Friday, September 9, 2011

Majunya Negeri Di Bawah Bayu

Ena bersama Kak Pizah, Tok Mek dan Chik Lah yang menghantar di PC Airport. 
Ena dah jadi siswi UMS
Tiga hari Makngah di Sabah, 6 - 8 September. Alhamdulillah.....anakanda Ena selamat mendaftar di UMS. UMS sebuah IPTA yang sudah berusia 17 tahun. Tahniah kepada orang-orang Sabah yang lebih dahulu mendapat sebuah universiti berbanding dengan Kelantan walaupun Sabah jauh di Borneo. UMK di Kelantan belum sampai 10 tahun lagi usianya.

Pertama kali menjejakkan kaki di Negeri Bawah Bayu itu, Makngah terbayangkan betapa majunya Sabah kini. Bayangkan jika Sabah tidak merdeka dalam Malaysia dan akur dengan tuntutan Indonesia 48 tahun dahulu, nasib rakyat Sabah pendek kata seperti wilayah-wilayah lain di Indonesia, mundur....... Rakyatnya berhempas pulas berjuang untuk hidup. Sanggup bersabung nyawa menjadi pendatang asing sama ada halal atau haram untuk bekerja mencari sesuap nasi di Malaysia. Bersetujukah anda dengan kenyataan ini?

Ketika sesi Mesra Bersama Ibu Bapa, Naib Canselor UMS menyatakan lebih RM2 bilion dihabiskan kerajaan untuk membangunkan UMS. 40 peratus pelajarnya rakyat Sabah dan selebihnya daripada semua negeri dan 5 peratus pelajar asing. Melalui pendidikanlah rakyat Sabah terus dimajukan minda mereka dan seterusnya memajukan negeri Sabah sendiri. Cuma harapan Makngah perpaduan jangan dikesampingkan kerana tiada perpaduan, tiadalah kemajuan malahan kehancuran yang sedia mengambil tempat. Faktor utama kepada kejayaan perpaduan ialah melalui pengukuhan kepada ajaran Islam. Maksud lainnya berpadulah melalui Islam sebagai agama rasmi seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Negara Malaysia yang diakuri oleh pemimpin dan rakyat Sabah.

Rekod sejarah dunia tidak pernah menunjukkan kemampuan agama lain untuk berlaku adil dan memajukan semua bangsa dan membina tamadun di dalam mana-mana negara kecuali ISLAM. Kajilah sejarah dunia Islam sejujurnya, pasti kita tidak mampu menafikan kenyataan itu.

Anak-anak murid Makngah juga ramai mendaftar pada 7 haribulan itu. Ramai yang menegur Makngah cuma tidak sempat bergambar kerana masing-masing sibuk dengan urusan pendaftaran yang agak kalut. Pandangan Makngah, sistem pendaftaran pelajar baru UMS masih boleh dibaiki kerana kelihatan masih banyak kelemahannya. Hal ini juga ada disebut oleh seorang penjaga ketika sesi bersama Naib Canselor UMS itu. Beliau juga menasihatkan agar pada masa hadapan sistemnya menjadi lebih teratur.

Suka Makngah tegaskan, dalam sistem pendaftaran pelajar baru, apa yang penting dan perlu didahulukan ialah penempatan kediaman kerana pelajar datang dengan beg yang besar dan banyak pula. Jadi mereka perlu meletakkan barangan mereka itu di tempat penginapan agar tidak menyusahkan dibawa ke hulu ke hilir untuk hal lain. Walaupun ada arahan mengumpulkan beg di satu khemah khas tetapi arahan peraturannya tidak jelas kepada semua pelajar baru. Berlakulah kekalutan. Makngah melihat sendiri beg-beg yang berat diheret ke hulu hilir dengan muka berpeluh-peluh serta naik turun bas free UMS. Maka sukalah Makngah mencontohkan sistem pendaftaran UiTM (pengalaman 2009 ketika mendaftar abang Ena) yang amat mudah dan menyenangkan penjaga dan pelajar sendiri.

Perkara pertama ialah pendaftaran kediaman. Pelajar baru terus diberi kolej kediaman, blok dan nombor bilik sementara untuk minggu orientasi. Ibu bapa penjaga yang menghantar terus membawa beg pelajar ke bilik dan dapat melihat bilik anak-anak mereka walaupun sementara sahaja kerana kediaman mereka akan diubah semula. Ada yang menolong mengemas cadar dan apa-apa yang patut.

Apa yang berlaku di UMS, setelah berpeluh-peluh beratur mengambil, mengisi borang dan mendaftar fakulti di dewan canselor, barulah pelajar baru disuruh ke kolej kediaman. Apabila sampai, ada sesi bergambar pula dan barulah diberi blok dan nombor bilik.  Ibu bapa penjaga dilarang pula masuk ke asrama hatta setakat menolong mengangkat beg yang berat itu. Anak-anak sendirianlah mengangkut beg yang berat itu hingga ke tingkat 4. Mengomen juga Makngah kepada salah seorang pelajar ajk orientasi yang berdiri memberi arahan larangan itu. ''Peraturan" katanya. Peraturan yang dibuat dan menyusahkan boleh diubah wahai cik adik oiiiiii. Ramailah ibu bapa yang turut membantah peraturan itu. Hari istimewa macam itu apa yang nak ditakutkan? Ke nak tutup keadaan asrama yang teruk? Cuma yang hairannya, pelajar-pelajar yang datang bersendirian dan tiba pada 6 hb didaftarkan terus ke penginapan sementara. Cara itu juga perlu dilakukan kepada pelajar yang daftar pada 7 hb.

Apa yang penting, kelemahan yang ada dibaiki dan pelajarilah daripada sistem minggu suai kenal universiti terkemuka lain di Malaysia yang lebih berpengalaman agar tidak terus menyusahkan ibu bapa terutama yang datang menaiki belon. Jauh woooooo.............habis banyak RM nya. Tinggallah Ena di bawah bayu, UMS yang indah permai dan selepas orientasi akan ke kampus Labuan pula......belajar eloq-eloq nooooo  walau di mana jua berada.

1 comment:

  1. UMS sebagaimana universiti lain masih bergelut dalam masalah sistem. "Universiti Masalah Sistem"..hahaha..

    ReplyDelete