Saturday, January 29, 2011

Dulu Was-was, Sekarang Tidak



Melihat gambar di atas, ramai yang tahu, yang kenal, yang selalu makan, yang jarang-jarang makan, yang tak pernah makan, nak makan tetapi ragu-ragu dan bermacam komen lagi. Tulisan Makngah kali ini bukan mahu mempromosi percuma kepada KFC tetapi hanya sekadar menyatakan kebenaran. Menyatakan apa yang diketahui kerana sebelum ini tidak tahu dan setelah tahu ingin dikongsikanlah dengan orang lain.

KFC merupakan restoran makanan segera yang berasal daripada Amerika. Kini ia sudah berada di seluruh dunia. Sebelum ini kita diberitahu tentang kekurangan dan kelemahan makanan tersebut kerana sifat 'kesegeraannya' yang mengandungi banyak bahan perasa dan paling utama persoalan halal atau tidak. Satu perkara lagi ialah ia kepunyaan 'Yahudi' yang banyak melakukan kemungkaran di bumi ini yang menyebabkan kita sering menganjurkan pemboikotan ke atas jenama-jenama Yahudi termasuk KFC.


Pada 20 - 22 Jun 2010 berlangsung Konvensyen Program Usahawan Muda Peringkat Negeri Kelantan di Perdana Resort PCB.  SMKWB sekali lagi dinobatkan sebagai juara keseluruhan termasuk Juara Persembahan Terbaik serta lima hadiah yang lain. Seiringan dengan itu sekolah Makngah diamanahkan mewakili Kelantan ke Konvensyen Nasional PUM di Persada Johor Bharu. Ya, Johor dengan Jcorpnya yang kaya raya dan terkenal itu. Jcorplah yang menjadi tuan rumah dan penganjur konvensyen tersebut.


9 - 13 Julai berlangsunglah konvensyen tersebut. Di sinilah Makngah mendapat maklumat baru tentang KFC yang sebelum ini mewujudkan perasaan was-was di hati Makngah dan juga orang lain akibat kekurangan maklumat. Dalam satu sesi ceramah oleh seorang pengurus Jcorp,rupa-rupanya Jcorp telah memiliki kepentingan KFC untuk menguasai rangkaian restorannya di beberapa negara dengan nilai RM500 juta (kalau tak salah, kalau salah tolong betulkan). Selain Malaysia negara tersebut ialah Singapura, Brunei, Indonesia, India dan beberapa buah negara lagi. Ketika ke India hujung tahun lepas Makngah tidak berkesempatan mengunjunginya. Teringin juga merasa KFC Malaysia di negara orang.

Semuanya berlaku ketika Jcorp diketuai oleh Tan Sri Ali Hashim yang telah meletak semua jawatannya di dalam Jcorp hujung tahun lepas. Diberitahu bahawa ketika berlaku pemboikotan ke atas KFC dan jenama-jenama lain produk berasal daripada Amerika / Yahudi pada tahun 2009 menyebabkan KFC rugi teruk. Sedangkan KFC Malaysia sudah dimiliki warga Malaysia dan tuan punyanya Jcorp (Perbadanan Kemajuan Ekonomi Johor) yang diurus oleh anak Melayu Johor.

Terbit rasa bangga dan bersyukur di hati Makngah di atas pendedahan itu kerana berpuluh ribu rakyat tempatan mendapat peluang pekerjaan bermula daripada jawatan paling bawah iaitu tukang cuci hinggalah kepada pengurus-pengurus cawangan yang berada di seluruh negara malahan dunia. Begitu juga dengan pembekalan bahan-bahan makanan terutamanya ayam yang menjadi tanda niaga KFC. Semua ayam yamg diguna ialah yang dipelihara dalam negara dan disembelih secara halal. Hanya 5% sahaja lagi bahan KFC yang diambil daripada tuan punya asal. Jelasnya 95% hasil keluaran tempatan. Jadi jika kita memboikot KFC samalah seperti kita mematikan sebuah perniagaan rakyat tempatan yang hebat.

Sejak itu Makngah meletak garis panduan agar jangan mudah mengata dan menuduh itu ini jika kita belum menyiasat atau mendapat maklumat yang sahih tentang sesuatu perkara. Perkara ini juga diajar oleh Islam.

No comments:

Post a Comment