Wednesday, December 29, 2010

KONTRAK SOSIAL MALAYSIA - PERINGATAN BAGI YANG LUPA



Apa yang tertulis di bawah merupakan perkara sejarah yang sudah mulai dilupakan atau pura-pura lupa, atau cuba ditidak-tidakkan oleh pihak-pihak yang berkepentingan. Oleh sebab itu Makngah cuba memperingatinya dengan cara menyiarkannya semula. Terima kasih kepada penulis asal yang beberapa susunan ayatnya Makngah baiki.

1. Sebelum adanya Malaya dan Malaysia, semenanjung ini dikenali sebagai Tanah Melayu.

2. Hanya berkata ini akan menyebabkan kita dituduh bersifat perkauman.

3. Untuk menerangkan berkenaan asal-usul kontrak sosial Malaysia, saya terpaksa mengimbas semula sejarah.

4. Melalui perjanjian-perjanjian yang ditandatangani Raja-Raja Melayu Semenanjung, British telah mendapat hak untuk menakluk Negeri-negeri Melayu. Perjanjian-perjanjian ini mengakui dan mengesahkan Negeri-negeri ini sebagai Negeri-negeri Melayu. Tidak ada sesiapa pun yang membantah. Orang Asli juga menerima keadaan ini dengan penerimaan oleh mereka pemerintahan Raja-Raja Melayu.

5. Pada mulanya penduduk yang tinggal di negeri-negeri ini dibahagi kepada orang Melayu dan Orang Asli yang merupakan rakyat Raja-raja Melayu dan tetamu asing yang tidak dianggap sebagai rakyat kepada Raja-raja Melayu. Tidak ada kewarganegaraan mahupun dokumen berkenaan taraf kerakyatan sepertimana di kebanyakan negara-negara lain.

6. Tetamu asing ini hidup mewah di Negeri-negeri Melayu di bawah pentadbiran British dan di jajahan British di Pulau Pinang, Melaka dan Singapura. Orang Melayu yang menjadi rakyat kepada Raja-raja Melayu dan Raja-raja Melayu sendiri tidak sedikitpun merasa tergugat dengan bilangan besar orang bukan Melayu dan perbezaan jurang kekayaan dan kemajuan di antara tetamu asing ini dan rakyat Raja-Raja Melayu. Mereka tidak terfikir yang orang asing yang menetap di negara ini akan menuntut hak kewarganegaraan.

7. Apabila Jepun menakluk Negeri-negeri Melayu dan Negeri-negeri Selat, orang Cina merasa tidak selamat kerana Jepun merupakan musuh tradisi mereka.

8. Ramai orang Cina telah menubuhkan dan menganggotai angkatan gerila dan melarikan diri ke dalam hutan. Apabila Jepun menyerah diri, gerila-gerila Cina ini keluar dan merampas balai-balai polis di kawasan pedalaman dan mengisytiharkan yang mereka pemerintah negara ini. Mereka menangkap ramai orang, Cina dan Melayu dan beberapa daripada mereka ini dibunuh.

9. Orang Melayu di kampung-kampung membalas dengan membunuh orang Cina di kawasan luar bandar. Ketegangan timbul dan pertempuran antara Cina dan Melayu dielak hanya dengan kedatangan angkatan tentera British. Tetapi perasaan marah dan benci antara kedua-dua kaum ini tetap tinggi.

10. Di dalam keadaan tegang ini British mencadangkan penubuhan Malayan Union yang akan memberi "tetamu-tetamu" ini hak kerakyatan yang tidak membezakan mereka daripada orang Melayu.

11. Orang Melayu menolak Malayan Union dan cadangan hak kerakyatan ini. Mereka memaksa British untuk kembali kepada keadaan asal atau 'status quo' di dalam Persekutuan Tanah Melayu (Federation of Malaya) yang baru.

12. Hanya orang Cina yang menjadi rakyat Negeri-negeri Selat layak untuk mendapat kerakyatan di dalam Persekutuan yang baru ini. Sudah tentu warganegara keturunan Melayu jauh lebih ramai daripada rakyat Malaya yang berketurunan Cina.

