Wednesday, September 28, 2011

Madu Oh Madu...HPA Kepada Tualang

Pagi-pagi Makngah mengamalkan minum segelas air suam dicampur sesudu madu dan 'mp living energy water'. Alhamdulillah amalan itu banyak menyihatkan walaupun jam 12 tengah hari baru 'berjumpa nasi'.

Apa yang ingin Makngah utarakan ialah mengenai madu. Penjual madu persendirian selalu menjaja madu mereka di kawasan sekolah. Tengah hari tadi seorang penjual madu masuk ke bilik guru. Makngah cam wajahnya kerana dia selalu datang menjaja walaupun Makngah tidak pernah membelinya. Sebelum itu Makngah menggunakan madu jenama HPA tetapi sudah dua bulan stok madu itu tiada di stokis-stokis HPA kawasan Makngah. Teruk juga bekalan HPA kerana ia selalu berlaku kehabisan stok termasuk kopi Radixnya. Berikutan dengan itu, Makngah dan seorang guru lagi melayanlah penjual madu itu yang menyatakan namanya Azan berasal dari N.Sembilan.
Encik Azan si penjual madu- tangan kiri madu lebah peliharaan, tangan kanan madu tualan
Madu........madu.....pilih pilih

Madu yang dijualnya ini dakwanya diambil dari hutan Rompin bersama kawan-kawannya. Beliau juga membawa madu dari lebah peliharaan yang warnanya lebih cerah berbanding madu tualang yang berwarna lebih gelap. Harga madu tualang juga dijual lebih mahal iaitu RM 30.00 untuk botol yang isiannya lebih kurang 400 ml. Penjual itu memberi harga diskaun apabila ramai guru ingin membelinya.
Cikgu Norasyikin sedang menyalin petua berkaitan dengan madu

Petua Daripada Penjual Madu Tualang untuk beberapa jenis masalah kesihatan, insyaallah mujarab katanya.

1. Batuk
- Ambil limau nipis, asam jawa dan satu sudu madu, minum pada waktu pagi dan malam.
2. Lelah / Asma
- 5 sudu aiskrim soda dicampur satu sudu madu, minumlah seperlunya.
3. Lemah tenaga / sakit pinggang
- Tumbuk 3 biji lada hitam bersama 1 ulas bawang merah ,1 ulas bawang putih, halia dan kunyit. Campur air hingga sebati dan ditapis untuk ambil airnya sahaja. Campur pula satu biji telur ayam kampung             diminum sekali seminggu.
4.Cerdaskan minda
- Minum campuran lima sudu jus kismis dan satu sudu madu.
5. Sakit jantung
- 5 sudu air rebusan sawi hijau bersama satu sudu madu, minum pagi dan petang.
6. Kencing manis
- Campuran satu sudu madu dan satu sudu cuka nipah diminum satu kali sehari.
7. Darah tinggi
-  Rebus batang saderi dan ambil 5 sudu airnya, campurkan dengan satu sudu madu dan minum.
8. Awet muda
- Jadikan masker kuning telur, limau nipis, air mentimun dan satu sudu madu dipakai waktu malam dan bersihkan setelah bangun tidur waktu padi.
9. Sakit mata / luka
- sapukan sahaja madu secukupnya.

Sesungguh khasiat madu AMAT BANYAK.  Disebabkan itu ada disebut oleh Allah SWT di dalam al Quran dengan satu nama surahnya 'An Nahl' yang tersendiri dan menjadi minuman amalan Rasulullah SAW.

Saturday, September 17, 2011

Bahasa Melayu Dalam Pendidikan Melayu Champa

Petikan daripada Sinar Harian; beritanya menarik kerana membuktikan keupayaan BM cuma orang Melayu Malaysia sahaja yang memandang enteng kepada bahasa sendiri.

CHAU PHONG (VIETNAM) - “Apa khabar? Dari Malaysia?”. Itulah ucapan selamat datang daripada Imran Abu Bakar, 45, kepada penulis ketika berada di sebuah perkampungan Islam di Chau Phong, Vietnam.

