Tuesday, June 28, 2011

Ish Ish Ish.......Dah Buang Iman Ke Kita Ni?????

Bila Melayu bergaduh, titik permulaan kehancuran negara

KUCHING 27 Jun - Perhimpunan haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) pada 9 Julai ini jika diteruskan dikhuatiri menjadi medan perpecahan sesama orang Melayu yang terbesar dalam sejarah negara.

Presiden Parti Bersatu India Malaysia (MIUP), Datuk S. Nallakaruppan (gambar) berkata, lebih malang bagi orang Melayu ialah gelombang perpecahan itu berpunca daripada usaha memenuhi cita-cita politik Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang belum kesampaian.

Katanya, paling dibimbangi beliau ialah fakta sejarah yang telah membuktikan bahawa di mana-mana negara sekalipun, apabila kaum majoritinya bergaduh antara satu sama lain, ia akan menjadi titik permulaan kepada kehancuran sesebuah negara.

"Ahli Pas, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dan Pergerakan Pemuda UMNO majoritinya orang Melayu, ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga ramai Melayu.

"Apabila mereka bertembung di jalanan, saya cukup risau kerana saya percaya bahawa perpaduan orang Melayu adalah kunci kepada perpaduan nasional," katanya yang menghubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Selain penyokong Bersih, turut dijadualkan berhimpun di ibu negara pada hari berkenaan ialah ahli Perkasa bagi menunjukkan protes kepada perhimpunan itu, selain ahli Pemuda UMNO yang mahu menyatakan sokongan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Mengulas lanjut, Nallakaruppan berkata, beliau tidak menolak kemungkinan apabila perpecahan orang Melayu semakin kritikal, ia akan mendorong kepada perpecahan antara kaum lain.

Katanya, selama ini dunia melihat Malaysia sebagai contoh sebuah negara yang unik kerana rakyat berbilang kaum boleh menjalani kehidupan secara harmoni.

"Saya harap orang Melayu tidak salah anggap teguran ini kerana ia dibuat atas kapasiti warganegara yang prihatin.

"Cukup-cukuplah orang Melayu bersengketa atas faktor Anwar kerana hasilnya ialah kebinasaan malah saya sendiri pernah dipenjara kerana memperjuangkan individu ini," tegasnya.

Sewaktu ditanya bukankah perpecahan orang Melayu di atas faktor politik bukan perkara yang baru, Nallakaruppan mengakui ia pernah berlaku sebelum ini namun tidak kritikal.

"Dulu pun memang ada, UMNO lawan Pas dan Semangat 46 tetapi tatacaranya lain, mereka bertarung sebagai lelaki budiman dalam pilihan raya.

"Tetapi bermula 1998, senarionya berubah dengan permainan Anwar yang membawa rakyat ke jalanan, ini bukan kaedah yang bertamadun dan yang paling saya musykil ialah Pas sebagai parti Islam juga sudah terikut cara kotor ini," katanya.

SAMPAI ORANG KITA SUDAH TIDAK DAPAT MEMBEZAKAN ANTARA YANG MA'RUF DENGAN YANG MUNGKAR??

Saturday, June 25, 2011

Akhir Zaman Muncul Pelbagai Penyakit Tidak Terdugakan

23 Jun anak buah Makngah, Arif Amirul Safuan dibenarkan keluar dari wad hospital KB setelah hampir 10 hari ditahan di situ. Sebelum ditahan di wad, sudah dua kali Amirul dibawa ke hospital dan klinik apabila mengalami kesakitan yang teruk di perutnya. Sakit perutnya menyebabkan hampir seminggu dia tidak dapat makan kerana terus termuntah dan tidak dapat tidur sepicingpun. Walaupun diberi ubat tahan sakit, tetapi tidak berkesan langsung kepadanya. Apa yang menghairankan, doktor mengatakan dia tiada penyakit kerana doktor tidak dapat mengesan apa punca kesakitannya. Pemeriksaan biasa tekanan darah, kandungan darah, kandungan gula dll tidak menunjukkan sebarang keralatan, hai...........susah juga.
Amirul sebelum sakit berdiri kanan