13. Pemimpin-pemimpin Cina merayu kepada British, yang kemudiannya menekan Presiden UMNO, Dato Onn Jaafar supaya mencadangkan agar UMNO dibuka kepada semua kaum. Cadangan ini ditolak lain-lain pemimpin UMNO dan Dato Onn terpaksa melepaskan jawatan.

14. British terus memberi tekanan kepada orang Melayu untuk bersikap lebih terbuka berkenaan soal kerakyatan bagi orang bukan Melayu.

15. Presiden UMNO Tunku Abdul Rahman memutuskan untuk menubuhkan pakatan dengan MCA (Malaysian Chinese Association) dan MIC (Malaysian Indian Congress). Dalam pilihanraya Majlis Perundangan Persekutuan (Federal Legislative Assembly) 1955, oleh kerana kurangnya kawasan majoriti penduduk Cina dan India, MCA dan MIC terpaksa meletak calon mereka di kawasan yang mempunyai majoriti Melayu selepas UMNO bersetuju untuk tidak bertanding di kawasan-kawasan ini dan sebaliknya menyokong calon Cina MCA dan calon India MIC.

16. Begitu sokongan orang Melayu terhadap calon Perikatan MCA dan MIC hinggakan mereka menang walaupun menentang calon Melayu daripada PAS. Calon MCA dan MIC kesemuanya menang. Hanya UMNO kalah satu kerusi kepada PAS.

17. Tunku sebagai Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu kemudian memutus untuk menuntut kemerdekaan. British terus berkeras menuntut hak kerakyatan bagi orang Cina dan India sebagai syarat memberi kemerdekaan.

18. Untuk mengatasi halangan British terhadap kemerdekaan dan untuk memenangi sokongan orang Cina dan India, Tunku memutuskan untuk memberi satu juta kerakyatan kepada kedua-dua komuniti ini berdasarkan hanya kepada pemastautin. Salah seorang rakyat baru yang menonjol ialah (Tun) Leong Yew Koh, bekas general di dalam angkatan tentera nasional China yang kemudiannya dilantik Gabenor Melaka.

19. Di peringkat ini pemimpin-pemimpin ketiga-tiga parti yang berdasarkan kepada kaum yang telah mendirikan Kerajaan pemerintahan sendiri di dalam Persekutuan Tanah Melayu (Federation of Malaya) British telah berbincang dan mencapai persetujuan berkenaan syarat perhubungan antara ketiga-tiga kaum di dalam Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka.

20. Hal ini merupakan agihan yang sama rata. Sebagai balasan untuk satu juta kerakyatan bukan Melayu, orang bukan Melayu mesti mengakui kedudukan istimewa orang Melayu sebagai Bumiputera. Beberapa peruntukan undang-undang seperti kedudukan Islam sebagai agama rasmi, pengekalan tanah rizab Melayu, kedudukan Raja-raja Melayu dan adat istiadat Melayu dan pengagihan jawatan dalam kerajaan juga termasuk di dalam persefahaman ini.

21. Dalam soal Bahasa Kebangsaan, Bahasa Melayu telah dipersetujui sebagai Bahasa Kebangsaan. Bahasa Inggeris pula sebagai bahasa kedua. Kaum Cina dan India boleh terus menggunakan bahasa mereka tetapi bukanlah sebagai bahasa rasmi untuk berkomunikasi.

22. Sekolah rendah Cina dan Tamil juga boleh menggunakan bahasa masing-masing sebagai bahasa pengajar. Bahasa-bahasa ini juga boleh digunakan di sekolah menengah, tetapi hanya di sekolah menengah swasta.

23. Di pihak mereka pemimpin-pemimpin Cina dan India yang mewakili parti mereka menuntut agar kerakyatan dijadikan hak mereka yang tidak boleh ditarik balik, mereka dibenar mengekalkan bahasa, agama dan budaya mereka dan sebagai rakyat mereka diberikan hak politik sepertimana yang diberikan kepada semua rakyat.

