliknya, sikap dan polisi kementerian pelajaran yang sejak dahulu hanya menumpukan kepada pelajar yang mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang menyebabkan ibu bapa dan guru hanya memberi fokus kepada peperiksaan. --dakwaan ini memang ada buktinya yang jelas lagi nyata.
8. Misalnya semua sekolah berasrama penuh menawarkan tempat kepada pelajar yang cemerlang tetapi tidak ada sekolah khusus yang diadakan untuk membantu murid yang lemah. Sepatutnya, pelajar-pelajar yang lemah dan gagal dalam peperiksaan ini dihantar ke sekolah berasrama bagi tujuan membantu mereka semula. Peperiksaan tidak salah, sebaliknya sikap kita yang memberi tumpuan kepada pelajar cemerlang semata menyebabkan mereka yang gagal dalam peperiksaan tercicir dan sebahagiannya menimbulkan masalah sosial kepada negara.
9. Dahulu kita wujudkan sistem pendidikan vokasional untuk mengambil pelajar yang lemah dalam bidang akademik bagi memasuki bidang kemahiran namun, akhirnya kemasukan ke sekolah vokasional juga sudah mengambil kira keputusan peperiksaan yang baik.
10. Selain itu, Kementerian perlu menjelaskan apa masalah dengan sistem peperiksaan kebangsaan sedia ada? Antara yang dapat kita fahami ialah terdapat pandangan bahawa pendidikan berorientasikan peperiksaan menyekat kreativiti dan pembangunan sahsiah anak-anak. Ibu bapa terlalu menekan dan memfokuskan usaha membantu anak-anak mendapat keputusan cemerlang sehingga mengabaikan kegiatan-kegiatan lain seperti sukan, seni dan proses sosialisasi anak-anak.--masih ramai guru dan ibu bapa yang bersikap mengabaikan kegiatan kokurikulum ini yang sememangnya berpunca daripada sikap kementerian juga.
11. Masalah dengan aktiviti ko-kurikulum terbahagi kepada dua iaitu prasarana dan polisi kementerian.
12. Dari segi prasarana atau kemudahan Kementerian perlu melihat masalah infrastruktur dan guru. Kebanyakan sekolah di bandar tidak mempunyai padang yang mencukupi untuk kegiatan sukan. Habis padang dibina bangunan tambahan sekolah. Nisbah guru dan murid serta sekolah dan murid cukup besar menyebabkan guru tidak boleh memberi perhatian bagi melatih dan mengembangkan bakat-bakat kokurikulum para pelajar. Ada sekolah mempunyai sehingga 1, 500 orang pelajar dalam satu sesi. Ia bukan suasana yang kondusif kepada para pelajar dan guru untuk kegiatan kokurikulum dan pengembangan kreativiti para pelajar.--kementerian pelajaran tolong keluar statistik jumlah sekolah yang tidak ada padang dan gelanggang sukan, kalau ada gelanggang pun menjadi medan letak kereta guru dan kakitangan sekolah.
13. Kementerian juga perlu mengkaji polisi dan sukatan pelajaran. Terlalu banyak subjek yang mahu diajar sehingga tiada masa lagi untuk kokurikulum. Jika dihapuskan peperiksaan kebangsaan tetapi sekolah masih mengadakan ujian bulanan, dan peperiksaan setiap penggal maka keadaan tetap sama sahaja. --banyak sekolah mengadakan aktiviti kokurikulum setakat bulan Mac atau April sahaja, selepas itu sibuklah dengan kelas tambahan petang dan malam. Apa yang lucunya, jika tidak datang kelas tambahan pelajar dilihat tidak bersungguh belajar tetapi ponteng kelas pagi dilihat biasa-biasa sahaja.
14. Apa yang perlu kementerian lakukan sekarang ini bukanlah menghapuskan peperiksaan UPSR dan PMR tetapi mengurangkan bebanan peperiksaan tersebut dengan mengurangkan subjek peperiksaan dan juga jumlah kertas yang perlu dijawab. Cukuplah sekadar jawapan secara objektif dan sedikit subjektif.
15. Kementerian juga perlu berhati-hati untuk memberi kuasa kepada guru membuat penilaian langsung ke atas pelajar. Saya khuatir ia hanya mewujudkan satu lagi peringkat pilih kasih, kronisme dan juga kontroversi. Tidak mustahil suatu hari nanti akan berlaku pertikaian dan perselisihan antara ibu bapa dan guru akibat daripada perbezaan pendapat dalam penilaian prestasi anak mereka. Ambil iktibar daripada kontroversi sistem penilaian tahunan prestasi kakitangan awam oleh ketua jabatan.--memang ada asasnya.
16. Saya fikir kerajaan tidak perlu memansuhkan UPSR dan PMR tetapi lebih menumpukan kepada pengurangan bebanan subjek peperiksaan, dan mengubah polisi pendidikan sedia ada serta menyediakan sistem dan suasana yang kondusif untuk kegiatan bukan akdemik di sekolah. Jangan sampai kita berhadapan dengan suasana yang dikendong keciciran yang dikejar terlepas dari genggaman. Sebarang sesalan akan meninggalkan kesan yang amat buruk pada masa depan negara.--kajian menyeluruh dan telus wajib dilakukan, jangan terburu-buru seperti PPSMI, belajarlah daripada kesilapan kerana sejak akhir-akhir ini bidang pendidikan di Malaysia kelihatan sudah menjadi medan ujikaji dan ekonomi pihak-pihak tertentu sahaja.

Thursday, June 24, 2010

BOLA

B    = Buat

O   = Orang

L    = Lupa

A    = Allah
APA YANG DIMAKAN ITULAH KITA


Makan dan minum adalah fitrah semula jadi manusia. Sejak di alam janin, seterusnya saat mula mengenal dunia, sehinggalah ke penghujung usianya, rantaian hidup manusia tidak pernah terpisah daripada makan dan minum.

Tetapi sekiranya terkurang atau terlebih ia akan mengundang penyakit, malah apabila tersalah makan dan minum akan mengakibatkan diri merana.

Oleh itu, Islam melihat makan dan minum adalah suatu aspek yang sangat penting dan harus diberikan perhatian sepanjang waktu supaya yang dimakan dan diminum memberikan kesihatan, bukannya penyakit.