Dalam pada itu, ada pendapat mencadangkan dibuat pemeriksaan secara tradisional. Hal ini kerana kebiasaannya jika kita mendapat sakit teruk tetapi pemeriksaan doktornya tiada tanda-tanda sakit, maka itulah tanda terkena sihir atau 'buatan orang'. Maka seorang bomoh diminta membantu mengesannya. Jawapan bomoh itu "memang ada....." hai hai..... parah sudah jadinya...apahal pula budak lelaki sebesar tingkatan lima seperti Amirul itu hendak disihirkan?." Tersembat" kata bomoh itu.

Dalam masa sedang 'dipisahkan' oleh tok bomoh itu, sakit Amirul tiada redanya. Malahan tidak tertanggungkan sehingga dia sendiri meminta dibawa ke hospital walaupun cuba ditangguhkan oleh mamanya untuk melihat hasil usaha tok bomoh yang disuruh. Akhirnya Amirul dibawa ke hospital KB. Dalam keadaan dia mengerang sakit, pihak hospital segera menjalankan pemeriksaan sekali lagi termasuk x-ray. Hasilnya, di bahagian kiri perutnya terdapat imbasan setompok warna gelap yang menunjukkan ada masalah di bahagian ususnya dan menurut doktor perlu segera dibedah untuk membuangnya. Makngah cuba mendapat penjelasan daripada doktor pakar di situ tentang apa sebenarnya penyakit Amirul tetapi gagal dijelaskan kerana lain daripada biasa; ia bukan gastrik atau apendik yang biasa dihidapi. Keadaan itu menyebabkan berlaku sedikit perbahasan kerana pihak mama Amirul mahu meminta tangguh sehingga pagi esok untuk merujuk kepada saudara mara dahulu, sedangkan abahnya sudah menanda tangan setuju dibedah malam itu juga.

Kami kena lebih berhati-hati iaitu tidak boleh tergesa-gesa kerana pengalaman 25 tahun dahulu tidak mahu berulang. Peristiwa itu menyebabkan abang kepada Amirul kehilangan mata sebelah kirinya akibat membuat keputusan tanpa berfikir panjang. Jika berfikir lebih panjang dan tidak mengira saranan hanya seorang doktor biasa (bukannya pakar) tentu mata Peja masih kelihatan biasa sekadar tidak nampak jelas sahaja berbanding kini yang berlubang terus.

Setelah puas mendengar penjelasan (lebih kepada bebelan kerana marahkan kami) daripada doktor serta saudara mara yang lebih tahu, maka petang esoknya Amirul selamat menjalani pembedahan selama 3 jam. Doktor yang bertugas keluar membawa usus Amirul yang dipotong untuk dilihat oleh ahli keluarga. Menurut doktor itu, itulah pertama kali dia menghadapi pembedahan usus yang sedemikian. Bermakna penyakit usus seperti yang dihadapi Amirul itu amat jarang berlaku. Apa puncanya? Menurut doktor pakar tersebut, ia berpunca daripada usus Amirul 'terlalu panjang' menyebabkan ia mudah berbelit dan berlakulah sekatan kepada makanan minuman yang masuk. Apabila tersekat maka ia telah memburuk di situ lalu menghalang semua aktiviti usus yang biasa. Itulah yang menyebabkan dia selalu mengalami sakit perut yang tidak diketahui puncanya. Puncaknya, apa yang masuk akan dimuntah semula. Menurut doktor lagi jika lambat dibedah dan dibuang yang sedang membusuk itu, maka semua bahagian usus akan mengalami masalah parah.
Dalam fikiran Makngah ketika itu .."Maha Besarnya Allah mencipta sesuatu tanpa terdugakan kita".

