Friday, January 7, 2011

Di Sini : Melayu Lambang Islam, Hapus Melayu, Hapus Islam


Jika kita ikhlas tanpa meletak syarat memohon petunjuk-Nya

Sejarah sudah banyak mencatat sebeginilah orang Islam diperlakukan.

Makngah tidak langsung berniat bercakap dari sudut politik kerana tidak pernah berminat dengannya. Namun apa yang terlahir sejak akhir-akhir ini menunjukkan ada pihak tertentu menyokong agenda satu pihak lain yang tidak pernah reda dengan apa yang mereka dapat. Mereka paling tidak suka dengan apa yang dibawa oleh Islam.

Apa yang Makngah faham agama Islam di negara ini disebar dan dimakmurkan oleh orang Melayu. Jika orang Melayu itu rosak dan musnah maka dengan sendirinya agama mereka iaitu Islam akan turut musnah. Apa bila Islam sudah rosak dan musnah di negara ini maka apa lagi yang kita dapat harapkan untuk terus hidup di tanah air tercinta ini? Kaji dan hayatilah rekod-rekod sejarah tentang betapa zalimnya pemerintah yang bukan Islam apa bila mereka mendapat kuasa di sesuatu tempat.

Orang yang mempelajari Islam yang sebenar memang sedia memahami kita berjuang atas dunia ini bukan berdasarkan bangsa tetapi berdasarkan perpaduan Islam. Satu perancangan jahat tetapi licik telah mempergunakan orang Melayu sendiri untuk tidak rasa berbangga dengan bangsa Melayu. Orang Melayu tersebut amat kontot pemikirannya kerana gagal memahami maksud tersirat di sebalik kata-kata mereka itu. 

Di bawah ini Makngah sertakan beberapa petikan berita tentang fenomena yang membimbangkan kita berkaitan perkara di atas. Secara tersurat kita tidak merasa apa apa tetapi cuba analisis secara tersuratnya, pasti kita akan merasa bimbang. Oleh sebab itu sedar-sedarlah kita daripada lena kita yang sudah semakin panjang ini.

Sultan DukacitaMelayu gadaikan perkataan Melayu
SHAH ALAM, 29 Nov: Sultan Selangor hari ini melahirkan rasa dukacita dengan segelintir orang Melayu yang tidak memiliki rasa megah dan bangga sebagai orang Melayu sehingga sanggup menggadaikan perkataan Melayu itu sendiri untuk dikuburkan serta lenyap dari dunia ini.

Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah sejarah yang ditulis oleh orang Inggeris ada menyatakan mengenai 'Tanah Melayu' , 'Negeri Melayu Bersekutu' dan Raja Melayu sekali gus membuktikan penulis Barat ketika itu mengiktiraf adanya Melayu yang memulakan sejarah negara ini.
 
Sultan Selangor turut melahirkan rasa bangga dan sukacita dengan langkah kerajaan Malaysia yang akan menjadikan subjek Sejarah sebagai syarat wajib untuk dipelajari oleh rakyat di sekolah negara ini.
 
"Beta percaya dengan arahan ini ia akan membuka minda dan kefahaman dari pengetahuan berhubung peranan penting yang berlaku dalam sejarah tanah air untuk tidak timbulnya syak wasangka dan persoalan yang mencurigakan hingga timbul salah faham terhadap sesama rakyat di negara yang kita kasihi ini," titah Sultan Selangor pada Wacana Raja Berpelembagaan-Perspektif Sejarah, Kini dan Masa Depan di sini.
 
Nik Aziz tidak bangga berbangsa Melayu
 
Pada 18 Sept lepas, Utusan Malaysia melaporkan bahawa Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat  menyatakan beliau tidak bangga berbangsa Melayu.

Ini kerana, katanya, bangsa itu datang secara automatik dan di dalam Islam tiada bangsa yang lebih dan jika ada pun, ia adalah bangsa Arab.

Menurut Nik Abdul Aziz, bangsa tidak dipentingkan dalam Islam sebaliknya yang dilebihkan ialah takwa kepada Allah.

Beliau memberitahu, kerajaan Pas Kelantan telah menghabiskan wang sebanyak RM7 juta untuk membina sebuah masjid dengan reka bentuk Cina di Rantau Panjang dalam usaha menghilangkan masalah perkauman di kalangan masyarakat.

Selain itu, katanya, kerajaan negeri juga akan mengadakan Pameran Cheng Ho yang disertai ramai peniaga Cina Muslim bagi tujuan sama.

Wan Azizah Menyarankan Agar Ketuanan Melayu Wajib Ditinggalkan

Manakala Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pula menyarankan agar konsep “Ketuanan Melayu” wajib ditinggalkan kerana ia didakwa hanya slogan untuk memperdayakan bangsa itu sendiri.

"Ketuanan Melayu adalah slogan yang digunakan oleh sekumpulan kecil elit Melayu yang berkuasa untuk memperdaya orang Melayu yang ramai, demi kepentingan diri sendiri.

"Mereka adalah manusia yang melakukan rasuah, korup, pecah amanah dan pelbagai kebejatan lagi," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar presiden dalam Kongres PKR di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Menurutnya, sebagai seorang Melayu yang beragama Islam, beliau berkeyakinan bahawa tidak akan ada satu bangsa pun yang akan menjadi agung dan dihormati hanya dengan menggelar diri sendiri sebagai “tuan”.

"Kitab al-Quran banyak mengisahkan bagaimana Tuhan telah menghancurkan kaum dan bangsa-bangsa yang bermegah-megah konon menjadi 'tuan' dan memandang rendah kepada bangsa atau kaum yang lain.

Tiada Masalah Dengan Bangsa: Datuk Md. Alwi

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Md. Alwi Che Ahmad berkata, Rasulullah tidak pernah menghalang umatnya menyebut tentang bangsa malah baginda berbangga sebagai bangsa Quraisy apabila menyebut 'ana Quraisy'.

"Baginda mengaku berbangsa Quraisy tetapi tidak bermakna baginda memperbesar-besarkan perkara itu, yang penting ialah Islam.

Tidak ada masalah dengan bangsa sebab itu dalam al-Quran, Allah berfirman manusia itu dijadikan berbangsa-bangsa supaya dapat kenal-mengenal. Maknanya Allah jadikan bangsa, itu fakta.

"Saya tidak tahu apa maksud dia (Nik Abdul Aziz) kata tidak bangga dengan Melayu. Memanglah kita tidak setuju kalau bangsa itu dilebihkan tetapi tidak salah (menyebut bangsa) sebab Rasulullah sendiri kata 'ana Quraisy'," katanya

Md. Alwi yang juga Setiausaha Barisan Nasional (BN) Kelantan berkata, kejayaan yang dinikmati hari ini disebabkan hak-hak keistimewaan Melayu yang terkandung dalam Perlembagaan negara.

"Saya rasa Nik Abdul Aziz terlupa apa yang dia, anak-anak dia, orang Pas dan Melayu dapat hari ini adalah kerana Fasal 153 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak keistimewaan Melayu dan pada masa yang sama juga Islam dapat berkembang sehingga hari ini.

"Ini adalah perjanjian tetapi pada masa yang sama hak kaum lain tidak akan terhalang. Dasar itu memang tepat sebagai timbal balas kepada apa yang orang Melayu berikan sebelum merdeka dahulu," katanya.

No comments:

Post a Comment