Sunday, June 27, 2010

Peranan keluarga bendung gejala luar nikah

 

MUAR 26 Jun - Institusi keluarga perlu memainkan peranan penting dalam membendung masalah gadis bawah umur mengandung luar nikah yang didapati semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, masalah tersebut dilihat cukup membimbangkan dan boleh memberi kesan buruk kepada pembangunan masyarakat secara menyeluruh.
"Saya meminta kepada semua ibu bapa jangan lepas tangan dalam isu sosial ini, 'tangan' agensi kerajaan tidak cukup untuk pergi memeriksa setiap rumah di Malaysia.
"Oleh itu, institusi keluarga adalah segala-galanya, sekiranya semua ibu bapa menjaga anak-anak mereka, kita akan dapat mengatasi masalah sosial ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Muar di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Michael Chong semalam yang memberitahu, sebanyak 111 kes remaja bawah umur mengandung dilaporkan berlaku tahun ini, dalam tempoh Januari sehingga April lalu.
Statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) itu menyaksikan peningkatan membimbangkan kerana 131 kes direkodkan pada tahun lalu dan 107 kes pada 2008.
Menurut Shahrizat, JKM memandang berat isu berkenaan dengan remaja-remaja mengandung terbabit diberi perlindungan di sebuah rumah kebajikan di Perak.
"Kita menerima anak-anak dan ibu-ibu yang memerlukan perlindungan ini. Jika remaja terbabit tiada tempat untuk mendapat pembelaan dan berusia di bawah 18 tahun, institusi di bawah JKM sedia beri perlindungan," katanya.
Jelasnya, selain peranan yang dimainkan kerajaan, pihaknya turut mengalu-alukan kerjasama daripada pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk bersama-sama mengatasi masalah sosial ini.
Sementara itu, dalam ucapan perasmiannya, Shahrizat menyeru Pergerakan Wanita UMNO mempertingkatkan lagi usaha di peringkat akar umbi dalam membela nasib rakyat.
"Saya berharap program Jalinan Rakyat yang dianjurkan secara berterusan akan dapat dibuat bersama kerjasama pihak NGO supaya setiap lapisan rakyat dapat didampingi.
"Kita tidak mahu program yang dianjurkan hanya tertumpu kepada ahli-ahli parti kita, sebaliknya dikembangkan kepada semua lapisan masyarakat yang memerlukan pembelaan," katanya.

*****Makngah nak ulaslah sedikit pasal perkara ini berkaitan dengan seorang pelajar tingkatan lima yang mati kerana tumpah darah di sebuah resort di PCB, Kota Bharu. Berdasarkan sumber orang kampung, semuanya berpunca daripada ketidakprihatinan ibu bapa yang tidak mempedulikan aduan anak perempuan mereka perihal dia telah dirogol oleh abang sendiri sehingga mengandung. Apabila tidak dipedulikan, maka meranalah si anak itu sehingga terpaksa mengadu kepada kawan lelakinya dan terjadilah peristiwa seperti apa yang telah terjadi.

Pelajar maut keguguran...Terkulai di resort


KOTA BHARU: Seorang pelajar lelaki sebuah sekolah menengah agama di Pasir Mas, dekat sini, panik apabila teman wanitanya tiba-tiba rebah dan pengsan dipercayai akibat keguguran yang menyebabkan pendarahan teruk sebelum meninggal dunia di sebuah resort di Pantai Cahaya Bulan (PCB) di sini, semalam.
Difahamkan, mangsa yang juga pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Sultan Ibrahim (1), Pasir Mas, pergi ke resort berkenaan dengan membonceng motosikal ditunggang teman lelakinya, kira-kira jam 9 pagi.

Sebaik tiba di resort berkenaan, teman lelaki mangsa yang juga berusia 17 tahun, mendaftar masuk sebuah bilik di situ, namun difahamkan, sejurus tiba di depan bilik itu, gadis terbabit ‘tumpah darah’ teruk dipercayai akibat keguguran.

Panik dengan situasi dihadapi itu, teman lelaki mangsa memaklumkan kejadian menimpa teman wanitanya kepada seorang petugas di kaunter penyambut tetamu resort berkenaan untuk mendapatkan bantuan.

Pemuda berkenaan dikatakan memberitahu teman wanitanya pengsan dalam bilik, namun apabila diperiksa, gadis terbabit didapati sudah meninggal dunia.

Sumber memberitahu, pekerja resort yang bergegas ke bilik berkenaan menemui mangsa dalam keadaan terbaring dengan berlumuran darah di bahagian pinggang ke bawah, lalu menghubungi polis untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, pelajar perempuan yang mengalami pendarahan serius itu kemungkinan keguguran sehingga membawa kepada kematiannya. Bagaimanapun, setakat ini, usia kandungan gadis berkenaan belum diketahui.

Sementara itu, seorang guru sekolah berkenaan yang enggan namanya disiarkan memberitahu, pelajar itu ponteng selepas dihantar ibunya ke sekolah bersama seorang adiknya, pagi semalam.

“Dia seorang pelajar yang pendiam dan tidak menghadapi masalah disiplin walaupun tidak tergolong sebagai pelajar cemerlang dalam pelajaran,” katanya.

Menurutnya, sepanjang pengetahuannya pelajar terbabit mempunyai perwatakan yang baik dan sering solat berjemaah di masjid serta pernah menyertai kegiatan agama di sekolahnya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner II Datuk Amir Hamzah Ibrahim, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Beliau berkata, pihak polis yang menerima laporan kejadian itu bergegas ke tempat kejadian dan mendapati mangsa sudah meninggal dunia akibat pendarahan teruk.

Katanya, siasatan awal dilakukan mendapati mangsa mengalami pendarahan selepas keguguran dan polis tidak mengesyaki sebarang perbuatan khianat yang mengakibatkan kematiannya.

“Polis sudah menghantar mayat mangsa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), untuk dibedah siasat. Setakat ini, polis mengklasifikasikan kes ini sebagai mati mengejut,” katanya.

*****Makngah-demikianlah adanya.


No comments:

Post a Comment