Friday, July 30, 2010

FALSAFAH BANGSA MELAYU

                                                                        Gambar Hiasan


Asas falsafah kehidupan bangsa Melayu 
mengatakan bahawa:

“ hidup bersendi adat, adat itu bersendikan syarak,
dan syarak pula bersendikan Kitabullah.” 

Adat bersaudara, saudara dipertahankan;
adat berkampung, kampung dijaga;
adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan.

- Perjuangan kita belum selesai, 
kerana hanya yang cekal dan tabah sahaja 
akan berjaya membina mercu tanda bangsanya
yang berjaya. -

Thursday, July 29, 2010

KELEBIHAN DAN HIKMAH BERSUJUD



Ramai umat Islam tidak sedar mengenai pelbagai hikmah yang tersembunyi ketika sujud. Padahal, kita perlu sedar bahawa tiada suatu pun ciptaan dan suruhan Allah s.w.t. yang sia-sia, malahan setiap ciptaan itu mempunyai kelebihan yang selalunya tidak terjangkau dek akal manusia.

Manusia melakukan sujud dalam dua bentuk, iaitu sujud fizikal seperti ketika solat dan sujud spiritual berbentuk ketaatan kepada perintah Allah s.w.t. dan menjauhi larangan-Nya.

Ulama lain mengatakan sujud boleh melegakan sistem pernafasan dan mengembalikan kedudukan organ ke tempat asalnya.

Bernafas ketika sujud pula boleh memberikan kesan baik seperti berikut ;
  1. Membetulkan kedudukan buah pinggang yang terkeluar sedikit dari tempat asalnya.
  2. Membetulkan pundi peranakan yang jatuh.
  3. Melegakan sakit hernia. (burut).
  4. Mengurangkan sakit ketika senggugut ketika haid.
  5. Melegakan paru-paru daripada ketegangan.
  6. Mengurangkan kesakitan bagi pesakit apendiks atau limpa.
  7. Kedudukan sujud adalah paling baik untuk berehat dan mengimbangkan lingkungan bahagian tubuh.
  8. Meringankan bahagian pelvis.
  9. Memberi dorongan supaya mudah tidur.
  10. Menggerakkan otot bahu, dada, leher, perut serta punggung ketika anda sujud dan bangun daripada sujud.
  11. Pergerakan otot itu menjadikan ototnya lebih kuat dan elastik, secara automatik memastikan kelicinan perjalanan darah yang baik.
  12. Bagi wanita, pergerakan otot itu menjadikan buah dadanya lebih baik, mudah berfungsi untuk menyusukan bayi dan terhindar daripada sakit buah dada.
  13. Mengurangkan kegemukan.
  14. Pergerakan bahagian otot memudahkan wanita bersalin, organ peranakan mudah kembali ke tempat asal serta terhindar daripada sakit gelombang perut (convulsions).
  15. Organ penting iaitu otak manusia menerima banyak bekalan darah dan oksigen.
  16. Mengelakkan pendarahan otak jika tiba-tiba menerima pengepaman darah ke otak secara kuat dan mengejut serta terhindar penyakit salur darah dan sebagainya.
  17. Dari segi psikologi pula, sujud membuatkan kita merasa rendah diri di hadapan Yang Maha Pencipta sekali gus mengikis sifat sombong, riak, takbur dan sebagainya.
  18. Dari segi perubatan, kesan sujud yang lama akan menambahkan kekuatan aliran darah ke otak yang boleh mengelakkan pening kepala dan migran, menyegarkan otak serta menajamkan akal fikiran sekali gus menguatkan mentaliti seseorang.
  19. Menurut kajian pula, terdapat beberapa urat saraf di dalam otak manusia yang tidak dimasuki darah sedangkan setiap inci otak manusia memerlukan darah yang cukup untuk berfungsi secara normal dan sempurna.                                                                                                                                  “Wahai orang yang berselimut, bangunlah sembahyang tahajud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat). Iaitu separuh dari waktu malam, atau kurangkan sedikit daripada separuh itu. Ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya: dan bacalah al-Quran dengan ‘Tartil’ (perlahan-lahan). Sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu perkataan yang berat (wahyu yang mengandungi perintah yang berat). Sesungguhnya sembahyang dan ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa), dan lebih tetap betul bacaannya”. (Surah Al-Muzzammil, ayat 1-6)


