Saturday, October 2, 2010

GUNUNG STONG YANG KUKENALI


Selasa 28 Sept.2010  

10.00 pagi- Peserta ekspedisi sudah mula berkumpul di stesen keretapi Wakaf Bharu. Pelajar-pelajar daripada tingkatan 6 rendah yang seramai 86 orang itu berjalan kaki sahaja dari SMKWB kerana jaraknya yang dekat sahaja. Sebelum itu mereka mengambil barang-barang perkhemahan mereka daripada  guru peralatan yang dipertanggungjawabkan.  Ramai guru datang menghantar kami untuk mengucapkan selamat berangkat termasuklah Puan Pengetua sendiri. Sambil  menunggu ketibaan keretapi kami berbual-bual tentang gunung tertinggi di Kelantan yang akan kami tawani nanti. Terutamanya pengalaman pelajar-pelajar dan guru-guru SMKWB yang pernah mendakinya pada tahun lepas.
                Program yang bermula hari ini merupakan satu program motivasi untuk pelajar-pelajar tingkatan enam rendah atau prauniversiti semester pertama SMKWB 2010. Program yang diberi nama “Kenali Gunung Stong” ini dikendalikan oleh Unit Bimbingan dan Kaunseling dengan kerjasama Unit Pengurusan Tingkatan Enam SMKWB 2010.
                Secara peribadi, aku telah mengetahui tentang Gunung Stong (GS) sejak tahun 1996. Pada tahun itu aku telah membawa rombongan pelajar  sekolah rendah dari  Tendong untuk satu program alam sekitar bersama CAP Pulau Pinang. Namun program kami di sekitar Gunung Stong Resort sahaja. Menurut staf Gunung Stong Resort yang ketika itu diurus oleh Perdana Resort, akulah guru pertama yang mengadakan program bersama pelajar di situ. Gembira juga kerana menjadi orang pertama mencatat rekod beraktiviti di tempat yang begitu menarik . 
10.30 pagi – Keretapi tiba dari stesen Tumpat. Kami beratur menaikinya dengan pelbagai beg yang digalas dan dibimbit bagai tidak cukup anggota. Alhamdulillah semua peserta mendapat tempat duduk di dalam keretapi yang agak selesa kocnya dan berhawa dingin. Aku duduk bersebelahan dengan Cikgu Amanina yang merupakan guru muda MUET tingkatan enam dan baru dua bulan sahaja selesai pengajian di UPM. Muda remaja lagi dia berbanding dengan aku yang sudah 22 tahun mengajar. Sebenarnya kami berdua sahaja guru pengiring perempuan berbanding dengan 10 orang guru lelaki termasuk PKHem kami Sir Lokman. Tidak ramai penumpang lain jadi riuhlah koc kami itu dengan pelbagai gelagat para peserta bergelak ketawa dan bergurau senda. Ada yang terlelap dan ada yang makan nasi bungkus yang telah disediakan oleh guru bertugas.
                Keretapi terus bergerak dan berhenti di beberapa buah stesen bagi menurun dan menaikkan penumpang.

12.45 pagi – Kami turun di stesen Dabong. Guru pengelola iaitu Cikgu Mohd Zawawi mengarahkan kami berkumpul di tempat menunggu van “Jelawang Jungle” yang akan membawa kami ke Kg.Jelawang  iaitu kaki Gunung Stong yang juga tempat terletaknya Gunong Stong State Park Resort (GSSPR) yang kini diurus oleh KPK Stong Hill Resort. Beberapa orang guru yang datang dengan kereta datang menemui kami termasuklah Cikgu Norhayati dan Cikgu Oi. Mereka tidak mengikuti ekspedisi  hanya sekadar memberi sokongan moral.
                Empat buah van berulang kali memunggah peserta kerana rombongan kami yang ramai. Aku, Cikgu Amanina dan 10 orang pelajar perempuan menaiki van yang sama. Tidak lama di dalam van, dari jauh kami sudah nampak jaluran putih Air Terjun Jelawang. Pemandu memberhentikan van  seketika bagi memberi peluang kami merakam gambar air terjun setinggi 303 meter yang merupakan air terjun tertinggi di Asia Tenggara itu. Rasa kagum yang teramat bagi pelajar yang pertama kali memandangnya dan memikirkan pula esoknya air terjun itulah yang akan kami dekati dan redahi......hai...................tinggi tu...... . 