24. Kebanyakan persetujuan dan persefahaman ini terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu merdeka. Bagi setiap yang diperuntukkan kepada orang Melayu, akan sentiasa terdapat peruntukan bagi yang bukan Melayu. Tidak ramai yang menyebut akan hakikat ini. Yang menarik perhatian ramai dan yang menjadi tajuk perbalahan ialah apa yang diperuntukkan kepada orang Melayu dan lain-lain kaum Bumiputera sahaja.

25. Demikianjuga walaupun Bahasa Melayu dijadikan Bahasa Kebangsaan, bahasa Cina dan Tamil tetap bebas digunakan di sekolah Cina dan Tamil. Peruntukan ini tidak terdapat di mana-mana negara lain. Bahkan di negara-negara yang liberal sekalipun tidak terdapat jaminan seperti ini yang termaktub di dalam Perlembagaan.

26. Bahasa Kebangsaan ini haruslah dipelajari semua orang agar setiap warganegara Malaya dapat berkomunikasi antara satu sama lain di mana-mana sahaja.

27. Difahamkan bahasa Cina yang dimaksudkan di dalam persefahaman tersebut ialah dialek-dialek Cina yang ditutur di Malaysia dan bukannya bahasa kebangsaan negeri China. Demikian bagi kaum India Malaya bahasa Tamil digunakan dan bukannya Hindi atau Urdu atau apa-apa bahasa pun yang menjadi bahasa Kebangsaan di India. Tetapi para pendidik aliran Cina kemudiannya mengguna Bahasa Cina yang menjadi bahasa Kebangsaan negara China iaitu Mandarin.

28. Islam ialah agama rasmi tetapi agama-agama lain boleh dipraktik penganut masing-masing tanpa apa-apa halangan. Sebagai agama rasmi Islam mendapat bantuan kerajaan. Tiada tersebut tentang bantuan bagi mana-mana agama lain. Bukan Melayu tidak menekankan tentang ini dan Perlembagaan Persekutuan tidak pun menyebut tentang bantuan Kerajaan terhadap agama lain. Namun sokongan dan bantuan tetap diberikan.

29. Kuota ditetapkan bagi kakitangan Kerajaan (Malayan Civil Service) iaitu orang Melayu akan mendapat empat tempat bagi setiap satu yang diberikan kepada orang Cina dan India. Walaubagaimanapun, jawatan profesional diiktiraf terbuka bagi semua kaum kerana dianggap tidak mungkin terdapat cukup bilangan orang Melayu untuk mengisi jawatan-jawatan tersebut.

30. Hasilnya pada awal kemerdekaan terdapat lebih ramai kaum bukan Melayu daripada Melayu yang mengisi jawatan dalam Divisyen Satu.

31. Yang Di-Pertuan Agong atau Raja-raja Melayu akan menentukan kuota biasiswa dan lesen bagi orang Melayu. Tetapi tiada sesiapa yang akan dirampas mana-mana permit atau lesen hanya untuk diberikan kepada kaum Bumiputera.

32. Kedudukan Raja-raja Melayu termaktub dan tidak boleh dipersoalkan. Seorang Yang Di-Pertuan Agong akan dipilih daripada sembilan Raja-raja Melayu dan akan berkhidmat selama lima tahun.

33. Raja-raja akan menjadi Raja berperlembagaan. Kuasa eksekutif akan dilaksanakan oleh Menteri Besar, Ketua Menteri dan Perdana Menteri yang dipilih dan dibantu ahli majlis atau Kabinet. Amalan British dijadikan contoh.

34. Persetujuan yang paling penting ialah pelaksanaan Demokrasi Berparlimen digabungkan dengan Raja Berperlembagaan, sekali lagi seperti yang diamalkan di United Kingdom. Harus diingat pihak British telah mengenakan Kerajaan Kolonial kuku besi ke atas Negeri-negeri Melayu dengan kuasa diletak kepada Pejabat Kolonial di London.

