Tuesday, February 28, 2012

Nasib Sang Buku

Belanja RM3 juta untuk satu kontena buku

BEBERAPA tahun lalu, seorang lelaki kaya di Malaysia membina rumah percutian besar di sebuah tanah tinggi di Pahang.

Bagaimanapun, kerana kesibukan dan bagi memastikan kemewahan hidupnya tidak menjadi satu skandal, dia jarang sekali bercuti di rumah itu yang kawasannya disaliri jeram yang cantik. Rumah itu kini agak terbiar.




Ada seorang lelaki terkenal lain pula memilih menggunakan kekayaannya untuk jalan yang lebih bermanfaat.

Dia gemar mengumpul buku, terutama judul-judul yang berkaitan dengan sejarah negara. Tidak lama dulu, dia dikatakan membelanjakan RM3 juta untuk membeli satu kontena buku yang kemudian dimuatkan dalam perpustakaannya.

Industri buku sebenarnya sedang berdepan dengan cabaran yang amat hebat. Lelaki terkenal yang membelanjakan RM3 juta untuk membeli buku itu mungkin seorang dalam 100 juta manusia. Yang ramai ialah kategori orang kaya pertama, yang mungkin mengutamakan rumah besar lebih daripada kekayaan ilmu dan mindanya.

Ada ramai rakyat Malaysia, misalnya, sanggup membeli telefon bimbit berharga RM3,000 sebuah, tetapi mereka tidak akan sekali-kali berbelanja RM1,000 setahun untuk buku-buku walaupun ia diberi pengecualian cukai oleh kerajaan. Itulah nasib buku. Malahan ada pelajar sekolah sanggup mengikat perut menyimpan duit poket demi memiliki telefon bimbit berharga ratusan ringgit tetapi amat kedekut untuk membeli sebuah majalah pengetahuan am yang hanya berharga RM3.00 sebulan.

Di Amerika Syarikat beberapa hari lalu, industri buku yang suram, yang margin keuntungannya kian kecil, akhirnya memasuki terowong bisnes yang semakin malap dan gelap.

Borders, sebuah rangkaian kedai buku global yang mempunyai 642 buah kedai di Amerika Syarikat sahaja, telah memfailkan notis perlindungan kebankrapan kerana tidak sanggup lagi menanggung hutangnya yang dilaporkan berjumlah AS$1.29 bilion (RM3.87 bilion).

Pada tahun 2009, bisnes Borders yang menjual buku-buku bahasa Inggeris sudah pun menghadapi masalah di United Kingdom, dan selepas dua tahun, krisis itu kini berjangkit ke Amerika Syarikat dan rangkaian Borders di seluruh dunia.

Sebagai sebahagian daripada cara untuk memperoleh dana bagi membayar hutangnya, kedai-kedai buku Borders mulai semalam mula mengadakan jualan menghabiskan stok yang menawarkan diskaun sehingga 40 peratus.

Hutang syarikat itu kepada para pengedar dan penerbit buku yang belum berbayar dianggarkan AS$180 juta (RM540 juta). Jika hutang itu tidak dilangsaikan, para pengedar dan penerbit pula mungkin gulung tikar.

Dunia ilmu dan penyebaran pemikiran sedang berhadapan dengan tekanan hebat daripada keruntuhan bisnes buku seperti yang sedang dilalui oleh Borders. Bisnes ilmu berada dalam krisis. Perlakuan pengguna sudah berubah. Tidak lagi seperti masa lalu, membaca bukan lagi dianggap perlakuan insan-insan yang berjaya.

Antara membeli satu kontena buku berharga RM3 juta dan membina rumah percutian bernilai RM3 juta di tanah tinggi, banyak orang akan memilih simbol kekayaan yang kedua.
Memburukkan lagi keadaan ialah trend baru berkaitan teknologi. Mengikut indeks kajian kesetiaan pengguna antarabangsa, divisyen buku elektronik Kindle yang dipelopori oleh Amazon.com kini memasarkan enam judul buku elektronik bagi setiap sepuluh buah buku fizikal yang dijual oleh gedung beli-belah Internet itu.