1.15 tengah hari – Semua peserta sudah tiba di GSSPR yang merupakan transit untuk peserta ekspedisi ke GS. Kami membuat persiapan untuk memulakan pendakian. Solat Zohor,makan minum, mengambil peralatan perkhemahan, barangan makanan daripada van Cikgu Fakhrul Razi dan sebagainya. Setiap pelajar diletak di dalam 10 kumpulan dan wajib bertanggungjawab ke atas keperluan kumpulan mereka sendiri. Kerjasama dan kepatuhan  antara mereka akan dinilai di akhir program dan akan diberi penghargaan.
Ketua jurupandu yang dilantik memberi taklimat mengenai perjalanan kami nanti. Menurut beliau, kami akan mendaki selama lebih kurang dua jam sebelum sampai ke Kem Baha tempat kami akan berkhemah nanti. Mungkin perjalanan kami akan mengambil masa lebih sedikit kerana kami ramai manakala trek yang akan dilalui sempit sahaja. Dalam perjalanan kami akan berehat di sebuah sebuah gua berair terjun.
 “ Lebih dua jam? Jauh tu...dengan memikul beg peralatan lagi !” kata hatiku. 

3.30 petang- Selepas Cikgu Hanafi membacakan doa selamat, kami memulakan langkah dengan begitu bersemangat sekali. Dua kumpulan dilepaskan dahulu dengan didahului seorang jurupandu. Selepas itu dua kumpulan lagi akan bergerak mengikutinya dan begitulah seterusnya. Aku membawa sebuah beg sandang kecil sahaja kerana ada pelajar lelaki sudi menolong membawa dua lagi beg peralatanku. Sebenarnya baranganku sedikit sahaja tetapi sengaja kuletakkan di dalam tiga beg sandang kecil agar senang meminta tolong untuk dibawakan berbanding satu beg besar yang akan membebankan pembawanya. Itulah taktik aku.
                Laluan pendakian kami  berupa laluan air  yang tanahnya jadi bertingkat-tingkat kerana disekat oleh akar-akar pokok hutan dan balak. Ada tempat yang disediakan tali dan rantai sebagai tempat berpaut. Dapat aku bayang jikalau hujan turun maka langkahan kami akan berlawan dengan aliran air hujan, pasti lebih mencabar.
                Kami merentasi satu kawasan air terjun untuk mendaki ke puncak. Di situlah bermulanya “thrill” ekspedisi kami. Kasut penoreh getah RM6.00 amat berguna kepadaku kerana tapaknya yang macam gergaji kuat mencengkam. Begitu juga sarung tanganku  sangat melindungi tanganku daripada sentuhan duri-duri daun pokok dan aurat jika terpaksa berpegangan tangan meminta bantuan.

4.15 petang – Kumpulan kami berehat lega di laluan air terjun airnya amat jernih dan sejuk. Ada pelajar yang membasahkan muka dan tekak dan mengisi air ke dalam botol untuk bekalan dalam perjalanan nanti. Aku merakamkan keindahan panorama yang menarik itu dengan kamera digitalku. Hilang separuh kepenatan kami.
                Tidak lama kami di situ, perjalanan diteruskan. Hujan renyai-renyai. Aku terus berdoa agar hujan tidak turun bagi mencepatkan perjalanan kami. 

5.10 petang- Kami berehat seketika di sebuah wakaf yang disediakan sambil makan minum bekalan yang dibawa sebelum meneruskan lagi pendakian.