Baru-baru ini Bernama berpeluang menyertai ekspedisi Jejak Warisan Jawi II(JWJ2) dalam misi menjejak warisan Jawi di tujuh buah negara. Sesetengah penduduk di Chau Phong boleh berbahasa Melayu termasuk Imran, yang merupakan seorang guru di Madrasah Mahmudiyah, di sini.

Imran berkata, hampir 100 daripada kira-kira 2,000 penduduk di Kampung Masjid Nikmah boleh berbahasa Melayu.



Melayu Champa



Rancak berbual dalam bahasa Melayu dengan Imran membuatkan seseorang merasakan seperti berada di Malaysia tambahan pula penduduknya ramai yang berpakaian seperti rakyat Malaysia.

Golongan Hawa dengan baju kurung, berkain batik dan bertudung manakala Adam, ada yang berkain pelikat dan berketayap putih.

Imran memaklumkan bahawa penduduk kampung berkenaan asalnya adalah dari masyarakat Melayu Champa. Di bawah pemerintahan Khmer dahulu, ramai orang Melayu Champa terpaksa melarikan diri ke Kemboja. Jadi, tidak ramai lagi orang Melayu Champa yang tinggal di sini.

Disebabkan ‘pembersihan etnik’, oleh pemerintah terdahulu juga menyebabkan ramai generasi Melayu Champa sekarang tidak lagi pandai berkomunikasi dalam bahasa Melayu, katanya.

Menurut sejarah, empayar Melayu pernah wujud dari Hue, Vietnam sehingga ke An Giang, Selatan Vietnam di bawah kerajaan Champa. Namun apabila kerajaan ini diserang, rajanya berundur ke Laos, Kemboja dan Thailand sehingga ke Kelantan dan Terengganu.

Kesan daripada pengunduran itu, wujud sebuah daerah yang juga pernah menjadi kerajaan Melayu pertama di Kemboja dan dikenali sebagai Kampung Cham dengan keluasan hampir 10,000 km persegi.

“Pengunduran orang Melayu Champa ini bermula dari tahun 1,300 masehi lagi, selepas mereka tewas dan ditindas di tangan orang Khmer.

“Pengunduran mereka ini memakan masa beratus-ratus tahun dan kerajaan Melayu pada masa itu bukan hanya satu, terdapat beberapa lagi kerajaan Melayu kecil di merata-rata tempat,” kata Pengarah JWJ2, Zaid Muhammad Mohd Rais. Trivia menarik mengenai empayar Melayu dahulu, Zaid memaklumkan bahawa Angkor Wat di Kemboja pernah menjadi medan pertempuran empayar Melayu dan Khmer.“Selain itu, dikatakan Wali Songo juga berasal dari kerajaan Melayu Champa, apabila Sheikh Jamalludin Kubra berkahwin dengan Puteri Kemboja yang juga orang Melayu Champa,” katanya. Namun begitu, kedatangan Islam pada zaman itu tidak dapat dikenal pasti dengan jelas sama ada mereka sudah menganuti Islam atau tidak pada zaman peperangan dahulu kala.



Bahasa Melayu dalam sistem pendidikan



Walaupun bahasa Melayu dahulunya pernah menjadi bahasa dagangan, namun kini penggunaannya terutama tulisan Jawi semakin kurang di serata dunia termasuklah di Malaysia sendiri yang dahulunya pernah dikenali sebagai Tanah Melayu.

Antara yang dikenali ramai masih menggunakan Bahasa Melayu adalah penduduk di Malaysia dan Selatan Thailand, itu pun dari segi komunikasi harian. Namun, tidak diduga penggunaan bahasa Melayu di Kampung Masjid Nikmah ini bukan sahaja digunakan dalam komunikasi, malahan dalam sistem pendidikan mereka.

“Di sini, tak ramai yang boleh cakap Melayu, adalah dalam 100 orang, dan kebanyakan yang boleh cakap Melayu pun disebabkan mereka belajar agama ataupun mengajar,” kata Ghazali Ahmad, Pengetua Madrasah Azhar di kampung itu.

Beliau berkata, buku agama dalam tulisan Jawi banyak digunakan dalam pembelajaran agama harian generasi lama ataupun baru.

