Friday, January 18, 2013

Hak BM Masih Diperlekeh

Malaysia destinasi paling mesra


LOKASI Jalan Bukit Bintang di bandar raya Kuala Lumpur merupakan satu daripada tumpuan pelancong asing yang berkunjung ke Malaysia. - GAMBAR HIASAN
SINGAPURA 16 Jan. - Malaysia dipilih sebagai destinasi percutian paling mesra di dunia bagi penganut Islam, mengatasi Mesir, Turki, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi dan Singapura, menurut satu tinjauan.
Tinjauan tersebut turut menyenaraikan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Lapangan Terbang Suvarnabhumi, Thailand sebagai lapangan terbang yang mesra pelancong Islam.
Tinjauan oleh perunding percutian Crescentrating itu membuat pemilihan berdasarkan bagaimana sesebuah negara tersebut mampu menampung pertambahan pelancong Islam dalam memenuhi beberapa kriteria termasuk tahap keselamatan dalam negara, penyediaan makanan halal, kemudahan mengerjakan solat dan memenuhi keperluan yang berkaitan dengan pelancong Islam.
Malaysia mendapat 8.3 mata daripada 10 mata penuh, antara 50 buah negara yang disenaraikan.
Mesir berada di tempat kedua dengan 6.7 mata, diikuti UAE dan Turki yang berkongsi 6.6 mata, Arab Saudi 6.4 mata dan Singapura 6.3 mata.
Indonesia, Maghribi dan Jordan turut berkongsi 6.1 mata untuk berada di tangga keenam, diikuti Brunei, Qatar, Tunisia dan Oman di tangga ketujuh dengan 6.0 mata.
Ketua Eksekutif Crescentrating, Fazal Bahardeen berkata, Malaysia merupakan antara negara yang mudah bagi pelancong Islam menunaikan solat tidak kira di mana mereka berada, termasuk di kompleks membeli-belah dan juga di lapangan terbang.
"Malaysia juga berbeza dengan Indonesia yang tidak memberi penekanan kepada penyediaan makanan halal, walaupun ia merupakan negara yang mempunyai paling ramai penganut Islam di dunia," katanya.
Daripada segi destinasi membeli-belah pula, Dubai mengatasi Kuala Lumpur sebagai destinasi tumpuan bagi penganut Islam, diikuti Istanbul, Jeddah, Kaherah, Abu Dhabi, New Delhi, London dan Doha. - AFP

Membaca berita di atas, Makngah mengakuinya kerana setelah berjalan ke beberapa buah negara di dunia ini, hal kelebihan di negara sendiri ini memang terserlah. Namun satu sahaja yang amat mendukacitakan Makngah termasuk orang lain yang mencintai bahasa ibunda kita ini iaitu penggunaan bahasa ibunda amat diperlekehkan.

 Jika kita berada di negara lain, hanya bahasa mereka sahaja yang digunakan. Malahan bahasa Inggeris yang dianggap bahasa dunia itupun amat minima penggunaannya hatta di tempat-tempat pelancongan mereka. Sedangkan kita di Malaysia ini semua bahasa hendak ditonjolkan, jadi mana hak eksklusif  kepada bahasa Melayu sebagaimana yang termaktub di dalam Pelrlembagaan Negara Malaysia?

Paling mengecewakan ialah syarikat penerbangan Air Asia yang dimiliki oleh rakyat Malaysia dan  terbang ke seluruh dunia tidak langsung mengiktiraf bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara. Di dalam pesawat bahasa lain yang didahului ketika membuat pengumuman walaupun kebanyakan penumpangnya orang Malaysia. Hal ini cukup menyedihkan. Menteri Kebudayaan malahan Perdana Menteri Malaysia sendiri tolonglah prihatin akan hal ini.

Terasa sangat memalukan kerana Air Asia kelihatan macam dimiliki oleh warga asing yang tidak mempunyai identiti atau kecelaruan identiti ditambah lagi dengan pakaian peramugarinya yang sudahlah berwarna merah darah, ketat dan sendat pula. Pergerakan mereka ketika bertugas juga kelihatan menyusahkan dengan berpakaian sedemikian. Pakaian peramugaranya pula boleh dikira bagus kerana berkot dan seluar hitam.