Wednesday, November 10, 2010

Bahasa Melayu Untuk Kesejahteraan, Bangsa Malaysia Untuk Kebanggaan






PENGGUNAAN istilah bahasa Melayu lebih tepat berbanding bahasa Malaysia berdasarkan bukti sejarah, pandangan akademik dan hakikat ilmu, sekali gus menjadikan usul Mesyuarat Agung Persatuan Penulis Kuala Lumpur (Kalam) Ke-15, satu ketika dahulu, wajar diambil perhatian oleh kerajaan.


Pengerusi Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Rahim Aman, berkata penggunaan istilah bahasa Malaysia lebih berbentuk politik dan tidak merujuk kepada ilmu bahasa, sedangkan istilah yang tepat ialah bahasa Melayu dengan mengambil kira sejarah, akademik dan hakikat ilmu.

“Kerajaan mungkin melihat integrasi nasional sehingga mengharapkan semua etnik di negara ini menerimanya sebagai bahasa nasional. Bagaimanapun, ia tidak benar jika kita melihat berdasarkan konsep akademik kerana sejarah kita lebih kepada penggunaan istilah bahasa Melayu dan sudah pun diterima oleh semua etnik di negara ini,” kata tokoh tersebut.

Dr Rahim berkata, penggunaan istilah bahasa Melayu sudah wujud sebelum Kesultanan Melayu Melaka diasaskan seperti yang digunakan oleh Kerajaan Melayu Funan, manakala pembukaan Melaka memperkukuhkan lagi kedudukan bahasa terbabit.

“Kerajaan Johor-Riau selepas jatuhnya Melaka, juga berkembang sebagai pusat pentadbiran, ilmu, ekonomi dan persuratan Melayu sehingga bahasa Melayu diangkat sebagai bahasa penyatu kepada etnik yang ada.

“Kalau kita lihat bahasa Inggeris pun sebenarnya berasal daripada dialek yang asalnya berkembang di wilayah England yang masih kecil ketika itu, tetapi diangkat menjadi bahasa kebangsaan mereka selaras dengan perkembangan kota London sebagai pusat ekonomi dan kecemerlangan tamadun,” katanya.

Apatah lagi istilah bahasa Melayu, masih digunakan dalam konteks akademik sehingga pusat dan program pengajian masih mengekalkan bahasa Melayu kerana universiti dibina atas asas akademik, berdasarkan sejarah bahasa Melayu yang lama itu.

Beliau turut mempersoalkan kewajaran perubahan itu kerana bahasa Melayu sudah pun kukuh dan berupaya menjadi bahasa penyatu sehingga generasi terdahulu sejak ratusan tahun dulu dapat menerimanya.

“Kita jangan berasa takut pada perkataan Melayu kerana sifat takut itu sendiri sebenarnya menggalakkan perkauman, sebaliknya penggunaan Melayu, boleh mencairkan perkauman kerana semua etnik di negara ini menerimanya.

“Bahasa Cina dan bahasa Tamil masih ada tetapi mengapa kita korbankan bahasa Melayu sedangkan saya yakin orang Cina sendiri menerima istilah itu kerana tidak ada demonstrasi atau bantahan daripada etnik lagi,” katanya. 



Apakah semua yang bermula dengan nama Melayu perlu dikorbankan? Sedang warga lain yang sejarah keturunan mereka memang jelas berasal sebagai pendatang ( sejahtera raya di sini tanpa perlu berkorban hatta nama bahasa, bangsa, nama, agama, adat resam dan segalanya) hidup bahagia riang gembira berkongsi apa sahaja tanpa diusik apapun oleh orang Melayu di sini.

Bandingkan apa yang negara-negara lain termasuk jiran-jiran Asean kita lakukan kepada kaum-kaum pendatang mereka hatta penduduk asal tanah jajahan mereka sendiri iaitu etnik Melayu di Selatan Thai. Tinjaulah sendiri apa sudah terjadi kepada bahasa ibunda mereka, hari ke hari lenyap pupus daripada alam maya ini.

Mengenai istilah bangsa Melayu, Dr Rahim mengambil pendekatan untuk menerima penggunaannya kerana bangsa merujuk kepada bangsa yang membina sesebuah negara, manakala etnik atau kaum pula digunakan untuk Melayu, Cina, India serta etnik di Sabah dan Sarawak.