“Ada kira-kira 300-400 buah buku, yang kebanyakannya hasil tulisan Sheikh Al-Fatani dan lain-lain, jadi secara tak langsung, apabila membaca dalam Jawi, kami boleh berbahasa Melayu,” katanya.

Antara buku tulisan Jawi yang digunakan ialah ‘Sabilil Muhtadin’, ‘Faridatul Faraid’, ‘Hidayatus Salikin’ dan ‘Furu’il Masail’.



Belajar sehingga ke Malaysia



Keinginan untuk mendalami ilmu agama juga membawa mereka ke Malaysia. Difahamkan Ghazali pernah berhijrah ke Malaysia untuk menimba ilmu agama dan tinggal kira-kira lima tahun sebelum pulang ke kampung halaman dan mencurahkan

ilmu kepada generasi baru. Malahan, tradisi itu masih lagi berlangsung sehingga sekarang.

“Abang, abang dari Kuala Lumpur ya? Saya pun baru saja balik kampung ni, cuti semester,” kata Zakarigia Gojali, 22, pelajar Kolej Universiti Insaniah, Kedah.

Beliau berkata, ada empat hingga lima orang dari kampungnya belajar di Malaysia.

“Ada yang belajar pondok, universiti atau kolej, yang kebanyakannya terletak antara Kedah dan Kelantan,” katanya fasih berbahasa Melayu.

Apa yang menarik, walaupun tidak pernah berkomunikasi dalam bahasa Melayu sebelum ini, cara percakapan Zakarigia seperti orang Melayu biasa, tidak kekok.

“Saya belajar bahasa Melayu ni kat sana lah, masa kat kolej, kawan-kawan ramai kan,” katanya yang baru tiga tahun belajar di Malaysia.

Tidak susah belajar bahasa Melayu kerana perkataannya mempunyai banyakpersamaan dengan bahasa Arab, katanya mengakhiri perbualan. - BERNAMA

Friday, September 16, 2011

30 Keajaiban Selawat





Makngah amat senang untuk berkongsi tajuk ini kerana ia amat mudah dan 'berkhasiat' pula. Mari pakat amalkan.


1) Sabda Rasullah SAW : Barangsiapa yang berselawat keatasku sekali, nescaya Allah akan turunkan rahmat keatasnya 10 kali ganda - (HR Muslim.)

2) Allah akan hapuskan dosa2 kecil dengan kita mengamalkan berselawat sebanyak 11 kali setiap kali selesai menunaikan solat fardu.

3) Jodoh ditentukan oleh Allah. Amalkan selawat 100 kali sehari, insya Allah akan dipermudahkan bertemu jodoh sama ada lelaki @ wanita.

4) Setiap penyakit ada penawarnya. Bacalah selawat 7 kali pada air dan minum. Insya Allah, perut yang sakit atau memulas akan sembuh.

5) Sesiapa yang amal membaca selawat 3 kali setiap selepas solat 5 waktu akan
dihilangkan kebuntuan fikiran dalam menghadapi apa jua masalah.

6) Amalkan membaca selawat sebanyak 1000 kali sehari, insya Allah akan dikurniakan kebijaksanaan pemikiran. Di samping itu berusahalah untuk menerokai pelbagai ilmu.

7) Sesiapa yang mengamalkan berselawat 11 kali setiap hari, dengan izin Allah dirinya akan lebih dihormati dan dihargai oleh orang lain.

8) Menurut Sayyid Ahmad Dahlan, sesiapa yang berselawat walau sekali pada malam Jumaat, saat mautnya kelak akan dipermudahkan Allah seperti yang dihadapi oleh para nabi.

9) Sesiapa yang berselawat 41 kali sehari, Insya Allah akan dihindarkan daripada sifat tercela seperti hasad dengki, dan sebagainya dalam dirinya.

10) Sesiapa yang amalkan berselawat 1000 kali pada malam Jumaat, Insya Allah akan beroleh kebahagiaan samada di dunia mahupun di akhirat.

11) Amalkan selawat 11 kali tiap kali selesai solat fardu kerana Allah akan mengindahkan akhlaknya menjadi lebih disenangi di kalangan orang lain.

12) Berselawat 33 kali sehari dapat menjernihkan hati,mudah memahami akan sesuatu ilmu yang diajarkan, di samping beroleh ketenangan fikiran.

