Saturday, October 29, 2011

Memperkasa bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan kemajuan

KUALA LUMPUR: Rakyat perlu memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan kemajuan serta pada masa yang sama mempelajari bahasa asing untuk menguasai ilmu yang ada dalam bahasa itu, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, masyarakat wajar menambil iktibar daripada sejarah orang Eropah dahulu yang mempelajari bahasa Arab untuk menguasai ilmu yang terdapat dalam bahasa itu.

Katanya, orang Eropah mempelajari sesuatu bahasa untuk menguasai ilmu yang ada dalam bahasa itu tanpa merendahkan kemampuan bahasa mereka sendiri dan mempunyai rasa bangga yang amat kental terhadap bahasa mereka.

"Orang Eropah kemudiannya menggunakan bahasa mereka sendiri untuk memperkayakan ilmu yang diperolehi. Mereka menulis karya-karya agung dalam bahasa mereka sendiri. Universiti didirikan untuk mengajar ilmu yang baru ditemui dalam bahasa Eropah.

"Hari ini, orang Eropah tidak perlu lagi mempelajari bahasa Arab untuk menguasai ilmu, terutamanya dalam bidang sains dan teknologi. Mereka berjaya mencipta ilmu dalam bahasa mereka sendiri dan mengembangkannya ke seluruh dunia dan akhirnya bangsa Eropah menjadi bangsa yang maju dan bahasa mereka juga menjadi bahasa yang maju," katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu VIII yang dianjurkan oleh Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini, hari ini.

Beliau berkata, pejuang bahasa mempunyai peranan penting untuk memartabatkan bahasa Melayu dengan memupuk sikap positif rakyat terhadap bahasa kebangsaan itu.

"Pejuang bahasa tidak harus lagi bertindak sebagai kumpulan pendesak semata-mata dan perlu sentiasa turun padang, berada di tengah-tengah masyarakat, menjadi penggerak kesedaran rakyat pelbagai kaum untuk membina keyakinan mereka terhadap kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan kemajuan," katanya.

Ilmuan di negara ini juga perlu mempergiatkan usaha untuk berkarya dalam bahasa Melayu selain usaha penciptaan istilah sains dan teknologi dalam bahasa itu, katanya.

"Kerajaan juga akan memperkukuhkan peranan Institut Terjemahan Negara yang akan bertanggungjawab untuk memperhebatkan lagi usaha penterjemahan buku-buku ilmiah antarabangsa yang berkualiti sebagai langkah menambah khazanah keilmuan dalam bahasa Melayu.

"Saya juga menyambut baik pengumuman Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin baru-baru ini bahawa penerbitan dalam bahasa Melayu akan dijadikan salah satu kriteria kenaikan pangkat ahli akademik di institusi pengajian tinggi awam tempatan," katanya.

Muhyiddin turut mencadangkan agar Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu, Akademi Pengajian Bahasa Melayu Universiti Malaya dan DBP menjalin kerjasama untuk menawarkan latihan dan kursus dalam bahasa Melayu sebagai bahasa antarabangsa.

"Untuk memastikan akses yang lebih luas dan mudah serta kos yang lebih efektif, teknologi digital boleh dimanfaatkan dengan menawarkan kursus dalam bentuk pembelajaran atas talian," katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga akan menghantar tenaga pengajar bahasa Melayu ke negara luar dan melatih rakyat Malaysia di luar negara sebagai munsyi bahasa Melayu mulai tahun depan. - BERNAMA



Kata Makngah: Tahupun orang-orang ini akan hakikat kedudukan bahasa kebangsaan ini. Masalahnya banyak amalan dan tindakan menjurus ke arah merudumkan / menggelapkan bahasa itu. Contoh terbaik kepada kemeruduman itu ialah pelaksanaan PPSMI. Sehingga kedudukan BM turut gerhana di UKM.

Friday, October 28, 2011

Penyebab Pelajar Ponteng Sekolah


boring ke datang sekolah?

