Wednesday, July 21, 2010

MEMULIH APA YANG TIDAK KENA PADA KELUARGA MELAYU


Hampir tiga dekad lalu, Sasterawan Negara Allahyarham Usman Awang telah mengingatkan akan bahayanya pergaulan bebas dalam kalangan remaja. Impaknya amat besar. Sudahlah menconteng arang ke muka keluarga dan mencemarkan masyarakat sekitar, lebih daripada itu, 'menghalalkan' nyawa ditarik dengan cara yang begitu kejam.
Pertama, adakah jenayah buang bayi melibatkan semua kaum di negara ini? Diperhatikan, pelaku kes buang bayi sama seperti kes penagihan dadah dan pelbagai isu sosial lain majoritinya adalah kaum Melayu. Jadi, ada sesuatu "tidak kena" dalam institusi keluarga Melayu ini. Permasalahan inilah yang perlu dikenal pasti bagi mendapatkan 'rawatan' yang bersesuaian.
Berita terbaru juga ada memaparkan fakta bahawa golongan Melayulah yang paling ramai gemar melayari laman-laman web porno atau lucah. Pertanyaannya, apakah ertinya ini? Bukankah ertinya golongan Melayu sudah tidak kisahkan agamanya lagi? Malahan ada cerita tersebar di sebuah sekolah di Kelantan bahawa seorang guru agama (ustaz) dilihat oleh seorang guru bukan beragama Islam sedang melayari web porno ketika waktu pelajar sudah pulang dan ramai guru sudah beredar balik. Dia menggunakan internet dan komputer sekolah.
Institusi keluarga Melayu hari ini gagal membina akal budi, sahsiah dan jati diri golongan mudanya. Kekuatan dalaman golongan muda Melayu rapuh seperti biskut. Sebaliknya, majoriti ibu bapa Melayu hari ini begitu memanjakan anak-anak dengan material semata-mata.
Sudahlah pemantauan anak-anak kurang diberi penekanan dengan alasan popular sibuk dengan kerja. Diberi pula anak-anak dengan segala kemewahan dari segi wang poket dan paling ketara kini ialah telefon bimbit mahal siap dilengkapi aplikasi video dan internet.
Bagi tahap umur yang mahukan keseronokan dan tingginya rasa ingin mencuba, apakah yang lebih cenderung dibuat dengan kemudahan telefon bimbit mahal itu? Sudah tentu ke arah pornografi. Jadi, salah siapa apabila remaja belasan tahun ini bernafsu sekali gus terdorong untuk melakukan seks luar nikah? Tambahan lagi, harapkan pagar, pagar makan padi. Harapkan ibu bapa dan guru- guru, ibu bapa dan guru-guru juga kekadang menunjukkan teladan teruk.
Oleh itu, cadangan pendidikan reproduktif (nama lain bagi pendidikan seks?) bukan penyelesai mutlak kepada masalah salah laku seks dalam kalangan remaja yang membawa kepada implikasi antaranya ialah buang anak. Jenayah buang bayi datang daripada pergaulan bebas. Mereka sudah tidak diasuh dari kecil tentang bagaimana menghargai maruah diri sendiri, keluarga dan bangsa. Malahan pendidikan seks itu sendiri sudah lengkap dan diajar di dalam pendidikan agama Islam itu sendiri.
Mereka hanya 'disuap' dengan kemewahan dan keseronokan berbeza dengan kaum lain yang tegas menekankan kepentingan menuntut ilmu dan menghargai masa.
Berbeza dengan murid daripada kaum lain. Mereka juga bergaul tetapi tidak pula kelihatan berlebih-lebihan. Mereka berjalan lebih pantas daripada anak-anak Melayu. Tingkah laku dan cara berkomunikasi sesuai dengan tahap pelajar.
Itulah sebabnya ada sesuatu yang "tidak kena" dalam sistem kekeluargaan Melayu moden hari ini. Pelbagai faktor seperti pengaruh internet dan rakan sebaya dikatakan punca runtuhnya sahsiah anak-anak Melayu. Namun, menghantui fikiran kita semua ialah mengapa ramai anak Melayu "rosak", gemar bergaul bebas dan mudah benar alah dengan gaya hidup tampak mewah?
Adakah ibu bapa Melayu sudah tidak lagi menekankan nilai adab dalam pergaulan? Adakah Pendidikan Islam yang diajar di sekolah sejak dari sekolah rendah hanya untuk tujuan peperiksaan sahaja? Sama-samalah kita fikir-fikirkan dan bertindaklah sebelum nasi menjadi bubur.

2 comments:

  1. terdetik di hati ini sejenak..betapa takutnya untuk menghadapai masa depan..bagaimanakah anak bangsa kita..huhu..thanks cikgu share dis with me..

    ReplyDelete
  2. artikel yang menarik... bagaimana la keadaannya bangsa kita pada masa akan depan... apakah kata2 takkan melayu hilang di dunia akan menjadi sekadar sejarah? wallahualam

    ReplyDelete