Oleh demikian, menghidupkan malam hari dengan bertahajud dan bermunajat kepada Allah akan mendapat kasih sayang dari Allah dan kasih sayang Allah itu terpancar dari-Nya melalui sikap serta tindakannya.
Segala sikap dan tindakannya sentiasa di dalam pemeliharaan Allah, yang seterusnya orang lain pula apabila melihatnya akan timbul perasan kasih dan hormat akibat pancaran kasih sayang Allah kepadanya.

Jadi, tanyalah pada diri sendiri, berapa kalikah kita sudah sujud setiap hari? Cukupkah sekadar itu sujud kita kepada-Nya? Adakah sujud kita itu,  dilakukan dengan penuh rasa kehambaan kepada-Nya?

Apa kita tunggu lagi? Sujudlah kepada-Nya sebanyak-banyaknya sebelum Allah memanggil kita dan memperhitungkan amalan yang kita lakukan.

Wednesday, July 21, 2010

MEMULIH APA YANG TIDAK KENA PADA KELUARGA MELAYU


Hampir tiga dekad lalu, Sasterawan Negara Allahyarham Usman Awang telah mengingatkan akan bahayanya pergaulan bebas dalam kalangan remaja. Impaknya amat besar. Sudahlah menconteng arang ke muka keluarga dan mencemarkan masyarakat sekitar, lebih daripada itu, 'menghalalkan' nyawa ditarik dengan cara yang begitu kejam.
Pertama, adakah jenayah buang bayi melibatkan semua kaum di negara ini? Diperhatikan, pelaku kes buang bayi sama seperti kes penagihan dadah dan pelbagai isu sosial lain majoritinya adalah kaum Melayu. Jadi, ada sesuatu "tidak kena" dalam institusi keluarga Melayu ini. Permasalahan inilah yang perlu dikenal pasti bagi mendapatkan 'rawatan' yang bersesuaian.
Berita terbaru juga ada memaparkan fakta bahawa golongan Melayulah yang paling ramai gemar melayari laman-laman web porno atau lucah. Pertanyaannya, apakah ertinya ini? Bukankah ertinya golongan Melayu sudah tidak kisahkan agamanya lagi? Malahan ada cerita tersebar di sebuah sekolah di Kelantan bahawa seorang guru agama (ustaz) dilihat oleh seorang guru bukan beragama Islam sedang melayari web porno ketika waktu pelajar sudah pulang dan ramai guru sudah beredar balik. Dia menggunakan internet dan komputer sekolah.
Institusi keluarga Melayu hari ini gagal membina akal budi, sahsiah dan jati diri golongan mudanya. Kekuatan dalaman golongan muda Melayu rapuh seperti biskut. Sebaliknya, majoriti ibu bapa Melayu hari ini begitu memanjakan anak-anak dengan material semata-mata.
Sudahlah pemantauan anak-anak kurang diberi penekanan dengan alasan popular sibuk dengan kerja. Diberi pula anak-anak dengan segala kemewahan dari segi wang poket dan paling ketara kini ialah telefon bimbit mahal siap dilengkapi aplikasi video dan internet.
Bagi tahap umur yang mahukan keseronokan dan tingginya rasa ingin mencuba, apakah yang lebih cenderung dibuat dengan kemudahan telefon bimbit mahal itu? Sudah tentu ke arah pornografi. Jadi, salah siapa apabila remaja belasan tahun ini bernafsu sekali gus terdorong untuk melakukan seks luar nikah? Tambahan lagi, harapkan pagar, pagar makan padi. Harapkan ibu bapa dan guru- guru, ibu bapa dan guru-guru juga kekadang menunjukkan teladan teruk.
Oleh itu, cadangan pendidikan reproduktif (nama lain bagi pendidikan seks?) bukan penyelesai mutlak kepada masalah salah laku seks dalam kalangan remaja yang membawa kepada implikasi antaranya ialah buang anak. Jenayah buang bayi datang daripada pergaulan bebas. Mereka sudah tidak diasuh dari kecil tentang bagaimana menghargai maruah diri sendiri, keluarga dan bangsa. Malahan pendidikan seks itu sendiri sudah lengkap dan diajar di dalam pendidikan agama Islam itu sendiri.
Mereka hanya 'disuap' dengan kemewahan dan keseronokan berbeza dengan kaum lain yang tegas menekankan kepentingan menuntut ilmu dan menghargai masa.
Berbeza dengan murid daripada kaum lain. Mereka juga bergaul tetapi tidak pula kelihatan berlebih-lebihan. Mereka berjalan lebih pantas daripada anak-anak Melayu. Tingkah laku dan cara berkomunikasi sesuai dengan tahap pelajar.
Itulah sebabnya ada sesuatu yang "tidak kena" dalam sistem kekeluargaan Melayu moden hari ini. Pelbagai faktor seperti pengaruh internet dan rakan sebaya dikatakan punca runtuhnya sahsiah anak-anak Melayu. Namun, menghantui fikiran kita semua ialah mengapa ramai anak Melayu "rosak", gemar bergaul bebas dan mudah benar alah dengan gaya hidup tampak mewah?
Adakah ibu bapa Melayu sudah tidak lagi menekankan nilai adab dalam pergaulan? Adakah Pendidikan Islam yang diajar di sekolah sejak dari sekolah rendah hanya untuk tujuan peperiksaan sahaja? Sama-samalah kita fikir-fikirkan dan bertindaklah sebelum nasi menjadi bubur.

