Monday, July 19, 2010

BERCAKAP BENARLAH


Ada sesetengah orang, bercakap bohong sudah sebati dengan jiwa mereka. Sepanjang masa , setiap kali bercakap mesti ada yang diperbohongkan. Terdapat banyak sebab mengapa sesorang itu suka berbohong. Antaranya mereka tidak tahu apa kesannya kepada hati yang suka berbohong. Sekiranya seseorang itu suka berbohong, hatinya akan timbul perasaan was-was dan sentiasa dalam keraguan. Hal ini sudah tentu memberi kesan buruk kepada diri kita sendiri.

Bagi anak-anak kecil pula, jika ibu bapa membiarkan mereka terus bercakap bohong, kesannya apabila dewasa nanti anak-anak itu akan terdorong untuk berbuat kemungkaran yang lebih dahsyat kerana merasa diri hebat. Diri hebat kerana berjaya melepaskan diri daripada terjerat dengan pembohongan yang telah dilakukan. Bayangkan apa akan jadi jika anak-anak itu seorang yang bijak dan pintar berkata-kata pula. Pasti tunggang terbalik jadinya masyarakat kita kerana pembohongan mereka.

Pantun lama ada menyebut;

Siakap, senohong, gelama, ikan duri,
Bercakap bohong lama-lama mencuri.

Orang-orang bijak pandai juga ada mengatakan bahawa segala kejahatan itu berpunca daripada satu pembohongan.

Oleh kerana itu, janganlah kita bercakap bohong. Cubalah belajar bercakap benar. Antara kaedah untuk bercakap benar ialah dengan mengurangkan bercakap. Bercakap apa yang penting sahaja. Sekiranya masih ada lagi percakapan bohong, kita hendaklah segera menginsafinya. Pastikan kita berazam cuba untuk menjadi insan yang bercakap benar. Hal ini amat bermakna jika kita berniat untuk berubah daripada terus bercakap bohong.

No comments:

Post a Comment