boring ke datang sekolah? |
Ponteng merupakan satu perbuatan salah laku dan melanggar peraturan sekolah. Seseorang pelajar dianggap memonteng sekiranya tidak hadir ke sekolah tanpa sebab-sebab yang dibenarkan pada hari-hari persekolahan. Sejak akhir-akhir ini masalah ini didapati semakin menjadi-jadi dan telah sampai ke peringkat yang agak serius. Pihak media juga sering menyiarkan berita tentang masalah ini sehingga pada masa ini pihak guru serta ibu bapa berasa sesuatu tindakan yang tegas perlu dilakukan segera sebelum gejala negatif ini sampai ke peringkat yang lebih kronik lagi. Menurut laporan yang pernah dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaranan, peratus pelajar yang terbabit dengan gejala ponteng didapati semakin meningkat dari semasa ke semasa terutama bagi sekolah-sekolah di kawasan bandar. Pada hemat saya punca-punca sebenar masalah ini haruslah dikenal pasti dengan segera supaya langkah-langkah untuk mengatasinya dapat dijalankan demi masa depan generasi pelajar kita pada masa depan.
Antara punca pelajar ponteng yang telah dikenal pasti ialah kurang berminat terhadap pengajaran dan pelajaran di sekolah. Keadaan ini mungkin berpunca daripada isi kandungan sukatan pelajaran kita yang banyak memberikan tumpuan kepada mata pelajaran yang memerlukan pelajar menghafal seperti mata pelajaran sejarah, geografi, pendidikan Islam dan sebagainya. Di samping itu, pelajar juga kurang berminat kerana mereka mungkin tidak mampu untuk mengikuti pelajaran dengan sempurna kerana ketinggalan akibat kelemahan diri mereka sendiri. Alasan ini juga yang menyebabkan berlakunya kes ponteng yang banyak di kalangan pelajar yang lemah jika dibandingkan dengan pelajar yang cerdas. Pelajar seperti ini biasanya mudah berputus asa. Mereka kebanyakannya datang ke sekolah semata-mata kerana menurut kehendak ibu bapa. Oleh itu mereka kerap ponteng kerana telah hilang minat untuk belajar akibat tidak dapat memberikan saingan kepada rakan-rakan pelajar yang lebih cerdas.
Pelajar juga mungkin ponteng kerana mereka lebih mementingkan keseronokan daripada pelajaran. Hal ini jelas kerana terdapat di kalangan pelajar yang ponteng dengan tujuan untuk melepak atau berkumpul di pusat-pusat membeli-belah, pusat permainan video, dan taman-taman rekreasi.
Malahan, terdapat juga pelajar yang ponteng untuk menonton wayang atau berkelah. Bagi mereka, belajar di sekolah adalah sesuatu yang membosankan kerana tidak ada unsur-unsur hiburan. Pelajar seperti ini juga tidak mempunyai kesedaran tentang kepentingan pelajaran bagi menjamin masa depan mereka. Oleh itu, mereka lebih mengutamakan unsur-unsur hiburan yang tidak terdapat di sekolah.
Malahan, terdapat juga pelajar yang ponteng untuk menonton wayang atau berkelah. Bagi mereka, belajar di sekolah adalah sesuatu yang membosankan kerana tidak ada unsur-unsur hiburan. Pelajar seperti ini juga tidak mempunyai kesedaran tentang kepentingan pelajaran bagi menjamin masa depan mereka. Oleh itu, mereka lebih mengutamakan unsur-unsur hiburan yang tidak terdapat di sekolah.
Terdapat juga para pelajar yang memberikan alasan yang tidak munasabah seperti takut didenda, guru yang garang, malu, dan sebagainya. Pelajar yang berkenaan mengambil keputusan untuk ponteng kerana mereka takut didenda kerana tidak sempat menyiapkan kerja sekolah mereka yang diberikan oleh guru. Terdapat juga pelajar yang datang lewat lalu mengambil keputusan untuk ponteng kerana takut didenda kerana kesalahan mereka itu.
Pelajar yang berasa malu sekiranya didenda dan dimarahi guru itu biasanya akan ponteng dan bersembunyi atau melepak di kawasan-kawasan yang sukar dikesan. Kumpulan pelajar ini juga menyalahkan pihak sekolah yang mengamalkan peraturan yang terlalu ketat dan mengenakan hukuman yang pada pendapat mereka terlalu berat bagi kesalahan yang kecil.
Biasanya pihak sekolah akan mengeluarkan surat amaran bagi pelajar-pelajar yang melakukan kesalahan ponteng terlalu kerap iaitu tiga hari berturut-turut. Surat yang ditujukan kepada waris atau ibu bapa itu kadang-kadang tidak mendapat respon yang diharapkan. Ibu bapa yang terlalu sibuk dengan urusan harian mereka tidak dapat hadir untuk berbincang dengan pihak sekolah. Keadaan ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa ibu bapa atau penjaga pelajar yang berkenaan langsung tidak mengambil berat akan hal ehwal anak-anak mereka. Keadaan ini juga memberikan rangsangan kepada pelajar yang berkenaan untuk terus memonteng sehingga akhirnya terpaksa diberhentikan persekolahannya. Oleh sebab itu bolehlah dikatakan bahawa ibu bapa yang tidak mengambil berat akan amaran pihak sekolah turut menyumbang ke arah masalah ini.
Selain itu, terdapat juga pelajar yang ponteng kerana bekerja secara sambilan. Oleh sebab taraf ekonomi keluarga yang rendah, terdapat pelajar yang bekerja secara sambilan sebagai kedi di padang golf, dan tidak kurang pula yang bekerja sebagai buruh di tapak binaan. Malah masih ramai di kalangan pelajar yang bekerja secara sambilan di pasar raya dan mereka terlalu keletihan sehingga tidak berdaya untuk bangun awal terutamanya yang bekerja pada waktu malam.
Sekiranya masalah ini tidak diatasi dengan kadar segera, peratus pelajar ponteng pasti akan meningkat dan akan menggugat cita-cita pihak kerajaan untuk mewujudkan rakyat yang berpendidikan tinggi, cerdas, dan pintar. Sekali gus masalah ini akan membantutkan kemajuan negara kita. Peranan ibu bapa, pihak sekolah serta Kementerian Pendidikan amat penting untuk memastikan gejala ini tidak berterusan sehingga menjadi lebih serius.
Ulasan: 1. Di atas ini contoh sebuah karangan mengenai sebab / faktor / punca pelajar-pelajar
sekolah semakin galak memonteng sekolah / kelas. Ponteng sekolah maksudnya tak
datang sekolah terus. Ponteng kelas dimaksudkan kepada tindakan pelajar tidak berada di
dalam kelas ketika sesuatu matapelajaran itu diajar guru walhal dia hadir sekolah.
2. Faktor hari persekolahan ganti juga menjadi penyebabnya. Kalau di negeri Pantai
Timur, hari persekolahan ganti biasanya dibuat pada hari Sabtu. Mengikut kajian
mudah, hampir separuh jumlah sebenar pelajar sesebuah sekolah tidak hadir. Maka
menjadi kesusahan atau kegagalanlah kepada pihak guru-guru yang terpaksa mengulangi
semula subjek yang sudah diajar. Hatta jika ada majlis atau program khaspun ramai yang
tidak sanggup hadir dengan pelbagai alasan. Jadi, apa pandangan anda amnya dan
pihak-pihak bertanggungjawab dalam hal pendidikan ini khasnya.
No comments:
Post a Comment