Monday, July 19, 2010

BAHASA MELAYU MAHU KE MANA?

        Persidangan Antarabangsa Bahasa Melayu Bahasa Dunia yang berlangsung di Johor Bahru, baru-baru ini menuntut perhatian besar. Resolusi persidangan tersebut antara lain mendesak kerajaan memberi kuasa penguatkuasaan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi memartabatkan bahasa Melayu. Desakan ini bukan perkara baru kerana ia sudah kerap disuarakan. Selagi DBP tidak mempunyai kuasa tersebut, agensi itu dilihat umpama harimau tidak bertaring.
        Sedangkan gejala pencemaran dan penyalahgunaan bahasa semakin berleluasa terutama pada papan tanda dan paparan iklan premis perniagaan. Begitu juga dengan penggunaan bahasa rojak secara keterlaluan di televisyen dan radio. Itu belum mengambil kira kegagalan banyak pihak termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mengutamakan bahasa kebangsaan dalam urusan mereka di dalam negara.
Hari ini, jika ada bahasa lain lebih besar saiz paparannya daripada bahasa Melayu, ia tidak lagi dipersoalkan. Malah semakin banyak info produk barangan pengguna biarpun yang dikeluarkan di dalam negara, tidak lagi menggunakan bahasa kebangsaan.
       Siapakah yang perlu bertanggungjawab memantau dan memperbetulkan semua ini kalau bukan DBP. Tetapi jika agensi itu tidak diberi kuasa, ia tidak membawa apa-apa makna.
Sementara menanti perubahan serius yang dilakukan oleh kerajaan berhubung hal ini (itu pun jika ada kemahuan politik yang tinggi), kita amat berharap DBP lebih agresif dan proaktif dalam memainkan peranannya mengembangkan bahasa kebangsaan.
       Agensi itu dilihat oleh banyak pihak sebagai lesu. ''Bangunannya lebih gah daripada keberanian dan pencapaiannya untuk melonjak martabat bahasa," kata seorang tokoh akademik. Apa yang beliau cuba sampaikan, DBP tidak lagi lantang memperjuangkan soal bahasa. Kritikan itu mungkin tidak adil dan boleh diperdebatkan. Usaha memartabatkan apatah lagi menyelamatkan bahasa Melayu bukan semata-mata tugas DBP malah semua pihak termasuk pemimpin kerajaan, pembangkang dan sektor swasta.
Kita juga tertanya-tanya ke mana perginya para pejuang bahasa yang sanggup berdemonstrasi dan berterusan membantah Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dalam kaitan mempertahankan kedudukan bahasa Melayu secara keseluruhannya. PPSMI didatangkan bagai tsunami tetapi perginya bagai kekura. Tsunami itu telah memberi kesan peninggalan yang begitu parah kepada bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu kerana telah diambil kesempatan sepenuhnya oleh pihak-pihak tertentu terutama kolej-kolej pengajian swasta untuk lebih memartabatkan bahasa Inggeris sebagai bahasa perantaraan mereka.
        Selepas PPSMI dimansuhkan, apakah kepada mereka, perjuangan memartabatkan bahasa Melayu sudah selesai? Apakah juga masa depan bahasa Melayu hanya berkaitan pengajaran kedua-dua subjek itu dalam bahasa kebangsaan sahaja?
Sepatutnya kelompok itu yang menjadi benteng hadapan, meneruskan momentum mereka dengan mewujudkan gelombang kesedaran mengenainya.
        Ini termasuk menegur Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), menteri-menteri dan pemimpin parti-parti politik terhadap apa sahaja perkara berkaitan kepentingan bahasa. Kita teruja mahu melihat para pejuang dan badan pertubuhan kerajaan (NGO) turun di jalanan atau menyerbu ke mana-mana kementerian, agensi mahupun pejabat swasta membuat bantahan jika perlu.
Sesungguhnya terlalu banyak yang perlu dilakukan bagi memartabatkan bahasa Melayu terutama bagi menjadikannya bahasa komersial yang lebih meluas. Dalam usaha ini tiada siapa boleh berputus asa apatah lagi bagi mencapai matlamat murni mempertahankan bahasa Melayu yang kedudukannya sudah termaktub dalam perlembagaan negara.
        Untuk apa kita memperakukan bahasa Melayu mampu berkembang sebagai bahasa dunia, kalau di peringkat dalam negara sendiri kita sudah tidak menampakkan keyakinan. Banyak lagi petunjuk yang membimbangkan di sekeliling kita. Bukankah kita sendiri yang mewujudkan persekitaran yang akhirnya membunuh bahasa Melayu?