5.45 petang – Tiba di Kem Baha. Alhamdulillah.....aku, Cikgu Amanina dan lima orang pelajar merupakan kumpulan pertama tiba.  Wow.....menarik betul pemandangan di situ, tanpa berlengah kami terus meninjau kawasan tersebut sambil bergambar. Kami berehat di kawasan air terjun kem yang menampakkan pemandangan GSSPR dan Kg.Jelawang sementara menunggu ketibaan kumpulan lain. Pihak kem ada menyediakan pondok-pondok rehat untuk disewa yang pada pemandangan aku amat menarik dan klasik berupa pondok kampung orang Melayu.
                Teruja melihat kejernihan air di situ, aku terus terjun berendam ke dalamnya. Dingin segar betul airnya menghilangkan peluh hangit badan. Rasa airnya sangat segar, lebih sedap daripada air botol yang didakwa air mineral itu.
                Semua peserta sudah tiba. Pelbagai gelagat pelajar dan guru dapat dilihat bagi menunjukkan kelegaan mereka setelah menempuh perjalanan selama lebih kurang 2 jam. Ada yang mengalami keregangan saraf kaki dan terpaksa dibantu.
 Jurupandu memberi sedikit taklimat tentang tapak perkhemahan kami yang terletak di bahagian atas kem dan perlu melepasi laluan air terjun. Wow.....cabaran belum selesai untuk hari itu. Aku terasa tercabar juga untuk ke situ kerana perlu menuruni satu batu besar dan memijak batu-batu  lalui air terjun yang jatuh dari satu batu besar. Aku membayangkan jika hujan lebat pasti paras air menjadi tinggi dan deras yang pasti akan menghalang laluan ke seberang.
Jurupandu dan beberapa orang pelajar lelaki terpaksa membantu pelajar-pelajar perempuan bagi menuruni batu besar tersebut dan melepasi sungai serta naik semula ke tapak perkhemahan kami.


6.10 petang – Tiba di tapak perkhemahan yang hanya tersedia satu bangsal beratap kanvas tanpa dinding yang dinamakan surau. Kawasannya bersih yang cukuplah untuk didirikan 12 buah khemah peserta kami untuk tidur secara berkongsi. Peserta-peserta mula mendirikan khemah mereka. Timbul pertanyaan mana khemah untuk aku dan cikgu Amanina. Cikgu Amanina selaku guru persiapan peralatan lupa menandakan khemah untuk urus setia kerana barang-barang dibawa secara berkongsi oleh para peserta. Guru-guru lelaki tidak memerlukan khemah kerana mereka boleh tidur di surau. Sir Lokman membawa khemah sendiri berkongsi dengan anak perempuannya yang ikut serta.
Akhirnya setelah masuk waktu Isyak sebuah khemah diangkut ke tempat aku dan barang-barangku menunggu. Selesai masalah. Masing-masing dengan tugas sendiri. Ada yang ke sungai mengambil air, mandi, memasak, solat dan sebagainya.
Ketika hendak memasak untuk guru-guru, aku dan Amanina mencari beras di khemah urus setia pula tidak ada. Geger juga mencari dan bertanya siapakah yang tolong membawakannya tetapi tiada yang mengaku. Terpaksalah seorang pelajar pergi mengumpulkannya sedikit sedikit daripada semua kumpulan.
Aku cuba membuat unggun tetapi kayu dan daun-daun gugur agak basah kerana siang tadi hujan renyai-renyai. Mujurlah malam ini cuaca baik.
9.30 malam- Dapatlahlah kami nikmati makan malam berlaukkan sardin dan ada yang memasak mi segera sahaja sebagai hidangan pada malam itu. Selesai makan barulah aku dan Amanina turun ke sungai dengan bersuluhkan lampu suluh untuk membersihkan badan dan mengambil wuduk. Curam juga laluan turun ke sungai ditambah kerana terpaksa melangkahi batang balak tumbang yang merentangi tebing. Dingin malam ditambah dengan sejuknya deruan air terjun membuatkan aku menggeletar tidak dapat berendam lama.
                Pertama kali sejak 40 tahun dahulu aku menggunakan tandas semulajadi......hahahahah....harap ada yang faham.
                Giliran bertugas peserta mengikut jam telah ditetapkan oleh Komandon Kem iaitu Cikgu Nik Kamarul. Sebelum itu peserta diminta berkumpul di depan surau untuk  taklimat ringkas apa yang akan berlaku esok sebagai persiapan untuk pendakian ke Gunung Stong. Cikgu Syukri GPK Tingkatan Enam mengucapkan tahniah kepada semua peserta kerana  berjaya mengikut peraturan dan menepati jadual perjalanan dan diharap berterusan.  Para peserta juga ditegur oleh Cikgu Hasbullah supaya jangan cuba berkelakuan tidak senonoh dalam keadaan kami berada di tengah hutan rimba bergunung ganang. Banyakkan membaca ayat-ayat Al Quran dan doa-doa sebelum tidur. Peserta perempuan juga diingatkan supaya menjaga aurat.

