Wednesday, September 26, 2012

Jalan-jalan Shopping Bandung


Ikut kawan-kawan pergi bershopping di Bandunglah pula. Makngah tak pernah jejakkan kaki di tanah Jawa. Maka pada malam Khamis 13 September 2012 jam 9.00 malam rasmilah kaki ini memijak Bandara Hussin Sastranegara Bandung, Jawa Barat, Indonesia.

Pemandu pelancong kami bernama Bujang Sutan Kayo sedia menunggu rombongan kami seramai 30 orang. Kali ini Makngah berpacaran dengan anak buah, Nana yang sudah mulai selesa dengan "Geng Berderak" Makngah, welcome Nana....hhihi.

Walaupun hari sudah semakin larut malam, suasana 'macet' (jalan sesak)  sudah kami rasai dalam perjalanan ke restoran untuk makan malam dan ke Hotel Cassadua tempat penginapan kami. Seluruh bandar Bandung jalannya sehala. Jadi walaupun tempat itu hanya beberapa rantai sahaja malahan dapat dilihat dari seberang, disebabkan jalannya sehala maka pusingan perjalanannya hampir separuh Bandung, hebat bebbb. Tidak nampak satu jejantaspun di bandar ini. Itulah antara penyebabnya mengapa kesesakannya teruk.




Kami makan di restoran makanan tradisi Sunda. Etnik Sunda merupakan penduduk teramai di Bandung. Hiasan restorannya agak menarik kerana kebanyakan perabot dibuat daripada buluh termasuk lampu cendeliarnya. Suhu di Bandung ketika itu 25 darjah Celsius, nyamanlah rasanya. Restoran itupun tidak berkipas / berpendingin hawa. Tambahan lagi dibina secara terbuka di bahagian tingkat atas.

Esoknya kami bersarapan 'nasi kuning' yang konsepnya macam nasi lemak (kata pemandu kami) bersama 'teh manis' yang macam teh o sahaja cuma rasanya amat 'lemah'....orang Kelantan kata 'lecah leweh'. Sarapan dihantar ke bilik- bilik oleh pekerja hotel. Rupanya mereka tidak ada cafe atau restoran walaupun ada dapur. Seksa juga pekerja-pekerja itu mengangkut dulang-dulang hidangan dengan menaiki tangga kerana hotel 3 tingkat itu tak ada lif. Tak apalah kerana tenaga kerja mereka ramai dan murah pulakan.

Esoknya jam 7.30 waktu Bandung (jam 8.30 waktu Malaysia) kami sudah berkumpul di lobi. Bergerak ke bas yang di parkir agak jauh dari hotel. Bas tidak boleh memasuki kawasan hotel kerana lorong masuknya sempit. Kami melalui kawasan Sekolah Luar Biasa Kota Bandung untuk ke tempat bas diparkir. Setelah diteliti barulah Makngah faham, sekolah luar biasa ialah sekolah untuk anak-anak OKU.



Acara pertama untuk hari pertama ini ialah pergi membeli belah........hahahah. Inilah julung kalinya dalam sesi berderak Makngah acara utama lawatannya ialah membeli belah. Bas terus membawa kami ke Pasar Baru. Sebelum itu Bujang pemandu kami memberi servis menukar duit kepada rupiah. Beliau mengambil duit kami dan menukarnya ke bank. Pertukaran ke RM pada hari itu amat lumayan iaitu RM1 = Rph 3000. Sehari suntuk kami bershopping di situ. Makngah shopping biasa-biasa aja setakat 2 -3 helai kain sulam bunga timbul bermanik dan sehelai dua baju t. Kawan-kawanlah yang terhebat termasuk menempah langsir.
 Penjual dan peminta sedekah jalananpun tidak kurang menyerbu kami sebaik sahaja masuk ke Pasar Baru.


Berada di dalam Pasar Baru menyebabkan dada dan nafas Makngah menjadi sesak kerana asap rokok. Rupa-rupanya Indonesia amnya dan Bandung khasnya tidak ada peraturan larangan merokok di tempat awam menyebabkan pengunjungnya termasuk peniaganya sendiri sewenang-wenang merokok dan menghembuskan asap rokok. Hatta penjual kuih di tepi kedaipun ralit merokok sambil menghembuskan asap ke dulang kuih yang dijual...........eeeeee tak lalu Makngah melihat kuih jualannya itu. Makngah tidak jadi memasuki kedai yang peniaganya asyik merokok dan menghembuskannya ke arah pengunjung/pembeli. Jangan sampai kain yang dijual terbakar oleh api rokok udahlah yerrr.