BERCAKAP BENARLAH


Ada sesetengah orang, bercakap bohong sudah sebati dengan jiwa mereka. Sepanjang masa , setiap kali bercakap mesti ada yang diperbohongkan. Terdapat banyak sebab mengapa sesorang itu suka berbohong. Antaranya mereka tidak tahu apa kesannya kepada hati yang suka berbohong. Sekiranya seseorang itu suka berbohong, hatinya akan timbul perasaan was-was dan sentiasa dalam keraguan. Hal ini sudah tentu memberi kesan buruk kepada diri kita sendiri.

Bagi anak-anak kecil pula, jika ibu bapa membiarkan mereka terus bercakap bohong, kesannya apabila dewasa nanti anak-anak itu akan terdorong untuk berbuat kemungkaran yang lebih dahsyat kerana merasa diri hebat. Diri hebat kerana berjaya melepaskan diri daripada terjerat dengan pembohongan yang telah dilakukan. Bayangkan apa akan jadi jika anak-anak itu seorang yang bijak dan pintar berkata-kata pula. Pasti tunggang terbalik jadinya masyarakat kita kerana pembohongan mereka.

Pantun lama ada menyebut;

Siakap, senohong, gelama, ikan duri,
Bercakap bohong lama-lama mencuri.

Orang-orang bijak pandai juga ada mengatakan bahawa segala kejahatan itu berpunca daripada satu pembohongan.

Oleh kerana itu, janganlah kita bercakap bohong. Cubalah belajar bercakap benar. Antara kaedah untuk bercakap benar ialah dengan mengurangkan bercakap. Bercakap apa yang penting sahaja. Sekiranya masih ada lagi percakapan bohong, kita hendaklah segera menginsafinya. Pastikan kita berazam cuba untuk menjadi insan yang bercakap benar. Hal ini amat bermakna jika kita berniat untuk berubah daripada terus bercakap bohong.

Thursday, July 8, 2010

KULIAH DUA: PERKEMBANGAN BAHASA MELAYU



                                                                                            
                                                        Sekadar Hiasan Untuk Difikir-fikirkan


Ahli bahasa membahagikan perkembangan bahasa Melayu kepada tiga tahap utama iaitu:
  • Bahasa Melayu Kuno,
  • Bahasa Melayu Klasik dan
  • Bahasa Melayu Moden.