Ponteng merupakan satu perbuatan salah laku dan melanggar peraturan sekolah. Seseorang pelajar dianggap memonteng sekiranya tidak hadir ke sekolah tanpa sebab-sebab yang dibenarkan pada hari-hari persekolahan. Sejak akhir-akhir ini masalah ini didapati semakin menjadi-jadi dan telah sampai ke peringkat yang agak serius. Pihak media juga sering menyiarkan berita tentang masalah ini sehingga pada masa ini pihak guru serta ibu bapa berasa sesuatu tindakan yang tegas perlu dilakukan segera sebelum gejala negatif ini sampai ke peringkat yang lebih kronik lagi. Menurut laporan yang pernah dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaranan, peratus pelajar yang terbabit dengan gejala ponteng didapati semakin meningkat dari semasa ke semasa terutama bagi sekolah-sekolah di kawasan bandar. Pada hemat saya punca-punca sebenar masalah ini haruslah dikenal pasti dengan segera supaya langkah-langkah untuk mengatasinya dapat dijalankan  demi masa depan generasi pelajar kita pada masa depan. 

Antara punca pelajar ponteng yang telah dikenal pasti ialah kurang berminat terhadap pengajaran dan pelajaran di sekolah. Keadaan ini mungkin berpunca daripada isi kandungan sukatan pelajaran kita yang banyak memberikan tumpuan kepada mata pelajaran yang memerlukan pelajar menghafal seperti mata pelajaran sejarah, geografi, pendidikan Islam dan sebagainya. Di samping itu, pelajar juga kurang berminat kerana mereka mungkin tidak mampu untuk mengikuti pelajaran dengan sempurna kerana ketinggalan akibat kelemahan diri mereka sendiri. Alasan ini juga yang menyebabkan berlakunya kes ponteng yang banyak di kalangan pelajar yang lemah jika dibandingkan dengan pelajar yang cerdas. Pelajar seperti ini biasanya mudah berputus asa. Mereka kebanyakannya datang ke sekolah semata-mata kerana menurut kehendak ibu bapa. Oleh itu mereka kerap ponteng kerana telah hilang minat untuk belajar akibat tidak dapat memberikan saingan kepada rakan-rakan pelajar yang lebih cerdas. 

Pelajar juga mungkin ponteng kerana mereka lebih mementingkan keseronokan daripada pelajaran. Hal ini jelas kerana terdapat di kalangan pelajar yang ponteng dengan tujuan untuk melepak atau berkumpul di pusat-pusat membeli-belah, pusat permainan video, dan taman-taman rekreasi.

Malahan, terdapat juga pelajar yang ponteng untuk menonton wayang atau berkelah. Bagi mereka, belajar di sekolah adalah sesuatu yang membosankan kerana tidak ada unsur-unsur hiburan. Pelajar seperti ini juga tidak mempunyai kesedaran tentang kepentingan pelajaran bagi menjamin masa depan mereka. Oleh itu, mereka lebih mengutamakan unsur-unsur hiburan yang tidak terdapat di sekolah.
Terdapat juga para pelajar yang memberikan alasan yang tidak munasabah seperti takut didenda, guru yang garang, malu, dan sebagainya. Pelajar yang berkenaan mengambil keputusan untuk ponteng kerana mereka takut didenda kerana tidak sempat menyiapkan kerja sekolah  mereka yang diberikan oleh guru. Terdapat juga pelajar yang datang lewat lalu mengambil keputusan untuk ponteng kerana takut didenda kerana kesalahan mereka itu.
 
Pelajar yang berasa malu sekiranya didenda dan dimarahi guru itu biasanya akan ponteng dan bersembunyi atau melepak di kawasan-kawasan yang sukar dikesan. Kumpulan pelajar ini juga menyalahkan pihak sekolah yang mengamalkan peraturan yang terlalu ketat dan mengenakan hukuman yang pada pendapat mereka terlalu berat bagi kesalahan yang kecil. 

Biasanya pihak sekolah akan mengeluarkan surat amaran bagi pelajar-pelajar yang melakukan kesalahan ponteng terlalu kerap iaitu tiga hari berturut-turut. Surat yang ditujukan kepada waris atau ibu bapa itu kadang-kadang tidak mendapat respon yang diharapkan. Ibu bapa yang terlalu sibuk dengan urusan harian mereka tidak dapat hadir untuk berbincang dengan pihak sekolah. Keadaan ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa ibu bapa atau penjaga pelajar yang berkenaan langsung tidak mengambil berat akan hal ehwal anak-anak mereka. Keadaan ini juga memberikan rangsangan kepada pelajar yang berkenaan untuk terus memonteng sehingga akhirnya terpaksa diberhentikan persekolahannya. Oleh sebab itu bolehlah dikatakan bahawa ibu bapa yang tidak mengambil berat akan amaran pihak sekolah turut menyumbang ke arah masalah ini.