“Semua etnik itu menjadi warga negara, iaitu bangsa Malaysia seperti bangsa Amerika yang diwakili pelbagai etnik, sekali gus penggunaan bangsa Malaysia wajar dikekalkan untuk menimbulkan kebanggaan kerana tanah ini menjadi tempat kita hidup, membina kehidupan dan mati,” katanya.

Pandangan Dr Rahim senada dengan Pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Adi Yasran Abdul Aziz, dalam soal penggunaan bahasa Melayu, tetapi berbeza dalam konteks penggunaan bangsa Melayu.

“Istilah bahasa Melayu sudah digunakan pada Batu Bersurat Terengganu pada 1303 Masihi dan terus digunakan sehingga 1970 tanpa ada sebarang isu berbangkit sehingga ketika mencapai kemerdekaan, bangsa lain tidak membantah apabila ia dimaktubkan dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu,” jelasnya. Sukatan mata pelajaran Bahasa Melayu STPM ada menyediakan bab kajian yang bertajuk Sejarah Dan Perkembangan Bahasa Melayu. Jika istilah bahasa Melayu mahu ditukar kepada bahasa Malaysia secara total, maka sejarah dan perkembangan bahasa Malaysia yang mana yang mahu dikaji?

Oleh hal yang demikian, ada keperluan untuk menilai kembali perubahan istilah kepada bahasa Malaysia kerana ia berkaitan dengan jati diri orang Melayu sedangkan bahasa dan bangsa adalah fitrah kejadian, lalu perubahan mesti dibuat ke arah kebaikan dan sekiranya tiada manfaat besar kepada orang Melayu, perubahan tidak perlu.

“Bahasa Melayu sudah diterima berabad-abad lama. Bahasa dan bangsa ialah fitrah kejadian. Apabila seseorang dibesarkan dalam keluarga Melayu yang menggunakan bahasa ibundanya, individu berkenaan akan turut berbahasa Melayu, iaitu peringkat pemerolehan bahasa,” katanya.

Beliau meminta pihak yang mahu mencipta istilah, terlebih dulu merujuk Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang bertanggungjawab dalam perkara terbabit kerana ia perlu mematuhi prosedur tertentu sebelum istilah berkenaan diterima pakai.

“Berbincang dulu dengan ahli bahasa sebelum menukarkannya. Sekiranya ada kepentingan politik dan perpaduan, ahli bahasa terbuka dalam menilai. Apatah lagi dari segi undang-undang, ia tidak tercatat sebagai bahasa kebangsaan ialah bahasa Malaysia. Sebaliknya Perkara 152 menegaskan bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu,” tegasnya. Ramai orang Melayu khasnya golongan pendidik amat tidak bersetuju dan terluka dengan pertukaran tersebut. Segeralah bertindak wahai orang-orang yang mempunyai keakuan dan kesedaran jati diri.

Mengenai istilah bangsa Malaysia, Dr Adi Yasran menganggap istilah itu sebagai idaman yang belum berlaku, sebaliknya penggunaan masyarakat Malaysia lebih tepat berdasarkan realiti rakyat di negara ini yang berada di bawah pentadbiran dan pemerintahan Malaysia. 

# Gesaan Makngah: Segera tukar istilah tersebut tanpa sebarang syarat lagi.

2 comments:

  1. assalamualaikum mak ngah,

    abgreds bukan pakar bahasa, tapi suka mendekati isu tentang bahasa ini. macam isu di dalam entri ini, abgreds sudah tahu.
    dulu selalu dan pernah cuba mengikuti perkembangannya. namun tiada tanda yang positif ia akan dikembalikan. rasa cukup kecewa.
    apakan daya, institut bahasa di Malaysia ni makin kurang tenaga tampaknya. para pejuang bahasa juga kian kendur. sungguh malang nasib bahasa melayu ini.
    apapun, abgreds pasti individu seperti makngah akan terus memegang prinsip dan cita-cita berkaitan bahasa ini. abgreds ucap tahniah dan moga berjaya suatu hari nanti.

    ReplyDelete
  2. Terima kasih abgreds, memang nasib Melayu agak mencurigakan pada masa depan. Dr.Redhuan Tee amat prihatin dgn nasib Melayu di Malaysia sehingga menulis buku mengenai nasib Melayu di Malaysia. beliau bimbang dengan agama Islam (yang orang Melayu anuti) di Malaysia jika Melayunya lemah layu tanpa diperkasakan dengan cara yang sepatutnya. Sama-samalah kita berusaha dan sokongan drp abgreds juga diperlukan..

    ReplyDelete