Monday, January 17, 2011

Cerita Tentang Hirudo

  Berita 1.


Mati Kerana Lintah
 11 Mac 2010 




JELI: Sukar dipercayai, namun, itu hakikatnya apabila seekor lintah memasuki dubur seorang kanak-kanak berusia 10 tahun ketika mandi di sungai berdekatan rumahnya dipercayai menjadi punca dia meninggal dunia di hospital, semalam.

Mangsa, Siti Nazirah Abd Kadir, 10, awalnya hanya mengalami sakit perut sebelum membuang air besar di tandas rumahnya untuk meredakan kesakitan.

Bagaimanapun, kesakitan kian memuncak di dubur murid Sekolah Kebangsaan Gemang (SKG) itu sebelum dibantu ibunya, Mariam Yakob, 34, untuk melihat keadaan sebenar.
Mariam yang melihat bahagian sulit terbabit terkejut mendapati seekor lintah sudah mati muncul di seluar anak perempuannya dengan berlumuran darah.

Ekoran kejadian itu, mangsa dikejarkan ke Hospital Jeli petang kelmarin sebelum keadaannya yang kritikal menyebabkan dia dirujuk ke Hospital Tanah Merah dan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) untuk rawatan lanjut.

Bagaimanapun, selepas hampir 16 jam dirawat sebaik dikejarkan ke hospital kira-kira jam 5 petang kelmarin, mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira jam 9 pagi semalam.
Menceritakan kejadian menimpa arwah, Abd Kadir Safei, 44, berkata tragedi terbabit berlaku selepas anaknya itu mandi di sungai berdekatan rumahnya di Kampung Gemang di sini, kelmarin.

Kejadian berlaku ketika arwah bersama seorang sepupu, Hayati Idris, 11, mandi di sungai sebaik pulang dari mengikuti latihan sukan di sekolah kira-kira jam 4 petang, kelmarin.
“Sebaik tiba di rumah, arwah terus keluar bersama sepupunya menuju ke sungai tidak jauh dari rumahnya dan pulang kira-kira jam 5 petang, kelmarin.

“Selepas kejadian, mangsa pergi ke tandas membuang air besar dan mengadu sakit di bahagian dubur. Ibunya menanggalkan seluar mangsa sebelum ternampak seekor lintah mati serta disaluti darah dalam seluar anaknya,” katanya.

Katanya, ibunya terperanjat melihat lintah terbabit dan mengesyaki ia memasuki bahagian dubur Siti Nazirah selepas berlaku pendarahan bahagian itu.
Abd Kadir berkata, selepas mengesyaki dubur anaknya dimasuki lintah, isterinya bertindak menghubunginya ketika sedang menyiapkan rumah baru milik adik iparnya yang terletak tidak jauh dari situ.

“Arwah dibawa ke hospital Jeli jam 5 petang sebelum dirujuk ke Hospital Tanah Merah dan seterusnya dihantar ke HRPZII. Anak saya disahkan meninggal dunia jam 9 pagi semalam,” katanya.
“Saya reda apa yang berlaku dan kami sekeluarga memohon rohnya ditempatkan di kalangan orang soleh. Jenazah arwah dibawa pulang dari HRPZ II pada jam 12.21 tengah hari,” katanya.
Menurutnya, jenazah anaknya yang juga murid tahun empat Sekolah Kebangsaan Gemang (SKG) dikebumikan di perkuburan Islam Kampung Gemang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohamed Hanifah Ab Malek ketika dihubungi berkata, pihaknya belum menerima laporan berhubung kejadian itu. 


Berita 2

Informasi Mengenai Ternakan Lintah

Penternak lintah dari Kampung Jaya Gading, Kuantan, Pahang, Norazlan Abdul Rahman, 37, berkata lintah kini menjadi ternakan komersial berikutan permintaan tinggi untuk ramuan kosmetik dan perubatan.

“Kebanyakan lintah yang diternak di negara ini dieksport ke luar negara yang dikenal pasti sebagai pasaran berpotensi haiwan ini.


“Ada dua jenis lintah ternak, iaitu lintah perut hijau dan perut perang yang mendapat permintaan tinggi di pasaran apabila kedua-duanya mampu mencecah harga antara RM40 hingga RM60 satu kilogram (kg) mengikut saiz,” katanya.


Norazlan berkata, lintah semakin mendapat tempat dalam amalan perubatan moden kerana cecair yang dikeluarkan daripada kelenjar liurnya ketika haiwan itu menghisap darah didapati mampu menghalang darah daripada membeku, manakala histamin pada lintah mampu membesarkan pembuluh darah, sekali gus melancarkan peredaran darah dan oksigen.

Ternakan lintah tidak memerlukan kolam luas seperti ikan, sebaliknya memadai dengan kolam bersaiz 20 kaki lebar dan panjang 60 kaki.
Dasar kolam pula perlu dihampar dengan plastik dan dimasukkan pasir halus untuk haiwan itu bersembunyi.

“Plastik dan pasir diletakkan dalam kolam supaya lintah tidak hilang ketika waktu menuainya yang mencapai tempoh matang ketika berusia empat bulan dan boleh mula bertelur.

“Haiwan ini bertelur dalam air dan seekor lintah boleh mempunyai kedua-dua organ jantan dan betina. Lintah induk membawa anak dari telur di dalam kantung yang terbentuk melalui lipatan permukaan bawah badannya. Kadangkala anaknya melekat di bawah badan induk,” katanya.
Menurut Norazlan, telur yang terhasil akan terlekat pada objek di dalam air seperti tunggul kayu dan tumbuhan akuatik. Oleh itu, dalam kolam ternakan, batu-bata disusun empat segi membentuk petak sebagai tempat mengumpul telur.