Selain itu, terdapat juga pelajar yang ponteng kerana bekerja secara sambilan. Oleh sebab taraf ekonomi keluarga yang rendah, terdapat pelajar yang bekerja secara sambilan sebagai kedi di padang golf, dan tidak kurang pula yang bekerja sebagai buruh di tapak binaan. Malah masih ramai di kalangan pelajar yang bekerja secara sambilan di pasar raya dan mereka terlalu keletihan sehingga tidak berdaya untuk bangun awal terutamanya yang bekerja pada waktu malam. 

Sekiranya masalah ini tidak diatasi dengan kadar segera, peratus pelajar ponteng pasti akan meningkat dan akan menggugat cita-cita pihak kerajaan untuk mewujudkan rakyat yang berpendidikan tinggi, cerdas, dan pintar. Sekali gus masalah ini akan membantutkan kemajuan negara kita. Peranan ibu bapa,  pihak sekolah serta Kementerian Pendidikan amat penting untuk memastikan gejala ini tidak berterusan sehingga menjadi lebih serius.
 
 
 Ulasan: 1. Di atas ini contoh sebuah karangan mengenai sebab / faktor / punca pelajar-pelajar 
                sekolah semakin galak memonteng sekolah / kelas. Ponteng sekolah maksudnya tak        
                datang  sekolah terus. Ponteng kelas dimaksudkan kepada tindakan pelajar tidak berada di 
                dalam kelas ketika sesuatu matapelajaran itu diajar guru walhal dia hadir sekolah.

             2. Faktor hari persekolahan ganti juga menjadi penyebabnya. Kalau di negeri Pantai 
                 Timur, hari persekolahan ganti biasanya dibuat pada hari Sabtu. Mengikut kajian 
                 mudah, hampir separuh jumlah sebenar pelajar sesebuah sekolah tidak hadir. Maka 
                 menjadi kesusahan atau kegagalanlah kepada pihak guru-guru yang terpaksa mengulangi 
                 semula subjek yang sudah diajar. Hatta jika ada majlis atau program khaspun ramai yang 
                 tidak sanggup hadir dengan pelbagai alasan. Jadi, apa pandangan anda amnya dan 
                 pihak-pihak bertanggungjawab dalam hal pendidikan ini khasnya.

Friday, October 21, 2011

Bahasa Rojak, Rosakkan Bahasa: Bahasa Melayukah Ini?


Bahasa apa ini?




Bentuk-bentuk ayat penulisan di dalam muka buku 'facebook' kini amat membimbangkan. Golongan dewasa dan profesional galak mencampurkannya dengan BI. Pelajar-pelajar pula galak menggunakan ayat dan tulisan yang entah apa-apa mengikut sedap tangan mereka sahaja hendak menulisnya. Kesannya penulisan karangan para pelajar amat teruk dan membimbangkan guru-guru yang mengajar. 

Contoh 1 (golongan profesional):

"Morning my bags are packed and ready for the airport and cant wait to be home.Next trip is sat to Langkawi and monday to Sabah next week.When i get home i must sent 38pieces of silk,cotton and linen fabrics that i had purchased last year in Mumbai,Dubai ,Bangkok and Hong Kong during my Masholidays trip to Lord Taylor. i need a new wardrobe for my next new cookshow for BestWan season 2 of AFC,RTM As well as Telekom new Lifestyle Channel and AYAMAS around the Greeks Islands early next year.These days i just dont know baju apa nak pakai for my "Wan Malaysia" Serie ni.Balik2 pandang itu jugak sampai naik jelak.Time to get them Tailor la."

 Contoh 2:
 
"Part of having a healthy lifestyle is not just eating the right food and a balance diet according to our age and lifestyle but also to have sufficient rest and to cut down stress so that the body has time to repair its damaged cell and tissue. Orang yg suka tidur lewat will have poor skin color and bawah mata to lebam and hilang seri airmuka mereka selain tenaga yg berkurangan berbanding orang yg mempunyai tidur yg cukup.I have gone through that and now realised baik la tidur awal and dont make it a habit to work late or layan computer tu yg memang tak kesudahan.U do not want to become a slave within yrself.Alot of people make that huge mistake and eventually trap themselves."