13) Sesiapa yang berselawat tak kiralah banyak mana hitungannya setiap hari akan dapat keberkatan dalam apa jua dengan syarat ia berusaha mencari keredhaanNya.

14) Amalan berselawat sebanyak yang mungkin setiap hari menjamin keselamatan hidup dan pertolongan Allah, lebih-lebih lagi pada saat kita menghadap kesukaran hidup.

15) Menurut Syibab Ahmad, sesiapa berselawat 3 kali setiap selesai solat Subuh, Maghrib & Isyak, Allah akan menghindarkannya daripada sebarang bencana.

16) Sesiapa yang amalkan berselawat sebanyak 1000 kali setiap hari, Allah akan memeliharanya daripada sebarang ancaman musuh serta bahaya fitnah.

17) Amalan berselawat secara teratur setiap hari mampu membersihkan kekeruhan jiwa, dipermudahkan Allah akan segala urusan dan mendapat keampunan daripadaNya.

18) Menurut As-Shawi, sesiapa yang membaca selawat secara rutin, akan terpelihara hatinya daripada gangguan serta tipu daya syaitan yang melalaikan.

19) Membaca selawat 10 kali pada setiap waktu pagi dan petang akan memperolehi
keredhaan serta dijauhkan diri daripada mendapat kemurkaan Allah.

20) Sesiapa yang membaca selawat sebanyak 7 kali selama 7 Jumaat berturut2, ia bakal mendapat syafaat (pertolongan) daripada baginda SAW.

21) Menurut Al-Hafiz Dimyati, sesiapa yang berhajat menemui Nabi SAW dalam
mimpinya maka amalkan membaca selawat sebanyak 70 kali sehari.

22) Ada riwayat yang menyatakan bahawa amalan berselawat 80 kali tiap selepas solat Asar pada hari Jumaat, InsyaAllah akan dihapuskan dosa2 kecil seseorang.

23) Sesiapa yang sering mengamalkan berselawat pada setiap hari, Allah akan bukakan pintu rahmat dan rezeki yang tidak disangka- sangka baginya.

24) Jiwa yang resah gelisah dapat ditenangkan dengan zikir, termasuklah berselawat sekerap yang mungkin kerana Allah itu Maha Luas rahmatnya.

25) Ulamak berpendapat, sesiapa yang mengamalkan selawat saban hari tak kira berapa hitungannya, insya Allah dihindarkan daripada taun dan wabak penyakit berbahaya yang lain.

26) Membaca selawat 1000 kali selepas solat hajat 2 rakaat mampu menghilangkan
keresahan, rasa dukacita serta dikabulkan Allah akan hajatnya.

27) Menurut para ulama, sesiapa yang inginkan saat kematiannya dalam kesudahan yang baik, maka berselawatlah sebanyak 10 kali setiap selesai solat Maghrib.

28) Para Ulamak berpendapat, Allah akan sempurnakan hajat yang baik dengan sentiasa berselawat 40 hingga 100 kali setiap hari, diikuti dengan usaha yang berterusan.

29) Sabda Nabi SAW: Barangsiapa yang berselawat kepadaku sebanyak 100 kali pada hari Jumaat, maka ia akan datang pada hari kiamat dengan keadaan bercahaya - HR Abu Naim.

30) Sabda Nabii SAW: Barangsiapa berselawat kepadaku 10 kali pada waktu pagi dan....

10 kali pada waktu petang tiap hari, ia akan beroleh syaafaatku pada hari kiamat
- HR Thabrani


Friday, September 9, 2011

Majunya Negeri Di Bawah Bayu

Ena bersama Kak Pizah, Tok Mek dan Chik Lah yang menghantar di PC Airport. 
Ena dah jadi siswi UMS
Tiga hari Makngah di Sabah, 6 - 8 September. Alhamdulillah.....anakanda Ena selamat mendaftar di UMS. UMS sebuah IPTA yang sudah berusia 17 tahun. Tahniah kepada orang-orang Sabah yang lebih dahulu mendapat sebuah universiti berbanding dengan Kelantan walaupun Sabah jauh di Borneo. UMK di Kelantan belum sampai 10 tahun lagi usianya.

