Friday, March 11, 2011

PCB Dulu Dan Kini

Beberapa hari lepas Makngah singgah di PCB. Masih ingat maksud PCB? Pantai Cinta Berahi dan ditukar kepada Pantai Cahaya Bulan bagi memberi akronim PCB juga. Nama asalnya yang disebut orang kampung ialah Pantai Semut Api bersamaan dengan nama kampung tempat terletaknya pantai yang indah suatu masa dahulu itu. Makngah menyebut suatu masa dahulu kerana sekarang ini PCB sudah tinggal nyawa-nyawa ikan kerana hampir tidak kelihatan lagi.

Gambar pada 1 Mac 2011

Kemudahan yang baru 2 tahun juga sudah mengalami nasib sama


Pantainya sudah terhakis teruk. Tambakan dengan bongkah-bongkah batu bagai tiada kesan kerana setiap tahun ia memakan korban. Sudah banyak km pantai dan daratannya ditelan ombak. Sekarang  ia sudah terlalu hampir dengan resort terdekat iaitu PCB Resort dan Perdana Resort. Tahun-tahun sebelumnya beberapa buah chalet penginapan mereka dibadai ombak bulan Disember. Begitu juga dengan gerai-gerai peniaga  yang juga menjadi mangsa ombak ganas tidak berperasaan belas itu.


Awal 90-an Makngah sempat berkursus selama seminggu di sebuah motel bernama Long House Beach Resort yang terletak di pantai itu. Ketika itupun sudah banyak bilik penginapannya menjadi korban. Pantainya sudah terlalu hampir dengan bilik penginapan kami. Terasa seperti tidur betul-betul di pantai kerana hempasan ombak dan tiupan anginnya sangat kuat. Kalau tidak silap Makngah 4 tahun selepas itu, motel tersebut telah berkubur di laut PCB tanpa ada sebarang kesan batu nisan lagi. Tuan punya LHBR seorang keturunan India dan kini hanya kekal di ingatan Makngah.


PCB sebenarnya amat sentimental kepada Makngah kerana itulah tempat Makngah mula-mula merasa masinnya air laut dan lembutnya belaian bayu pantai. Awal 70-an mengikut rombongan sekolah ke PCB. Seronoknya bukan main, maklumlah sebelum ini tidak pernah mendengar ngauman hempasan ombak pantai. Al maklumlah kami pelajar-pelajar SKBS anak-anak baruh. Masih segar dalam ingatan, perasaan Makngah ketika mula-mula melihat ombak. Ajaibnya.............. takjub sungguh. Takutpun ada untuk mendekatinya...heheh nak tergelak apabila mengingatinya. Namun ketika itu pantainya luas terbentang. Banyak gerai jualan, pondok-pondok berihat beratap nipah dan pohon nyiur berderetan memagari pantai. Anak-anak muda rancak berhibur sambil menyanyi dan bergitar. Kenderaan pengunjung juga berderetan berbanding dengan sekarang yang sepi, sesepi sepinya............

Ombak PCB yang banyak memakan korban

 

1 comment:

  1. Balik minggu lepas xdan g pcb...g bln 12 ari2 rmai lg pengunjung...penuh...nk parking payoh. timbunan batupun masih jelas...blom d timbus pasir.

    ReplyDelete