Contoh 3:
"salam prof..sy nk tanya ttg mata..mata adk sy sering keluar tait mata(warna pth)..than mata akan menjadi merah jk berada di kwsn b'penghawa dingin..kadang2 dia skit kepala dan terasa urat mata turut t'tarik..utuk pngetahuan prof,dia tlh mggunakan eye glow (clean&soothes irritated eyes).than mggunakan plak jenis moisturizes dry &dull eyes.tp mslhnya xde ape2 perubahan.di matanya turut terdapat dark circle.byk produk yg tlh dipakai turut tiada perbhan apa2.dihrpkan prof dpt membntu.time kasih byk2.."
Contoh 4 (golongan pelajar):
asew cam sunyi jew idup skrg...mcm xdew pew2 yg mngembirakan ajew...cam ner ekkk?apew yg bleh wat idup ini happy?
Contoh 5:
cinta aku kat kau ibarat penyakit yg berbahaya ...
> tp aku ttp sygkn kau .
> sbb bpe byk kali pun kau lukekan aku ,
> syg aku kt kau takan berubah :)
> so please la hargai aku siket okay ? lol :D
Persoalan yang muncul:
1. Bahasa kitakah itu?
2.Apakah kesannya kepada kelestarian hayat bahasa Melayu jika hal ini dibiarkan? 
3. Siapakah yang perlu bertanggungjawab? 
4. Apakah faktor ia terjadi?
5. Bagaimana cara menghindarkannya / memulihkannya.


 Silalah sama-sama memikirkannya.

Saturday, October 15, 2011

PANDUAN MAKAN UNTUK SIHAT, BAHAGIA DAN BERPAHALA IKUT SUNNAH NABI

Berpada padalah apabila makan..

 Marilah ramai-ramai kita mengamalkannya bagi melahirkan insan muslim dan muslimah yang kuat,  
 hebat dan cekap.

A. SEMASA PENYEDIAAN

       1. Pastikan makanan yang disediakan daripada sumber yang halal
       2. Satu jenis lauk sahaja dimasak dalam satu bekas (tidak boleh dicampurkan haiwan darat
           dengan haiwan laut iaitu jika daging boleh dicampur dengan ayam / kambing sahaja tidak
           boleh dengan ikan / ketam / udang dsb). Rahsianya untuk memudahkan penghadaman.
       3. Jangan letak garam ketika masakan sedang panas menggelegak kerana ia akan menjadikan 
           makanan itu teracun. Letaklah ketika tidak menggelegak.
       4. Juga jangan letak garam pada awal memasak. Sebaiknya biarkan lauk atau sayur itu
           mengeluarkan rasanya terlebih dahulu.

B. SEBELUM MAKAN

       1. Makanlah ramai-ramai / bersama ahli keluarga untuk menambah keberkatan dan silaturrahim.
          Jangan makan seorang diri.
       2. Baca bismillah dan doa sebelum makan. Doa makan dan doa-doa lain yang dibaca ketika
           mahu makan mudah dimakbulkan Allah.
       3. Basuh tangan sebelum makan.
       4. Gunakan tangan kanan sepanjang waktu makan (makan dengan tangan kiri menyebabkan
           syaitan turut makan makanan kita.)

C. KETIKA MAKAN

       1. Cecahkan garam dengan jari dan rasai garam dahulu untuk menjadi penawar jika makanan itu
           ada racun.
       2. Makan buah-buahan dahulu untuk memudahkan penghadaman dan hal ini diamalkan oleh ahli-
           ahli syurga.
       3. Makan / ambil makanan yang dekat dengan kita dahulu ketika dalam hidangan.
       4. Dilarang memerhatikan mulut orang lain mengunyah makanan ketika makan bersama.
       5. Kunyah makanan hingga hancur sebelum ditelan.
       6. Habiskan semua makanan yang kita ambil.
       7. Jangan minum air ketika sedang makan. Seeloknya sejam sebelum atau selepas makan.
       8. Berhenti makan sebelum kenyang betul . Inilah amalan Nabi kita Muhammad SAW.

D. SELEPAS MAKAN

       1. Disunnahkan menjilat hujung hujung jari selepas makan.
       2. Segera membasuh tangan selepas makan (syaitan gemar menjilat jari manusia yang
           melambatkan membasuh tangan.
       3. Disunatkan bersolat selepas makan (sunat dan wajib).

* Makan malam sebaiknya sebelum waktu Maghrib. Sebaiknya lebih kurang jam 6.30 petang.

