Sunday, October 2, 2011

PETUA HADAPI PEPERIKSAAN


Bayangkan rasa yang amat bahagia apabila berjaya nanti

1. Jangan panik
Sebaik melangkah masuk ke dewan peperiksaan, jangan panik kerana ia mampu membuatkan kita lupa 50 peratus apa yang sudah dipelajari selama ini. Tanamkan keyakinan dalam diri anda boleh menjawabnya.
2. Nota ringkas
Nota ringkas amat penting dan berguna kerana ia senang dibawa ke mana saja. Anda boleh membaca catatan nota ringkas berkenaan di waktu terluang.
3. Pastikan mendapat tidur dan rehat secukupnya
Biar sesibuk mana sekalipun, anda perlu mendapat tidur dan rehat cukup. Jangan lupa bersenam sekurang-kurangnya 10 minit bagi memastikan badan kekal cergas. Pengaliran oksigen yang baik boleh menghasilkan otak yang cerdas.
4. Pemakanan berkhasiat dan seimbang
Elak mengambil terlalu banyak makanan yang mengandungi kafein kerana anda mungkin akan sukar tidur dan hilang tumpuan.
5. Kawal emosi
Elak terbabit dalam sebarang konflik yang boleh menggugat ketenangan emosi di saat anda akan menduduki peperiksaan. Jangan menimbulkan sebarang pertelingkahan atau terasa hati dengan rakan-rakan atau keluarga kerana ia boleh menggugat ketenangan ketika menjawab soalan kelak.
6. Banyakkan berdoa dan bersolat
Sebagai makhluk yang lemah, kita memang tidak dapat lari daripada berdoa kepada Allah s.w.t. Bagi yang beragama Islam, anda perlu memperbanyakkan solat hajat, tahajud dan berdoa memohon bantuan-Nya. Sebelum melangkah ke dewan peperiksaan, pohon keampunan dan keredaan daripada ibu bapa dan guru.Kalau ada hutang, selesaikan segera agar diberi rahmat oleh-Nya.
7. Hindarkan sebarang pertelingkahan terutama dengan ibu bapa, guru-guru, kawan-kawan dan sebagainya. Jika ada segera meminta maaf atau memaafkannya termasuk hutang piutang jika ada perlu diselesaikan demi mendapat keberkatan daripada-Nya.
8.Persediaan Akhir

Iaitu seminggu sebelum peperiksaan. Baca kembali semua nota ringkas. Pastikan anda mengingati semua mata pelajaran peperiksaan. Nota ringkas seharusnya mengandungi kata-kata kunci sahaja. Semak nota sekerap yang boleh sehingga anda dapat menulis kembali isi sesuatu mata pelajaran dengan lengkap.
 
 

PERSEDIAAN MENTAL
9.Malam Peperiksaan
  • Pastikan anda tidur secukupnya untuk memberi kesegaran pada esoknya.
  • Kumpulkan keperluan teknikal untuk peperiksaan seperti pen, pensel, pemadam, pembaris, kad pengenalan dan lain-lain. Letakkan ditempat yang senang diambil dan mudah diingati.
  • Kuatkan azam dan tekad untuk BERJAYA.
10.Pagi Sebelum Peperiksaan
  • Jangan lupa ambil sarapan pagi
  • Datang awal ke tempat peperiksaan iaitu sekurang-kurangnya 15 minit sebelum peperiksaan. Ini bertujuan memberi ketenangan kepada anda.
  • Sebaik-baiknya jangan berbincang lagi tentang pelajaran dengan rakan-rakan sebelum masuk ke dewan peperiksaan. Perbincangan seperti ini boleh merungsingkan fikiran anda.
  • Berdoalah agar anda tenang menghadapi peperiksaan dan mendapat kejayaan yang cemerlang.
  • Masuklah ke dewan peperiksaan dengan disiplin dan keyakinan.
  • Pastikan tempat duduk anda selesa. Duduk dan tenangkan fikiran anda.
  11. MEMULAKAN PEPERIKSAAN
 