35. Sebelum ini Negeri-negeri Melayu diperintah secara feudal iaitu Raja-raja Melayu mempunyai kuasa mutlak. Hanya golongan bangsawan yang memain peranan dalam politik negeri. Rakyat Melayu tidak langsung ada apa-apa hak politik. Sudah tentu tetamu juga tidak mempunyai suara dalam hal-hal berkenaan politik. Warganegara British keturunan Cina dan India juga tidak mempunyai apa-apa suara walaupun mereka boleh dilantik sebagai Ahli Kehormat Majlis Kerajaan Tempatan atau Perundangan.

36. Keputusan untuk melaksana sistem Kerajaan berlandaskan demokrasi merupakan satu langkah radikal di dalam pentadbiran Kerajaan di Persekutuan Tanah Melayu dan Negeri-negeri Melayu. Hal ini dipersetujui pemimpin ketiga-tiga kaum terbesar yang diwakili parti-parti politik UMNO, MCA dan MIC. Tidak syak lagi yang parti-parti ini mewakili sebahagian besar daripada ketiga-tiga masyarakat di Malaya. Pihak Komunis dan yang berhaluan kiri lain tidak menyatakan persetujuan mereka terhadap persefahaman ini.

37. Suruhanjaya Reid diberi penerangan tentang perjanjian dan persefahaman ini agar ia akan dimasukkan ke dalam Perlembagaan yang akan digubal. Ketiga-tiga parti meluluskan Perlembagaan yang digubal setelah beberapa pindaan dilakukan. Kesannya Perlembagaan ini menjadi kontrak yang mengikat ketiga-tiga kaum di Persekutuan Tanah Melayu menjelang kemerdekaan pada tahun 1957.

38. Apabila Sabah dan Sarawak menyertai Negeri-negeri Semenanjung untuk membentuk Malaysia, kontrak sosial ini dipanjangkan kepada kedua-dua negeri ini. Orang Bumiputera Sabah dan Sarawak diberi taraf yang sama dengan orang Melayu. Pada masa ini juga perkataan Bumiputera diperkenalkan untuk membezakan orang Melayu dan orang Bumiputera Sabah dan Sarawak daripada yang berketurunan pendatang. Hal ini kerana Bahasa Melayu digunakan secara meluas di negeri-negeri Borneo. Tidak ada kesulitan bagi penerimaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Walaupun kaum Bumiputera di kedua-dua negeri ini bukan semuanya orang Islam tetapi hal ini tidak memerlukan pindaan kepada Perlembagaan apabila perkataan Bumiputera diterima. Tetapi definisi rasmi bagi orang Melayu tetap tidak berubah.

39. Oleh sebab itu pembentukan kontrak sosial dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dan seterusnya Malaysia. Untuk mengatakan yang ia tidak wujud samalah dengan menidakkan kandungan Perlembagaan yang diasaskan kepada penerimaan oleh pemimpin-pemimpin ketiga-tiga kaum terhadap kontrak sosial yang asal.

40. Kesemua tindakan susulan oleh Kerajaan ialah hasil daripada kontrak sosial ini. Hakikatnya pencetus kontrak sosial ini dan pewaris-pewaris mereka yang diiktiraf rakyat di setiap Pilihanraya Umum menunjukkan kesediaan rakyat untuk menghormati kontrak sosial ini.

41. Menidakkan kewujudan kontrak sosial ini ialah seperti berkata yang Malaysia ini wujud di dalam suasana kekosongan, tidak ada perlembagaan dan undang-undang yang berlandaskan kontrak ini.

42. Pelaksanaan kontrak sosial ini memerlukan pemahaman semangatnya yang mendalam. Kontrak sosial ini bertujuan mewujudkan satu negara berbilang kaum yang stabil dan harmoni. Apa jua faktor yang akan mengakibatkan ketidakstabilan dan menghasilkan ketegangan di antara kaum haruslah dianggap tidak sesuai dengan semangat kontrak sosial ini.