Ingatkah kita kepada apa yang berlaku dalam bisnes muzik apabila YouTube dan MP4 menewaskan CD, kaset dan katrij yang suatu ketika dulu pernah menghancurkan era piring hitam?
Tanpa sedar, buku yang menjadi sumber ilmu juga menjadi mangsa kepada pembaharuan teknologi. Lakulah sesuatu sebelum ia dikuburkan. Nilaikan kembali kempen demi kempen membaca buku itu.

Thursday, February 23, 2012

Nasib BM di Sebuah Kota Raya







 PENGABAIAN BAHASA MELAYU TERUS BERLELUASA DI KL

THE Peak, Tivoli Villa, Atmosfera, Vista Millennium, Casa Prima dan Park Avenue bukan di New York, London atau Toronto. Ia sebahagian daripada taman perumahan dan kondominium di Kuala Lumpur yang menyambut ulang tahun ke-38 sebagai Wilayah Persekutuan pada 1 Februari.

Jangan hairan jika ayah dan ibu dari kampung susah nak sebut nama sesetengah kawasan perumahan kerana sebutannya terlalu aneh dan tidak mencerminkan identiti Melayu. Barangkali kerana takdir sejarah yang meletakkan Yap Ah Loy sebagai peneroka Kuala Lumpur, maka nama Melayu semakin bersaing dengan nama asing untuk taman perumahan dan bangunan awam.

Kalau ada pun nama Melayu mungkin di kawasan separa tradisional seperti di Kampung Baru, Kampung Abdullah Hukum, Kampung Pandan, Kampung Kerinchi dan Kampung Datuk Keramat.

Kawasan urban dan elit lebih mesra menggunakan nama aneh, mungkin kerana keanehan cara berfikir penghuninya sendiri. Mimpi juga berbeza kerana Wilayah Persekutuan tonggak pembangunan negara menjelang 2020.

Jangan salahkan pemaju perumahan yang ghairah menggunakan nama asing untuk taman perumahan. Mereka tidak membuat kesalahan kerana tiada peruntukan daripada Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur atau mana-mana pihak berkuasa tempatan (PBT) yang melarang penggunaan nama asing untuk kawasan kediaman. Pemaju hanya menjalankan tugas membina kediaman, sekali gus mengaut keuntungan.

Mereka tidak terikat mendaulatkan bahasa Melayu kerana tiada peruntukan berbuat demikian. PBT pula lebih selesa meluluskan projek, hatta di kawasan berisiko di lereng bukit dan tadahan air semata-mata atas nama pembangunan Wilayah Persekutuan. Tidak kisah premis nama Melayu atau tidak, asalkan pembangunan diteruskan.

Sama ada Kuala Lumpur, Putrajaya atau Labuan yang semuanya dikelompokkan sebagai Wilayah Persekutuan, tiada peruntukan undang-undang atau akta yang boleh mensabitkan kesalahan terhadap ‘pelanggar’ bahasa Melayu. Sesiapa saja boleh berucap, menulis papan tanda dan memperkenalkan nama jalan dengan nama yang aneh.

Pada 2000, ada segelintir pejuang bahasa Melayu yang melatah penggunaan perkataan ‘presint’ yang diubah daripada ‘precint’ di Putrajaya. Mereka mencadangkan penggunaan nama yang lebih sesuai dengan budaya setempat. Namun apalah yang ada pada budayawan dan ahli bahasa, termasuk juga pegawai Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), ahli PENA dan GAPENA, kerana suara mereka tenggelam di sebalik keghairahan politik nasional yang lebih mencaturkan kerakusan kuasa dan agihan ekonomi. Pencinta bahasa Melayu sentiasa di belakang dan perkataan ‘presint’ dikekalkan walaupun mengikut mykamus.com bermaksud ‘kawasan terkepung terutama di sekeliling gereja, larangan bagi lalu lintas dalam sesebuah pekan’.

Kamus Dwibahasa terbitan DBP pula menjelaskan ‘precint’ bermaksud ‘ruang yang berpagar (di gereja), batasan sesuatu daerah’.

Pedulikan maksud dalam kamus kerana kehidupan sekarang jarang merujuk kamus, apatah lagi bagi sebuah Wilayah Persekutuan yang menyambut perayaan pada 28 Januari lalu bertemakan ‘Rakyat Bersatu, Wilayah Persekutuan Maju.’

