Monday, August 16, 2010

PENGALAMAN DENGAN PEMUNGUT SUMBANGAN

    


            Hari kedua Ramadan, aku ke sebuah bank di KB. Sudah menjadi satu gaya pandangan pada hari ini ramai tukang pungut derma berderet menunggu orang ramai keluar dari pintu bank. Bersama mereka ialah tabung yang pelbagai saiz dan daripada pelbagai material dengan pelbagai tujuan kutipan.

       Jumlah pemungut derma ini pula akan bertambah jika pada awal bulan dan bulan Ramadan seperti sekarang. Mereka pula terdiri daripada lelaki dan perempuan, kanak-kanak atau berusia dewasa. Gaya berpakaian dan keterampilan mereka juga kelihatan rencam.

       Bank ketiga yang aku lalui, seorang lelaki yang berserban dan berbaju ala muslim dengan begitu ramah dan senyum manis menunjukkan tangannya ke arah tabung derma di hadapannya. Aku kurang pasti derma untuk apa walaupun ada ditulis kerana tidak memberi tumpuan kepada hal itu. Aku tidak berhasrat untuk menghulurkan derma pada kali itu, jadi aku melemparkan senyuman ikhlas sahaja kepada pemungutnya.

       Tanpa kusangka, lelaki tersebut dengan ramah berkata " Senyum tak apa dah.....". Maka aku pun melemparkan senyuman yang makin lebar. Tuan puan tentu dapat mengerti apa yang dimaksudkan oleh lelaki tersebut. Apa yang dapat aku tanggap ialah sebagai seorang yang banyak berhadapan dengan orang ramai, pasti pelbagai reaksi yang diterimanya daripada orang ramai apabila dia memohon derma samada tindak balas positif atau negatif. Pastinya yang negatif itulah yang lebih berbekas kepada kita sebagai manusia yang berperasaan. 

       Awal tahun ini aku pernah ke sebuah bank lain di KB. Dari jauh aku perhati seorang lelaki pemungut derma yang penampilannya sangat warak dengan serban besar, berjubah dan berjanggut jambang lebat memohon derma daripada seorang lelaki di hadapannya dengan begitu ramah tamah. Lelaki yang disapanya itu langsung tidak memberi apa-apa reaksi kepada sapaan si pemungut malahan menarik muka gaya kurang senang, Atas rasa kasihan, aku mendekati tabung derma lelaki pemungut itu dan memasukkan wang ke dalamnya. Agak-agak apakah reaksi si pemungut itu yang membuatkan aku pula yang rasa terkejut. Dia pula yang memasamkan muka kepada aku dan hanya membuat jelingan tajam. Pulak dah............... .

       "Salahkah aku kerana aku perempuan dan memberi derma kepada seorang yang begitu warak penampilannya. Lelaki yang tidak boleh memandang perempuan muhrim?" Itulah ayat pertanyaan yang terlintas di fikiran aku. Atau tuan puan ada tafsiran lain? Demikianlah seadanya.




  

No comments:

Post a Comment