Wednesday, June 23, 2010


Sidang di Indochina rungkai warisan, tamadun Melayu

Daripada Kamal Ahmad di Phnom Penh
2010/06/23

PHNOM PENH: Sekurang-kurangnya 40 kertas kerja bakal dibentangkan penyelidik mengenai ketamadunan serta warisan Melayu di Indochina, mulai esok hingga Sabtu ini.

Pertemuan tiga hari itu akan merungkai secara intelektual semua bahan yang dihimpunkan, sekali gus membina landasan kerjasama jangka panjang berhubung hasil penyelidikan warisan Melayu di rantau ini.

Persidangan dianjurkan bersama Akademi Diraja Kemboja, Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Institut Alam & Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta Pusat Warisan Seni Melayu, Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Setiausaha persidangan itu, Prof Madya Dr Mohamad Zain Musa, berkata seramai 35 pembentang kertas kerja dari pelbagai institusi pengajian tinggi awam di Malaysia akan tampil dengan skop hasil kajian masing-masing.

Peserta terbabit termasuk kalangan ahli sejarah, penggiat kebudayaan Melayu, pakar arkeologi, perancang bandar dan warisan, pakar agama serta arkitek.


“Persidangan ini juga bertujuan menggalakkan lagi usaha di kalangan penyelidik dari negara terbabit yang mempunyai persamaan sejarah dan budaya,” katanya.


Turut membentangkan kertas kerja ialah pensyarah universiti dari
Australia, aktivis budaya Indonesia dan tokoh masyarakat Melayu Kemboja.
Etnik Melayu Cam pernah mendominasi Indochina seawal abad Masihi dan mempunyai perhubungan dengan penduduk di Semenanjung serta kepulauan Nusantara seawal abad ketujuh.

Perhubungan itu semakin pesat melalui kegiatan perdagangan, sosial dan agama Islam menjelang abad ke-15 sehingga abad ke-17.


“Sebahagian daripada kertas kerja ini akan disusun semula menjadi teks akademik untuk dijadikan rujukan,” kata Dr Mohamad Zain.


Beliau berkata, orang Melayu Cam mempunyai tamadun tinggi yang dibuktikan melalui bahasa lisan dan bahasa bertulis sama ada inskripsi (batu bersurat) mahupun manuskrip.


Dianggarkan ada hampir 600,000 orang keturunan Melayu Cam di Kemboja, Vietnam dan Laos, selain yang mendiami Pulau Hainan, China.

No comments:

Post a Comment