11.00 malam – Malam begitu baik sekali. Wajah bulan 20 Syawal baru malu malu muncul di celah celah pokok. Cahaya suramnya sesekali sahaja dapat kutatap.Tiada dengungan nyamukpun. Nyamuk tidak membiak di tanah tinggi walaupun berhutan rimba. Aku membentangkan “sleeping bag” dan baring, tanpa sedar bila terlelapnya. Amanina pun sama. Aku memang pantang merebahkan badan, mudah tertidur walau di mana pun lebih lebih lagi jika badan penat. Alhamdulillah..........nikmat Allah juga itu.

29 September 2010
4.30 pagi – Aku tersedar dari tidur. Itulah masa bangun aku jika di rumah pun. Amanina terus kukejutkan. Kami keluar khemah dengan membawa lampu suluh dan terus ke sungai untuk membersihkan diri. Peserta lain masih tidur barangkali kerana tiada suara pun yang kami dengar. Ketika mendongak ke langit, bulan sudah tegak di pucuk pokok-pokok hutan menyimbahkan cahayanya. Kami mandi di bawah simbahan cahaya bulan dan didendangkan oleh deruan aliran air sungai yang terjun daripada batuan yang lebih tinggi. Indah sungguh pemandangan di kala hampir Subuh ini. Dingin air dan cuaca gunung usah diceritakanlah, menggigil daguku dibuatnya .
5.30 pagi- Semua peserta sudah bangun. Masing-masing dengan persiapan sendiri. Aku dan Amanina menjerang air dan menanak nasi serta membuat lauk apa yang patut. Kami perlu bersiap awal kerana jam lapan pagi kami mesti bersedia untuk taklimat sebelum mendaki.
8.00 pagi – Siren pembesar suara dibunyikan tanda perlu berkumpul. Beberapa pesanan bergilir-gilir diberikan oleh guru-guru lelaki. Antaranya supaya menjaga tutur kata agar jangan bermulut lepas atau celupar. Peserta yang rasa tidak mampu mendaki Gunung Stong yang memakan masa lebih empat jam diminta berkumpul di satu bahagian. Mereka akan dibawa ke Air Terjun Tujuh yang perjalanannya hanya lebih kurang sejam sahaja.
                Semua peserta lelaki akan membuat pendakian manakala sebahagian kecil sahaja pelajar perempuan yang tidak mahu. Guru-guru yang akan mendaki termasuklah aku, Cikgu Amanina, Sir Lokman dan anaknya, Cikgu Syukri dan Cikgu Hanafi.
9.30 pagi – Pendakian bermula setelah mendengar taklimat ringkas daripada ketua jurupandu tentang laluan pendakian kami nanti iaitu yang akan melalui empat “check point” antaranya Gua Bonggo. Di belakang masing-masing ada beg sandang berisi bekalan makan minum untuk pendakian yang panjang itu.
                Sepanjang perjalanan pelbagai flora kami nikmati. Seekor pacat kekenyangan di atas stokinku tanpa aku sedari. Nasiblah disedari oleh seorang pelajar dan tolong membuangnya.
11.10 pagi – Berihat sekejap di Gua Bonggo yang ada air terjun dan aliran sungainya sangat jernih. Ada yang membasahkan tekak, mengisi air ke dalam botol untuk bekalan perjalanan seterusnya, bergambar dan yang mandi pun ada.
                Perjalanan semakin mencabar kerana keletihan semakin terasa sedangkan jarak masih jauh. Laluan pula semakin sukar kerana perlu memanjat tebing-tebing tinggi yang hanya dengan berpaut pada akar-akar pokok sahaja. Tanah dan batu juga agak licin kerana laluan kami itu sebenarnya laluan air hujan. Pelbagai formasi akar pokok dapat disaksikan dan ada antaranya menakjubkan jika diteliti. Jika tiada pokok dan tiada akar-akar tersebut, maknanya tiadalah Gunung Stong kerana flora itulah penentu kepada kelestarian sesebuah puncak tanah tinggi di Malaysia ini.
                Mujurlah tiada suara penghuni rimba ganas yang didengar. Sekadar suara ungka dan unggas sahaja itu pun daripada jauh. Badan sudah berpuluh kali berpeluh dan kering. Semangat masih membara untuk menawan gunung tertinggi di Kelantan itu. Adakalanya kami meniti batang balak  tumbang sebesar dua pemeluk, yang di bawahnya jurang segayat  mata memandang.
                Beberapa kali kami dalam keliru arah laluan kerana tertinggal daripada kumpulan di depan sedangkan jurupandu tidak ada. Mujurlah ada seorang pelajar bernama Mak Yo agak mahir dalam hutan dan dapatlah diiktiraf sebagai penolong jurupandu.
                Pergerakan aku semakin mencabar kerana dengan tiba-tiba “sifat bulanan kewanitaanku”  muncul. Mungkin kerana aktiviti lasak yang sedang dijalani ini. Nasib baik ada persediaan walaupun sedikit sebanyak agak mengganggu, namun semuanya dapat dihadapi.

