Monday, November 8, 2010

MASJID NABAWI DAN KENANGANKU



Bulan haji, telah tiba lagi,
Menunaikan ibadah, panggilan Baitullah,
Tanah suci Mekah, ya Makkatulmukarramah....


Itulah antara senikata lagu nasyid Panggilan Haji yang dibawa oleh Orkes el Suraya dari Medan yang melekat kuat dalam memori sejak saya kecil. Saya sangat menggemari senikata dan tempo lagu tersebut. Bermula bulan Zulhijjah maka lagu tersebut semakin kerap diputarkan di radio.


Memori itulah yang selalu bermain di dalam diri saya menjadi angan-angan lalu membentuk cita-cita untuk sampai ke Tanah Haram itu. Lantunan bait-bait seni kata nasyid tersebut amat melekat di dalam diri saya.


Setiap kali tiba musim haji, saya selalu mengikut ibu mengunjungi orang-orang yang akan ke Mekah. Adat berziarah dan bermaaf-maafan dengan orang yang akan berjalan jauh masih kukuh diamalkan sambil menghulur hadiah atau sedekah mengikut kemampuan. Ketika itu pelbagai pengalaman daripada orang-orang yang pernah pergi dapat saya dengar. Hal itu mengukuhkan lagi azam dan cita-cita saya untuk turut menjadi tetamu Allah. Sebelum pulang selalu keluar permintaan agar mendoakan kami yang belum pergi ini untuk dipermudahkan dan diizinkan-Nya untuk turut serta nanti.


    Sebaik sahaja bekerja, saya terus membuka akaun Tabung Haji dan mula menyimpan. Simpanan sering terganggu kerana keperluan semasa masih memerlukan menyebabkan keinginan ke Tanah Suci sering terbantut.


Tahun 2000 ayah pergi meninggalkan kami setelah sakit hampir dua tahun kerana serangan angin ahmar. Hal ini menyebabkan ibu yang belum mengerjakan haji tidak mempunyai muhrim. Mujurlah ada adik ibu yang sudi menjadi peneman dan mereka disahkan dapat ke Mekah pada  tahun 2002. Namun, berita kurang mengembirakan berlaku iaitu disebabkan beberapa hal yang tidak dapat dielakkan, adik ibu saya itu menangguhkan pemergiannya. 


Ibu menjadi agak terkilan sedangkan beliau merasakan kekuatannya dan usianya sudah tidak dapat menunggu lama lagi. Hal itu menyebabkan saya terfikir, apa salahnya saya yang menjadi teman ibu. Tetapi macam mana dengan kebenaran daripada pihak Tabung Haji kerana saya belum mendaftar?


Suatu hari jika tidak silap pada Februari 2001,  seorang rakan saya sedang tekun menaip sesuatu. Saya rasa tertarik lalu menghampirinya. Surat rupanya. Rakan tersebut yang masih muda baru tiga tahun bekerja sedang menaip surat rayuan untuk bersama abang dan ibunya mengerjakan haji pada tahun itu. Hati saya terlonjak riang dan berfikir apa salahnya saya turut berbuat hal sama, demi ibu seorang. Dia menyatakan apa salahnya. Kami pun rancak berbincang akan hal-hal yang perlu dilakukan.


Setelah turun naik pejabat Tabung Haji beberapa kali, alhamdulillah  saya disahkan bakal jamaah haji 1423 Hijrah bersama dengan ibu. Rasa seperti tidak percaya. Tuah datang bergolek, bulan jatuh ke riba. Serba mudah, serba senang. Rasa amat bertuah, doa saya sejak kecil kerana terlalu meminati lagu nasyid Panggilan Haji, Allah makbulkan dalam keadaan tidak saya jangkakan. Saya dan ibu segera mendaftar kursus haji di sebuah masjid.  


Makkahtulmukarramah.............tunggulah kehadiranku.


Awal Januari 2002 dalam usia 38 tahun saya, ibu 62 tahun dan beberapa orang lagi orang sekampung berangkat ke Kelana Jaya sebelum ke Madinah dan Mekah. 43 hari di Madinah dan Mekah, pelbagai pengalaman dapat kami rasai. Ada satu peristiwa yang amat menarik telah saya dan ibu alami yang tidak akan kami lupakan. Ia masih segar dalam ingatan kami. Apa yang ingin saya sebutkan, pengalaman tersebut telah disiarkan di dalam majalah Mastika keluaran Januari 2009.






Anda yang ingin mengetahui apakah kisah tersebut bolehlah mencari Mastika keluaran tersebut yang diberi tajuk "kerana perempuan banyak dosa?"

No comments:

Post a Comment