Amirul sedang dilayan mamanya
Apa yang kurang enak didengar daripada pihak doktor ialah 'tiada jaminan usus Amirul untuk tidak berbelit lagi kerana tali ususnya masih panjang........'. Amacam Rul??? Mahu berlasak lagi? 20 jam atas motor kapcai tu?
Sepupu Rul berdiri di lif wad semasa menziarah

Alhamdulillah........Arif Amirul Safuan Abdul Ghani selamat menjalani pembedahan dan kini sedang berehat di rumah. Apabila sembuh nanti, Makngah harap ulangkajilah sendiri semua pelajaran yang tertinggal kerana SPM 2011 mu sudah semakin hampir. Selamat berjaya Rul...............

Thursday, June 23, 2011

Kelab Program Usahawan Muda Penjana Minda Usahawan Pelajar

Alhamdulillah....buat tahun ketiganya (2009,2010 dan 2011) sekolah Makngah dinobatkan sebagai Anugerah Syarikat PUM Terbaik Negeri Kelantan beserta Anugerah Pengarah Urusan Terbaik. Segala penat lelah selama setahun rasa berbaloi dengan kegembiraan di hati para pelajar ahli kelab, pemegang saham syarikat, guru-guru, ibu bapa dan pentadbir sekolah.

Kejayaan pertama pada tahun 2009 amat manis kerana berjaya mengalahkan SMKA Falahiah yang tahun sebelumnya menjadi juara negeri. Terasa amat manis kerana SMKA Falahiah sebuah sekolah yang hebat di daerah Tumpat kerana pelajar-pelajarnya terpilih sebagai sebuah sekolah agama kawalan kementerian pelajaran. Amat berbeza berbanding dengan sekolah Makngah yang hanya merupakan sebuah sekolah menengah harian biasa. Walaupun kalah di peringkat nasional, namun sebagai penyertaan pertama, ia tidak melukakan.

Tahun 2010 kegembiraan bertambah kerana berjaya mempertahankan kejuaraan negeri. Malahan menjadi rekod negeri Kelantan kerana Anugerah Pengarah Urusan Terbaik diraih oleh pelajar yang sama iaitu Mohd Alief Azrai bin Mohd Zain. Tahniah Alief. Namun begitu, kelukaan mula terasa di hati kami di peringkat nasional 2010 kerana sedikit sahaja kesilapan atas dasar tiada makluman, maka ranking 3 teratas dibatalkan.....bayangkan betapa hancurnya hati kami.

Alief yang kacak

2011 pelajar-pelajar ahli kelab masih bersemangat waja. Buku laporan aktiviti syarikat kelab sepanjang 2010 dibuat sebaik mungkin dan berjaya dihantar ke PKINK selaku urussetia negeri pada awal April.

Pada 18 - 20 Jun 2011 berlangsunglah Konvensyen PUM Negeri Kelantan bertempat di Perdana Resort, PCB. Pada pagi 20 Jun dalam majlis penyampaian keputusan, nama SMKWB disebut  sebanyak lima kali oleh pengacara majlis iaitu Encik Wan Azizan.

1.Saguhati Sukaneka Konvensyen.
2.Anugerah Pertandingan Catur Bestari tempat ketiga-M.Mansur Awang ,
3.Anugerah Pertandingan Catur Bestari tempat kedua /Naib Johan -Nurul Fatini Mohd Nor 
4.Anugerah Pengarah Urusan Terbaik disandang oleh Hasmiyuhaifikal bin Yusof
5.Anugerah Johan Syarikat PUM Terbaik - Syarikat Tijari 2 Sdn Bhd.