1.45 petang – Segala puja puji bagi Allah Tuhan Seru Sekalian Alam, akhirnya aku dan beberapa orang lagi yang sekumpulan dengan aku menjadi kumpulan kedua tiba di puncak itu. Ketibaan kami disambut dengan suara sorakan dan tepukan oleh kumpulan yang lebih awal sampai. Hilang segala rasa letih kami. Puncak Gunung Stong berupa batu sebesar lebih kurang luasnya 10 x 12 kaki dan tingginya 8 kaki. Kami memanjat dengan bergantung kepada akar-akarnya yang berselirat.
                Di atasnya ada papan tanda yang sudah rosak tetapi masih dapat dibaca yang dibuat oleh Kumpulan Pengakap Jeli tertulis “Congratulations” 1399 meter. Akupun mula memberi saranan kepada budak jurupandu itu agar menukar papan tanda yang sudah daif itu. Dia menyatakan usaha sedang dilakukan untuk perkara itu. Pemandangan kawasan pergunungan Hutan Simpan Dabong amat menenang dan menyamankan jiwa raga. Jurupandu menunjukkan kepada kami arah puncak-puncak gunung lain yang ada di sekitarnya termasuklah Gunung Ayam dan Tebu.
2.30 petang – Sambil berehat ada yang memasak mi segera dan berborak-borak yang tidak keterlaluan kerana mereka sudah ditegur oleh jurupandu agar tidak terlepas cakap. Tiga orang jurupandu membuat keputusan untuk berjalan turun semula walaupun masih ada satu kumpulan pendakian belum sampai, memandangkan cuaca tiba-tiba suram. Kumpulan itu termasuklah GPK kami, Cikgu Hanafi dan beberapa orang pelajar perempuan yang sebelum itu kami tinggalkan kerana ada masalah kekejangan kaki dan sakit perut.
                Tidak lama memulakan perjalanan, cuaca semakin mendung. Kami bertembung dengan kumpulan terakhir itu dan mereka tidak berputus asa untuk terus mendaki. Syabas kepada mereka kerana tidak berputus asa.
4.30 petang – Hujan mulai turun. Kami mulai risau. Walau apapun kami tetapkan hati tawakkal kepada-Nya. Mulutku tidak henti membaca ayat-ayat doa. Hujan semakin lebat disertai dengan beberapa kali dentuman petir dan kilat. Nasib aku baik kerana seorang pelajar memberikan baju hujannya kepada aku yang memudahkanku menjadi pemandu tak bertauliah. Sebelumnya seorang pelajar lelaki berada di hadapan aku tetapi kerana tidak mampu memandang jauh dia beralih ke belakang lalu mempersilakan aku di hadapan. Jurupandu entah ke mana bersama kumpulan di hadapan.
                Seperti yang diduga, pergerakan kami sangat-sangat mencabar kerana aliran air berterjunan bersama hujan lebat yang membawa daun-daun kering itu menghalang langkahan menurun kami. Lopak-lopak dalam memerlukan kami memberi perhatian 200 peratus. Dalam pada itu ada yang jatuh terduduk dan tergelincir.
 Perjalanan turun yang sepatutnya lebih cepat menjadi semakin lambat.
5.45 petang – Kami tiba di Sungai Cincin yang perlu diseberangi. Kegusaran membenak di hatiku kerana jelas sekali air sungai sudah naik ke paras tinggi dan alirannya yang lebih laju berwarna keruh boleh membahayakan penyeberangan kami . Seorang jurupandu baru tiba dari arah belakang. Dia risaukan kami kalau-kalau kami terus menyeberang tanpa mendapat bantuan mereka.