"Wahai manusia makanlah daripada apa yang Kami berikan di muka bumi ini yang halal lagi bermutu dan jangan sekali-kali kamu mengikut jejak langkah syaitan kerana syaitan itu musuh yang nyata." (Al-Quran, surah al-Baqarah: ayat 168)

Ayat di atas bersifat perintah terhadap manusia supaya memakan hanya yang halal iaitu makanan yang menepati syarak. Ia juga sebagai satu panduan kepada umat Islam dalam menilai serta memilih makanan dan minuman.

Kepentingan makanan halal dan baik itu disebut Allah di dalam al-Quran lebih 1,400 tahun lampau, menunjukkan betapa pentingnya konsep pemakanan halal yang sempurna.

Imam Ibnu Kathir dalam Tafsir al-Quran al-Azim, mentafsirkan makanan yang baik sebagai yang sesuai dengan selera di samping tidak mendatangkan kemudaratan kepada badan dan akal.

Dalam Islam, makan dan minum bukan hanya semata-mata bersifat tabiat, bahkan ia sebagai ibadat. Makanan yang halal diredai Allah dan mendapat ganjaran, manakala makanan haram dimurkai dan menjejaskan hubungannya dengan Allah.

Nabi s.a.w menjelaskan: "Seorang lelaki musafir sehingga rambutnya menjadi kusut dan mukanya dipenuhi debu. Dia menadahkan tangannya dan berdoa kepada Allah, sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan mulutnya disuap dengan sesuatu yang haram, bagaimana akan diperkenankan permohonannya." (Hadis riwayat Muslim, Ahmad dan Tirmizi)

Daripada peristiwa di atas, dapatlah kita fahami, dengan makanan halal ibadat seseorang akan diterima Allah, sedangkan makanan haram menyebabkan ibadat jadi rosak, malah doanya tidak diperkenankan dan diri dekat dengan azab.

At-Tirmizi meriwayatkan hadis Nabi s.a.w, bermaksud: "Setiap daging yang tumbuh daripada benda yang haram, api nerakalah yang lebih utama baginya." Sahabat, Abdullah bin Abbas pula berkata: "Tidak diterima solat seseorang yang di dalam tubuh badannya terdapat benda yang haram."

Sekiranya makanan halal disukai Allah, usaha untuk mendapatkannya juga dirahmati dan diberkati. Sabda Nabi s.a.w bermaksud: "Sesiapa berusaha untuk keluarganya daripada harta yang halal, dia berkedudukan seperti seorang yang berjihad pada jalan Allah."

Di negara berbilang kaum dan agama, seperti Malaysia, masyarakat Islam sewajarnya lebih prihatin dengan aspek ini, bahkan memikul tanggungjawab untuk menyebarluaskan konsep pemakanan halal lagi bermutu ini.

Makanan yang haram tidak hanya daripada babi atau anjing dan haiwan mati yang tidak disembelih (bangkai), malah ada lagi beberapa jenis haiwan yang diharamkan seperti haiwan liar bertaring dan burung berkuku mencengkam.

Ini sesuai dengan pesanan Nabi Muhammad s.a.w seperti dilaporkan al-Bukhari, yang melarang (umat Islam) memakan semua haiwan buas yang bertaring dan burung yang memiliki kuku yang mencengkam.

Bukan semua jenis minuman halal, bahkan sesetengahnya diharamkan, seperti arak dan darah. Dalam al-Quran, pada ayat 173 surah al-Baqarah, Allah mengharamkan darah, manakala pada ayat 90 surah al-Maidah turut dijelaskan mengenai arak.

Dalam sesetengah kes pula ada bahan makanan dan minuman yang asalnya harus, tetapi apabila disalah guna, ia menjadi haram. Contoh paling ketara ialah dadah dan ubat batuk, sepatutnya bagi tujuan perubatan, tetapi disalah guna menjadi haram.

Majlis Fatwa Kebangsaan (1982) menjelaskan, sebarang penyalahgunaan termasuk penyalahgunaan dadah, hukumnya haram.

"Dadah hanya boleh digunakan bagi tujuan perubatan yang sah mengikut syarak."

Sheikh Yusuf al-Qardawi, dalam kitab Halal dan Haram dalam Islam, berkata: "Hukum berkenaan haramnya narkotik disepakati oleh kalangan ahli fiqah dan ia dikenali sebelum ini sebagai al-khabaith (suatu bahan yang keji)."

Begitupun, dalam persoalan halal haram makanan dan minuman, beberapa konsep perlu diberikan perhatian:

* Punca makanan seperti daging yang digunakan. Konsep haiwan yang haram dimakan dalam Islam seperti haiwan bertaring serta hidup dua alam dan haiwan yang jijik seperti cicak.

* Kaedah penyembelihan haiwan yang menepati syarak. Lebih menakutkan sekiranya orang bukan Islam menyembelih haiwan yang dijual dipasaran terbuka, sedangkan antara syarat penyembelihan dalam Islam, penyembelih mesti orang Islam.

# Cara pengurusan dan pemprosesan makanan mesti terhindar daripada najis dan tidak bercampur dengan bahan haram di sisi Islam, termasuk dari segi pengangkutan tidak bercampur dengan bahan makanan yang haram.

# Ramuan dalam makanan dipastikan suci, misalnya tidak mengandungi alkohol dan minyak daripada lemak babi.

# Peralatan yang digunakan untuk memasak dan memproses makanan, seperti kuali, periuk dan pisau, tidak pernah digunakan untuk memasak makanan yang haram mengikut syariat Islam.

# Persekitaran yang bersih, terutama di bahagian dapur.

# Sumber untuk mendapatkan makanan juga mestilah halal. Sekiranya makanan dibeli hasil daripada wang rasuah, peras ugut, rompakan dan curi, ia tidak bertepatan dengan konsep halal dalam Islam.

Dalam surah al-Baqarah, ayat 172, menegaskan: "Wahai orang yang beriman! Makanlah dari rezeki yang baik yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu beribadat kepada-Nya."

Wednesday, June 23, 2010


Sidang di Indochina rungkai warisan, tamadun Melayu

Daripada Kamal Ahmad di Phnom Penh
2010/06/23

PHNOM PENH: Sekurang-kurangnya 40 kertas kerja bakal dibentangkan penyelidik mengenai ketamadunan serta warisan Melayu di Indochina, mulai esok hingga Sabtu ini.