Pertama kali menjejakkan kaki di Negeri Bawah Bayu itu, Makngah terbayangkan betapa majunya Sabah kini. Bayangkan jika Sabah tidak merdeka dalam Malaysia dan akur dengan tuntutan Indonesia 48 tahun dahulu, nasib rakyat Sabah pendek kata seperti wilayah-wilayah lain di Indonesia, mundur....... Rakyatnya berhempas pulas berjuang untuk hidup. Sanggup bersabung nyawa menjadi pendatang asing sama ada halal atau haram untuk bekerja mencari sesuap nasi di Malaysia. Bersetujukah anda dengan kenyataan ini?

Ketika sesi Mesra Bersama Ibu Bapa, Naib Canselor UMS menyatakan lebih RM2 bilion dihabiskan kerajaan untuk membangunkan UMS. 40 peratus pelajarnya rakyat Sabah dan selebihnya daripada semua negeri dan 5 peratus pelajar asing. Melalui pendidikanlah rakyat Sabah terus dimajukan minda mereka dan seterusnya memajukan negeri Sabah sendiri. Cuma harapan Makngah perpaduan jangan dikesampingkan kerana tiada perpaduan, tiadalah kemajuan malahan kehancuran yang sedia mengambil tempat. Faktor utama kepada kejayaan perpaduan ialah melalui pengukuhan kepada ajaran Islam. Maksud lainnya berpadulah melalui Islam sebagai agama rasmi seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Negara Malaysia yang diakuri oleh pemimpin dan rakyat Sabah.

Rekod sejarah dunia tidak pernah menunjukkan kemampuan agama lain untuk berlaku adil dan memajukan semua bangsa dan membina tamadun di dalam mana-mana negara kecuali ISLAM. Kajilah sejarah dunia Islam sejujurnya, pasti kita tidak mampu menafikan kenyataan itu.

Anak-anak murid Makngah juga ramai mendaftar pada 7 haribulan itu. Ramai yang menegur Makngah cuma tidak sempat bergambar kerana masing-masing sibuk dengan urusan pendaftaran yang agak kalut. Pandangan Makngah, sistem pendaftaran pelajar baru UMS masih boleh dibaiki kerana kelihatan masih banyak kelemahannya. Hal ini juga ada disebut oleh seorang penjaga ketika sesi bersama Naib Canselor UMS itu. Beliau juga menasihatkan agar pada masa hadapan sistemnya menjadi lebih teratur.

Suka Makngah tegaskan, dalam sistem pendaftaran pelajar baru, apa yang penting dan perlu didahulukan ialah penempatan kediaman kerana pelajar datang dengan beg yang besar dan banyak pula. Jadi mereka perlu meletakkan barangan mereka itu di tempat penginapan agar tidak menyusahkan dibawa ke hulu ke hilir untuk hal lain. Walaupun ada arahan mengumpulkan beg di satu khemah khas tetapi arahan peraturannya tidak jelas kepada semua pelajar baru. Berlakulah kekalutan. Makngah melihat sendiri beg-beg yang berat diheret ke hulu hilir dengan muka berpeluh-peluh serta naik turun bas free UMS. Maka sukalah Makngah mencontohkan sistem pendaftaran UiTM (pengalaman 2009 ketika mendaftar abang Ena) yang amat mudah dan menyenangkan penjaga dan pelajar sendiri.

Perkara pertama ialah pendaftaran kediaman. Pelajar baru terus diberi kolej kediaman, blok dan nombor bilik sementara untuk minggu orientasi. Ibu bapa penjaga yang menghantar terus membawa beg pelajar ke bilik dan dapat melihat bilik anak-anak mereka walaupun sementara sahaja kerana kediaman mereka akan diubah semula. Ada yang menolong mengemas cadar dan apa-apa yang patut.