Barangkali demi memenuhi impian kemajuan, penggunaan ungkapan aneh semakin berleluasa. Terbaru laluan pejalan kaki berhawa dingin yang menghubungkan Kuala Lumpur City Centre (KLCC) dengan Bukit Bintang sepanjang 1.173 kilometer dikaitkan dari aras concourse Pusat Konvensyen Kuala lumpur. Tiada ungkapan lain selain concourse?

Sebelum ini kita tidak kisah menyebut nama ‘Jalan Pekeliling’ yang sepatutnya Jalan Berkeliling mengambil ungkapan asalnya ‘Circular Road!’ Sekali lagi, kita tak kisah menggunakan ungkapan salah, seperti juga kita tidak rasa janggal menyebut Kuala Lumpur Sentral, Putra World Trade Centre (PWTC), The Mall, Lot 10 (baca Lot Ten), Ampang Point, Central Market dan bermacam lagi.

Tidak jauh dari Jalan Pekeliling tertera papan tanda di sebuah premis; Ah Fatt tukang jahit wanita. Kita tidak pasti berapa ramai wanita yang sudah dijahit oleh Ah Fatt!

Yang kita pasti nasib bahasa Melayu semakin celaru di buminya sendiri. Ketika kita ghairah mencapai negara maju dan Wilayah Persekutuan sebagai daerah selamat dihuni, kita kekal celaru dan hilang jati diri. Bahasa dan budaya dipersenda, nilai murni sekadar sandiwara dan kita pun kekal dengan prasangka pembangunan, keliru antara angka ekonomi dan nasib marhaen di lorong belakang Chow Kit. Barangkali inilah wajah kita yang terkini!

Sumber : Berita Harian Online

Kata Makngah: Bahasa akan mati apabila kehilangan penuturnya. Mahukah kita menyaksikannya? Tanyalah kepada para pemimpin kita juga yang begitu menonjol menunjukkan contoh mendaulatkan bahasa orang lain.

Thursday, February 16, 2012

Akhirnya DBP Bersuara- Tahniah

DBP audit bahasa Melayu
Oleh Matzidi Dris
mzidi@bharian.com.my
2012/02/16

pix_gal0
Garis panduan hampir siap, kemuka kepada kerajaan Jun

PETRA JAYA: Masih ada kementerian, jabatan dan agensi kerajaan tidak menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya dalam dokumen urusan rasmi masing-masing, sebaliknya menggunakan bahasa Inggeris, termasuk dalam surat pekeliling dan minit mesyuarat bulanan.

Sehubungan itu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menubuhkan jawatankuasa khas untuk mengaudit penggunaan bahasa Melayu dalam semua dokumen rasmi kerajaan bagi mengenal pasti tahap penggunaan bahasa kebangsaan itu setakat ini.

Ketua Pengarah DBP, Dr Awang Sariyan, berkata ia berlaku kerana ada pegawai atasan dan penjawat awam tidak memahami atau terlepas pandang Dasar Bahasa Kebangsaan yang turut disokong Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan.

Katanya, setakat ini ada beberapa kementerian, jabatan dan agensi kerajaan mencapai tahap 80 hingga 90 peratus penggunaan bahasa Melayu dalam semua dokumen rasmi.

"Pada masa sama, masih ada kementerian, jabatan dan agensi kerajaan tidak menggunakan bahasa Melayu dalam beberapa dokumennya, iaitu surat pekeliling dan laporan tahunan.

"Cara terbaik meningkatkan penggunaan bahasa Melayu dalam sektor awam adalah mengadakan audit bahasa dari semasa ke semasa," katanya selepas menyampaikan ucaptama Dasar Bahasa Kebangsaan: Tuntutan Iltizam Kepada Seluruh Warga Negara, di DBP Cawangan Sarawak, di sini semalam.

Ia dianjurkan DBP Cawangan Sarawak dan Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (PEKASA) sempena Hari Pejuang Bahasa 152 Peringkat Negeri Sarawak 2012.

Awang berkata, mungkin ada pihak yang ketawa dengan langkah itu, tetapi DBP beriltizam melaksanakannya kerana ia bukan satu kesalahan, malah dapat meningkatkan penggunaan bahasa Melayu di kalangan penjawat awam di negara ini.

