Friday, June 25, 2010

PANDANGAN BERNAS YANG PERLU DIBERI PERHATIAN



UPSR dan PMR Penghalang Kegiatan Kokurikulum?

1. Cadangan Kementerian Pelajaran untuk menghapuskan peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) harus diteliti dengan mendalam sebelum dilaksanakan. Fahami dahulu keperluan peperiksaan ini dan teliti apa kelemahan sistem pendidikan sedia ada sebelum membuat perubahan besar ini.  --jangan kerana desakan sebahagian orang berkepentingan sahaja
2. Tujuan sistem peperiksaan kebangsaan adalah untuk mewujudkan satu keadaan yang memastikan para pelajar memberi tumpuan kepada sukatan pelajaran yang disediakan dan guru-guru pula tidak mengabaikan tugas mereka.
3.Beberapa peringkat peperiksaan seperti UPSR, PMR, SPM dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) membolehkan ujian tersebut dilakukan secara berperingkat dan tidak membebankan pelajar untuk dinilai sepanjang 11 tahun di peringkat persekolahan dengan satu peperiksaan sahaja. Kewujudan sistem peperiksaan di peringkat UPSR dan PMR juga membolehkan ibu bapa, guru dan kerajaan menilai keberkesanan sistem pendidikan dari semasa ke semasa dan mencari jalan membantu pelajar yang lemah.
4. Penghapusan kedua-dua peperiksaan ini akan menyebabkan tiada mekanisme kawalan dan dorongan memastikan para pelajar menguasai ilmu pengetahuan yang diajar kepada mereka. Dalam keadaan kewujudan sistem peperiksaan pun ramai pelajar yang ketinggalan kerana mengambil sikap sambil lewa dan tidak peduli, maka bayangkanlah kalau UPSR dan PMR dihapuskan. --bayang 10 tahun dibangku sekolah tidak ada satupun sistem ujian yang pelajar hadapi bagi membuktikan kebolehan dan kemahiran mereka, agak-agak apalah yang pelajar dan guru-guru akan berbuat setiap hari di sekolah?
5. Kewujudan kedua-dua sistem peperiksaan ini mendorong pelajar berusaha menguasai ilmu yang diajar dan membolehkan kementerian mengawal selia keberkesanan sistem pembelajaran di sekolah di peringkat awal lagi. Jika dihapuskan, ibu bapa dan kerajaan sendiri tidak akan mengetahui tahap pengetahuan para pelajar di sekolah sehinggalah mereka mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
6. Dalam jangka masa panjang ia boleh menjadi bom jangka apabila kita mendapati para pelajar yang lulus dari sekolah menengah mempunyai pengetahuan yang sangat terhad dan tidak menguasai dengan baik ilmu yang sepatutnya mereka kuasai untuk persaingan dunia dewasa mereka.
7. Pada hemat saya, masalah yang berlaku sekarang bukan kerana kewujudan peperiksaan. Sebaliknya, sikap dan polisi kementerian pelajaran yang sejak dahulu hanya menumpukan kepada pelajar yang mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang menyebabkan ibu bapa dan guru hanya memberi fokus kepada peperiksaan. --dakwaan ini memang ada buktinya yang jelas lagi nyata.
8. Misalnya semua sekolah berasrama penuh menawarkan tempat kepada pelajar yang cemerlang tetapi tidak ada sekolah khusus yang diadakan untuk membantu murid yang lemah. Sepatutnya, pelajar-pelajar yang lemah dan gagal dalam peperiksaan ini dihantar ke sekolah berasrama bagi tujuan membantu mereka semula. Peperiksaan tidak salah, sebaliknya sikap kita yang memberi tumpuan kepada pelajar cemerlang semata menyebabkan mereka yang gagal dalam peperiksaan tercicir dan sebahagiannya menimbulkan masalah sosial kepada negara.
9. Dahulu kita wujudkan sistem pendidikan vokasional untuk mengambil pelajar yang lemah dalam bidang akademik bagi memasuki bidang kemahiran namun, akhirnya kemasukan ke sekolah vokasional juga sudah mengambil kira keputusan peperiksaan yang baik.