Ketua Perwira Kami


Jurukamera kami iaitu Ain Nadhirah yang sedang membuat fokus gambar hampir terjatuh kameranya kerana terlalu gembira atas kehebatan PUM SMKWB mempertahankan kejuaraan sebanyak 3 tahun berturut-turut. Sudah menjadi adat bertanding, suara-suara tidak puas hati pasti akan kedengaran, tetapi semuanya tidak menjadi kudis kepada kami. Apa yang penting minda keusahawanan berjaya diterapkan di dalam diri para pelajar ahli kelab. Buktinya, Siti Nazirah dan Nurul Nisha anak saudaranya yang merupakan bekas ahli PUM masih bersemangat berniaga dan datang membantu membuat jualan kek cawan. Mereka berdua juga pernah membuat persembahan syarikat di dalam konvensyen negeri dan nasional.


Cabaran peringkat nasional masih menanti. Maka kerja buat kami masih belum berakhir selagi belum mencipta nama di peringkat nasional. Bantulah kami demi nama baik negeri kita Kelantan..............

Tuesday, June 14, 2011

Peniaga di Beijing Macam Tembok Besar China

Lima hari di Beijing dan Tianjin memberi banyak pengalaman kepada Makngah dan rakan-rakan sependerak. Kami dapat mengenali satu bangsa unik yang suatu ketika dahulu ramai bertebaran ke merata dunia mencari kehidupan termasuk di negara kita Malaysia ini. Komuniti mereka makin membesar di Malaysia setelah bergelar warganegara Malaysia.

Mengenali sejarah kehidupan rakyat China yang diperintah oleh Parti Komunis China dalam dekad Mao Tse Tung amat berbeza dengan kehidupan rakyat China bermula tahun 80-an. Ketika itu pakaian mereka macam uniform kerana semuanya serupa, rakyat bekerja untuk negara dan negara menyediakan semua keperluan hidup untuk rakyat secukup hidup. Bagi mengekang pertumbuhan penduduk, pemerintah menghadkan seorang anak sahaja untuk sepasang suami isteri dan ia berlangsung hingga hari ini.

Kini mereka hidup gaya moden dan sedang cuba menguasai ekonomi dunia dalam bidang pembuatan menyaingi Jepun yang lebih awal mendahului negara anak-anak keturunan 'naga' itu. Pada hari ini Medan Tianamen yang terpampang gambar besar Mao Tse Tung menjadi tempat kunjungan ramai pelancong.






Selain matlamat utama melihat Tembok Besar China (TBC) atau Great Wall, Makngah juga berhasrat membeli belah. Hasrat itu tersemat kerana momokan ramai yang pernah ke sana tentang banyaknya pilihan barangan keluaran China walaupun mutunya agak kurang. Hal itu memang diakui sendiri oleh pemandu pelancong kami bernama Sandy yang mendakwa barangan elektrik buatan China 'kurang kualitasnya' dalam telor bahasa Indonesia yang digunakannya. Malahan menurut beliau, kereta buatan China kurang dibeli oleh penduduk China sendiri.

Namun hasrat itu terbantut apabila melihat gelagat dan tektik peniaga China berniaga. Harga tidak diletak pada barangan jualan mereka. Apabila ditanya mereka menyebut harga yang amat tidak munasabah untuk sesuatu barang dengan menggunakan kakulator. Apabila kita tidak bersetuju, mereka menyuruh kita meletak harga kita. Apabila kita meletak harga dengan kadar yang agak patut dengan kita, mereka memarahi kita dan Makngah sendiri mendapat jerkahan 'crazy' kerana harga yang Makngah minta tidak disukai mereka. Sikap mereka juga ramai yang biadap dan merampas barang dari tangan kita dengan kasar jika mereka tidak suka. Bebelan mereka berbakul dalam bahasa China.

