Friday, June 11, 2010

Budaya Membaca – Harapan atau Impian?


Kesedaran tentang pentingnya “Budaya Membaca” sebagai satu agenda negara berikutan dengan pendedahan satu kajian yang telah dijalankan pada tahun 1983, oleh ahli akademik dari universiti tempatan di bawah pimpinan Prof Atan Long dari Universiti Putra Malaysia, menunjukkan bahawa minat membaca buku di Malaysia sangat rendah (kajian secara umum).

 Kemudahan perpustakaan tidak digunakan dengan baik. Alasan yang diberikan apabila ditanya mengapa tidak membaca buku ialah tidak ada masa (59 peratus), kerja lain lebih penting (11 peratus) dan sukar mendapat buku (7 peratus) di bandar dan (10 peratus) di luar bandar.

Dalam satu kajian lain yang dilakukan oleh Unit Perancang Ekonomi pada tahun 2002 mendapati, rakyat Malaysia membaca secara purata dua (2) buah buku setahun. Kajian itu juga mendapati jenis bahan yang diakses berbentuk bacaan ringan seperti surat khabar (79%), buku (52%), majalah (47%) dan komik (32%).

Sehubungan dengan itu, Kementerian Pelajaran Malaysia telah melancarkan Program Galakan Membaca atau lebih dikenali dengan program NILAM (Nadi Ilmu Amalan Membaca). Program Nilam ini diberi penekanan dengan melalui arahan rasmi Surat-surat Pekeliling Ikhtisas seperti Bil 13/1998 – 22 Mei 1998, Bil. 10/2000 – 20 April 2000, Bil. 12/2001 – 19 November 2001, dan Bil.1/2005 – 4 Julai 2005. Semua sekolah melalui Pusat Sumber Sekolah diarah melaksanakan program tersebut hinggalah ke hari ini, dengan hasrat untuk memupuk budaya membaca di sekolah.

Pelbagai penulisan, kajian, kertas kerja dan seminar dilaksanakan bagi mencari jalan untuk merealisasikan hasrat ini. Realitinya di sekolah-sekolah, tahap pembacaan pelajar amat rendah. Mereka “dibelenggu” dengan pembacaan buku-buku teks mata pelajaran semata-mata, selain akhbar dan majalah terutama majalah hiburan semata-mata.

Untuk sesebuah bangsa maju kehadapan, ilmu perlu menjadi agenda utama. Kepentingan ilmu ini digarap melalui gagasan idea YAB Datuk Seri Abdullah Badawi, dengan memperkenalkan konsep Modal Insan, walaupun konsep ini telah lama diperkenalkan dibarat. Kemudian digilapkan lagi dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP).

Buku dan pembacaan perlu sentiasa dijadikan agenda utama sesebuah bangsa secara umumnya dan di sekolah khususnya. Ia tidak boleh diperlekehkan sehingga ada persepsi di dalam masyarakat yang memandang buku dan pembacaannya dari pandangan negatif. (Khairusy Syakirin Has-Yun Hashim, Utusan Malaysia 25 Ogos 2008, hal. 13).

Untuk menjayakan gerakan membaca, semua pihak perlu bersatu dan memainkan peranan masing-masing. Bermula dari rumah, peranan media massa, masyarakat setempat, guru dan persekitaran sehinggalah pemimpin-pemimpin negara.

Rafe Esquith, seorang guru yang telah dianugerahkan Walt Disney American Teacher Award untuk National Teacher of the Year (1992), melalui bukunya “You`ve Got to Read This Book! menyatakan kepercayaannya bahawa tingkah laku pembacaan di kalangan pelajarnya dipupuk melalui tingkah laku pembacaan guru-guru di sekolah. Ini menunjukkan, kalau kita mahu pelajar banyak membaca, guru-guru juga perlu banyak membaca dan diperlihatkan secara terang dan diberikan pengiktirafan.

Apa yang berlaku kini, kebanyakan guru membaca hanya untuk persediaan menduduki peperiksaan PTK sahaja.Guru-guru yang terbabit secara langsung dengan program galakan membaca ini (Guru Perpustakaan dan Media dan Guru-guru Pusat Sumber Sekolah) tidak diberikan pengiktirafan, jauh sekali dari diberikan kenaikan pangkat, walhal merekalah antara guru-guru di sekolah yang banyak membaca dan merekalah juga yang bertungkus-lumus membina tabiat membaca di kalangan pelajar di sekolah.

Sumbangan mereka ini tidak pernah diiktiraf oleh pihak sekolah atau pihak kementerian. Sekiranya perjawatan lain boleh diwujudkan seperti Guru Kanan Mata Pelajaran, Guru Penolong Kanan, tetapi tidak ada pun untuk jawatan yang hampir serupa untuk guru-guru PSS. Walhal tugas-tugas yang dipikul oleh guru-guru ini jauh lebih berat.


Filed under: Budaya Ilmu, Kerjaya — amizax @ 2:32 pm
Tags: Indulgence, Reading

No comments:

Post a Comment