Pertemuan tiga hari itu akan merungkai secara intelektual semua bahan yang dihimpunkan, sekali gus membina landasan kerjasama jangka panjang berhubung hasil penyelidikan warisan Melayu di rantau ini.

Persidangan dianjurkan bersama Akademi Diraja Kemboja, Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Institut Alam & Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta Pusat Warisan Seni Melayu, Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Setiausaha persidangan itu, Prof Madya Dr Mohamad Zain Musa, berkata seramai 35 pembentang kertas kerja dari pelbagai institusi pengajian tinggi awam di Malaysia akan tampil dengan skop hasil kajian masing-masing.

Peserta terbabit termasuk kalangan ahli sejarah, penggiat kebudayaan Melayu, pakar arkeologi, perancang bandar dan warisan, pakar agama serta arkitek.


“Persidangan ini juga bertujuan menggalakkan lagi usaha di kalangan penyelidik dari negara terbabit yang mempunyai persamaan sejarah dan budaya,” katanya.


Turut membentangkan kertas kerja ialah pensyarah universiti dari
Australia, aktivis budaya Indonesia dan tokoh masyarakat Melayu Kemboja.
Etnik Melayu Cam pernah mendominasi Indochina seawal abad Masihi dan mempunyai perhubungan dengan penduduk di Semenanjung serta kepulauan Nusantara seawal abad ketujuh.

Perhubungan itu semakin pesat melalui kegiatan perdagangan, sosial dan agama Islam menjelang abad ke-15 sehingga abad ke-17.


“Sebahagian daripada kertas kerja ini akan disusun semula menjadi teks akademik untuk dijadikan rujukan,” kata Dr Mohamad Zain.


Beliau berkata, orang Melayu Cam mempunyai tamadun tinggi yang dibuktikan melalui bahasa lisan dan bahasa bertulis sama ada inskripsi (batu bersurat) mahupun manuskrip.


Dianggarkan ada hampir 600,000 orang keturunan Melayu Cam di Kemboja, Vietnam dan Laos, selain yang mendiami Pulau Hainan, China.

CATATAN HARI RABU 23/6/2010


Alhamdulillah, semalam segala teka teki sudah berakhir setelah keputusan diumumkan oleh pegawai PKINK Encik Wan Azizan lebih kurang pada jam 11.45 pagi. Keputusannya Konvensyen PUM ialah:, 

SMKWB SEKALI LAGI BERJAYA MERANGKUL TIGA HADIAH UTAMA DAN DUA HADIAH KEDUA, AMEEEEEN.
1. SYARIKAT TERBAIK - Syarikat Tijari Sdn Bhd
2. PENGARAH URUSAN TERBAIK - Mohd Alif Azrai bin Mat Zin
3. PERSEMBAHAN SYARIKAT TERBAIK- ALP Syarikat Tijari Sdn Bhd
4. NAIB JUARA KUIZ KEUSAHAWANAN- Mohd Hazimin Saipol Bahri, Mazli Farahim Mazlan, Ain Nadirah 
5. NAIB JUARA CATUR BISTARI - Mohd Mansur Awang, Makinah Mohd Mansur


Kemenangan ini membawa erti SMKWB akan membawa nama negeri Kelantan ke Konvensyen Nasional PUM di Persada Johor Bharu pada 14 - 16 Julai 2010, doakan kemenangan kami.

Saturday, June 19, 2010

CATATAN HARI SABTU 19/6/2010


8.00 MALAM

Mata dah mengantuk walaupun malam masih muda.
Kugagahkan demi blogku ini.
Hari ini berakhirnya cuti pertengahan penggal persekolahan sesi 2010.
Walaupun rekod rasminya cuti sekolah, tetapi hanya dua hari sahaja daripada 14 hari itu aku tidak ke sekolah termasuk tiga hari berkursus di Cherating.
Jumaat atau Sabtu tiada persoalan demi berbuat sesuatu sehingga berjaya.

Mungkin ramai tidak tahu atau tidak perasan apakah yang dikatakan persembahan syarikat (PS). PS ialah satu penyampaian laporan tahunan syarikat oleh CEO dan ahli lembaga pengarah (ALP) sesebuah syarikat bagi memberitahu orang ramai prestasi syarikat mereka sepanjang beroperasi selama setahun tempoh laporan dibuat.
Dengan kata lain, pelajar-pelajar yang memegang jawatan sebagai ALP di dalam syarikat PUM yang ditubuhkan di sekolah itu akan menyampaikan laporan prestasi syarikat mereka untuk tahun sebelumnya iaitu 2009.

Selama dua minggu ini aku dan seorang lagi guru penasihat PUM (cikgu Suhaila) setiap hari mengurus dan melatih pelajar yang akan menyertai Konvensyen PUM itu.
Konvensyen akan bermula esok dan hari ini merupakan hari latihan terakhir.

Jam 2.30 petang Cikgu Suhaila tiba daripada Docnan membawa baju seragam korporat yang akan dipakai semasa persembahan serta baju T kelab.
Baju korporat itu merupakan tajaan daripada Kumpulan Sukimi.
Terima kasih daun keladi kepada Datuk Seri di atas tajaan tersebut serta anakanda beliau Faris Aqil.

Doakan kejayaan Syarikat Tijari Sdn Bhd yang merupakan juara menunggu.
Kejayaan Tijari Sdn Bhd merupakan kejayaan kepada sekolah-sekolah kelolaan kementerian pelajaran yang ada di Kelantan.

Sekian.

Friday, June 18, 2010

PANTUN BUDI MINGGU INI




Dari Daik pulang ke Daik,
Sehari-hari berkebun pisang;
Budi baik dibalas baik,
Dalam hati dikenang orang.