Friday, October 7, 2011

Maju Bahasa Majulah Bangsa



Makngah teruja mengepos entri di bawah yang diambil daripada tulisan seseorang yang Makngah edit dari segi ejaan, susunan ayat dan isu semasa. Marilah kita menggunakan bahasa kita sendiri sebagai bahasa utama dan bahasa rasmi Negara berdsasarkan peruntukan di dalam Perlembagaan Malaysia. Jika kita dituntut mematuhi Rukun Negara yang lima itu bagi mengharmonikan rakyat ini sebagai ejen perpaduan, maka melalui penggunaan bahasa kebangsaan ini juga ia turut sama memain peranan. Marilah kita memikirkannya.

Perkembangan ilmu di Indonesia tidak kiralah ilmu matematik, sains, geografi, astronomi, ilmu jamu jaga badan mahupun ilmu jampi atau sebagainya telah jauh meninggalkan kita.

Kenapa?semuanya kerana faktor bahasa.

Cuba anda cari maklumat berkenaan tugasan sains contohnya di enjin pencari seperti google atau yahoo, ilmu atau maklumat yang mahu anda perolehi itu disembahkan dalam bahasa Indonesia. Segala-galanya dalam bahasa Indonesia. Ini juga faktor kenapa mereka jauh meninggalkan kita dalam ICT. Bertuah rakyat Indonesia, mereka mempelajari ilmu persekitaran itu dalam bahasa mereka dan menjadi pandai melalui bahasa ilmu mereka.

Bahasa adalah satu cara. Manusia sejak dari zaman Greek kuno mempelajari ilmu ketamadunan melalui bahasa dan menjadi pandai melalui bahasa masing-masing.

Orang Arab menterjemahkan ilmu sains matematik berbahasa Greek ini dalam bahasa Arab. Di peringkat ini, orang Arab mempelajari ilmu dan menterjemahkannya dalam bahasa Arab. Di peringkat ini, orang Arab masih belum berjaya dalam sains matematik kerana masih di peringkat mempelajari dan menterjemahan bahasa. Di peringkat ini dinamakan peringkat merompak ilmu.

Peringkat seterusnya, maka banyaklah ilmu sains matematik dipersembahkan di dalam kitab dalam bahasa Arab. Seterusnya peringkat  proses mempelajari dan menyelidik ilmu persekitaran itu rancak berlaku, maka lahirlah ilmuan agung yang terkenal seperti Ibnu Sina dan melata sarjana-sarjana Islam di pelosok Arab dan orang Eropah ketika Eropah berada dalam zaman kegelapan mula mempelajari kitab-kitab ilmu ilmiah dari sarjana-sarjana agong Islam Arab.

Kita tinggalkan Arab. Di Indonesia, institut terjemahan di negara itu bekerja keras berbanding di Malaysia. Bekerja di sini bermaksud kepada jumlah buku-buku kitab yang diterjemahkan dari bahasa asing ke bahasa Indonesia. Mereka merompak ilmu-ilmu dunia.

Di Malaysia, nak terjemahkan apa lagi. Semua buku kitab ilmiah dipersembahkan kepada rakyat dalam bahasa Inggeris. Ini juga faktor kenapa rakyat Malaysia kurang membaca. Macam mana hendak meningkatkan jumlah pembaca atau mahu meningkatkan jualan buku. Manusia mendapatkan ilmu pelbagai cara, salah satu cara mudah ialah membaca, kerana membaca itu ilmunya dibentukkan sebagai bahan bercetak. Melalui membaca, ilmu pengetahuan atau pengalaman diperolehi lebih mudah dan pantas serta boleh dibawa ke mana-mana tempat mahupun di dalam bilik air sekalipun.

Di negara kita, kurang atau hampir tiada budaya merompak ilmu maka buku-buku kitab ilmiah banyak dipersembahkan dalam bahasa Inggeris. Contoh, seseorang (A) yang tidak tahu berbahasa Inggeris mahu mempelajari sesuatu melalui salah satu cara iaitu membeli buku tersebut. A pergi kedai dan didapati ilmu yang mahu diterokai itu dipersembahkan dalam bentuk bahasa Inggeris. Maka nescaya A tidak mahu membeli buku tersebut.