  • Dengar arahan pengawas peperiksaan.
  • Pastikan kertas soalan anda itu lengkap.
  • Lihat semua soalan.
  • Tandakan semua soalan yang hendak dijawab (untuk soalan esei).
  • Tuliskan isi-isi soalan yang hendak dijawab supaya tidak lupa.
  • Mulakan soalan esei dengan membuat rangka kasar terlebih dahulu.
  12. MENJAWAB SOALAN
Soalan Objektif
  • Bahagikan masa untuk setiap soalan. Contohnya Bahasa Melayu Kertas 1 (bilangan soalan ialah 60, masa diperuntukkan 1 jam 30 minit). Oleh itu masa menjawab 1 soalan ialah 1 minit 30 saat.
  • Baca soalan dengan teliti. Kesankan perkataan BENAR, TIDAK BENAR, MELAINKAN, KECUALI dan sebagainya.
  • Lihat semua pilihan jawapan. Tandakan (x) untuk jawapan yang anda pasti salah. Jawapan yang tinggal adalah jawapannya.
  • Pastikan jawapan ditanda pada petak yang betul.
  • Jawab soalan yang mudah dahulu. Tandakan soalan yang belum dijawab. Setelah siap, kembali semula kepada soalan susah yang ditinggalkan. Jika masih tidak boleh, tandakan jawapan yang anda rasa yakin.
  • Jika ingin mengubah jawapan, padamkan dengan bersih dan tandakan jawapan baru dengan elok. Jangan menanda dua jawapan pada satu soalan.
Soalan Esei
  • Pilih soalan yang paling banyak isi
  • Kenalpasti bentuk soalan seperti :
 
BENTUK SOALAN
PENERANGAN
Huraikan
penerangan terperinci dan jelas
Bincangkan
kemukakan kebaikan dan keburukan serta kesan-kesan
Ertikan
maksud yang jelas tentang sesuatu istilah
Namakan
tulis nama-nama tertentu atau label
Bandingkan
faktor yang sama dan tidak sama
Bezakan
faktor yang tidak sama
Jelaskan
terangkan supaya mudah difahami
Definisikan
takrif tentang istilah/frasa dan bagaimana keistimewaan dapat diaplikasikan
Kritik
penilaian dan pendapat tentang kebaikan sesuatu fakta atau teori dan bincangkan dengan bukti-bukti sendiri
Analisiskan
idea utama, pertalian dan anggapan serta kepentingan
Ilustrasi
rajah atau carta untuk menerangkan sesuatu
 
  • Mulai menjawab dengan tenang
  • Jawab semua soalan yang ditetapkan.
  • Panjang jawapan adalah berdasarkan isi dan masa yang ditetapkan. Jawapan tidak dinilaikan berdasarkan panjang atau pendek esei tersebut tetapi isi dan hujah yang bernas.
  • Jawab soalan mengikut masa yang ditetapkan. Setiap soalan mestilah seimbang.
  • Selalu merujuk kepada soalan ketika menjawab supaya jawapan anda tidak menyimpang dari tajuk.
  • Setelah selesai menjawab, luangkan sedikit masa untuk menyemak. Pastikan nombor soalan yang ditulis adalah betul. Semak ejaan, ayat dan maklumat lain yang tidak jelas.
  • Tulisan mestilah jelas, kemas dan mudah dibaca.
  • Tulisan yang jelas membantu menaikkan 'impression' markah.
Persediaan yang rapi serta ketenangan fikiran amat penting di dalam menghadapi peperiksaan. Jadikanlah peperiksaan sebagai kayu ukur di atas persediaan yang anda buat selama ini dan bukanlah sesuatu yang menyiksa dan membebankan. Bertawakkallah kepada Allah, Insya-Allah anda pasti berjaya.

SELAMAT MENGHADAPI PEPERIKSAAN KEPADA SEMUA ANAK MURID STPM MAKNGAH 2011 KHASNYA DAN SEMUA PELAJAR SMKWB AMNYA YANG AKAN MENGHADAPI PMR DAN SPM.  SEMOGA KEBERKATAN DAN KEJAYAAN SENTIASA MENGIRINGI KITA, AMEEEEN.

No comments:

Post a Comment