Tanam lenggun tumbuh kelapa,
Terbit bunga pucuk mati;
Budi tuan saya tak lupa,
Sudah terpaku di dalam hati.
Rancangan Tubuh Jabatan Bahasa Malaysia
di University Of Madras
CHENNAI: Satu perancangan sedang dirangka bagi menubuhkan satu Jabatan Bahasa Malaysia University of Madras pada akhir tahun ini, sebagai satu usaha memperkenalkan sastera dan kebudayaan Melayu di selatan India.
Naib Canselor universiti itu Dr D. Thiruvasagam berkata Malaysia dan University of Madras menandatangani satu perjanjian pada tahun 1990-an tetapi projek berkenaan gagal dilaksanakan.
Namun begitu, lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak ke Chennai pada Januari lepas menghidupkan kembali minat berkenaan.
"Apabila Perdana Menteri Malaysia melawat Tamil Nadu, perkara itu telah dimasukkan dalam agenda, yang kemudiannya dibincangkan oleh beliau dan Ketua Menteri Tamil Nadu (M. Karunanidhi).
"Idea asas perjanjian itu ialah University of Madras perlu menyediakan infrastruktur manakala komitmen lain akan dilakukan oleh kerajaan Malaysia. Saya berharap ia akan dapat direalisasikan dalam tempoh enam bulan akan datang," katanya.
Kerajaan Malaysia dijangka menyediakan peruntukan pembiayaan dan petugas akademik sewajarnya bagi projek itu.
Diwujudkan pada 1857, University of Madras, yang terletak di Tamil Nadu, merupakan sebuah institusi tertua di negara itu. - BERNAMA 

*****Gunakanlah istilah Bahasa Melayu, khusus kepada bahasa kepunyaan rumpun Melayu / Nusantara, bukannya bahasa yang ada di Malaysia ini yang berbilang banyaknya.

Wednesday, June 16, 2010

Peribahasa Melayu Pilihan Minggu Ini

1.Dayung sudah di tangan, perahu sudah di air
Maksud: Segala-gala yang dikehendaki sudah diperoleh.

2,Yang lama dikelek, yang baharu didukung
Maksud : Adat yang lama tetap diamalkan di samping budaya hidup yang baharu.

3.Seperti lembu dicucuk hidung
Maksud : Orang yang selalu menurut kemahuan orang.

4.Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas
Maksud : Adat yang tidak berubah; sesuatu yang tetap utuh.

5.Bagai kaca terhempas ke batu
Maksud : Sangat sedih atau kecewa.

6.Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat
Maksud : Kata sepakat yang dicapai dalam mesyuarat.

7.Bagai Aur Dengan Tebing
Maksud : Hubungan yang rapat antara sama sama yang lain dan saling membantu.

8.Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing
Maksud : mengalami susah senang bersama-sama.

9.Bara yang digenggam biar sampai jadi arang
Maksud : Mengerjakan sesuatu yang sukar hendaklah sabar, sehingga mencapai kejayaan.

10.Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri
Maksud : Walau bagaimanapun kelebihan di negara orang, tetap negeri sendiri lebih baik lagi.

11.Melentur buluh biarlah dari rebungnya
Maksud : Mendidik anak biarlah sejak mereka kecil lagi.

12.Duduk sama rendah, berdiri sama tinggi
Maksud : Dua orang atau pihak yang sama darjat dalam adat

13.Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing
Maksud : Bersama-sama menghadapi atau mengerjakan sesuatu.

14.Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai
Maksud : Kalau takut berhadapan dengan penderitaan , lebih baik jangan melakukan sesuatu yang susah.

15.Indah khabar daripada rupa
Maksud : Perkhabaran tentang sesuatu perkara yang dilebih-lebihkan.

16.Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah
Maksud : Pengagihan yang sama banyak.

17.Bukit sama didaki, lurah sama dituruni
Maksud : Perhubungan yang sangat akrab, senang susah bersama.

18.Kacang lupakan kulit
Maksud : Orang yang melupakan asalnya atau orang yang pernah menolongnya setelah mendapat kesenangan.

19.Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung
Maksud : Menurut adat atau peraturan di tempat yang kita diami atau tinggal.

20.Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak
Maksud : Menyesuaikan diri dengan tempat dan keadaan.

21.Ibarat telur sesangkak, pecah sebiji, pecah semua
Maksud : kesilapan yang dilakukan oleh seseorang menyebabkan orang lain yang menerima akibatnya.

22.Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya
Maksud : Tak akan tercapai maksudnya kalau tak mahu berusaha dan bersusah payah.

23.Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian
Maksud : Bersusah payah terlebih dahulu untuk mendapatkan kesenangan pada kemudian hari.

24.Yang bulat tidak datang menggolek, yang pipih tidak datang melayang
Maksud : Sesuatu benda tidak akan datang tanpa usaha.

25.Untung anak lelaki cari-carikan, untung anak perempuan nanti-nantikan
Maksud : orang lelaki yang merisik bakal isterinya.

26.Bagai ikan pulang ke lubuk
Maksud : a. Orang yang pulang ke tempat asal. b. Kehidupan yang senang.

27.Sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit
Maksud : Sabar mengerjakan sesuatu lama-lama berhasil juga.

28.Bak cendawan tumbuh selepas hujan
Maksud : Terlalu banyak pada sesuatu masa.

29.Yang kita kejar tak dapat, yang kita kendong pula berciciran
Maksud : Bernasib malang kerana setelah memperoleh sesuatu, tetapi yang sudah di tangan hilang pula.

30.Sediakan payung sebelum hujan
Maksud : Berjaga-jaga dulu sebelum mendapat sesuatu bencana.