Saya telah jelaskan sebelum ini, membaca salah satu kaedah ilmiah bercetak yang pantas, mudah, menjimatkan masa dan boleh dibawa ke mana-mana sahaja walaupun berada di dalam bilik air. Jika seseorang seperti A membeli buku ilmiah berbahasa Inggeris, maka dia juga mestilah mempunyai / membeli bersama kamus dwi bahasa. Ini kerja membazir kerana tidak lagi mematuhi kelebihan bacaan bahan bercetak. Jika ada akibatnya pun, ia terhenti sekerat jalan seperti anak-anak kita mempelajari sains matematik berbahasa Inggeris di sekolah. Saya jelaskan sekali lagi, faktor ini juga penyebab mengapa rakyat Malaysia kurang membaca. Asyik-asyik nak menyalahkan rakyat. Permasalahan akar umbi tidak ditelusuri secekap dan seikhlasnya.

Bahasa adalah cara. Mendapatkan ilmu melalui sesuatu bahasa. Menterjemah adalah proses merompak. Mempelajari ilmu melalui bahasa bangsa masing-masing adalah proses mempelajari ilmu. Menyelidik adalah proses memajukan tamadun bangsa itu. Ini ialah kitaran ilmiah yang telah dilalui oleh negara-negara maju di dunia seperti Jepun, Korea, China, Jerman, Perancis dll.

Piramid di Mesir. Bagaimana manusia boleh membina piramid sebesar itu jika tanpa menggunakkan teknologi. Ilmu-ilmu teknologi agung keturunan firaun ini telah dipersembahkan di dinding gua melalui gambar dan bahasa Mesir Firaun ketika itu. Orang Barat mahu menguasai ilmu Firaun ini. Adakah orang Barat mahu menguasai ilmu teknologi Firaun ini melalui bahasa Mesir purba? Hal ini mustahil. Sebelum orang Barat menguasai ilmu teknologi keturunan Firaun ini, mereka perlu menterjemahkan bahasa dan gambar-gambar purba berkenaan ilmu itu ke dalam bahasa Inggeris. Hal inilah yang dimaksudkan merompak. Orang Barat akan menyelidik dan memahami teknologi purba Firaun itu dalam bahasa mereka.

Bahasa Inggeris bahasa dunia, buku-buku ilmiah banyak dipersembahkan dalam bahasaIinggeris. Bahasa Inggeris ialah bahasa ilmu sebab itu kena belajar sains matematik dalam bahasa Inggeris? Janganlah jadi pendek akal.

Di Republik Chez, pengajian perubatan di sana tidak mengenakan bayaran. Sesiapa sahaja mahu jadi doktor silalah pergi ke sana. Belajar doktor melalui bahasa Chez. Pokoknya, habis pengajian jadi doktor juga bukan keluar jadi makhluk lain. Lihatlah kesungguhan negara Eropah Timur seperti Republik Chez bersungguh-sungguh memartabatkan bahasa mereka.

Kedudukan bahasa Melayu? Tidak perlulah bandingkan dengan bahasa Inggeris, tidak pergi jauh sehingga ke Republik Chez. Bandingkan dengan negara jiran kita Indonesia sahaja. Kedudukan bahasa Melayu berdasarkan sumber ilmiah di enjin pencari internet telah jauh kebelakang berbanding bahasa Indonesia. Lihat sahaja buku-buku manual berkenaan dengan barang elektrik, bahasa Indonesia mesti ada. Lebih mudah lagi lihat sahaja di telefon bimbit, berkenaan penggunaan bahasa.Malahan banyak kenyataan dibuat oleh individu yang ingin belajar bahasa Melayu terpaksa ke Jakarta Indonesia (Bahasa Melayu versi Indonesia) kerana di KL penduduknya gemar berbahasa Inggeris. Sementelah lagi jika terlihat warga asing (terutama orang putih) maka terhegeh-hegehlah mereka hendak mempamerkan kebolehan mereka berbahasa Inggeris.

Satu fenomena baru sejak 5 – 6 tahun ini jelas kelihatan ketidakmampuan warga elit, akademik, ekonomik apalagi teknokrat khasnya dan warga KL amnya untuk tidak fasih berbahasa Melayu. Mereka pasti (tahap wajib) mencampur adukkannya dengan bahasa Inggeris. Jiwa jati diri tahap apa ini?