43. Selama 50 tahun tidak ada sesiapa yang menyoal kontrak sosial ini. Malahan hari ini pun majoriti kaum Cina dan India dan Bumiputera Melayu dan kaum Bumiputera Sabah dan Sarawak menerima kontrak sosial ini. Oleh kerana Tun Abdullah Ahmad Badawi mengalami sedikit kekurangan sokongan dalam pilihanraya 2008, dan sekarang dikatakan Kerajaan yang lemah memerintah, pihak ekstrimis dan penyanggah sekarang ini mempersoalkan kontrak sosial ini. Majlis Peguam kini telah menjadi sebuah parti politik yang percaya bahawa kepakarannya dalam undang-undang akan mengecualikan mereka daripada dipersoal tentang kelayakannya dan objektif politiknya.

44. Parti Melayu dalam kerajaan dilihat tidak berdaya menangkis apa-apa serangan terhadap kontrak sosial ini. Jika apa-apa terjadi maka pemimpin MELAYU inilah (UMNO) yang harus dipertanggungjawabkan.
***********************************************************************

Petikan dari akhbar pada tahun 1965, ini sejarah! Baca di bawah ini..

KUALA LUMPUR, 24 JUN 1965 – Menteri Kerjayara, Pos dan Telekom, Datuk V.T Sambanthan, hari ini telah bertanyakan Lee Kuan Yew, Perdana Menteri Singapura, di negeri mana di dalam dunia ini bangsa-bangsa yang mendatang diterima baik menjadi warganegaranya beramai-ramai.

Beliau menegaskan bahawa hanya negara ini sahaja di dalam dunia ini telah memberi segala kemudahan kepada semua bangsa yang mendatang di sini menjadi warganegaranya.

Datuk Sambanthan berkata demikian di dalam Dewan Rakyat tadi ketika dewan mendebatkan titah ucapan Seri Paduka Yang Di Pertuan Agong.

Di dalam ucapannya selama 45 minit, Datuk Sambanthan telah mengkecam hebat sikap Lee Kuan Yew yang memainkan peranan perkauman di sini untuk kepentingan diri sendiri.

Beliau menuduh Lee Kuan Yew cuba memainkan politik perkauman dengan mengatakan Kerajaan Melayu Pusat cuba menguasai Kerajaan Negeri.

Datuk Sambanthan telah bertanyakan Lee Kuan Yew di mana letaknya logik tuduhannya itu.

Katanya: “Jikalau sungguhlah dakwaan Lee Kuan Yew itu, memang bodohlah pemimpin-pemimpin Melayu di sini dalam tahun 1957 dahulu memberi segala kemudahan kepada bangsa-bangsa asing di sini menjadi warganegara di sini.

“Jika benar laungan-laungan Lee Kuan Yew itu bahawa Kerajaan Melayu Pusat hendak mengusai bangsa-bangsa lain, mengapa mereka membenarkan bangsa-bangsa asing itu dengan senang saja menjadi warganegara di sini”.

“Ini amat bodoh sekali kerana adanya lebih ramai bangsa-bangsa asing (khususnya Cina dan India) menjadi rakyat di sini, tentu sukar bagi orang-orang Melayu di sini hendak menguasai bangsa-bangsa lain itu.

“Jika benar mereka hendak menguasai bangsa-bangsa asing di sini, mereka dengan mudah sahaja berbuat demikian dalam tahun 1957 dahulu dengan tidak memberi kemudahan untuk bangsa-bangsa asing menjadi warganegara.

Beliau menerangkan bahawa sungguhpun orang-orang Melayu telah bermurah hati menerima baik bangsa-bangsa asing, tetapi sekarang ini mereka itulah (Melayu) golongan bangsa yang termiskin sekali.

Datuk Sambanthan bertanya: “Siapa yang memiliki bandar-bandar dan gudang-gudang serta ladang-ladang di sini. Adakah gudang-gudang dan ladang-ladang ini dimiliki oleh orang-orang Melayu?” (Berita Harian: 25.6. 1965).

No comments:

Post a Comment