Martabatkan bahasa Melayu dahulu

KUALA LUMPUR 15 Jun - Semua kaum di negara ini perlu memartabatkan penggunaan bahasa Melayu di samping memperkasakan bahasa Inggeris sebelum mempelajari bahasa ibunda lain seperti Tamil dan Mandarin.
Ketua II Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena), Profesor Datuk Dr. Abdul Latiff Abu Bakar berkata, sekiranya kerajaan mahu mewajibkan pengajaran bahasa-bahasa ibunda tersebut, ia perlu dilakukan secara berperingkat-peringkat bermula di sekolah rendah.
"Kita tidak boleh paksa murid-murid belajar bahasa-bahasa tersebut kerana ia agak menyukarkan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan akan mewajibkan penyediaan guru-guru Bahasa Mandarin dan Tamil di semua sekolah kebangsaan supaya pengajaran dan pembelajaran kedua-dua bahasa itu dapat dilaksanakan sepenuhnya di negara ini.
Menurut Abdul Latiff, langkah kerajaan itu sebenarnya merupakan strategi untuk menarik kaum lain menghantar anak mereka bersekolah di sekolah kebangsaan.
Namun, jelasnya, untuk mewajibkan pengajaran kedua-dua bahasa tersebut kepada pelajar, ia sedikit menyukarkan kerana secara tidak langsung akan membebankan mereka apabila terpaksa belajar banyak bahasa dalam satu masa.
Katanya, cadangan itu akan lebih berkesan sekiranya kedua-dua bahasa tersebut diwajibkan kepada murid-murid India dan Cina di sekolah kebangsaan manakala pelajar Melayu diberi pilihan belajar Bahasa Arab.
Selain itu, katanya, sekiranya cadangan itu diteruskan, ia perlu melibatkan murid di sekolah rendah terlebih dahulu manakala pilihan pula diberi kepada pelajar sekolah menengah.
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan pula berpendapat, cadangan itu perlu dilakukan secara berperingkat-peringkat dengan menyediakan prasarana yang mencukupi terlebih dahulu.
Katanya, sekiranya cadangan itu mahu dilaksanakan dalam waktu terdekat, ia memerlukan satu tempoh percubaan untuk menilai kesan dan kelemahan pelaksanaannya.
"Cadangan ini tidak boleh dilakukan secara sambil lewa kerana ia melibatkan bahasa.
"Kementerian perlu berunding dengan pihak-pihak yang terlibat terlebih dahulu untuk mengenal pasti kekurangan dan kelemahannya," katanya.
Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz pula berkata, cadangan itu terlalu awal untuk dilaksanakan kerana penguasaan bahasa Melayu di kalangan pelajar masih berada di peringkat tidak memuaskan.
Presiden Majlis Pemuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Profesor Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hassan pula berpendapat, langkah itu tidak akan membelakangkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
"Langkah ini membolehkan setiap kaum mempelajari bahasa ibunda masing-masing dan ia tidak akan mengganggu proses untuk memartabatkan bahasa Melayu dan memperkukuhkan bahasa Inggeris di kalangan masyarakat," katanya.

****INILAH CONTOH PENDIDIKAN CACAMARBA. SEMUA PAKAI LOGIK AKAL.

Tuesday, June 15, 2010

CATATAN HARI SELASA 15/6/2010

Sebelum ke sekolah pagi tadi, aku sempat menonton MHI sambil minum kopi Radik. Terpana aku memerhatikan seorang pengacara baru wanita yang pertama kali aku melihatnya berganding dengan Ally Iskandar. Apa yang menyedihkan aku ialah ciri-ciri kemelayuan yang ada pada pengacara itu amat sedikit kerana:

1. Namanya sendiri tidak dapat aku tangkap ketika disebut oleh Ally kerana amat berbeza dengan nama biasa orang Melayu.

2. Gaya dan telor percakapannya banyak menyerupai telor sebutan bahasa Inggeris di samping selalu menggunakan frasa bahasa tersebut.

3. Selalu ketawa besar dan berdekah-dekah yang amat berbeza dengan gadis Melayu yang sopan menjaga adab-adab mereka.

4. Pakaiannya yang tidak bertudung (walaupun sudah biasa ditampilkan).


Pertanyaan aku kepada Media Prima ialah jika program televisyen itu dalam bahasa Inggeris apakah pengacaranya sudi selalu menyebut perkataan atau frasa dalam bahasa Melayu berbanding pengacara yang mengendalikan program dalam bahasa Melayu? Jadi, apakah pegangan Media Prima dalam hal penggunaan bahasa kebangsaan yang semakin dicemar dan diperlemahkan ini? Apa pandangan kalian?

Monday, June 14, 2010


BANGSA MELAYU SEMAKIN MELUPAKAN AGAMANYA



                                   Gambar Hiasan



Bangsa Melayu semakin hilang agamanya. Itulah perkataan yang paling tepat dan sesuai diungkap melihatkan keadaan semasa yang sedang berlaku kepada bangsa Melayu. Pembuangan anak haram, zina, khurafat, bidaah, kerosakkan akhlak, sumbang mahram, dadah, arak dan banyak lagi sudah cukup menggambarkan parahnya orang Melayu pada hari ini.

Hal ini tidak termasuk hilangnya sifat sabar, lemah lembut dan pemalu yang pada dahulunya sinonim dengan bangsa yang bernama MELAYU. Orang Melayu kini jaguh dalam melakukan apa sahaja perkara yang bertentangan dengan nilai-nilai ISLAM malah jika melihat daripada statistik keruntuhan akhlak, kita akan mendapati orang Melayu sudah  berada pada 'ranking' tertinggi.
 
Apakah yang silapnya Melayu itu? Adakah ia berpunca daripada pemerintah yang lalai dalam melaksanakan undang-undang? Atau berpunca daripada individu itu sendiri? Stuktur kekeluargaan di kalangan orang Melayu semakin terhakis. Disebabkan perbezaan pendapat dalam parti politik, mereka sanggup kafir-mengkafir antara satu dengan yang lain. Malah pada satu ketika, kepentingan politik melampaui kepentingan ISLAM itu sendiri apa lagi bahasa dan bangsa.

Orang Melayu juga sering digemparkan dengan kisah kematian kanak-kanak yang tidak berdosa, sama ada menjadi mangsa penderaan kejam atau penculikan dan pembunuhan yang sadis. Kita akan terfikir dan tertanya-tanya  apakah dosa anak kecil itu sehinggakan sanggup disepak dan diterajang oleh ibu bapa sendiri.

Apa nak jadi dengan orang MELAYU sekarang? Di manakah hilangnya agama kita? Di mana hilangnya aqidah kita? Di manakah hilangnya sifat malu kita? Kesemua ini menjadi persoalan di minda kita. Ternyata kesemua permasalahan yang timbul ini berpunca dari sikap orang MELAYU yang semakin jauh meninggalkan ISLAM.

Ingatlah:



MELAYU HANYA HEBAT DENGAN ISLAM

MELAYU MAMPU MENJADI JUARA HANYA KERANA ISLAM

MELAYU MAMPU BERSATU HANYA KERANA ISLAM

MELAYU MAMPU KEKAL DI MUKA BUMI HANYA KERANA ISLAM

MELAYU MAMPU MEMBINA DAN MENERUSKAN TAMADUN HANYA DENGAN ISLAM.

