Monday, February 4, 2013

Indah dan Sejuknya Berguling di Guilin dalam Hujan - Siri 1



بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang


Alhamdulillah, selepas berada di Seoul, Korea pada awal November 2012 pada musim luruh, kini 10 - 14 Januari 2013 'gu derak' Makngah ke Guilin, Guangsi, China pada musim sejuk pula. Kali ini gu kami tinggal 25 orang sahaja kerana lima orang lagi menarik diri sebab pelbagai urusan dan hal yang tidak dapat dielakkan. Maklumlah tahun 2013 masih awalkan. Rombongan Cik Nik Dah dah buat hal......haha.

Pertengahan 2011 Makngah ke Beijing ibu negara China yang rakyatnya berjumlah lebih kurang 1300 juta nyawa itu. Keluasan negaranya pula 3.7 juta kaki persegi (9.6 juta kilometer) merupakan negara yang ketiga terluas di dunia, Inilah kali kedua Makngah menjejakkan kaki ke Tiongkok ke sebuah wilayah autonomi negara China. Guangxi merupakan salah sebuah daripada lima buah wilayah yang diberi taraf autonomi selain Monggolia Dalam, Ningxia, Tibet dan Xinjiang Uyghur.

Penerbangan selama tiga jam setengah daripada LCCT tidak memenatkan kerana pagi masih awal. Pesawat mendarat di Lapangan Terbang Guilin jam 10.45 pagi Khamis 10 Januari 2013. Insiden kecil berlaku ketika dalam pesawat tadi, nama Makngah tercicir daripada senarai "prebook" Nasi Lemak Pak Naser". Nik Dah punya kerjalah ni..................... . Takpa, mujur ada Nasi Ayam Uncle Chin yang masih boleh dibeli. Makngah dapat seat di bahagian agak ke hadapan maka masih ada baki yang boleh dibeli. Biasanya kalau penumpang di belakang, jangan haraplah. Air Asia tidak menyediakan banyak jualan makanan berat untuk penumpang. Takut rugilah tu kalau tak dibeli.

Keluar je daripada kawasan pemeriksaan imigresen dan kastam, Andy pemandu kami sudah siap menunggu. Cuaca sejuk usah ceritalah. Kami sudah bersedia dengan jaket, baju sejuk dan sarung tangan.
Mangga nama agen kami, lihat ejaan 'trvel' dia hihi
Pemandangan bergunung-ganang sudah kelihatan
Sesi berguling dengan debu di Guilin dah nampak dah.
Satu jam setengah di dalam bas kami dibawa Andy ke sebuah restoran halal di Jalan Chongshan / Chongshan Lu. Di dalam restoran itu ramai pengunjung tempatan sedang menjamu selera. kebanyakan mereka makan mi yang dihidang panas-panas. Mereka hanya makan hingga habis dan terus keluar tanpa minum. Berbeza dengan kita di Malaysia, setiap kali makan mesti ada air minuman manis yang pelbagai rasa. Sebenarnya tidak terus minum air selepas makan itulah yang diajar oleh Nabi kita, namun kita tidak mengamalkannya. Kami  makan mi wantan. Terpaksa menunggu lama kerana bersaing dengan pengunjung tempatan.
Mi sup yang 'lecah leweh' pada tekak Makngah
"Rumah Orang Islam" terpampang di dinding restoran
Anda berani makan 'benda' ini?????
Terbaiknya tempat solat hanya terletak di belakang restoran itu sahaja. Ia berupa sebuah masjid lama yang agak menarik binaannya. Makngah rasa macam nak pengsan kerana kesejukan ketika berwuduk dengan air dingin di situ. Kakipun macam terluka kerana tidak berselipar.

Ruang solat belum dibuka...tunggu
Jadual waktu solat di Masjid Guilin
Pintu depan Masjid Guilin
Selepas solat Andy membawa kami ke Taman Awam Bandar Guilin yang terletak tidak jauh daripada masjid dan restoran itu. Kami hanya berjalan kaki. Jambatan pelbagai bentuk dibina merentasi tasik itu berasaskan seni bina Eropah.
Selesai mengambil gambar-gambar di situ, kami menaiki bas untuk ke tempat lawatan wajib iaitu kilang teh bernama "Dr.Tea". Makngah dah rasa malas kerana sudah dapat membayangkan bentuk acaranya nanti. Kena dengar celoteh pekerjanya tentang teh Cina yang berbelas jenis, warna, rasa dan khasiatnya itu. Penerangannya dalam bahasa Inggeris yang amat lemah bercampur dengan bahasa ibunda. Menariknya ia tetap bersungguh-sungguh ingin menyampaikannya dengan bantuan aksi badan dan tangan. Apa yang lucu, antara kami yang buat-buat faham pula cuba menterjemahkan apa yang dimaksudkan. Paling tak selesa ialah harganya yang beratus-ratus mencekik pelancong......nasib ko le labu, Makngah sekadar ambil hati je berada di situ sambil men'snap' gambar.

Amoi ini tekun membancuh teh
Cuba cuba........
Jam empat petang kami keluar daripada Dr.Tea untuk daftar masuk Hotel Starway lebih kurang jam 4.15 petang.  Selepas solat jamak dan qosar Zohor Asar, jam 5 petang kami berkumpul semula di lobi hotel untuk makan malam dan terus ke restoran.
Makan malam kami dengan masakan ala Malaysia (dimasak chef berasal dari Malaysia)
Selepas makan malam kami terus dibawa ke bangunan teater bertajuk 'Dream Like Lijiang' . Ia merupakan satu persembahan ala akrobatik atau 'new ballet circus'. Kami tak faham apapun cerita dia. Namun gerak tari akrobatik mereka amat memukau dan begitu profesional.



9 malam teaterpun selesai. Kami segera berkumpul di bas dan bergerak ke hotel. Badanpun dah terhoyong-hayang kepenatan. Semasa menonton tadipun ramai yang terlentok di penyandar kerusi. Siapa yang tertidur rugi sebenarnya.
Bandar Guilin pada waktu malam
(
Sampai di dalam bangunan hotel, ingatkan akan dapat hawa panas macam di Seoul hari itu, rupa-rupanya tidak. Malahan di dalam bilikpun sejuk membeku. Ribut Makngah mencari butang pemanas tetapi tak ada. Lantai dipijak dingin bagai dihiris sembilu. Hanya penghawa dingin dengan 32 darjah sahaja sedikit membantu. Tidur bergulinglah kami di dalam timbunan kain, berjaket, stokin, sarung tangan dan seluar jeans lengkap macam mahu berkerpergian.........hiiiii seksa.