Bahasa Melayu Kuno
Merupakan keluarga bahasa Nusantara
Kegemilangannya dari abad ke-7 hingga abad ke-13 pada zaman kerajaan Sriwijaya, sebagai lingua franca dan bahasa pentadbiran.
Penuturnya ada di Semenanjung, Kepulauan Riau dan Sumatera.
Ia menjadi lingua franca dan sebagai bahasa pentadbiran kerana:
  • Bersifat sederhana dan mudah menerima pengaruh luar.
  • Tidak terikat kepada perbezaan susun lapis masyarakat
  • Mempunyai sistem yang lebih mudah berbanding dengan bahasa Jawa.
Banyak dipengaruhi oleh sistem bahasa Sanskrit. Bahasa Sanskrit kemudian dikenal pasti menyumbang kepada pengkayaan kosa  kata dan ciri-ciri keilmuaan (kesarjanaan) Bahasa Melayu.
Bahasa Melayu mudah dipengaruhi Sanskrit kerana:
  • Pengaruh agama Hindu
  • Bahasa Sanskrit terletak dalam kelas bangsawan, dan dikatakan mempunyai hiraki yang tinggi.
  • Sifat bahasa Melayu yang mudah dilentur mengikut keadaan dan keperluan.
Penggunaan Bahasa Melayu Kuno ada tercatat pada batu-batu bersurat abad ke-7 yang ditulis dengan huruf Palava:
  • Batu Bersurat di Kedukan Bukit, Palembang (683 M)
  • Batu Bersurat di Talang Ruwo, dekat Palembang (684 M)
  • Batu Bersurat di Kota Kapur, Pulau Bangka (686 M)
  • Batu Bersurat di Karang Brahi, Meringin, daerah Hulu Jambi (686 M)
Bahasa Melayu Kuno pada Batu Bersurat di Gandasuli, Jawa Tengah (832 M) ditulis dalam huruf Nagiri.
Ciri-ciri Bahasa Melayu Kuno:
  • Penuh dengan kata-kata pinjaman Sanskrit
  • Susunan ayat bersifat Melayu
  • Bunyi b ialah w dalam Melayu kuno (Contoh: bulan - wulan)
  • bunyi e pepet tidak wujud (Contoh dengan - dngan atau dangan)
  • Awalan ber- ialah mar- dalam Melayu kuno (contoh: berlepas-marlapas)
  • Awalan di- ialah ni- dalam bahasa Melayu kuno (Contoh: diperbuat - niparwuat)
  • Ada bunyi konsonan yang diaspirasikan seperti bh, th, ph, dh, kh, h (Contoh: sukhatshitta)
  • Huruf h hilang dalam bahasa moden (Contoh: semua-samuha, saya: sahaya)

Peralihan Bahasa Melayu Kuno Ke Bahasa Melayu Klasik
Peralihan ini dikaitkan dengan pengaruh agama Islam yang semakin mantap di Asia Tenggara pada abad ke-13.
Selepas itu, bahasa Melayu mengalami banyak perubahan dari segi kosa kata, struktur ayat dan tulisan.
Terdapat tiga batu bersurat yang penting:
a. batu bersurat di Pagar Ruyung, Minangkabau (1356)
  • ditulis dalam huruf India
  • mengandungi prosa melayu kuno dan beberapa baris sajak Sanskrit.
  • bahasanya berbeza sedikit daripada bahasa di batu bersurat abad ke-7.
b. Batu bersurat di Minye Tujuh, Acheh (1380)
  • masih memakai abjad India
  • buat pertama kalinya terdapat penggunaan kata-kata Arab seperti kalimat nabi, Allah dan rahmat
c. Batu bersurat di Kuala Berang, Terengganu (1303-1387)
  • ditulis dalam tulisan Jawi
  • membuktikan tulisan Arab telah telah digunakan dalam bahasa Melayu pada abad itu.

