Sunday, May 1, 2011

Bahasa Melayu yang kian pupus di Temasek


 Sempena cuti Hari Pekerja ini, masa yang ada marilah sama-sama berfikir sejenak berkenaan nasib generasi kita pada masa hadapan. Hal ini kerana apa sahaja yang generasi kini (kita sekarang) lakukan akan dituai oleh generasi kita masa hadapan. Apa yang jelas kelihatan pada hari ini ialah orang Melayu sudah semakin hilang jati diri. Semuanya berpunca daripada meninggalkan ajaran dan amalan agama yang kita anuti iaitu ISLAM. Bacalah petikan berita di bawah yang tersiar pada bulan Julai tahun lepas. Ini ialah sejarah dan sejarah selalu berulang. Jika kita tidak menghiraukan sejarah maka kita akan berbuat kesalahan yang sama seperti generasi / kaum terdahulu melakukannya.

Apakah nasib yang bakal menimpa bahasa Melayu pada generasi baru
Oleh Roslie Sidik
KEDUDUKAN bahasa Inggeris kini bukan sahaja semakin meningkat tetapi semakin menggugat. Memanglah bahasa Melayu masih terus-menerus mempunyai kedudukan yang istimewa di dalam masyarakat dan negara kita.

Namun, peningkatan penggunaan bahasa Inggeris kini di kalangan masyarakat kita cukup ketara sehingga terkesan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pilihan di kalangan masyarakat kita sendiri semakin hari semakin terpinggir.

Sesiapa pun tidak dapat menafikan bahawa bahasa Inggeris dilihat sebagai kunci modernisasi dan perkembangan ekonomi dan berfungsi sebagai bahasa pentadbiran, perundangan dan perdagangan.

Bahasa Inggeris juga dianggap sebagai bahasa ilmu dan amat dititikberatkan oleh ibu bapa.

Bahkan, madrasah-madrasah dan institusi-institusi Islam seperti masjid juga telah mula memberikan perhatian khusus dalam penggunaan bahasa Inggeris.

Di Singapura, masyarakat kita, khususnya generasi muda sudah mula tidak rasa canggung mendengar penyampaian khutbah dan mempelajari kelas agama dalam bahasa Inggeris.

Namun, persoalannya apakah nasib yang bakal menimpa bahasa kita, bahasa Melayu yang kita cintai, khususnya bagi generasi muda dan generasi baru yang akan datang. Apakah bahasa Melayu juga akan terkubur tanpa nisan dan mengalami nasib yang sama seperti bahasa Sanskrit yang pupus ditelan masa. Dalam keghairahan pejuang bahasa dan budaya yang sentiasa mendabik dada dan melaungkan kalimat 'Takkan Melayu hilang di dunia', kita sering menganggap bangsa Melayu tidak mungkin akan lenyap di muka bumi ini.

Tetapi apakah pernah kita terfikir bahawa mungkin benar bangsa Melayu itu tidak akan pupus, tetapi mampukah bahasanya juga kekal selama-lamanya.

Sekiranya Sanskrit itu sejarah silam dan kita beranggapan bahawa hal itu tidak akan terjadi kepada bahasa Melayu dalam konteks moden ini, mungkin kita harus rujuk dan pelajari daripada masyarakat Saraguros di Lagunas, Ecuador.

Masyarakat Saraguros merupakan masyarakat bilingual yang menuturkan bahasa Quechua (bahasa natif mereka) serta bahasa Sepanyol. Hornberger dan King (1996) dalam kajiannya tentang bahasa Quechua mendapati bahawa bahasa itu sedang mengalami proses kematian disebabkan rata-rata anak-anak kecil dalam komuniti tersebut hanya mampu menuturkan bahasa Sepanyol.

Tidak usah pergi jauh, mungkin kita hanya perlu mengenang semula nasib bahasa etnik kita sendiri, seperti bahasa Jawa dan Bawean yang suatu ketika dulu digunakan dengan sebaiknya oleh kelompok masyarakat itu sendiri, kini hanya tinggal kenangan.