Apa yang berlaku di UMS, setelah berpeluh-peluh beratur mengambil, mengisi borang dan mendaftar fakulti di dewan canselor, barulah pelajar baru disuruh ke kolej kediaman. Apabila sampai, ada sesi bergambar pula dan barulah diberi blok dan nombor bilik.  Ibu bapa penjaga dilarang pula masuk ke asrama hatta setakat menolong mengangkat beg yang berat itu. Anak-anak sendirianlah mengangkut beg yang berat itu hingga ke tingkat 4. Mengomen juga Makngah kepada salah seorang pelajar ajk orientasi yang berdiri memberi arahan larangan itu. ''Peraturan" katanya. Peraturan yang dibuat dan menyusahkan boleh diubah wahai cik adik oiiiiii. Ramailah ibu bapa yang turut membantah peraturan itu. Hari istimewa macam itu apa yang nak ditakutkan? Ke nak tutup keadaan asrama yang teruk? Cuma yang hairannya, pelajar-pelajar yang datang bersendirian dan tiba pada 6 hb didaftarkan terus ke penginapan sementara. Cara itu juga perlu dilakukan kepada pelajar yang daftar pada 7 hb.

Apa yang penting, kelemahan yang ada dibaiki dan pelajarilah daripada sistem minggu suai kenal universiti terkemuka lain di Malaysia yang lebih berpengalaman agar tidak terus menyusahkan ibu bapa terutama yang datang menaiki belon. Jauh woooooo.............habis banyak RM nya. Tinggallah Ena di bawah bayu, UMS yang indah permai dan selepas orientasi akan ke kampus Labuan pula......belajar eloq-eloq nooooo  walau di mana jua berada.

Friday, September 2, 2011

AIDILFITRI, KENDURI DAN SESAKNYA JALAN



Assalamualaikum..tempat ni dah nak berhabuk, Makngah minta maaflah ye, perlu divakumkan dulu hehe... Apa-apapun, Selamat Berhari Raya setelah Sebulan Menjalani Agenda Ramadan.

Kebetulan HR jatuh pada cuti sekolah, jadi suasana juga meriah dengan kenduri kendara terutama kenduri kahwin dan bertunang. Maka, apa yang ketara antara yang jelas ialah 'jalan sesak'. Di Kelantan ini kesesakan kenderaan boleh ditakrifkan sebagai 'menggila'. Apa taknya jalan sesak bukan di bandar sahaja malahan jalan-jalan kampung dan lorong-lorong juga. Agaknya jalan di KL itu lengang kerana kebanyakan kenderaannya sedang bergerak di Kelantan. Maklumlah, kan orang Kelantan ramai bekerja di Lembah Kelang, tak mustahilkan.

Berpunca daripada kesesakan itulah Makngah tidak sanggup beraya jauh lebih daripada lima kilo meter. Malahan rumah saudara di Tumpatpun tidak sanggup diredah takut pisang berbuah dua kali. Tahun 2009 Makngah pernah kemalangan pada hari raya kedua kerana laluan trafik yang teruk dari Tumpat, melalui Wakaf Bharu ke Kota Bharu. Serik jadinya.

Semalampun Makngah hendak ke rumah mek, lalulah ikut lorong kampung, masyaAllah terkejut kerana lorong itupun sesak. Kereta tidak bergerak hampir setengah jam. Biasanya dari rumah ke kampung mek hanya 6 minit, tetapi semalam hampir satu jam. Penyebabnya, ada 3 majlis kenduri di kawasan itu. Begitulah adanya.

Pada pendapat Makngah, budaya orang kita yang berkenduri pada hari raya ini perlu diubah. Jika dikaji banyak tidak eloknya terutama dari segi laluan trafik. Cuba pakat ikutlah budaya orang Melaka dan Johor iaitu mereka mengadakan kenduri kahwin hanya pada cuti hujung minggu sahaja. Keadaan itu memudahkan banyak pihak terutama untuk memberi bantuan, kehadiran jemputan dan sebagainya. Hal ini berbeza dengan budaya di Kelantan kerana kenduri diadakan sesedap tuan diri.

Paling tidak rasional, bulan puasa sepatutnya ditumpukan untuk beribadah mengejar lailatulqodr, dihabiskan untuk persiapan kenduri. Hari raya yang sepatutnya dihabiskan untuk berziarah, memaksa diri dan orang lain datang memakan gulai kenduri kita pula. Kalau tak pergi, kata kita macam-macam pula....ish ish ish.....tak ada ummmph langsung.

Marilah kita pakat berubah.