PERIBAHASA : 'TAKKAN MELAYU HILANG DI DUNIA' HANYA AKAN DAPAT TERCAPAI APABILA ORANG MELAYU 'MENGGIGIT TALI' ISLAM SEKUAT-KUAT HATI MEREKA.



Melayu pun malu berbahasa Melayu

Monday, June 14, 2010 ,

Oleh Muhd Firdaus Rahmat

BULAN Bahasa bakal berlangsung kurang dua minggu lagi. Mungkin wajar kita meninjau sikap sebenar orang Melayu, terutama generasi mudanya, pada bahasanya.

Keupayaan pelajar berbahasa ibunda dengan fasih menuntut pendedahan yang luas daripada masyarakat yang menuturkan bahasa itu.

Adakah masyarakat Melayu bersedia menyediakan pendedahan yang dikehendaki atau masih kurang yakin terhadap bahasa sendiri?

Menurut ahli falsafah Yunani Purba, Plato, sikap boleh dibahagikan kepada tiga komponen iaitu komponen kognitif, afektif dan kesediaan untuk bertindak. Komponen kognitif berkait rapat dengan persepsi dan pemikiran manakala komponen afektif pula bersangkut paut dengan perasaan dan emosi seseorang terhadap sesuatu perkara.

Kedua-dua komponen kognitif dan afektif tidak semestinya sealiran dalam diri seseorang individu itu. Misalnya, seseorang itu mungkin berasa cinta terhadap bahasanya tetapi berpendapat bahawa bahasanya itu tidak relevan dalam zaman sekarang. Ketidakharmonian kedua-dua komponen inilah yang membentuk sikap negatif sesebuah masyarakat (termasuk ibu bapa, pelajar, guru) boleh kita tinjau dan membuktikan hakikat ini.

SIKAP IBU BAPA

Terdapat dua kumpulan ibu bapa Melayu: pertama, yang menuturkan bahasa Melayu di rumah; dan kedua, ibu bapa yang berbahasa Inggeris.

Bagi keluarga yang tidak menuturkan bahasa Melayu di rumah, sikap pesimis terhadap bahasa Melayu begitu jelas sekali. Komponen kognitif lebih memainkan peranan di sini berbanding komponen afektif.

Walaupun terdapat juga perasaan cinta terhadap bahasa Melayu, suasana dalam dunia pekerjaan yang dialami ibu bapa membentuk tanggapan bahawa bahasa Inggeris lebih dititikberatkan daripada bahasa Melayu.

Di Singapura, bahasa Inggeris diangkat sebagai bahasa kerja (working language). Ibu bapa percaya penakatan hidup di Singapura memerlukan penguasaan bahasa Inggeris. Justeru ibu bapa akan menggalakkan pertuturan bahasa Inggeris di rumah untuk menyesuaikan dan melengkapkan diri anak- anak mereka dalam menghadapi arus kemodenan yang semakin mencabar.

Bagi sesetengah ibu bapa yang masih berbahasa Melayu di rumah pula, mereka mengganggap mata pelajaran bahasa Melayu sebagai satu mata pelajaran yang mudah atas alasan bahasa itu memang diamalkan seharian. Walhal, ibu bapa sedemikian tidak sedar bahawa bahasa di rumah berbeza dengan bahasa baku di sekolah.

Tiada latihan disediakan di rumah untuk membolehkan pelajar menerapkan ilmu yang diperolehinya. Tumpuan dan penekanan hanya diberikan kepada mata pelajaran yang dianggap lebih mencabar seperti sains dan matematik. Golongan yang dituding untuk menerapkan semangat cintakan bahasa Melayu tidak lain tidak bukan ialah golongan guru.

SIKAP GURU

Guru bahasa Melayu seringkali dilihat sebagai tunggak kedaulatan bahasa Melayu. Merekalah pendidik dan mereka jugalah pejuang bahasa. Namun, adakah kesemua guru bahasa Melayu berkongsi matlamat yang sama ke arah memartabatkan bahasa Melayu?

Sayangnya, tidak begitu hakikatnya. Ada sesetengah guru itu melihat tanggungjawab mengajar bahasa Melayu sebagai kerjaya semata-mata, bukan kerana cinta dan minat yang mendalam terhadap bahasa itu. Kerjaya guru yang sememangnya agak lumayan itu menarik minat golongan ini untuk menceburi bidang tersebut. Lebih-lebih lagi mata pelajaran bahasa Melayu lebih mudah diajar berbanding mata pelajaran yang lain.

Apa yang diajarnya merupakan kandungan dalam buku-buku teks sematamata. Sikap sedemikian boleh menghambat penyampaian nilai-nilai murni yang kaya dalam bahasa Melayu. Pengajaran bahasa Melayu memerlukan golongan pendidik yang tinggi ilmunya tentang budaya Melayu kerana bahasa adalah lantunan budaya masyarakat tersebut.

SIKAP MURID

Golongan pelajar merupakan golongan yang paling penting kerana pada golongan inilah yang diukur tahap kecekapannya. Kejayaan atau kegagalan kurikulum bahasa ibunda bergantung pada prestasi golongan ini.

Prestasi yang cemerlang tidak boleh diperolehi tanpa sikap yang positif terhadap bahasa Melayu. Kebanyakan pelajar merasakan bahawa bahasa Melayu hanya diperlukan sewaktu mata pelajaran bahasa Melayu dan ketika berbual dengan guru bahasa Melayu sahaja.

Di luar mandala itu, bahasa Melayu sudah tiada ruang dalam kehidupan mereka. Pergaulan mereka dengan rakanrakan berbilang bangsa lain memungkinkan penggunaan bahasa Inggeris yang lebih kerap. Sementelahan bahasa pengantar bagi mata pelajaran di sekolah yang merupakan bahasa Inggeris telah membuat murid-murid lebih terdedah kepada bahasa tersebut.

Hasilnya, perolehan kosa kata bahasa Inggeris lebih banyak berbanding kosa kata bahasa Melayunya. Apabila berbual, lebih terpacul kekata Inggeris daripada pelajar Melayu.