Ketiga-tiga batu bersurat ini merupakan bukti catatan terakhir perkembangan bahasa Melayu kerana selepas abad ke-14, muncul kesusasteraan Melayu dalam bentuk tulisan.

Bahasa Melayu Klasik
Kegemilangannya boleh dibahagikan kepada tiga zaman penting:
  • Zaman kerajaan Melaka
  • Zaman kerajaab Acheh
  • Zaman kerajaan Johor-Riau
Antara tokoh-tokoh penulis yang penting ialah Hamzah Fansuri, Syamsuddin al-Sumaterani, Syeikh Nuruddin al-Raniri dan Abdul Rauf al-Singkel.
Ciri-ciri bahasa Melayu klasik:
  • ayat: panjang,  berulang, berbelit-belit.
  • banyak ayat pasif
  • menggunakan bahasa istana
  • kosa kata klasik: ratna mutu manikam, edan kesmaran (mabuk asmara), sahaya, masyghul (bersedih)
  • banyak menggunakan perdu perkataan (kata pangkal ayat): sebermula, alkisah, hatta, adapun.
  • ayat songsang
  • banyak menggunakan partikel ``pun'' dan `'lah''

Bahasa Melayu Moden
Bermula pada abad ke-19. Hasil karangan Munsyi Abdullah dianggap sebagai permulaan zaman bahasa Melayu moden.
Sebelum penjajahan Beritish, bahasa Melayu mencapai kedudukan yang tinggi, berfungsi sebagai bahasa perantaraan, pentadbiran, kesusasteraan, dan bahasa pengantar di pusat pendidikan Islam.
Selepas Perang Dunia Kedua, British merubah dasar menjadikan bahasa Inggeris sebagai pengantar dalam sistem pendidikan.
Semasa Malaysia mencapai kemerdekaan, Perlembagaan Persekutuan Perkara 152 menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara. Laporan Razak 1956 mencadangkan bahasa Melayu sebagai pengantar dalam sistem pendidikan negara.

Saturday, July 3, 2010

RAJA FIRAUN KAYA PENYAKIT



Imaginasi kita mungkin membayangkan raja Mesir purbakala itu sempurna fizikal, gagah dan memiliki wajah yang tampan.

Namun, gambaran itu sangat berbeza pada salah seorang firaun paling terkenal, Tutankhamun yang lebih dikenali dengan gelaran Raja Tut.

Itulah yang berjaya dibongkar oleh sekumpulan saintis baru-baru ini.
Berasaskan kajian asid deoksiribonukleik (DNA) dan imbasan tomografi berkomputer (CT) selama dua tahun, nyatalah imej remaja lelaki yang menawan pada artifak Raja Tut jauh berbeza daripada jasad sebenar yang tersemadi.

Raja Tut terpaksa berdiri menggunakan tongkat kerana kakinya bengkok manakala bibirnya didapati sumbing.

Penemuan 130 batang tongkat di tempat persemadiannya membuktikan masalah kakinya itu.

Kaki bengkok

Bahkan cerita dia mati dibunuh kerana terdapat lubang pada tengkoraknya adalah tidak tepat. Dia sebenarnya mati akibat penyakit malaria yang telah melumpuhkan sistem imunisasi tubuhnya.

Raja Tut mula popular selepas mumia berusia 3,300 tahun itu ditemui pada tahun 1922 dengan limpahan barang kemas dan artifak, termasuk topeng emas di sisinya.

Raja Tut menjadi firaun ketika berusia 10 tahun pada 1333 Sebelum Masihi dan hanya sempat memerintah selama sembilan tahun sebelum meninggal dunia pada usia 19 tahun.

Lebih memeranjatkan, saintis mendapati sebahagian penyakit yang dihidapi Raja Tut merupakan penyakit keturunan.

Bapanya, Akhenaten sumbing bibir manakala datuknya, Amenhotep III mempunyai kaki yang bengkok dan menghidap penyakit pemberhentian darah ke kaki iaitu Kohler.

Penyakit genetik lain seperti skoliosis dan tulang belakang melengkung turut ditemui pada mumia-mumia lain daripada Dinasti ke-18 firaun.