Katanya, cara kerajaan memperbaiki pencapaian dalam pengurusan dan pentadbiran adalah menerusi proses audit, termasuk aspek kewangan.

“Jadi, dalam penggunaan bahasa Melayu, wajar juga dilaksanakan audit. DBP kini dalam peringkat akhir menyediakan garis panduan untuk digunakan dalam audit berkenaan dan jika semua berjalan lancar, garis panduan itu akan dikemukakan kepada kerajaan Jun ini,” katanya.
Komen Anda









Senarai komen

kedai
sanggat bagus ..kalau boleh masukan dalam KPI setiap jabatan dan kementerian . Maklumat audit juga perlu di dedahkan kepada umun seperti laporan jabatan audit supaya rakyat tahu .
 
ikhlas
media juga perlu mainkan peranan, di tv baik pemimpin atau orang biasa perlu berbahasa melayu, mengaku orangg malaysia tapibila wartawan tanya dlm bm mrk dengan bangga jawab dalam english, kalau memang orang luar tidak apalah, baik ceo, orang biasa, bila perlu disiarkanperlulah berbahasa melayu. Malah iklan2 billboard sekarang tulisan bahasa lain lagi besar dari bahasa melayu malah tiada bahasa melayu pun ada. Pokok pangkalnya penguatkuasaan, zaman menteri penerangan Tok Mat dulu saya tabik kerana benar2 buatkerja, papan tanda dimestikan menggunakan bahasa kebangsaan........yang sekarang ni sibuk buat apa agaknya kat pejabat tu ya?
 
Semut Biru
Memang patut pun disemak semula. Buat pengetahuan umum, agensi kerajaan yang dimaksudkan tu adalah dari pihak atasan. Jangan kerana tinggi ilmu seseorang tu dah cukup hebat dimata umum. Perlu banyak belajar. Bukankah ilmu itu ada dimana-mana...
 
Tayyar Sikarap
syabas DBP. Masih belum terlambat untuk brtindak. Sepatutnya perkara ini dilakukan 12 tahun yang lalu sebelum penggunaan bahasa dalam kalangan penjawat jawatan awam dan swasta menjadi rojak. Dalam kalangan penjawat awam, mungkin penggunaan bahasa Melayu masih pada tahap 60-70 peratus. Tetapi dalam kaangan penjawat swasta, terlalu sukar untuk kita mendengar dan melihat penggunaan Bahasa Kebangsaan. Keadaan ini bertambah parah apabila Kementerian Pelajaran Malaysia mengisytiharkan penggunaan BI dalam pengajaran dan pembelajaran subjek Matematik dan Sains di peringkat sekolah. Akibatnya, bahasa Melayu menjadi kelas kedua atau kelas ketiga bagi organisasi swasta. .... bersambung.... kemudian.
 
HJ SHARI
Sedarnya kita bahawa bahasa melayu seakan dipingirkan oleh warga negara sendiri. Apakah kita tidak mampu menaiktaraf bahasa melayu. Sudah lebih 50 tahun merdeka bahasa masih belum merdeka?.
 
Hassan Markoli
Syabas DBP!
 
Zaninov
Salam sejahtera, pada pendapat saya DBP perlu memperluaskan lagi penguatkuasaan atau audit di sektor perbankan. Sebagai contoh borong yang diisi ditulis Bahasa Melayu diatas dan bahasa Inggeris dibawah. Ini keterbalikan dimana bahasa Inggeris atas bahasa Melayu dibawah sangat menyayangkan. Buku-buku ilmiah bagi kegunaan Universiti perlu diterjemahkan sepenuhnya kedalam Bahasa Melayu secara berperingkatkan dan diwajibkan penggunaannya. DBP usulkan di Parlimen bahawa untuk melayakkan menjadi warganegara Malaysia mewajibkan warga Malaysia fasih bertutur kata dalam bahasa Melayu. 
 
Adi
Akhirnya, DBP bertindak dengan tegas. Kalau tidak, sampai bila? Syabas DBP.
Saya juga cadangkan bagi semua iklan dan poster perlu diaudit DBP sebelum boleh mendapat kelulusan Majlis Perbandaran.

Thursday, February 9, 2012

TER


Hujung minggu lepas anak-anak nak berjalan. Pilih punya pilih, terpilih TER atau Terengganu Equestrian Resort. Awal pagi dah bertolak keluar rumah kerana banyak urusan di sepanjang perjalanan termasuk mengisi angin tayar kereta dan ke bank.