Ramai yang terkena dengan harga mahal kerana malas berbalah pasal harga. Ada juga yang terbeli barang yang amat rendah mutunya dengan harga mahal tetapi didakwa berkualiti oleh peniaga itu. Jika di India tahun lepas Makngah namakan "belitan India". Di China ini pula bolehlah diumpamakan sikap peniaganya "berbelit-belit macam TBC". Seorang rakan Makngah membeli beg tangan dengan harga RM90.00 kerana didakwa dibuat daripada kulit yang bagus. Dalam perjalanan pulang dari kedai lagi beg itu sudah menggelupas kerana dibuat daripada salutan kulit pvc kualiti rendah yang amat nipis....kesian ustazah kita....heheheh. Harga patut untuk beg itu hanya RM15.00 sahaja.

Mungkin kerana musim cuti sekolah dan tawaran tambang murah Air Asia, maka ramai sungguh orang Malaysia melancong ke sini. Di dalam pesawat lagi Makngah sudah nampak keramaian warga kita itu. Kami berjumpa di banyak lokasi dengan mereka ini termasuk di restoran, kawasan pelancongan dan kedai. Kami sempat bergambar dengan artis Salleh Yaacob yang juga melancong ke sini bersama 4 orang isteri dan anak-anaknya. Kami mengambil kesempatan bergambar bersama.




Ketika di Summer Palace, Makngah begitu terkejut dan takjub melihat batang pokok yang berada di satu kawasan istana itu yang mempunyai corak celoreng seperti uniform askar. Ada yang tidak percaya dan menyangka ia sengaja ditoreh atau dicorakkan. Jika dicorakkan, takkan semua pokok di situ daripada pokok kecil hingga besar dan daripada umbi hingga hujung ranting berkeadaan sama. Semuanya itu ciptaan Allah SWT.



Lihatlah bukti kebesaran-Nya

Satu perkara lagi yang perlu disebut ialah bandaraya Beijing sebagai sebuah kota yang terbesar di China tidak mempunyai kumpulan anak-anak jalanan atau terbiar. Hal ini disebabkan oleh setiap pasangan hanya mempunyai seorang anak maka anak tersebut ditatang sebaik mungkin. Makngah tak nampakpun kelibat anak-anak muda berfoya-foya samada di jalanan atau di pusat-pusat membeli belah. Itulah perbezaan yang jelas antara Beijing atau Tianjin dengan kota-kota lain di dunia.

Apa-apapun..............Malaysia jua yang terbaiiiiikkkkkkkkkkkkkk...............

Wednesday, June 1, 2011

Majlis Perkahwinan Abu Anip

Makngah baru balik dari menghadiri majlis perkahwinan anak saudara lelaki yang mendapat pasangan dengan gadis Merlimau Melaka. Perkahwinan Abu Hanif anak saudara Makngah itu dikira istimewa kerana dia cucu pertama Mek yang berkahwin daripada 40 orang cucu.

Apa yang Makngah ingin perkatakan ialah Anip anak sulung dan pasangannya anak bongsu dalam keluarga. Ngam bebenor nampaknya mereka. Majlis perkahwinan di Merlimau dikira meriah dengan adat perkahwinan orang Parit Perawas. Walau bagaimanapun mereka telah banyak mentiadakan acara-acara yang dikira tidak islamik kerana menghormati permintaan keluarga Anip yang amat mementingkan cara hidup Islam. Yang diadakan hanya setakat bersanding untuk bergambar sahaja. Renjis merenjis dan banyak lagi ditiadakan.

Majlis menyambut menantu di Wakaf Bharu akan diadakan pada 4 Jun nanti. Semoga majlis bekwoh Anip berjalan lancar dan selamat datang ke Wakaf Bharu kepada orang Parit Perawas, Merlimau terutama kepada pengantin perempuannya kerana Lin tidak pernah menjejakkan kakinya ke Kelantan. Jangan terkejut kerana majlis kami biasa-biasa aja. Yang penting akad nikah dan kalian hidup bahagia membina keluarga cara hidup Islam. Terimalah kami sebagai anggota keluarga seadanya.

SELAMAT PENGANTIN BARU KEPADA ANIP DAN LIN