Kalau sudah namanya penyakit genetik, tidak mustahil jika keturunan firaun terdahulu juga kaya penyakit seperti mereka.

Ujian DNA ke atas ratusan mumia itu juga mendapati beberapa mumia mempunyai persamaan penyakit iaitu diserang parasit malaria.

Sejarahwan perubatan dari Universiti Michigan, Amerika Syarikat, Dr. Howard Markel berkata, sesetengah penyakit Raja Tut termasuk penyakit tulang terjadi akibat perkahwinan sumbang mahram.

"Kanak-kanak yang dilahirkan hasil perkahwinan sesama adik-beradik cenderung untuk menghadapi masalah genetik," lapor beliau dalam Journal of the American Medical Association (JAMA).

Sebenarnya, Raja Tut merupakan anak kepada firaun Akhenaten dengan adik kandung Akhenaten sendiri yang belum dikenal pasti. Wanita itu bukan isteri utama Akhenaten iaitu Permaisuri Nefertiti.

Sebelum ini juga terdapat spekulasi bahawa bapa Raja Tut ialah firaun Smenkhkare yang kurang dikenali.

Smenkhkare merupakan firaun yang memaksa seluruh rakyat Mesir menyembah tuhan matahari, Aten.

"Terdapat banyak kekeliruan tentang pewarisan takhta firaun dan mengetahui Tutankhamun merupakan pewaris langsung kini telah mengubah segalanya," kata Salina Ikram, seorang pakar mumia Universiti Amerika di Kaherah.

Mirip perempuan

Kajian terbaru itu turut mendedahkan bahawa dua janin yang bersemadi bersama Raja Tut mungkin merupakan anak-anaknya.

Ahli arkeologi Mesir, Zahi Hawass yang terlibat dalam kajian itu mengakui dia telah melakukan kesilapan selama ini apabila menentang ujian DNA dilakukan ke atas mumia-mumia.

"Saya tidak pernah terfikir yang kita akan memperoleh penemuan yang begitu hebat seperti ini," katanya.

Bagaimanapun, kajian tersebut menyangkal kenyataan sebelum ini yang mengatakan keluarga firaun mengalami penyakit pelik yang menyebabkannya berfizikal mirip perempuan.

Teori itu timbul daripada gaya artistik yang digambarkan pada patung-patung firaun yang mempunyai dada dan punggung yang menonjol serta wajah yang membujur.

"Nampaknya, Tutankhamun atau Akhenaten tidak mempunyai bentuk fizikal yang signifikan dengan teori itu," lapor saintis.

Projek DNA

Kini, pakar-pakar sedang berusaha untuk mengenal pasti siapakah adik Akhenaten yang merupakan ibu Raja Tut serta siapa pula isteri Raja Tut.

Projek DNA itu juga mahu mengenal pasti yang mana satukah mumia yang bernama Nefertiti, seorang permaisuri yang masyhur dengan kecantikannya.

"Belum terbongkar sepenuhnya, banyak lagi kajian yang perlu dilakukan," kata Hawass.
AHLI arkeologi Mesir terkenal, Zahi Hawass berpengalaman selama lebih dua dekad dalam bidang kajian cari gali, sejarah dan budaya Mesir. 

Pada masa ini, satu pameran firaun, Tutankhamun and the Golden Age of Pharaohs sedang berlangsung di San Francisco, California, Amerika Syarikat.

Di situ, mumia Raja Tut, mumia yang dipercayai ibunya dan neneknya, Permaisuri Tiye turut dipamerkan.
Dr. Howard Markel, sejarahwan perubatan dari Universiti Michigan berkata: "Walaupun penemuan itu akan mencacatkan kisah kehebatan Raja Tut selama ini, ia tidak akan mengubah gambaran orang ramai terhadapnya.

