Monday, May 16, 2011

Tumasik, Temasik, Singa Pura-pura, Singapura, Oh.... Singapore

Apa bila disebut Singapore, seluruh dunia mengenalinya walaupun di dalam peta dunia ia hanya ditandakan dengan setitik warna merah sahaja. Letaknya pula hanya di bawah Semenanjung Malaysia dan banyak bergantung kepada Malaysia terutamanya 'air'.
 

Suatu ketika dahulu ketika belajar di JB selama 3 tahun, boleh dikatakan sebulan sekali pasti akan ke Woodlands, Rochor atau Arab Street untuk membeli barang keperluan. Ketika itu Singapura menjadi tumpuan kerana pilihan yang banyak dan pertukaran wangnya lebih kurang dengan ringgit kita.


11 Mei 2011 Makngah menjejakkan kaki semula setelah 25 tahun meninggalkannya. Sebaik menyelesaikan kursus perguruan inilah kali pertama peluang datang. Bersama 36 pelajar pra u dan 4 orang guru, kunjungan kami sebagai lawatan sambil belajar ke sebuah negara Asean yang maju.

Kami menginap di asrama YPJ Bandar Baru Tampoi. Seawal jam 7.30 pagi kami sudah berkumpul di bas yang akan membawa kami ke Pemeriksaan Imigresen Link 2 Gelang Patah.
Lambang kepada Kota Singa


Pada Makngah, Singapura masih macam itulah kerana keluasan yang begitu terhad tiada apa yang boleh mengketarakan kecuali lebuh raya yang dibina di atas tanah yang ditambak dan bilangan bangunan tinggi yang bertambah.

Papan tanda hanya dalam bahasa Inggeris dan Cina. Tiada langsung dalam bahasa Melayu. Yang ada hanya beberapa baris ayat di kain rentang yang dipasang di pagar Masjid Sultan mengenai kursus haji dan umrah. Mengecewakan apabila membaca ayat, ejaan dan makna dalam bahasa Melayu yang terdapat dalam satu risalah yang diambil di kawasan pelancongan Water Front.
Fahamkah anda akan bahasa Melayu yang digunakan?
Pekedainya juga tidak tahu berbahasa Melayu kecuali yang berketurunan Arab di kawasan Arab Street. Malahan Makngah yang bertudung labuh ini dipanggilnya 'ibu' kerana menyangka datang dari Indonesia. Maksud lainnya, betapa jarang atau tiadanya pelancong Muslimah dari Malaysia yang sudi (mampu?) membeli-belah di Singapura.


Masjid Sultan masih dalam rupa yang begitu-begitu juga cuma Istana Kg.Gelam yang sudah dijadikan Taman Warisan Melayu tidak dapat dimasuki kerana katanya dalam proses baik pulih. Kami cuma berlegar di kawasan halaman sahaja. Ternyata tiada apa yang menarik. Secara peribadi boleh dikatakan itulah lambang "Melayu yang sudah dimuziumkan".
Masjid Sultan dari satu sudut yang terhad




Apa yang melucukan ialah komen seorang pelajar dengan mengatakan "di sini serta merta kita merasa miskin. Harga sekali makan di sini, boleh makan tiga kali di tempat kita". Hai.....al maklumlah, duit kita hampir tiga kali ganda daripada duit mereka. Sampai nasi sebutir gugurpun dikutip kerana merasa sangat berharga. Itulah hikmatnya mencari pengalaman di tempat orang. Biar pelajar-pelajar itu dapat menghargai nikmat tinggal di sebuah negara bernama Malaysia.


Keesokannya kami meronda JB termasuk ke Kota Iskandar di Nusajaya kawasan pentadbiran baru kerajaan Johor yang ala-ala Putrajaya itu. Kami diberi penerangan yang panjang lebar oleh PRO Dewan Negeri Johor iaitu Encik Mohd Hashim. Kota Iskandar baru 30 peratus dibangunkan. Tahun 2015 dijangka siap sepenuhnya. Begitu tertarik dengan kehebatan rekabentuk Dewan Negeri Johor yang terletak di Bangunan Sultan Ismail.




Pada jam 7.30 malam keretapi Senandung Malam bertolak ke Tumpat. Sepanjang perjalanan kami berceloteh pelbagai cerita hal lawatan di dalam koc tempat tidur yang disewa khas itu. Setelah penat masing-masing tertidur lena sehingga sedar-sedar keretapi sudah melepas stesen Gua Musang lebih kurang jam 5 lagi. Semua yang dialami akan menjadi sejarah bersama untuk Unit Bitara STPM SMKWB.

No comments:

Post a Comment