Situasi di atas merupakan salah satu contoh bagi komponen sikap yang ketiga iaitu tindak balas terhadap keadaan sekeliling. Mereka merasakan memadai untuk menggunakan satu bahasa sahaja tanpa mengambil kira penutur yang diajak berbual.

Apa yang menyedihkan ialah ada segelintir pelajar Melayu yang menaruh perasaan jelek terhadap bahasa ibundanya. Masalah sosial yang menghantui masyarakat Melayu sekali gus mencerminkan martabat bahasa Melayu. Hanya orang Melayu yang tidak berpendidikan tinggi atau yang terlibat dalam samseng jalanan akan menggunakan bahasa Melayu.

Hal ini menunjukkan bahasa itu boleh melambangkan identiti penuturnya. Dengan berbahasa Inggeris, golongan terpelajar ini menyangka diri mereka berada di tahap yang lebih tinggi dan berprestij.

Lagi menghairankan, ada pelajar 'elit' bahasa Melayu berasa canggung dan malu untuk berbahasa Melayu. Sayangnya, harapan memperkasa dan memartabatkan bahasa Melayu yang disandarkan pada golongan sedemikian bak indah khabar dari rupa sahaja.

Sikap masyarakat

Gerakan badan Melayu seperti mesyuarat di masjid, pertubuhan sehinggalah kalangan elit Melayu seperti doktor sehinggalah usahawan perlulah menonjolkan penggunaan bahasa Melayu yang elok. Kelak ini akan menjadi penyedar dan petunjuk kepada anak muda kita, termasuk pelajar, agar berasa bangga akan bahasa ibundanya.

Kesimpulannya, apa pun sikap yang terbuku dalam jiwa masyarakat kita, masih belum terlambat bagi setiap individu untuk sedar akan kepentingan bahasa ibundanya. Bahasa sebagai identiti bangsa bukanlah 'alat' semata-mata seperti mana yang ramai sangkakan.

Di dalam bahasa ibunda tersirat nilai-nilai moral dan adab yang harus ada dalam sahsiah setiap individu. Weltanschauung atau pandangan masyarakat yang menyeluruh dapat ditelusuri melalui bahasanya. Janganlah Bulan Bahasa sekadar kempen saja, sedang bangsa kita hanya tinggal pada nama sahaja.

Nota: Penulis kini mengikuti program Sarjana Muda Pengajian Melayu, Universiti Malaya. 


*****Saya ingin menambah dua faktor lagi yang tertinggal oleh Muhd Firdaus Rahmat iaitu 
- Sikap pemimpin negara sendiri yang jelas kurang selesa berbahasa Melayu terutama jika ada orang bukan Melayu walaupun tiga empat orang sahaja di dalam sesuatu majlis itu.
- Sikap orang korporat terutamanya golongan usahawan pun demikian juga. Jika tidak berbahasa Inggeris (walaupun berbau budu, petai atau cencaluk), mereka merasakan perniagaan mereka tiada kelas, tidak bertaraf antarabangsa.
- Demikianlah seadanya sikap orang-orang Melayu sendirilah yang menjahanamkan bahasa mereka. Sedar-sedarlah wahai bangsaku.

Sunday, June 13, 2010


Ke mana bahasa Melayu?

Persidangan Antarabangsa Bahasa Melayu Bahasa Dunia yang berlangsung di Johor Bahru, baru-baru ini menuntut perhatian besar. Resolusi persidangan tersebut antara lain mendesak kerajaan memberi kuasa penguatkuasaan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi memartabatkan bahasa Melayu. Desakan ini bukan perkara baru kerana ia sudah kerap disuarakan. Pada Awang, selagi DBP tidak mempunyai kuasa tersebut, agensi itu dilihat umpama harimau tidak bertaring.
Sedangkan gejala pencemaran dan penyalahgunaan bahasa semakin berleluasa terutama pada papan tanda dan paparan iklan premis perniagaan. Begitu juga dengan penggunaan bahasa rojak secara keterlaluan di televisyen dan radio. Itu belum mengambil kira kegagalan banyak pihak termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mengutamakan bahasa kebangsaan dalam urusan mereka di dalam negara.
Hari ini, jika ada bahasa lain lebih besar saiz paparannya daripada bahasa Melayu, ia tidak lagi dipersoalkan. Malah semakin banyak info produk barangan pengguna biarpun yang dikeluarkan di dalam negara, tidak lagi menggunakan bahasa kebangsaan.
Siapakah yang perlu bertanggungjawab memantau dan memperbetulkan semua ini kalau bukan DBP. Tetapi jika agensi itu tidak diberi kuasa, ia tidak membawa apa-apa makna.
Sementara menanti perubahan serius yang dilakukan oleh kerajaan berhubung hal ini (itu pun jika ada kemahuan politik yang tinggi), Awang amat berharap DBP lebih agresif dan proaktif dalam memainkan peranannya mengembangkan bahasa.
Agensi itu dilihat oleh banyak pihak sebagai lesu. ''Bangunannya lebih gah daripada keberanian dan pencapaiannya untuk melonjak martabat bahasa," kata seorang tokoh akademik. Apa yang beliau cuba sampaikan, DBP tidak lagi lantang memperjuangkan soal bahasa. Kritikan itu mungkin tidak adil dan boleh diperdebatkan. Usaha memartabatkan apatah lagi menyelamatkan bahasa Melayu bukan semata-mata tugas DBP malah semua pihak termasuk pemimpin kerajaan, pembangkang dan sektor swasta.
Awang juga tertanya-tanya ke mana perginya para pejuang bahasa yang sanggup berdemonstrasi dan berterusan membantah Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dalam kaitan mempertahankan kedudukan bahasa Melayu secara keseluruhannya.
Selepas PPSMI dimansuhkan, apakah kepada mereka, perjuangan memartabatkan bahasa Melayu sudah selesai? Apakah juga masa depan bahasa Melayu hanya berkaitan pengajaran kedua-dua subjek itu dalam bahasa kebangsaan sahaja?
Sepatutnya kelompok itu yang menjadi benteng hadapan, meneruskan momentum mereka dengan mewujudkan gelombang kesedaran mengenainya.
Ini termasuk menegur Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), menteri-menteri dan pemimpin parti-parti politik terhadap apa sahaja perkara berkaitan kepentingan bahasa. Awang teruja mahu melihat para pejuang dan badan pertubuhan kerajaan (NGO) turun di jalanan atau menyerbu ke mana-mana kementerian, agensi mahupun pejabat swasta membuat bantahan jika perlu.
Sesungguhnya terlalu banyak yang perlu dilakukan bagi memartabatkan bahasa Melayu terutama bagi menjadikannya bahasa komersial yang lebih meluas. Dalam usaha ini tiada siapa boleh berputus asa apatah lagi bagi mencapai matlamat murni mempertahankan bahasa Melayu yang kedudukannya sudah termaktub dalam perlembagaan negara.
Untuk apa kita memperakukan bahasa Melayu mampu berkembang sebagai bahasa dunia, kalau di peringkat dalam negara sendiri kita sudah tidak menampakkan keyakinan. Banyak lagi petunjuk yang membimbangkan di sekeliling kita. Bukankah kita sendiri yang mewujudkan persekitaran yang akhirnya membunuh bahasa Melayu?