10. Selain itu, Kementerian perlu menjelaskan apa masalah dengan sistem peperiksaan kebangsaan sedia ada? Antara yang dapat kita fahami ialah terdapat pandangan bahawa pendidikan berorientasikan peperiksaan menyekat kreativiti dan pembangunan sahsiah anak-anak. Ibu bapa terlalu menekan dan memfokuskan usaha membantu anak-anak mendapat keputusan cemerlang sehingga mengabaikan kegiatan-kegiatan lain seperti sukan, seni dan proses sosialisasi anak-anak.--masih ramai guru dan ibu bapa yang bersikap mengabaikan kegiatan kokurikulum ini yang sememangnya berpunca daripada sikap kementerian juga.
11. Masalah dengan aktiviti ko-kurikulum terbahagi kepada dua iaitu prasarana dan polisi kementerian.
12. Dari segi prasarana atau kemudahan Kementerian perlu melihat masalah infrastruktur dan guru. Kebanyakan sekolah di bandar tidak mempunyai padang yang mencukupi untuk kegiatan sukan. Habis padang dibina bangunan tambahan sekolah. Nisbah guru dan murid serta sekolah dan murid cukup besar menyebabkan guru tidak boleh memberi perhatian bagi melatih dan mengembangkan bakat-bakat kokurikulum para pelajar. Ada sekolah mempunyai sehingga 1, 500 orang pelajar dalam satu sesi. Ia bukan suasana yang kondusif kepada para pelajar dan guru untuk kegiatan kokurikulum dan pengembangan kreativiti para pelajar.--kementerian pelajaran tolong keluar statistik jumlah sekolah yang tidak ada padang dan gelanggang sukan, kalau ada gelanggang pun menjadi medan letak kereta guru dan kakitangan sekolah.
13. Kementerian juga perlu mengkaji polisi dan sukatan pelajaran. Terlalu banyak subjek yang mahu diajar sehingga tiada masa lagi untuk kokurikulum. Jika dihapuskan peperiksaan kebangsaan tetapi sekolah masih mengadakan ujian bulanan, dan peperiksaan setiap penggal maka keadaan tetap sama sahaja. --banyak sekolah mengadakan aktiviti kokurikulum setakat bulan Mac atau April sahaja, selepas itu sibuklah dengan kelas tambahan petang dan malam. Apa yang lucunya, jika tidak datang kelas tambahan pelajar dilihat tidak bersungguh belajar tetapi ponteng kelas pagi dilihat biasa-biasa sahaja.
14. Apa yang perlu kementerian lakukan sekarang ini bukanlah menghapuskan peperiksaan UPSR dan PMR tetapi mengurangkan bebanan peperiksaan tersebut dengan mengurangkan subjek peperiksaan dan juga jumlah kertas yang perlu dijawab. Cukuplah sekadar jawapan secara objektif dan sedikit subjektif.
15. Kementerian juga perlu berhati-hati untuk memberi kuasa kepada guru membuat penilaian langsung ke atas pelajar. Saya khuatir ia hanya mewujudkan satu lagi peringkat pilih kasih, kronisme dan juga kontroversi. Tidak mustahil suatu hari nanti akan berlaku pertikaian dan perselisihan antara ibu bapa dan guru akibat daripada perbezaan pendapat dalam penilaian prestasi anak mereka. Ambil iktibar daripada kontroversi sistem penilaian tahunan prestasi kakitangan awam oleh ketua jabatan.--memang ada asasnya.
16. Saya fikir kerajaan tidak perlu memansuhkan UPSR dan PMR tetapi lebih menumpukan kepada pengurangan bebanan subjek peperiksaan, dan mengubah polisi pendidikan sedia ada serta menyediakan sistem dan suasana yang kondusif untuk kegiatan bukan akdemik di sekolah. Jangan sampai kita berhadapan dengan suasana yang dikendong keciciran yang dikejar terlepas dari genggaman. Sebarang sesalan akan meninggalkan kesan yang amat buruk pada masa depan negara.--kajian menyeluruh dan telus wajib dilakukan, jangan terburu-buru seperti PPSMI, belajarlah daripada kesilapan kerana sejak akhir-akhir ini bidang pendidikan di Malaysia kelihatan sudah menjadi medan ujikaji dan ekonomi pihak-pihak tertentu sahaja.

No comments:

Post a Comment