Petangnya hingga ke malam kami dibawa bershoping di outlet Toko Tiga (seluar dan baju berjenama) dan Terminal Tas (beg dan kasut kulit) di Jalan Martadinata. Walaupun harganya boleh tahan mahal namun berkualiti dan lebih murah berbanding dengan tempat sendiri. Booolehhhh la derr.

Hati Makngah dan kebanyakan kawan merasa terkilan kerana diberitahu oleh pemandu kami tempat istimewa di sini iaitu Tangkupan Perahu tidak dapat dilawati.  Fenomena aneh batu macam ditelangkupkan gunung berapi itu yang selama ini nyenyak tidur, sedang menguap dan dikhuatiri akan berdehem dan bangun dari tidurnya. Asap dan bau belerangnya boleh menjejaskan kesihatan manusia; menyebabkan ia sudah sebulan ditutup kepada orang ramai. Alternatifnya kami akan dibawa ke Kawah Putih sahaja.

Hari ketiga di Bandung, jam 7.20 pagi tayar bas dah bergolek ke Kawah Putih, daerah Cimahi, Bandung. Kenderaan belum banyak jadi bas kami agak cepat melepasi kawasan kota Bandung memasuki daerah Cimahi. Cimahi merupakan kawasan pergunungan yang udaranya agak dingin seperti Cameron Highlands. Kami dinasihati agar bersedia dengan baju sejuk / jaket luar. Pemandangan di luar agak mengujakan kerana sepanjang jalan kiri dan kanan dipenuhi oleh rumah-rumah penduduk yang rapat-rapat berderetan. Di celah-celahnya dan di belakang deretan rumah dan rumah kedai itu pula asal ada kawasan tanah ia ditanam dengan strawberi, kubis, bawang dan sebagainya yang berupa tanaman berhawa dingin. Malahan ada yang menanam di kawasan halaman rumah sampai ke tangga. Rajin benar mereka mengusahakan apa sahaja.

Bas berhenti di kawasan pendaftaran. Bau belerang sudah tercium di hidung kami. Banyak jip jenis terbuka sedia menanti dan membawa pengunjung ke Kawah Putih. Makngah dan 9 orang lagi rakan dimuatkan dalam satu jip lalu bergerak melalui laluan berturap kawasan hutan secara menurun. Lebih kurang 10 minit sahaja sudah sampai. Dari jauh kami sudah nampak kawasan berkawah dan kena menuruni anak-anak tangga pula sebelum sampai.



Kasut Makngah terjerlus
 Pemandangan di situ amat cantik. Air kawah berbelerang itu berwarna kehijauan. Makngah cuba memijak paras tebingnya tetapi kasut terjerlus kerana berselut putih dengan belerang. Selepas puas menikmati keindahan yang menakjubkan di situ dan bergambar ramai-ramai, kami beransur-ansur berkumpul di tempat jip menanti.

Dalam perjalanan balik, kami singgah di sebuah restoran yang amat unik tempat dan binaannya bernama Saung Gawir.  Restoran itu di atas gunung. Semua binaannya daripada buluh. Di bawahnya terletak kawasan penanaman buah strawberi dll sayuran. Cuacanya dingin dan restoranpun tidak ada kipas/aircond.


Kami dihidangkan dengan menu orang kampung Sunda. Seperti biasa tauhu dan tempe tidak ketinggalan. Makngah amat gemar dengan tempe goreng rangup bersalut tepung.


Malamnya kami meronda lagi ke pusat-pusat oulet-oulet termasuklah Rumah Mode hingga ke larut malam. Bershopping lagilah kawan-kawan Makngah ni.

Malamnya di hotel kami mula berkemas. Namun masih ada suara-suara yang belum puashati dengan barang-barang yang belum sempat dibeli dan mahu ke Pasar Baru lagi sebelum ke airport jam 11 pagi 16 September. Haaaiiii........betul-betul shoppinglah nampaknya



Bai-bai Bandung...............macetmu kutinggalkan.....