Bahasa etnik di Singapura telah lama mati dan sekadar menunggu masa dikuburkan di pusara abadi kerana hampir keseluruhan generasi muda di Singapura sudah tidak lagi mampu menuturkan bahasa itu.

Ke mana arahnya nasib bahasa kita bukan sahaja terletak di atas bahu setiap tokoh pejuang dan pencinta bahasa dan budaya, bukan juga pada pihak pemerintah, pengajian tinggi, sekolah ataupun persatuan bahasa dan budaya semata-mata. Setiap individu memainkan peranan dalam memastikan pengekalan bahasa Melayu kerana sesuatu bahasa akan mati jika sudah tiada lagi penutur naratifnya.

Bahkan sarjana seperti Greenberg (1965) beranggapan bahawa 'salah satu faktor utama dalam pengekalan bahasa ialah keupayaan dan kemahuan ibu bapa itu sendiri dalam menyampaikan bahasa ibundanya kepada anak-anak'.

Tentulah amat membimbangkan jika si ibu pada hari ini memilih untuk mendodoi anak mereka hanya dengan alunan lagu 'nursery rhymes' daripada lagu-lagu Melayu yang sedia ada.

Pasti membimbangkan juga apabila si anak mula membesar dan secara alamiah lebih bijak dan selesa mengira dalam bahasa Inggeris daripada bahasa Melayu.

Turut membimbangkan lagi apabila si anak mula mengigau dan dalam igauan atau mimpi mereka, mereka berkata-kata dalam bahasa Inggeris.

Tentu ada juga datuk dan nenek yang mulutnya melopong apabila mendengar si cucu lebih fasih membaca doa makan dan menghafal doa solat dalam bahasa Inggeris daripada bahasa Melayu.

Sedikit masa dahulu, hal-hal sebegini jarang sekali ditemui tetapi sekarang inilah realitinya.

Memang sukar untuk dinafikan bahawa bahasa Inggeris yang dilihat sebagai lebih berprestij sering mendapat tempat yang lebih istimewa dan semakin mengambil alih peranan bahasa Melayu secara sedar ataupun tanpa kita sedari.

Di Singapura, proses pengalihan bahasa dari bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris memang telah pun berlaku.

Menerusi bukunya Bahasa Melayu Di Singapura: Pengalihan dan Pengekalan (2003), Dr Roksana Bibi, seorang Penolong Profesor, Jabatan Bahasa dan Budaya Melayu, Institut pendidikan Nasional, Universiti Teknologi Nanyang, berkata bahawa 'pengalihan ke bahasa Inggeris ini membayangkan sikap utilitarian dan pragmatik komuniti masyarakat Melayu yang mempunyai daya saing yang tinggi dalam pelbagai bidang, terutamanya pendidikan dan ekonomi'.

Tambah Dr Roksana lagi, tanpa usaha yang sungguh-sungguh, bahasa Melayu akan menjadi hanya sebagai satu pengetahuan yang dimiliki oleh masyarakat Melayu sahaja dan 'dari segi realitinya, bahasa Melayu tidak akan mungkin digunakan langsung jika tiada keperluan'.

Kita seharusnya sedar dengan hakikat bahasa yang melanda masyarakat kita dan bergerak ke arah usah-usaha untuk memperbaikinya.

Tiada sesiapapun yang sesekali menafikan kepentingan bahasa Inggeris ataupun meremehkan penggunaannya.

Tetapi sewajarnya dalam keghairahan kita menggunakan bahasa Inggeris yang sering dilihat sebagai bahasa sedunia, wajar juga kita terus-menerus berusaha ke arah memartabatkan bahasa Melayu agar bahasa Melayu terus kekal relevan. Akhir kata 'Bahasa Kita, Gunakanlah'.

* penulis seorang pendidik di Singapura.

Tidakkah apa yang diutarakan oleh penulis di atas sedang dialami oleh orang-orang Melayu di Malaysia? Mengapa hal ini tidak berlaku kepada bahasa ibunda etnik-etnik asal pendatang di sini? Sama-samalah kita fikirkan....

No comments:

Post a Comment