                Hujan masih turun. Seorang jurupandu bantuan tiba untuk memantau penyeberangan kami. Akhirnya  alhamdulillah semua kumpulan aku berjaya menyeberang sungai itu dan naik ke tebing dengan bantuan tali.
6.45 petang – Tiba di Kem Baha. Hari sudah gelap. Berita kami terima, kumpulan yang tiba lebih awal walaupun berjaya menyeberang Sungai Cincin dengan mudah tetapi mereka tersekat ke tapak perkhemahan kerana satu lagi sungai yang perlu kami seberangi sudah dinaiki air. Khemah-khemah kami juga banyak yang dibawa air dan membasahkan semua yang ada. Berehatlah kami di kawasan sekitar sementara menunggu satu lagi kumpulan yang terakhir. Tentu mereka menghadapi lebih banyak kesukaran.
                Aku sudah tidak tahan berdiri terus baring di satu banir pokok dalam cuaca yang semakin menggelap. Pelajar-pelajar yang lapar ada yang membeli mi segera dengan harga RM2.00 sebungkus di sebuah gerai kecil yang satu satunya ada di situ.
                Cikgu Zawawi datang bertanya khabar kepada kami dan bercerita hal di tapak perkhemahan yang dilanda banjir. Dia tidak mengikuti pendakian ke puncak. Ketika itu pelbagai cerita terkeluarlah. Ada yang kasut mereka tercabut tapak lalu terpaksalah mencari tali untuk diikat.
9.00 malam- Barulah kami dibenarkan bergerak ke tapak khemah kami kerana dikatakan air sungai sudah kurang membahayakan kederasannya walaupun pada pandangan aku masih menggerunkan. Sudah ada satu kumpulan baru sedang  membuat persiapan perkhemahan di laluan kami. Apabila disapa mereka daripada Pulapol Negeri Sembilan.  Mereka tertanya-tanyakan hal kami yang malam gelap baru tiba itu.
 Para jurupandu membuat pagar manusia bagi menyambut tangan-tangan kami semasa menyeberang. Itulah buktinya keadaan masih membahayakan.
Ketika makan malam, Zulfikar yang berada dalam kumpulan terakhir petang tadi datang ke tempat aku duduk. Dia bercerita pasal pengalaman dia tadi bersama beberapa orang yang lain nyaris-nyaris dihentam “kepala air” yang katanya bagai ombak tsunami. Jika terlewat melompat ke batu seberang sesaat sahaja, pasti ada yang akan menjadi mangsa hanyutan air sungai deras. Terkejut aku mendengarnya. Kami tidak boleh berbual lama kerana ada tanda hujan rintik-rintik mulai turun.
                Semua beg dan pakaian dalam khemah basah. “Sleeping bag” aku pun lencun dek air hujan. Kami tidak dapat mengambil air di sungai untuk minum kerana sudah keruh airnya. Juga tidak dibenar ke sungai kerana masih membahayakan. Ramai yang tidur dengan tidak membersihkan diri termasuklah aku.
                Aku dan Amanina tidur dalam basah. Kami terlelap entah jam berapa setelah menjamah  nasi yang diberikan oleh pelajar berlaukkan sambal ikan bilis.

