Wednesday, December 19, 2012

Musim Luruh Di Seoul - Siri 3

12 November 2012- Isnin

Tidur malam tadi amat lena. Tidur ala Korea tanpa katil. Makngah dan rakan sebilik tidak bersarapan di cafe hotel. Kami hanya bancuh kopi Radix yang dibawa dan makan roti serta biskut bekalan dari Malaysia. Rakan lain ramai yang turun makan.
Pemandangan di luar dari beranda hotel
Perhatikan banjaran Mt.Seorak yang kelihatan berlapis-lapis
Di beranda bilik
Cuaca yang amat sejuk
 Mengikut jadualnya, kami akan bermain ski di Alpensia Resorts di Pyeong Chang yang berjarak 3 jam dari Seoul. Wah seronok........semua rakan di dalam bas menyatakan persetujuan untuk bermain termasuk dua orang baby. Cuma sepasang suami isteri sahaja menyatakan tidak sanggup kerana masalah kesihatan. Gina memberitahu malam tadi dalam jam satu pagi salji ada turun. Jadi dia berharap di sana nanti timbunan salji mencukupi untuk ski. Ia dibuktikan dengan pemandangan mulai semakin sejuk dan memutih di sepanjang perjalanan.

Jam 10.00 pagi kami tiba di Alphesia Resorts. Udara sejuk tidak tertahankan. Salji baru mulai memutih. Ramai yang menyerbu ke dalam tandas.

Kawasan ini merupakan sebuah kawasan peristirahatan dan pelancongan terutama untuk ski. Ia pernah menjadi gelanggang pertandingan acara ski untuk Olimpik Musim Sejuk Seoul tahun 1988. Khabarnya, Pyeong Chang bakal jadi tuan rumah Olimpik Musim Sejuk 2018 sekali lagi. Hotel-hotel dan bangunan di Pyeong Chang ini bergaya Eropah.

Gina masuk berjumpa dengan pihak pengurusan hotel dan dikhabarkan, salji belum cukup tebal untuk berski...... . Sekali lagi Makngah dan rakan-rakan berasa kecewa, tak ada rezekilah tu.

Maka, bergambarlah sahaja kami di persekitaran kawasan itu. Maklumlah pertama kali jumpa salji yang sebenar. Salji buatan pernahlah rasa bermain dahulu di satu taman tema yang kini telah ditutup di Kuala Lumpur. Di rumah empat musim Taman Cahaya Seri Alam Bukit Cerakah juga pernah rasa salji buatan berguguran.
Kawasan pergunungan yang belum cukup tebal saljinya.
Alphesia Resort
Kami menaiki bas dengan perasaan hampa kerana tidak dapat bermain ski. Bergerak keluar dari situ pada jam 11.00 pagi menuju ke Kimchinara untuk mempelajari cara pembuatan kimchi yang dipanggil sekolah kimchi dan mencuba pakaian tradisional Korea iaitu "han bok ".
kubis dan lobak untuk kimchi
campuran herba perapan kimchi
Guru kimchi
Elok-elok terr
Pelajar cilik kami
 
Baby pun belajar juga
Selesai di bilik belajar kimchi di tingkat bawah, kami naik ke tingkat atas untuk mencuba han bok pula. Riuh kami dibuatnya dengan gelagat untuk memilih han bok yang sesuai dan memilih sudut bergambar yang disukai. Penatlah Makngah menjadi jurugambar suruhan......huhuuhu.
Selesai di situ, masa masih ada untuk ke Everland Theme Park. Jam 12.30 waktu Korea atau 1.30 waktu Malaysia tayar bas bergolek di jalan raya. Cuaca mulai mendung. Perjalanan hanya 15 minit dan ketika turun dari bas hujan mulai rintik-rintik halus mesra. Kami diturunkan di stesen tren khas yang akan membawa kami masuk kerana bas / kenderaan awam tidak dibenarkan memasuki kawasan taman tema itu.

Taman tema yang tertua di Korea itu (hampir 30 tahun) sedang persediaan meraikan sambutan Krismas. Lagu Krismas bergema di seluruh kawasan taman itu. Kami perlu beratur untuk pemeriksaan tiket. Orang juga ramai. Nampaklah kepada Makngah orang Malaysia juga ramai malahan ada yang Makngah cam satu kapal ketika datang.

Kami perlu bersolat dahulu. Gina akan menunjukkan tempat bersolat kepada kami. Dalam suasana orang terlalu ramai, hujan dan kawasannya pula berbelas ekar, Makngah, Anis dan Raihan tertinggal di belakang. Ia terjadi kerana Anis tergesa-gesa memasuki tandas akibat tidak tahan. Jenuhlah kami mencari rakan-rakan lain sebelum ditunjukkan oleh seorang kenalan dari kumpulan lain. Panik juga sekaligus dibuatnya kerana masa yang diberi untuk berada di situ hanya tiga jam. Sedangkan kami berlegar-legar mencari tempat solatpun sudah hampir satu jam.

Tempat solatnya amat kecil iaitu hanya sebuah bilik tidur  semuat sebuah katil. Terpaksa dikongsi lelaki dan perempuan. Kami ingatkan paling kurang seluas surau di kampung. Bilik airnya pula jauh dari situ. Tak apalah, sekurang-kurangnya ada juga daripada tiada langsung.


 

Sampai cuaca gelap kami berada di Everland. Lebih sejam terlewat kerana menunggu 3 beranak rakan kami yang entah tersesat di mana. Ermmm nak buat macam manalahkan kalau sudah berada di taman tema hebat macam itu.

Kami makan di sebuah restoran sebelum ke hotel yang tidak jauh dari Everland Theme Park bernama Hanhwa Resort di Yongin. Tidurlah pula kami di sebuah lagi resort ala bilik tidur tradisi Korea.


Jumpa lagi di siri keempat untuk menitip cinta kepada "oppa" di Seoul Tower.


No comments:

Post a Comment