Friday, July 2, 2010

257,000 sijil kelahiran tanpa bapa

257,000 sijil kelahiran tanpa bapa

 

 

IPOH 1 Julai – Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah bertitah, negara sedang berdepan krisis moral yang membimbangkan apabila perangkaan menunjukkan 257,000 sijil kelahiran yang dikeluarkan dari tahun 2000 hingga Julai 2008 tidak mencatatkan nama bapa.
Titah baginda, berdasarkan perangkaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) itu, ini bermakna 2,500 anak luar nikah direkodkan setiap bulan atau purata 84 kes setiap hari.
Tambahnya, perangkaan dari 1999 hingga 2003 mencatatkan 70,430 anak luar nikah didaftarkan iaitu 30,978 beragama Islam, Hindu (18,085), Buddha (17,236) dan Kristian (3,395).
Baginda bertitah, anak luar nikah berketurunan Melayu meningkat daripada 16,100 pada tahun 2007 kepada 16,541 dalam tahun 2008 dan 17,303 pada 2009.
“Nyatalah masalah anak luar nikah makin meningkat. Lebih mendukacitakan, perlakuan meninggalkan bayi baru lahir termasuk di tepi-tepi jalan dan di dalam tong sampah semakin menjadi-jadi.
“Perangkaan Jabatan Kebajikan Masyarakat mencatatkan sejak tahun 2004, sebanyak 506 kes membuang bayi dengan jumlah terbesar sebanyak 102 kes pada tahun 2008,” titah baginda.
Baginda bertitah pada Persidangan Ke-172 Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP) di Kompleks Islam Darul Ridzuan di sini.

*****Makngah- apahal ini? Apa perasaan kita dengan berita ini walaupun kita telah dapat mengagaknya berdasarkan aktiviti songsang maksiat masyarakat kita pada hari ini. Menunding jari ke semua arah tidak menyelesaikan masalah. Apa yang terbaik ialah marilah kita sama-sama mencari jalan penyelesaian seikhlas mungkin jika kita masih sayangkan agama, bangsa dan negara ini.

Thursday, July 1, 2010

KULIAH SATU: ASAL USUL BAHASA MELAYU

1. Asal Usul Bahasa Melayu


Asal usul perkataan Melayu masih belum dapat disahkan oleh sejarawan.
Bagaimanapun terdapat beberapa bukti sejarah yang cuba mengaitkan asal-usul bahasa Melayu, seperti mana berikut:
1. Catatan orang China yang menyatakan bahawa sebuah kerajaan Mo-lo-yeu mempersembahkan hasil bumi kepada raja China sekitar 644-645 Masihi.
Dikatakan orang Mo-lo-yeu mengirimkan utusan ke negara China untuk mempersembahkan hasil-hasil bumi kepada raja China.
2. Ada yang mempercayai kerajaan Mo-lo-yeu berpusat di daerah Jambi, Sumatera , daripada sebatang sungai yang deras alirannya, iaitu Sungai Melayu.
3. Satu lagi catatan orang China ialah catatan rahib Buddha bernama I-Tsing yang menggunakan kata Ma-lo-yu tentang dua buah kerajaan yang dilawatinya sekitar 675 Masihi.
4. Dalam bahasa Jawa Kuno, perkataan ``Mlayu'' bermaksud berlari atau mengembara. Hal ini boleh dipadankan dengan orang Indo-Melayu (Austonesia) yang bergerak dari Yunan.

Asal Usul Bangsa Melayu

Dipercayai berasal daripada golongan Austronesia di Yunan.
Kumpulan pertama dikenali sebagai Melayu Proto.
Berpindah ke Asia Tenggara pada Zaman Batu Baru (2500 Sebelum Masihi)
Keturunannya Orang Asli di Semenanjung Malaysia, Dayak di Sarawak dan Batak di Sumatera.
Kumpulan kedua dikenali sebagai Melayu Deutro.
Berpindah ke Asia Tenggara pada Zaman Logam kira-kira 1500 Sebelum Masihi.
Mereka inilah yang menjadi keturunan orang Melayu di Malaysia.
Dikatakan lebih bijak dan dan mahir daripada Melayu Proto.
Bijak dalam bidang astronomi, pelayaran dan bercucuk tanam.
Bilangan mereka lebih banyak daripada Melayu Proto.
Menduduki kawasan pantai dan lembah di Asia Tenggara.
Orang ini, kumpulan pertama dan kedua, dikenali sebagai Austronesia.
Bahasa-bahasa yang terdapat di Nusantara sekarang berpunca daripada bahasa Austronesia ini.