Tuesday, January 11, 2011

Kembalilah Sahabatku Kepada Penciptamu

Ajal maut, jodoh pertemuan di tangan Allah. Betapapun sayangnya kita kepada seseorang itu, jika Allah lebih menyayanginya, maka sampai masa walaupun masih muda remaja, dia akan tetap dipanggil jua, lalu ditinggalkanlah kita dengan beribu nostalgia.




An dalam pelbagai gaya....meyakinkan apabila bercakap.

Semalam, terhenti sedetik jantung hatiku apa bila mendapat perkhabaran sahabat sejatiku yang baru beberapa hari lepas  riang bertanya khabar di telefon, telah pergi dahulu menemui-Nya Yang Maha Pencipta. Semasa dalam telefon kami bercerita hal masing-masing sempena awal persekolahan dalam pelbagai topik lebih kurang 15 minit.

Air mataku gugur bagai mutiara apabila terkenangkan dia. Sebelum menerima khabar daripada seorang guru di sekolah lamanya iaitu SMKA Falahiah, aku memang berhajat hendak menelefonnya bagi menyatakan keinginanku untuk ke rumahnya di Alor Setar bagi melepaskan rindu. Kali terakhir kami bertemu ketika aku dimintanya bermalam sahaja di rumahnya semasa menghantar anakandaku yang mendaftar masuk ke KM Perlis.

Itulah dia seorang wanita yang amat tabah dan amat mulia hatinya sepanjang yang kukenali. Orang-orang yang mengenalinya memanggilnya An atau nama yang diazimatkan oleh ayahanda bondanya, Ainun Hayati. Dalam usia awal 40-an beliau telah dipanggil menghadap Allah Yang Maha Esa. Tiada sesiapa lagi dapat menghalang qadak dan qadar-Nya.

Ranjau duri perjalanan hidup beliau amat tidak tersangkakan. Itulah antara penyebab yang menjadikan aku separuh penasaran apabila mendengar berita ketiadaan beliau petang semalam. Berita yang diterima menyatakan penyebab kematian beliau ialah ulser perut. Setelah dua hari di hospital, beliau pergi tak kembali lagi. An.............sesungguhnya rinduku kepadamu tiada terubatkan kecuali kita dipertemukan di dunia satu lagi, insyaalah.

Kenangan ketika mula-mula mengenalinya masih segar di dalam kotak ingatanku. Kami bertemu di konvensyen PUM peringkat negeri tahun 2003 di sebuah resort di Terengganu. Sejak itu kami terus bersahabat dan selalu berhubung. Aku mengenalinya sebagai seorang yang kuat bekerja. Bersungguh-sungguh dan ikhlas apabila menjalankan tugas yang diamanahkan. Bijak dalam berkawan (tak makan kawan /gu). Seorang yang tidak berkira. Malahan dia pernah menghadiahkanku sehelai kain batik Kota Bharu yang beratus harganya (yang aku sendiri tidak pernah membelinya) hanya kerana sedikit sahaja pertolongan aku kepadanya.

Beliau dikenali kerana kehebatannya mengurus Kelab PUM sekolah lamanya sebelum berpindah ke SMKA Yan, Kedah. Kelab PUM sekolah tersebut selalu mendapat naib juara dan juara persembahan syarikat ketika dalam konvensyen. Setelah berpindahan beliau ke Kedah bermula tahun 2009, kelab tersebut lesu dan layu kerana sudah kehilangan sentuhan berbisa seorang guru yang begitu dedikasi, kreatif dan inovatif.

Aku baru sedar rupanya An berkebolehan dalam penulisan. Ketika pertama kali berkunjung ke rumahnya aku ditunjukkan draf bukunya yang di dalam proses disiapkan. Hingga kini aku kurang pasti sama ada bukunya sudah berada di pasaran atau belum.

Jika ingin dicatatkan, terlalu banyak kenangan yang boleh dikembalikan. Wajah jelitanya sebagai anak kacukan selalu menceriakan pertemuan kami disulami dengan tutur kata dan senda guraunya yang tidak pernah kering daripada dua bibirnya yang manis mesra.
An berdiri di depan, kelima dari kiri gambar




Apa apapun, sejak mengenalimu, aku banyak mendapat rangsangan semangat. Pengalaman hidupnya yang cukup unik yang kekadang membuatkan mulutku ternganga kerana tidak tersangkakan mampu dihadapinya dengan tenang. Ketenangannya itu datang kerana keimanan, ketakwaan dan keyakinannya kepada pertolongan Allah. Apa sahaja perlakuan orang kepadanya, diterimanya seadanya kerana dia yakin dengan penilaian daripada Allah sahaja yang didambakannya, bukannya penilaian daripada manusia kerana manusia tidak pernah adil seperti adilnya Allah kepada makhluknya.

An......tenanglah dikau di sisi penciptamu.........Al Fatihah.

1 comment:

  1. semoga Allah menempatkan roh Allahyarhamah tce an dlm kalangan org yg beriman..Ameen~al-fatihah~

    ReplyDelete