30 September 2010

4.30 pagi – Aku terjaga lalu mengejutkan Amanina tetapi dia agak liat hendak bangun. Aku bangun membersihkan diri ala kadar  di tepi khemah dengan air botol yang disimpan malam tadi walaupun agak keruh tetapi masih boleh menyucikan. Bersiap ala kadar, aku keluar semula memeriksa keadaan dengan berlampu suluh walaupun cahaya bulan masih samar-samar. Surau penuh menjadi tempat tidur guru-guru lelaki. Beberapa orang pelajar yang berkawal tadi sudah masuk khemah mereka semula. Tidak tahu hendak buat apa, aku masuk ke khemah dan terlelap semula kerana badan mulai sengal-sengal.

5.30 pagi – Dikejutkan oleh suara garau Cikgu Zamani membangunkan para peserta. Amanina terus bangkit. Kami diberi masa dua jam sahaja untuk bersiap termasuk membuka khemah dan bersarapan. Aku mulai berkemas beg. Beg menjadi sekali ganda lebih berat kerana semuanya kain basah. Buku catatan aku hancur terkena air hujan.
                Kabus tebal menyelubungi suasana pagi di tapak perkhemahan itu. Lebih tebal daripada pagi semalam mungkin kerana hujan lebat yang turun petang semalam. Ketika matahari sedang naik, aku berkesempatan merakam gambar di air terjun.

7.30 pagi – Siren dibunyikan minta berkumpul. Arahan terperinci cara-cara membersihkan kawasan diulang sekali lagi. Kami tidak dibenarkan meninggalkan sebarang sampah di situ. Semuanya wajib dibawa balik kecuali sampah basah yang boleh dilupuskan.
 
9.10 pagi – Aku sebagai jurugambar meminta agar semua berkumpul untuk rakaman gambar terakhir,  bersama peralatan pulang berlatarkan suasana berkabus di hadapan surau dan sinaran mentari sedang meninggi. Kami perlu segera kerana keretapi yang akan kami naiki ialah jam 2.00 petang.

10.10 pagi- Kata jurupandu, perjalanan turun lebih cepat berbanding pendakian, alhamdulillah..... bersyukur sangat dalam keadaan urat geramat mulai kejang itu. Selepas taklimat terakhir daripada jurupandu itu dan bacaan doa selamat, kami memulakan langkah. Tiba-tiba telefonku berbunyi,  panggilan daripada Puan pengetua. Beliau menyampaikan tugasan terbaru aku apabila pulang nanti.....hai.................... .
                Perjalanan lebih lancar walaupun laluan lecak dan licin. Masing-masing mengakui cara pergerakan mereka macam itik nila. Ada yang kata macam robot dan ada yang merasa berjalan macam penguin......hahahahahh.

11.45 pagi – Semua peserta tiba di GSSPR. Ketika menuruni laluan resort, seorang pakcik yang aku agak pekerja di situ menegurku tentang ada tengokkah tapak kaki besar kepunyaan penjaga Gunung Stong zaman dulu di atas gunung itu semalam. Ternganga aku dibuatnya. “ Guide tak royak ko?” tanya pakcik itu.
 Selepas membersihkan diri, van terus mengangkut kami ke Stesen Keretapi Dabong. Hari Khamis, penumpang ramai  memenuhi stesen terutama bagi pelajar sekolah Dabong yang tinggal di asrama ingin pulang di hujung minggu.

2.40 petang-  Keretapi tiba juga. Hampir dua jam kami menunggu hingga ada yang tertidur bergelimpangan di lantai stesen kerana keletihan. Bai bai Air Terjun Jelawang....oh Gunung Stong.

* Maaf: Gambar banyak tetapi tak dapat dimasukkan kerana masalah server  amat perlahan.

No comments:

Post a Comment