Berdasarkan perlembagaan, seseorang itu ditakrifkan Melayu jika:

1. Beragama Islam

2. Mengamalkan budaya Melayu

3. Berbahasa Melayu.

Tuan puan kajilah sendiri setakat mana tahap kemelayuan orang Melayu di Malaysia pada hari ini. Apakah kita mahu menunggu sekadar memandang sahaja sebagaimana apa yang sudah terjadi di Singapura sedang dalam proses di Pulau Pinang?


Bagaimanakah negara ini mahu mencapai status negara maju dalam agenda Wawasan 2020? Untuk maju, golongan bangsa itu jangan sesekali meninggalkan bahasanya. Dalam dunia ini, tiada satupun negara itu maju disebabkan berbudi dengan bahasa asing.

 

Sunday, October 2, 2011

PETUA HADAPI PEPERIKSAAN


Bayangkan rasa yang amat bahagia apabila berjaya nanti

1. Jangan panik
Sebaik melangkah masuk ke dewan peperiksaan, jangan panik kerana ia mampu membuatkan kita lupa 50 peratus apa yang sudah dipelajari selama ini. Tanamkan keyakinan dalam diri anda boleh menjawabnya.
2. Nota ringkas
Nota ringkas amat penting dan berguna kerana ia senang dibawa ke mana saja. Anda boleh membaca catatan nota ringkas berkenaan di waktu terluang.
3. Pastikan mendapat tidur dan rehat secukupnya
Biar sesibuk mana sekalipun, anda perlu mendapat tidur dan rehat cukup. Jangan lupa bersenam sekurang-kurangnya 10 minit bagi memastikan badan kekal cergas. Pengaliran oksigen yang baik boleh menghasilkan otak yang cerdas.
4. Pemakanan berkhasiat dan seimbang
Elak mengambil terlalu banyak makanan yang mengandungi kafein kerana anda mungkin akan sukar tidur dan hilang tumpuan.
5. Kawal emosi
Elak terbabit dalam sebarang konflik yang boleh menggugat ketenangan emosi di saat anda akan menduduki peperiksaan. Jangan menimbulkan sebarang pertelingkahan atau terasa hati dengan rakan-rakan atau keluarga kerana ia boleh menggugat ketenangan ketika menjawab soalan kelak.
6. Banyakkan berdoa dan bersolat
Sebagai makhluk yang lemah, kita memang tidak dapat lari daripada berdoa kepada Allah s.w.t. Bagi yang beragama Islam, anda perlu memperbanyakkan solat hajat, tahajud dan berdoa memohon bantuan-Nya. Sebelum melangkah ke dewan peperiksaan, pohon keampunan dan keredaan daripada ibu bapa dan guru.Kalau ada hutang, selesaikan segera agar diberi rahmat oleh-Nya.
7. Hindarkan sebarang pertelingkahan terutama dengan ibu bapa, guru-guru, kawan-kawan dan sebagainya. Jika ada segera meminta maaf atau memaafkannya termasuk hutang piutang jika ada perlu diselesaikan demi mendapat keberkatan daripada-Nya.
8.Persediaan Akhir

Iaitu seminggu sebelum peperiksaan. Baca kembali semua nota ringkas. Pastikan anda mengingati semua mata pelajaran peperiksaan. Nota ringkas seharusnya mengandungi kata-kata kunci sahaja. Semak nota sekerap yang boleh sehingga anda dapat menulis kembali isi sesuatu mata pelajaran dengan lengkap.
 
 

PERSEDIAAN MENTAL
9.Malam Peperiksaan
  • Pastikan anda tidur secukupnya untuk memberi kesegaran pada esoknya.
  • Kumpulkan keperluan teknikal untuk peperiksaan seperti pen, pensel, pemadam, pembaris, kad pengenalan dan lain-lain. Letakkan ditempat yang senang diambil dan mudah diingati.
  • Kuatkan azam dan tekad untuk BERJAYA.
10.Pagi Sebelum Peperiksaan
  • Jangan lupa ambil sarapan pagi
  • Datang awal ke tempat peperiksaan iaitu sekurang-kurangnya 15 minit sebelum peperiksaan. Ini bertujuan memberi ketenangan kepada anda.
  • Sebaik-baiknya jangan berbincang lagi tentang pelajaran dengan rakan-rakan sebelum masuk ke dewan peperiksaan. Perbincangan seperti ini boleh merungsingkan fikiran anda.
  • Berdoalah agar anda tenang menghadapi peperiksaan dan mendapat kejayaan yang cemerlang.
  • Masuklah ke dewan peperiksaan dengan disiplin dan keyakinan.
  • Pastikan tempat duduk anda selesa. Duduk dan tenangkan fikiran anda.
  11. MEMULAKAN PEPERIKSAAN
 