Makngah mengambil laluan Kubang Krian, Beris, Tok Bali, Besut dan seterusnya Penarik dan K.Terengganu atau laluan pantai. Hal ini kerana untuk ke K.Terengganu dari kami di area KB / PM boleh mengambil satu lagi laluan darat iaitu Kuala Berang. Jaraknya lebih kurang sahaja cuma pemandangan melalui jalan pantai amat menarik dengan udara yang nyaman dan deruan ombak dapat dirasai melalui tingkap kenderaan.

Lebih kurang jam 12.00 kami berehat di Pantai Rhu Sepuloh. Anak-anak nak menandas. Tandasnya dekat sebuah gerai makanan laut. Ada sebuah sahaja terletak di luar iaitu di tengah padang. Buatan dan lokasinya amat unik. Sementara menunggu giliran, ada yang bergambar kerana pemandangan di Pantai Rhu Sepuloh amat cantik. Persekitarannya juga bersih terjaga.
Tandas unik





Masing-masing memesan air minuman dan makanan. Ena memesan sotong goreng celup tepung dan keropok lekor untuk empat orang. Keropoknya sedap sekali kerana garing di luar dan amat lembut di dalam. Terasa macam dibelai-belai di dalam mulut dengan sosnya yang secukup rasa. Begitu juga dengan sotongnya yang empuk mesra apabila dikunyah. Kami makan hingga licin dengan habuk-habuknya sekali........hehe. Menjilat jari sampai ke tanganlah katakan. Tambah menyelerakan kerana kami duduk di meja berhampiran pantai.

Selesai membuat bayaran yang hampir RM50.00, kami bertolak ke KT.

Laluan ke masjid terapung



Lebih kurang jam 1.30 tengah hari, kami tiba di Terengganu Equestrian Resort (TER). TER ini terletak dalam kawasan Taman Awam Kuala Ibai dan Masjid Putih Terapung Tengku Intan Zaharah. Tempat penginapan kami diberi nama Paddock Inn yang boleh dikira okey je kemudahannya.

Kemudahan yang ada di situ ialah kemudahan yang disediakan oleh Kompleks Sukan Kuala Terengganu berupa kolam renang, boling, menunggang kuda, gelanggang badminton, dewan tertutup dan padang berastaka yang semuanya boleh disewa. Hanya kolam renang dibenarkan percuma jika menginap di Paddock Inn.




Bayaran RM5.00 seorang membolehkan Makngah bermain boling dengan anak-anak. Itulah pertama kali Makngah menyentuh bola boling, hehee asyik masuk longkang je. Selepas itu mereka menunggang kuda pula dan akhir sekali menghabiskan waktu petang di kolam mandi yang agak luas binaannya.

Gaya koboi TER


Pakaikan kasut kuda







Malamnya kami meronda-ronda mencari tempat makan di bandar KT. Anak-anak menjamu selera dengan tomyam udang di kawasan gerai makan di simpang empat tengah bandar. Makngah minum teh tarik je ...'diet'lah katakan. Cuaca kelihatan tidak berapa elok namun seperti hendak hujan namun anak-anak nak juga singgah di Pantai Batu Burok melihat ombak malam. Lagipun tempat itu sudah laluan kami. Orang tidak ramai jadi tempat letak kereta mudah sahaja.

Ombak malam Batu Burok begitu kuat menghempas pantai yang sudah makin teruk terhakis. Ngaumannya kekadang menakutkan. Angin malam dengan butiran air yang kasar-kasar jelas terasa menyentuh kulit muka kami dan terkesan pada skrin kamera apabila gambar diambil.
Kesan butiran air ombak





Ena dan Azam bermain larian ombak. Pakaian mereka hampir basah ketika tidak sempat melarikan diri dari hambatan ombak ganas Batu Burok dalam kegelapan malam. Sebuah istana pasir yang ditinggalkan oleh arkiteknya ranap ditelan ombak.

Pengunjung pantai kelihatan semakin ramai. Tempat letak kereta sudah semakin penuh. Jam sudah pukul 10 malam. Rupanya Batu Burok semakin meriah apabila malam semakin larut.