Bagi bekalan makanan haiwan ini yang menjadikan darah sebagai bahan makanan utama, Norazlan menyediakan kira-kira 30 hingga 40 kg belut untuk 100 kg lintah dan selepas makan darah dengan secukupnya, ia boleh hidup untuk beberapa bulan tanpa mendapatkan darah lagi.


“Lintah boleh membesar enam hingga 10 kali ganda saiz asalnya selepas menghisap darah dan induknya boleh menghasilkan 300 hingga 500 benih lintah sekali bertelur.
“Namun, bekalan benih sukar diperoleh berikutan permintaan tinggi, selain negara masih kekurangan pengusaha lintah. Tidak hairan harga benih lintah boleh mencecah sehingga RM300 satu kg,” katanya yang juga lulusan ijazah dalam Sains Kimia dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

Selepas lebih lima bulan mengusahakan ternakan lintah, kini Norazlan boleh berpuas hati dengan hasilnya yang menunggu masa untuk dituai.
“Pada awal perancangan ternakan lintah, saya ingin mengeksportnya saja menerusi bantuan syarikat yang menganjurkan kursus berkenaan. Namun, kini saya mula meneroka peluang lebih luas apabila ingin menghasilkan sendiri minyak lintah.


“Penghasilan minyak ini dijalankan dengan kerjasama jabatan farmasi Universiti Islam Antarabangsa (UIA). Saya menunggu waktu sesuai untuk mendaftar produk ini yang bermanfaat untuk sapuan pada tubuh bagi melancarkan peredaran darah,” katanya.
Norazlan berkata, mereka yang mengalami bengkak, salah urat atau sakit sendi disyor menggunakan minyak sapu itu kerana ia membantu memulihkan penyakit berkenaan.


Berita satu mengenai kengerian yang akan kita rasai dan alami apabila serangga air itu tersalah habitat. Berita 2 pula nasib Sang Hirudo Medicinali itu di zaman sains dan teknologi serta IT ini. Ia sudah diternak secara komersial maka sudah makin kurang orang yang geli, jijik, ngeri dan sebagainya yang buruk-buruk terhadapnya. Pandangan sudah berubah  kerana ia memberi kekayaan dan memberi banyak khasiat serta menjadi buruan ramai orang di seluruh dunia.

Makngah ada cerita benar tentang Si Lintah atau Sang Hirudo ini. Cerita ini benar-benar terjadi walaupun tidak tersiar di dalam akhbar. Ia terjadi lebih sepuluh tahun dahulu ketika anak buah Makngah bernama Fahmi berusia 14 tahun. 

Fahmi ini gemar menahan pukat dan tauk apa bila air di baruh penuh kerana musim tengkujuh. Setiap petang petang Fahmi pergi menahan dan pagi esoknya dia pergi mengutip ikan yang terkena pukat dan ikan yang memakan umpan.

Pada suatu hari Jumaat lebih kurang jam 10 pagi Fahmi balik dari baruh. Baju T dan seluar trek lusuh yang dipakainya basah kuyup kerana air di baruh sedang penuh yang katanya setakat pinggang. Fahmi memberitahu ibunya bahawa anunya rasa sakit dan senak. Ibu dan ayah Fahmipun memberi pelbagai ubat bagi mengurangkan rasa sakit anu Fahmi termasuklah air rendaman abu dapur kayu dan belalang kunyit yang digoreng. Minyak sapu dan urut usah ceritalah pelbagai jenis dan cap.

Namun sakit Fahmi tidak juga reda malahan bertambah teruk. Akhirnya kerana tidak tahan sakit Fahmi meraung-raung dan melompat-lompat sekeliling rumah macam orang hilang akal. Suasana jadi panik dan keputusan dibuat untuk membawanya ke hospital. Disebabkan matahari sudah meninggi dan solat Jumaat akan bermula sebentar lagi, Fahmi perlu segera dibawa ke bahagian kecemasan klinik daerah berdekatan.

Tugasan membawa Fahmi diambil oleh bapa saudara Fahmi dengan keretanya. Tanpa berlengah kereta dipecut 100km sejam kerana tidak tahan dengan raungan Fahmi. Sampai separuh jalan Fahmi berhenti meraung dan bertempek:
           "Ayah Su, tubik doh.........."
Bapa saudara Fahmipun kerana terkejut apa lagi terus membrekkan keretanya walaupun dekat lampu isyarat. Mujur tak ada kereta lain kerana kereta tidak banyak ketika dekat waktu solat Jumaat. Diapun keluar lalu menjenguk ke tempat Fahmi duduk. Terbeliak biji matalah mereka menyaksikan seekor lintah kerbau tergolek di tempat letak kaki. Haiwan itu keluar dari anu Fahmi dan serta merta memberhentikan kesakitan Fahmi selama lebih kurang 3 jam.

Demikianlah kisah Fahmi yang anunya dimasuki lintah kerbau. Bagi makluman semua, orang kampung memanggil lintah kerbau kerana saiznya yang lebih besar berbanding lintah lain dan berbelang-belang. Rupanya yang sedemikian akan menimbulkan rasa ngeri dan takut kepada yang melihatnya. 


Selama seminggu cerita Fahmi itu menjadi bualan orang kampung dan lintah itu menjadi tontonan kerana dibela di dalam tempayan. Tetapi pada hari ketujuh ia ghaib begitu sahaja walaupun ditutup kemas seperti biasa, masyaAllah.






1 comment: