Sunday, May 1, 2011

Bahasa Melayu yang kian pupus di Temasek


 Sempena cuti Hari Pekerja ini, masa yang ada marilah sama-sama berfikir sejenak berkenaan nasib generasi kita pada masa hadapan. Hal ini kerana apa sahaja yang generasi kini (kita sekarang) lakukan akan dituai oleh generasi kita masa hadapan. Apa yang jelas kelihatan pada hari ini ialah orang Melayu sudah semakin hilang jati diri. Semuanya berpunca daripada meninggalkan ajaran dan amalan agama yang kita anuti iaitu ISLAM. Bacalah petikan berita di bawah yang tersiar pada bulan Julai tahun lepas. Ini ialah sejarah dan sejarah selalu berulang. Jika kita tidak menghiraukan sejarah maka kita akan berbuat kesalahan yang sama seperti generasi / kaum terdahulu melakukannya.

Apakah nasib yang bakal menimpa bahasa Melayu pada generasi baru
Oleh Roslie Sidik
KEDUDUKAN bahasa Inggeris kini bukan sahaja semakin meningkat tetapi semakin menggugat. Memanglah bahasa Melayu masih terus-menerus mempunyai kedudukan yang istimewa di dalam masyarakat dan negara kita.

Namun, peningkatan penggunaan bahasa Inggeris kini di kalangan masyarakat kita cukup ketara sehingga terkesan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pilihan di kalangan masyarakat kita sendiri semakin hari semakin terpinggir.

Sesiapa pun tidak dapat menafikan bahawa bahasa Inggeris dilihat sebagai kunci modernisasi dan perkembangan ekonomi dan berfungsi sebagai bahasa pentadbiran, perundangan dan perdagangan.

Bahasa Inggeris juga dianggap sebagai bahasa ilmu dan amat dititikberatkan oleh ibu bapa.

Bahkan, madrasah-madrasah dan institusi-institusi Islam seperti masjid juga telah mula memberikan perhatian khusus dalam penggunaan bahasa Inggeris.

Di Singapura, masyarakat kita, khususnya generasi muda sudah mula tidak rasa canggung mendengar penyampaian khutbah dan mempelajari kelas agama dalam bahasa Inggeris.

Namun, persoalannya apakah nasib yang bakal menimpa bahasa kita, bahasa Melayu yang kita cintai, khususnya bagi generasi muda dan generasi baru yang akan datang. Apakah bahasa Melayu juga akan terkubur tanpa nisan dan mengalami nasib yang sama seperti bahasa Sanskrit yang pupus ditelan masa. Dalam keghairahan pejuang bahasa dan budaya yang sentiasa mendabik dada dan melaungkan kalimat 'Takkan Melayu hilang di dunia', kita sering menganggap bangsa Melayu tidak mungkin akan lenyap di muka bumi ini.

Tetapi apakah pernah kita terfikir bahawa mungkin benar bangsa Melayu itu tidak akan pupus, tetapi mampukah bahasanya juga kekal selama-lamanya.

Sekiranya Sanskrit itu sejarah silam dan kita beranggapan bahawa hal itu tidak akan terjadi kepada bahasa Melayu dalam konteks moden ini, mungkin kita harus rujuk dan pelajari daripada masyarakat Saraguros di Lagunas, Ecuador.

Masyarakat Saraguros merupakan masyarakat bilingual yang menuturkan bahasa Quechua (bahasa natif mereka) serta bahasa Sepanyol. Hornberger dan King (1996) dalam kajiannya tentang bahasa Quechua mendapati bahawa bahasa itu sedang mengalami proses kematian disebabkan rata-rata anak-anak kecil dalam komuniti tersebut hanya mampu menuturkan bahasa Sepanyol.

Tidak usah pergi jauh, mungkin kita hanya perlu mengenang semula nasib bahasa etnik kita sendiri, seperti bahasa Jawa dan Bawean yang suatu ketika dulu digunakan dengan sebaiknya oleh kelompok masyarakat itu sendiri, kini hanya tinggal kenangan.

Bahasa etnik di Singapura telah lama mati dan sekadar menunggu masa dikuburkan di pusara abadi kerana hampir keseluruhan generasi muda di Singapura sudah tidak lagi mampu menuturkan bahasa itu.

Ke mana arahnya nasib bahasa kita bukan sahaja terletak di atas bahu setiap tokoh pejuang dan pencinta bahasa dan budaya, bukan juga pada pihak pemerintah, pengajian tinggi, sekolah ataupun persatuan bahasa dan budaya semata-mata. Setiap individu memainkan peranan dalam memastikan pengekalan bahasa Melayu kerana sesuatu bahasa akan mati jika sudah tiada lagi penutur naratifnya.

Bahkan sarjana seperti Greenberg (1965) beranggapan bahawa 'salah satu faktor utama dalam pengekalan bahasa ialah keupayaan dan kemahuan ibu bapa itu sendiri dalam menyampaikan bahasa ibundanya kepada anak-anak'.

Tentulah amat membimbangkan jika si ibu pada hari ini memilih untuk mendodoi anak mereka hanya dengan alunan lagu 'nursery rhymes' daripada lagu-lagu Melayu yang sedia ada.

Pasti membimbangkan juga apabila si anak mula membesar dan secara alamiah lebih bijak dan selesa mengira dalam bahasa Inggeris daripada bahasa Melayu.

Turut membimbangkan lagi apabila si anak mula mengigau dan dalam igauan atau mimpi mereka, mereka berkata-kata dalam bahasa Inggeris.

Tentu ada juga datuk dan nenek yang mulutnya melopong apabila mendengar si cucu lebih fasih membaca doa makan dan menghafal doa solat dalam bahasa Inggeris daripada bahasa Melayu.

Sedikit masa dahulu, hal-hal sebegini jarang sekali ditemui tetapi sekarang inilah realitinya.

Memang sukar untuk dinafikan bahawa bahasa Inggeris yang dilihat sebagai lebih berprestij sering mendapat tempat yang lebih istimewa dan semakin mengambil alih peranan bahasa Melayu secara sedar ataupun tanpa kita sedari.

Di Singapura, proses pengalihan bahasa dari bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris memang telah pun berlaku.

Menerusi bukunya Bahasa Melayu Di Singapura: Pengalihan dan Pengekalan (2003), Dr Roksana Bibi, seorang Penolong Profesor, Jabatan Bahasa dan Budaya Melayu, Institut pendidikan Nasional, Universiti Teknologi Nanyang, berkata bahawa 'pengalihan ke bahasa Inggeris ini membayangkan sikap utilitarian dan pragmatik komuniti masyarakat Melayu yang mempunyai daya saing yang tinggi dalam pelbagai bidang, terutamanya pendidikan dan ekonomi'.

Tambah Dr Roksana lagi, tanpa usaha yang sungguh-sungguh, bahasa Melayu akan menjadi hanya sebagai satu pengetahuan yang dimiliki oleh masyarakat Melayu sahaja dan 'dari segi realitinya, bahasa Melayu tidak akan mungkin digunakan langsung jika tiada keperluan'.

Kita seharusnya sedar dengan hakikat bahasa yang melanda masyarakat kita dan bergerak ke arah usah-usaha untuk memperbaikinya.

Tiada sesiapapun yang sesekali menafikan kepentingan bahasa Inggeris ataupun meremehkan penggunaannya.

Tetapi sewajarnya dalam keghairahan kita menggunakan bahasa Inggeris yang sering dilihat sebagai bahasa sedunia, wajar juga kita terus-menerus berusaha ke arah memartabatkan bahasa Melayu agar bahasa Melayu terus kekal relevan. Akhir kata 'Bahasa Kita, Gunakanlah'.

* penulis seorang pendidik di Singapura.

Tidakkah apa yang diutarakan oleh penulis di atas sedang dialami oleh orang-orang Melayu di Malaysia? Mengapa hal ini tidak berlaku kepada bahasa ibunda etnik-etnik asal pendatang di sini? Sama-samalah kita fikirkan....

Tuesday, April 19, 2011

Mengendap Sarang Burung Cyekcyek

Sabtu, 9 April - 4.40 Petang

Selepas menutup pintu pagar, terperasankan tiba-tiba seekor burung kecil terbang laju dari arah pokok tepi pagar. Aik.....macam dari pokok kesinai itu je ia datang.....kata hati Makngah. Rupa-rupanya ada sebuah sarang burung kecil tersorok di antara ranting dan daun kesinai itu. La......pokok sebesar itu pun boleh dibuatnya sarang. Ini mesti burung cyekcyek. Tanpa berlengah Makngah jenguk dan nampaklah di dalamnya dua biji telur berwarna biji kundang muda berbintik-bintik hitam.


Inilah pokok kesinainya..........kecil sahaja

Sabtu, 16 April, -11.15 Malam

Semasa keluar untuk mengunci pintu pagar, teringat hendak menghendap sarang burung itu. Pasti ibunya ada sedang memanaskan telurnya. Cuaca malam pula amat cemerlang kerana purnama 14 sedang menyolek suasana alam.
Wajah bulan purnama 14 dari celahan daun

Ibu burung cyekcyek sedang menghampar sayap di atas telurnya


Selasa, 19 April 2011 - 4.46 Petang

Selepas menutup pintu pagar, segera teringatkan sarang burung itu. Dengan langkahan berjengket-jengket dan kamera di tangan, Makngah menjengukkan kepala ke sarang. Nampak ibunya ada bersama tetapi segera terbang lari apabila terasa ada gangguan dan ohhh..............sebiji telur sudah menetas.


Lemah tak bermaya apabila ditinggalkan ibu........
Ibu cyekcyek sedang memerhati dari jauh
Sarang lama cyekcyek di atas pokok nanam (katak puru)

Jam 7.00 ibuku belum datang melindungiku.....sejuk....
Sebelum Maghrib Makngah sekali lagi pergi menjenguk anak burung itu.......kasihan dia dalam kesejukan kerana ibunya masih belum datang. Merajuk betul si ibu cyekcyek itu kerana rasa terganggu dengan kehadiran Makngah tadi....heheh sory ler... .

 
sambungan

Rabu, 20 April 2011- 3.30 Petang.

Kereta memasuki garaj. Belum sempat keluar kereta, mata Makngah terpandangkan ibu cyekcyek terbang penuh yakin ke arah sarangnya lalu bertenggek di birai sarang. Perbuatanya seperti memasukkan sesuatu dengan paruhnya.Tentu sedang memberi makan anak-anaknya.Teralit Makngah memerhatikan gelagat ibu burung itu melalui tingkap kereta yang dibuka. Tidak sempat merakam aksi ibu burung itu kerana kamera berada di dalam bonet. Kalau bising-bising nantu lari pula cyekcyek itu. Agaknya telur sebiji lagi tu dah menetas.

Sebaik sedar ada pergerakan yang diraguinya maka ia segera terbang lari ke atas pokok mempelam. Melepaslah peluang merakamkannya. Auwwww......telur yang kedua sudah menetas. Ternganga-nganga mulutnya sebaik ada pergerakan kerana menyangka ibunya sudah balik.





Friday, April 8, 2011

Satu Hari Satu Malam Di Pulau Beluru

Bergaya di atas sampan...........

Makngah kena bertugas di Kem Jati Diri Pelajar STPM di Pulau Beluru pada 28 Mac lepas. Di Jeti Kok Majid pagi itu Cikgu Norhayati dan Cikgu Amanina sudah menunggu. Selepas meletak kereta di tempat yang sesuai, kami bertiga menaiki sampan injin galah dengan tambang seringgit seorang.
Di jeti SK P.Beluru

Cuaca masih baik walaupun ada menunjukkan tanda awan mendung. Lebih kurang tujuh minit perjalanan kami tiba di jeti SK Pulau Beluru tempat kem berlangsung. Penempatan untuk peserta kem merupakan bangunan lama SK Beluru. Setelah mereka mendapat bangunan baru, maka bangunan lama (masih baik) itu diambil alih oleh Pusat Kokurikulum Tangok sebagai tapak kem untuk semua jenis aktiviti kokurikulum.
Bonsai daripada bougainvilla pelbagai warna
Rasa kagum dengan persekitaran sekolah segera menerpa ke benak Makngah. Persekitarannya begitu bersih dan tersusun walaupun ia sebuah sekolah rendah di sebuah pulau iaitu satu satunya sekolah di Kelantan yang terletak di sebuah pulau. Pelajar-pelajar dan guru-gurunya hadir ke sekolah hanya dengan menggunakan bot kerana tiada jambatan yang menghubungkannya dengan tanah daratan. Tambahan lagi Pulau Beluru merupakan rangkaian 18 buah pulau kecil dan hanya dua buah tidak berpenghuni. Maka hanya bot atau perahu sahajalah pengangkutan yang ada untuk membawa para pelajar anak-anak pulau itu ke sekolah menimba ilmu.

Pondok bacaan yang kemas dan menarik..
Ketika sampai peserta kem sedang diberi taklimat di dewan oleh jurulatih untuk aktiviti pada pagi itu. Aktiviti lawatan berfokus ke rumah penduduk yang mengusahakan dodol dan kerepek gulung. Kami hanya berjalan kaki beramai-ramai dengan menelusuri  laluan berturap simen yang ada di sepanjang pulau itu sebagai laluan.

Pn Zaleha dan En.Fakhrul dengan pucuk bekonya.
Sepanjang perjalanan dapatlah kami memerhatikan corak kehidupan penduduknya. Di rumah pembuat dodol dan kerepek gulung, semua yang ada kami borong sampai ada yang tidak sempat membelinya. Dodol dan kerepeknya amat sedap tetapi harganya murah sahaja. Ia amat sedap kerana dibuat dengan bahan yang cukup terutamanya santan. Maklumlah keseluruhan Pulau Beluru dipenuhi dengan tanaman pokok kelapa.
Pertama kali mengacau dodol........beg tangan tuh.....
Berebut beli dodol

Aksi encik beruk apabila dihalakan kamera kepadanya
Berehat sekejap........

Anak-anak P.Beluru

Yak.....gabungan yang ekzotik

Selepas makan tengah hari dan solat Zohor, semua peserta dan guru bersiap untuk aktiviti trekking ke Pantai Suri. Sebelum itu peserta diberi taklimat dan cara-cara menggunakan kompas atau bearing. Lebih kurang jam 3.30 petang peserta dilepaskan secara berkumpulan. Kami berjalan dengan melalui laluan berturap seperti tadi juga yang sememangnya disediakan di sekeliling pulau. Lebarnya hanya lebih kurang tiga kaki dan muat untuk dua orang sahaja. Jika berselisih dengan penduduk yang bermotosikal maka kami terpaksa menepi atau berhenti untuk memberi mereka laluan.
Lembu kurus dalam rumput panjang dan subur....terpelik juga.



Sepanjang jalan ketika melalui kawasan rumah penduduk kami disapa dengan ramah. Waktu petang begitu ramai yang sedang berihat termasuk kanak-kanak yang sedang bermain. Badan sudah mulai berpeluh dan rasa penat mulai terasa. Ada arahan supaya berehat sekejap berdekatan sebuah jambatan kecil yang menghubungkan Pulau Besar dengan Pantai Suri (nama pulau dalam rangkaian Pulau Beluru).Taklimat jurulatih tadi menyatakan masa perjalanan lebih kurang satu jam.

Pantai Suri memiliki inap desa yang diurus oleh persatuan nelayan mereka dengan bantuan kementerian pelancongan. Para peserta akan menjalani aktiviti orientering dan memasak untuk makan malam berhampiran dewan dan madrasah di situ.
Dewan tempat berkumpul

Pandai ke memasak tu.
Ketika baru dikumpulkan untuk aktiviti memasak, hujan mulai turun. Kelam kabut juga peserta mencari tempat terlindung untuk menyudahkan masakan makan malam hari itu. Maka adalah yang berhujan dalam renyai-renyai Pantai Suri petang Isnin itu .
Inilah ropa ikan goreng putra dan putriku, hancur, 'heheh...boleh wak nantu..."

Selesai makan dan bersolat Maghrib di sebuah madrasah berdekatan, kami bersedia untuk bergerak pulang ke kem. Hujan semakin lebat disertai angin pulau yang agak kuat. Masing-masing bersedia dengan lampu picit dan baju luar serta stokin yang dikemaskan di hujung kaki seluar kerana air sudah naik di sesetengah laluan mengikut khabar penduduk kampung. Pacat juga pasti banyak.

Satu jam lebih kami berjalan dalam kesukaran berbanding ketika pergi. Akhirnya selamat tiba di kem. Seorang pelajar perempuan terjerit-jerit melihatkan pacat sedang merayap di kakinya....eeeeiiiiii.

Cikgu-cikgu perempuan sudah penat dan ingin membersihkan diri. Tetapi kenalah menghormati kehadiran pihak pentadbir yang ingin menyertai malam kebudayaan dan bbq pada malam itu.

Lebih kurang jam 2 malam, Makngah tersedar kerana deruan angin dan hujan disertai tempias hingga memaksa kami berkemas barang dan berpindah tempat tidur. Seluruh penduduk pulau malam itu  tidur dalam kesejukan.

Saturday, March 26, 2011

Teratai, Telipuk, Lotus

Kembang yang sedang mewangi

Kali ini Makngah ingin bercakap mengenai bunga teratai atau dipanggil juga telipuk dan dalam bahasa Inggerisnya lotus. Nama Latin (saintifik) nya "Nelumbium Nelumbo Druce". Ia sejenis tanaman air yang hanya ada di kawasan Asia. Entah mengapa Makngah gemar sangat dengan rupa paras pokok ini. Saiz daunnya bulat lebar yang megah menjulang serta bunganya kelihatan begitu anggun dan meyakinkan. Patutlah ada sebahagian sekte agama Buddha menjadikan teratai sebagai lambang agama mereka. Pemeluk agama Buddha menganggap bunga ini sebagai lambang kesucian, tercermin dalam pelbagai lukisan dan patung yang menggambarkan Sang Buddha sedang duduk bersemadi di atas bunga teratai. 

Jika ada kawasan yang sesuai teringin benar Makngah membina kolam teratai dengan pelbagai jenis...impian tu..heheh. Setakat ini ditanam dalam pasu dan kolam kecil ikan 'peacok' sahaja.

Setelah lebih kurang dua tahun menanam teratai ini dan menikmati bunganya yang berkembang megah, barulah Makngah perasan bahawasanya bunga teratai ini rupa- rupanya ada baunya yang tersendiri. Baunya semerbak ketika ia baru nak berkembang atau sebelum kelopaknya pecah dan gugur. Apabila sudah pecah dan gugur, baunya sudah amat kurang dan tiada lagi.

apabila kelopak mula gugur, bau dah kurang

Tahukah tuan puan bagaimana bau bunga teratai? Hah...........macam bau gula-gula jenama 'hacks'. Semasa menciumnya fuh.....tenang setenang tenangnya fikiran kita. Seluruh bahagian teratai daripada akar, batang, kelopak, biji dan daunnya mempunyai khasiatnya yang tersendiri.

Makngah menyimpan semua tangkai bunganya yang sudah kering untuk hiasan.

Jika kreatif boleh menjadi bunga hiasan

Wednesday, March 23, 2011

Gemuk Bukan Berpunca Dari Banyak Makan


Makanan yang disaran untuk banyak diambil
Makan tetap makan.....    
Kulit yang tinggal selepas lemak dibuang.

Makngah selalu terperasankan saiz badan kawan-kawan yang lama tidak ditemui semakin berubah, walaupun baru sebulan. Apabila ditanya masing-masing mengaku "makan sedap dan makan sokmo" hehehe..... . Tetapi ada juga yang "makan sedap dan makan sokmo" tetapi badannya 'steady' sahaja. Kenapa hah? Ada yang kehairanan penyebabnya......beruntung........ kata mereka.

Nampaklah kepada kita bahawa faktor makan bukannya sebab yang tepat mengapa seseorang menjadi gemuk. Seseorang menjadi gemuk disebabkan tubuhnya tidak mampu menukar makanan kepada tenaga untuk digunakan. Sebaliknya makanan disimpan menjadi lemak. Orang yang mengalami masalah ini tentu akan berasa letih dan kekurangan tenaga. 

Apabila kita makan lebih banyak untuk meningkatkan tenaganya, makanan tersebut terus menjadi lemak pada badan dan  akan menambah kegemukan. 

Adakah berat badan satu masalah bagi kita? Adakah kita sedang mencari-cari panduan yang berkesan untuk menurunkan berat badan? Adakah kita sering mencuba untuk kurus tetapi gagal? Adakah kita berasa kecewa apabila doktor dan para pakar tidak mampu membantu kita menurunkan berat badan?
Sebenarnya kita tidak bersendirian dalam menghadapi masalah ini.

Ramai yang bermasalah dan mencari-cari jalan jalan keluar masalah berat badan. Kerana itulah wujudnya pelbagai perniagaan pelangsingan yang rata rata mengambil peluang ke atas kita. Apabila kita mengunjungi pusat-pusat sebegini dan gagal, maka mereka mempersalahkan kita pula. Kitaa akan dituduh makan banyak dan tidak berdisiplin, atau mereka sekali lagi cuba mengosongkan kocek kita dengan menawarkan sesuatu program yang lebih mahal. 

Hakikatnya, kita tidak perlu berbelanja mahal untuk kurus. Kita hanya memerlukan pengetahuan yang baik mengenai jenis makanan yang mampu meningkatkan kadar metabolik dan senaman yang berkesan untuk mencapai berat badan idaman kita. 

Apabila enzim dan hormon pembakar lemak tidak ada dalam badan kita, sudah tentu badan tidak mampu membakar lemak. Akibatnya berat badan tidak berganjak meskipun berpuasa dan berdiet dengan bersungguh-sungguh. Jadi diet dan kaedah meningkatkan enzim dan hormon badan perlulah seiring.

Kita ialah apa yang kita makan. Makan ialah satu daripada nikmat anugerah Tuhan dalam hidup kita. Makanan yang sedap mengghairahkan selera sehingga apabila kenyang kita masih mahu makan. Oleh kerana makanan kita mengandungi banyak lemak dan gula, kita berhadapan dengan masalah pengambilan lebihan gula dan lemak. Kesilapan memilih makanan menjadikan ramai rakyat Malaysia menjadi gemuk. Keadaan ini disebut sebagai klinikal obesiti. 

Di negara kita terdapat beraneka jenis makanan hasil integrasi budaya antara penduduk berbilang bangsa. Tidak kurang juga makanan segera dari negara luar. Hampir semua jenis makanan menggoda selera makan kita.


Mengikut istilah ada perbezaan di antara overweight dan obesiti. Overweight ialah lebihan berat badan daripada yang sepatutnya dari segi saiz kerangka badan. Misalnya seorang ahli bina badan atau ahli sukan tertentu mungkin mempunyai berat badan yang lebih. Hal ini kerana kelebihan pada otot berat tulang badan dan kandungan air berbanding orang biasa namun dia tidak mengalami obesiti. Jadi yang dimaksudkan dengan obesiti ialah kelebihan lemak badan. Jelaslah bagi kita bahawa menimbang berat sahaja bukan satu ukuran yang tepat bagi mengukur tahap obesiti.

Cara yang tepat ialah mengukur ketebalan lemak. Anda boleh mengambil ukur lilit lengan paha dan perut sebelum memulakan program melangsingkan badan. Jadikan ukuran sebagai rujukan anda menentukan keberkesanan program BMI yang sering dijadikan rujukan ukuran berat adalah tidak tepat dijadikan takat rujukan kerana ia mengambil kira keseluruhan berat kita (berat tulang, otot dan lemak) tanpa mengambil kira jumlah lemak dalam badan. 

Jadi, apabila kita bersedia untuk memulakan program menurunkan berat badan maka kita perlu mengambil ukuran lilitan pinggang, lengan, dada dan leher. Hal ini lebih tepat berbanding berat semata- mata.