  • Dengar arahan pengawas peperiksaan.
  • Pastikan kertas soalan anda itu lengkap.
  • Lihat semua soalan.
  • Tandakan semua soalan yang hendak dijawab (untuk soalan esei).
  • Tuliskan isi-isi soalan yang hendak dijawab supaya tidak lupa.
  • Mulakan soalan esei dengan membuat rangka kasar terlebih dahulu.
  12. MENJAWAB SOALAN
Soalan Objektif
  • Bahagikan masa untuk setiap soalan. Contohnya Bahasa Melayu Kertas 1 (bilangan soalan ialah 60, masa diperuntukkan 1 jam 30 minit). Oleh itu masa menjawab 1 soalan ialah 1 minit 30 saat.
  • Baca soalan dengan teliti. Kesankan perkataan BENAR, TIDAK BENAR, MELAINKAN, KECUALI dan sebagainya.
  • Lihat semua pilihan jawapan. Tandakan (x) untuk jawapan yang anda pasti salah. Jawapan yang tinggal adalah jawapannya.
  • Pastikan jawapan ditanda pada petak yang betul.
  • Jawab soalan yang mudah dahulu. Tandakan soalan yang belum dijawab. Setelah siap, kembali semula kepada soalan susah yang ditinggalkan. Jika masih tidak boleh, tandakan jawapan yang anda rasa yakin.
  • Jika ingin mengubah jawapan, padamkan dengan bersih dan tandakan jawapan baru dengan elok. Jangan menanda dua jawapan pada satu soalan.
Soalan Esei
  • Pilih soalan yang paling banyak isi
  • Kenalpasti bentuk soalan seperti :
 
BENTUK SOALAN
PENERANGAN
Huraikan
penerangan terperinci dan jelas
Bincangkan
kemukakan kebaikan dan keburukan serta kesan-kesan
Ertikan
maksud yang jelas tentang sesuatu istilah
Namakan
tulis nama-nama tertentu atau label
Bandingkan
faktor yang sama dan tidak sama
Bezakan
faktor yang tidak sama
Jelaskan
terangkan supaya mudah difahami
Definisikan
takrif tentang istilah/frasa dan bagaimana keistimewaan dapat diaplikasikan
Kritik
penilaian dan pendapat tentang kebaikan sesuatu fakta atau teori dan bincangkan dengan bukti-bukti sendiri
Analisiskan
idea utama, pertalian dan anggapan serta kepentingan
Ilustrasi
rajah atau carta untuk menerangkan sesuatu
 
  • Mulai menjawab dengan tenang
  • Jawab semua soalan yang ditetapkan.
  • Panjang jawapan adalah berdasarkan isi dan masa yang ditetapkan. Jawapan tidak dinilaikan berdasarkan panjang atau pendek esei tersebut tetapi isi dan hujah yang bernas.
  • Jawab soalan mengikut masa yang ditetapkan. Setiap soalan mestilah seimbang.
  • Selalu merujuk kepada soalan ketika menjawab supaya jawapan anda tidak menyimpang dari tajuk.
  • Setelah selesai menjawab, luangkan sedikit masa untuk menyemak. Pastikan nombor soalan yang ditulis adalah betul. Semak ejaan, ayat dan maklumat lain yang tidak jelas.
  • Tulisan mestilah jelas, kemas dan mudah dibaca.
  • Tulisan yang jelas membantu menaikkan 'impression' markah.
Persediaan yang rapi serta ketenangan fikiran amat penting di dalam menghadapi peperiksaan. Jadikanlah peperiksaan sebagai kayu ukur di atas persediaan yang anda buat selama ini dan bukanlah sesuatu yang menyiksa dan membebankan. Bertawakkallah kepada Allah, Insya-Allah anda pasti berjaya.

SELAMAT MENGHADAPI PEPERIKSAAN KEPADA SEMUA ANAK MURID STPM MAKNGAH 2011 KHASNYA DAN SEMUA PELAJAR SMKWB AMNYA YANG AKAN MENGHADAPI PMR DAN SPM.  SEMOGA KEBERKATAN DAN KEJAYAAN SENTIASA MENGIRINGI KITA, AMEEEEN.