Baik budi baiklah bahasa, 
Orang berbudi kita berbahasa
Berbudi bahasa amalan mulia.

Saturday, June 12, 2010

Berburu ke padang datar,
Dapat rusa belang kaki;
Berguru kepalang ajar,
Ibarat bunga kembang tak jadi.

Friday, June 11, 2010

Budaya Membaca – Harapan atau Impian?


Kesedaran tentang pentingnya “Budaya Membaca” sebagai satu agenda negara berikutan dengan pendedahan satu kajian yang telah dijalankan pada tahun 1983, oleh ahli akademik dari universiti tempatan di bawah pimpinan Prof Atan Long dari Universiti Putra Malaysia, menunjukkan bahawa minat membaca buku di Malaysia sangat rendah (kajian secara umum).

 Kemudahan perpustakaan tidak digunakan dengan baik. Alasan yang diberikan apabila ditanya mengapa tidak membaca buku ialah tidak ada masa (59 peratus), kerja lain lebih penting (11 peratus) dan sukar mendapat buku (7 peratus) di bandar dan (10 peratus) di luar bandar.

Dalam satu kajian lain yang dilakukan oleh Unit Perancang Ekonomi pada tahun 2002 mendapati, rakyat Malaysia membaca secara purata dua (2) buah buku setahun. Kajian itu juga mendapati jenis bahan yang diakses berbentuk bacaan ringan seperti surat khabar (79%), buku (52%), majalah (47%) dan komik (32%).

Sehubungan dengan itu, Kementerian Pelajaran Malaysia telah melancarkan Program Galakan Membaca atau lebih dikenali dengan program NILAM (Nadi Ilmu Amalan Membaca). Program Nilam ini diberi penekanan dengan melalui arahan rasmi Surat-surat Pekeliling Ikhtisas seperti Bil 13/1998 – 22 Mei 1998, Bil. 10/2000 – 20 April 2000, Bil. 12/2001 – 19 November 2001, dan Bil.1/2005 – 4 Julai 2005. Semua sekolah melalui Pusat Sumber Sekolah diarah melaksanakan program tersebut hinggalah ke hari ini, dengan hasrat untuk memupuk budaya membaca di sekolah.

Pelbagai penulisan, kajian, kertas kerja dan seminar dilaksanakan bagi mencari jalan untuk merealisasikan hasrat ini. Realitinya di sekolah-sekolah, tahap pembacaan pelajar amat rendah. Mereka “dibelenggu” dengan pembacaan buku-buku teks mata pelajaran semata-mata, selain akhbar dan majalah terutama majalah hiburan semata-mata.

Untuk sesebuah bangsa maju kehadapan, ilmu perlu menjadi agenda utama. Kepentingan ilmu ini digarap melalui gagasan idea YAB Datuk Seri Abdullah Badawi, dengan memperkenalkan konsep Modal Insan, walaupun konsep ini telah lama diperkenalkan dibarat. Kemudian digilapkan lagi dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP).

Buku dan pembacaan perlu sentiasa dijadikan agenda utama sesebuah bangsa secara umumnya dan di sekolah khususnya. Ia tidak boleh diperlekehkan sehingga ada persepsi di dalam masyarakat yang memandang buku dan pembacaannya dari pandangan negatif. (Khairusy Syakirin Has-Yun Hashim, Utusan Malaysia 25 Ogos 2008, hal. 13).

Untuk menjayakan gerakan membaca, semua pihak perlu bersatu dan memainkan peranan masing-masing. Bermula dari rumah, peranan media massa, masyarakat setempat, guru dan persekitaran sehinggalah pemimpin-pemimpin negara.

Rafe Esquith, seorang guru yang telah dianugerahkan Walt Disney American Teacher Award untuk National Teacher of the Year (1992), melalui bukunya “You`ve Got to Read This Book! menyatakan kepercayaannya bahawa tingkah laku pembacaan di kalangan pelajarnya dipupuk melalui tingkah laku pembacaan guru-guru di sekolah. Ini menunjukkan, kalau kita mahu pelajar banyak membaca, guru-guru juga perlu banyak membaca dan diperlihatkan secara terang dan diberikan pengiktirafan.

Apa yang berlaku kini, kebanyakan guru membaca hanya untuk persediaan menduduki peperiksaan PTK sahaja.Guru-guru yang terbabit secara langsung dengan program galakan membaca ini (Guru Perpustakaan dan Media dan Guru-guru Pusat Sumber Sekolah) tidak diberikan pengiktirafan, jauh sekali dari diberikan kenaikan pangkat, walhal merekalah antara guru-guru di sekolah yang banyak membaca dan merekalah juga yang bertungkus-lumus membina tabiat membaca di kalangan pelajar di sekolah.

Sumbangan mereka ini tidak pernah diiktiraf oleh pihak sekolah atau pihak kementerian. Sekiranya perjawatan lain boleh diwujudkan seperti Guru Kanan Mata Pelajaran, Guru Penolong Kanan, tetapi tidak ada pun untuk jawatan yang hampir serupa untuk guru-guru PSS. Walhal tugas-tugas yang dipikul oleh guru-guru ini jauh lebih berat.


Filed under: Budaya Ilmu, Kerjaya — amizax @ 2:32 pm
Tags: Indulgence, Reading