Monday, January 3, 2011

10 Azimat Hari Pertama Persekolahan



Hari ini 3 Januari 2011 hari pertama persekolahan. Perhimpunan rasmi bermula jam 7.30 pagi. Dimulai dengan nyanyian tiga buah lagu rasmi dan bacaan ikrar. Perhimpunan diadakan di Dewan Terbuka sekolah kerana hari hujan. Biasanya perhimpunan diadakan di Dataran Ilmu.

Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PK HEM) iaitu Encik Lokman bin Muhamad memberi ucapan sebagai pembuka kepada perhimpunan rasmi sekolah untuk tahun 2011. Beliau menitipkan 10 item sebagai azimat kepada semua pelajar sesi pagi yang berjumlah lebih kurang 2000 orang.

Makngah merasa 10 item itu elok dikongsi bersama. Garis panduan yang jelas wajib dikemukakan bermula awal tahun agar ia jelas pada pemahaman dan tindakan kepada para pelajar. Jika garis panduan disiplin itu tidak jelas kepada para pelajar ditambah pula dengan kurangnya pemantauan, maka berlakulah huru hara di dalam pengurusan sesebuah sekolah. Kata-kata terakhir beliau sebelum menamatkan ucapan menarik untuk diberi perhatian.

10 azimat tersebut ialah:

1. Peruntukan untuk kawasan berdasarkan kumpulan pelajar atau tingkatan. Maksudnya di sini, dalam persekitaran sekolah yang luas, pergerakan pelajar perlu dihadkan termasuk laluan mereka. Jika hal ini tidak dititikberatkan maka akan berlaku para pelajar berkeliaran sesuka hati mereka terutama pada masa rehat. Mereka akan mengganggu kelas-kelas yang P&P mereka sedang berjalan. Hal ini kerana sekolah kami mempunyai tiga sesi rehat.

2. Peruntukan di dalam kelas iaitu  jumlah perabot yang telah ada di dalam sesebuah kelas wajib dikongsi bersama terutama bagi kelas yang berkongsi dengan pelajar petang. Jumlah perabot disediakan mengikut jumlah pelajar yang sepatutnya. Kebersihan, keceriaan dan keselamatan semua yang ada di dalam kelas itu menjadi tanggungjawab bersama terutama ketua dan penolong tingkatan serta guru tingkatan mereka. Papan kenyataan kelas wajib dikemaskini pada hari ini juga.


3. Peruntukan untuk pemakaian lencana dan tanda nama. Lencana sekolah wajib diletak atau dijahit bahagian atas daripada nama di bahagian kiri baju kemeja atau tudung bagi pelajar perempuan.

4. Peruntukan untuk pelajar tingkatan empat 2011 iaitu pelajar-pelajar PMR 2010. Keputusan PMR sekolah ini adalah yang terbaik sejak penubuhannya. Memandangkan faktor kecemerlangan tersebut bukan kepada guru-guru tingkatan tiga sahaja maka mereka perlu mengucapkan terima kasih kepada guru-guru yang mengajar mereka di tingkatan 1 dan 2. Mereka juga perlu mendaftar semula kemasukan mereka ke tingkatan empat pada hari ini walaupun berhasrat berpindah sekolah nanti.

5. Pemakaian uniform sekolah- baju kurung, kain sarung, kemeja dan seluar wajib daripada kain cotton sahaja tidak boleh daripada jenis yang licin, berkilat atau jarang. Labuh tudung pula wajib melepasi bahu. Seluar trek bagi pelajar perempuan jangan yang menggiurkan orang yang memandang dari segi bentuk kain dan saiznya. Koperasi sekolah ada menjual seluar sukan yang baik mutunya tetapi harga murah sahaja iaitu RM14.00.


6. Pelekat bersiri nombor pendaftaran untuk kenderaan pelajar terutamanya motosikal akan dijual tidak lama lagi. Motosikal atau kenderaan yang tidak ada pelekat tersebut akan dirampas dan dibawa kepada polis atas dakwaan kenderaan itu tidak berdaftar.

7. Buku teks pinjaman (SPBT) wajib dibalut dan dijaga dengan sempurna demi menjaga jangka hayatnya untuk kegunaan pelajar-pelajar selepas ini. Nama peminjamnya mesti ditulis dan jangan menggunakan pemadam cair kertas.

8. Bayaran tambahan (bukan yuran) akan dipungut oleh guru-guru tingkatan. Tujuannya untuk menampung keperluan sekolah sebanyak RM45.00 sahaja seorang untuk setahun, amat berbaloi. Ia lebih bersifat derma untuk sekolah. Oleh sebab itu tolong selesaikan dalam masa terdekat.

9. Kehadiran harian ke sekolah- nama-nama pelajar yang gagal hadir ke sekolah lebih daripada 30 hari sepanjang 2010 akan ditampal di papan kenyataan. Bilangannya agak ramai dan yang paling ramai ialah daripada pelajar tingkatan empat.

10. Penggunaan kantin - semasa P&P sedang berjalan pelajar dilarang sama sekali pergi ke kantin. Tertibkan diri sendiri ketika berbelanja dan ikutlah peraturan yang ada. Di sekolah ini tiada yang menjadi bos (sampahnya orang lain kena kutip) dan yang menjadi kuli (kerjanya mengutip sampah orang lain).

Demikianlah ucapan berfokuskan peraturan sekolah tempat menimba ilmu sepanjang tahun ini oleh seorang guru yang usia perkhidmatannya sama dengan usia sekolah.

Ketika Cikgu Lokman yang lebih terkenal dengan panggilan Sir Lokman sedang memberi ucapan, ada kejadian kurang enak dan mengejut semua orang telah berlaku. Seorang ustaz yang memang sedia difahami mengalami masalah minda memberhentikan skuter yang ditunggangnya betul-betul di tepi pentas dewan. Wajahnya tidak terurus walaupun berkot, maklumlah hari pertama persekolahan. Seorang guru lain segera memujuknya agar beredar dari situ. Selang tidak lama dia muncul kembali dari arah belakang dewan dan bertindak mengheret rambut beberapa orang pelajar lelaki dari belakang sehingga terangkat bahu pelajar itu. Terkejut dan terpinga-pinga pelajar-pelajar tersebut yang sedang khusyuk mendengar ucapan.

Sir Lokman berjaya mengawal keadaan yang agak mencemaskan itu dari arah pentas. Beliau mengakhiri ucapan pada pagi pertama sesi persekolahan 2011 yang ditujukan kepada para pelajar dengan kata-kata :

"Anda jangan berjalan di hadapan kami kerana tidak sempat kami mengejarnya, jangan juga berjalan di belakang kami kerana kami tidak mampu memimpin anda, tetapi berjalanlah seiring dengan kami untuk bekerja bersama-sama."

*Ustaz tersebut bertindak lebih agresif selepas itu dengan meminta duit daripada beberapa orang guru perempuan cun dengan aksi yang tidak enak dilihat yang boleh diistilahkan seperti mencabul. Dia juga sempat mengambil dompet duit seorang guru perempuan. Apabila pujukan dan teguran daripada beberapa orang guru tidak dihiraukan, pihak polis terpaksa dipanggil. Namun dia lebih cepat bertindak melarikan diri dengan skuter merahnya.

Itulah corat coret pada hari pertama persekolahan.

No comments:

Post a Comment