Beliau berkata, masyarakat wajar menambil iktibar daripada sejarah orang Eropah dahulu yang mempelajari bahasa Arab untuk menguasai ilmu yang terdapat dalam bahasa itu.
"Hari ini, orang Eropah tidak perlu lagi mempelajari bahasa Arab untuk menguasai ilmu, terutamanya dalam bidang sains dan teknologi. Mereka berjaya mencipta ilmu dalam bahasa mereka sendiri dan mengembangkannya ke seluruh dunia dan akhirnya bangsa Eropah menjadi bangsa yang maju dan bahasa mereka juga menjadi bahasa yang maju," katanya.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu VIII yang dianjurkan oleh Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini, hari ini.
Beliau berkata, pejuang bahasa mempunyai peranan penting untuk memartabatkan bahasa Melayu dengan memupuk sikap positif rakyat terhadap bahasa kebangsaan itu.
"Pejuang bahasa tidak harus lagi bertindak sebagai kumpulan pendesak semata-mata dan perlu sentiasa turun padang, berada di tengah-tengah masyarakat, menjadi penggerak kesedaran rakyat pelbagai kaum untuk membina keyakinan mereka terhadap kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan kemajuan," katanya.
Ilmuan di negara ini juga perlu mempergiatkan usaha untuk berkarya dalam bahasa Melayu selain usaha penciptaan istilah sains dan teknologi dalam bahasa itu, katanya.
"Kerajaan juga akan memperkukuhkan peranan Institut Terjemahan Negara yang akan bertanggungjawab untuk memperhebatkan lagi usaha penterjemahan buku-buku ilmiah antarabangsa yang berkualiti sebagai langkah menambah khazanah keilmuan dalam bahasa Melayu.
"Saya juga menyambut baik pengumuman Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin baru-baru ini bahawa penerbitan dalam bahasa Melayu akan dijadikan salah satu kriteria kenaikan pangkat ahli akademik di institusi pengajian tinggi awam tempatan," katanya.
Muhyiddin turut mencadangkan agar Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu, Akademi Pengajian Bahasa Melayu Universiti Malaya dan DBP menjalin kerjasama untuk menawarkan latihan dan kursus dalam bahasa Melayu sebagai bahasa antarabangsa.
"Untuk memastikan akses yang lebih luas dan mudah serta kos yang lebih efektif, teknologi digital boleh dimanfaatkan dengan menawarkan kursus dalam bentuk pembelajaran atas talian," katanya.
Beliau berkata, kerajaan juga akan menghantar tenaga pengajar bahasa Melayu ke negara luar dan melatih rakyat Malaysia di luar negara sebagai munsyi bahasa Melayu mulai tahun depan. - BERNAMA
Kata Makngah: Tahupun orang-orang ini akan hakikat kedudukan bahasa kebangsaan ini. Masalahnya banyak amalan dan tindakan menjurus ke arah merudumkan / menggelapkan bahasa itu. Contoh terbaik kepada kemeruduman itu ialah pelaksanaan PPSMI. Sehingga kedudukan BM turut gerhana di UKM.
No comments:
Post a Comment