Thursday, March 3, 2011

OKU yang Kukenali

Orang Kurang Upaya atau lebih tepat Orang Kelainan Upaya (OKU) mempunyai kedudukan mereka yang tersendiri di sisi masyarakat kita. Kekurangan mereka itu sama ada dari segi tahap pemikiran ataupun fizikal. Kerajaan Malaysia sendiri memberi elaun khas kepada pelajar-pelajar OKU ini. Sebenarnya dalam beberapa keadaan golongan OKU ini mempunyai tahap pemikiran atau kesungguhan yang lebih hebat berbanding dengan orang biasa yang kelihatan sempurna luarannya. Hal ini banyak dibuktikan dengan berita-berita kejayaan golongan ini walaupun mereka seorang yang hilang penglihatan, cacat kaki, cacat tangan dsb.

Mohd Qhobir bin Azizan seorang pelajar tingkatan empat. Dalam peperiksaan PMR 2010 beliau lulus sederhana kerana walaupun tidak mendapat gred A dalam lapan subjek yang diambil tetapi tidak ada gred D dan E. Kira sangat baiklah keputusan peperiksaan dia sebagai seorang pelajar istimewa yang menerima elaun RM150.00 sebulan daripada kerajaan berdasarkan pekeliling yang disertakan di bawah.

SURAT PEKELILING KEWANGAN BIL.3 TAHUN 2009 ELAUN MURID BERKEPERLUAN KHAS
(KATEGORI ORANG KURANG UPAYA)

> Syarat-syarat Kelayakan menerima Elaun Murid Khas (EMK)

I. Warganegara Malaysia
Ii. Sekolah Kerajaan Dan Sekolah Bantuan Kerajaan
Iii. Murid Berkeperluan Khas Di Bawah Kementerian Pelajaran Malaysia Merangkumi Sekolah-sekolah Berikut :
a. Prasekolah
b. Sekolah-sekolah Rendah Dan Menengah
c. Sekolah Agama Dan
d. Kolej Matrikulasi
Iv. Memiliki Kad OKU Yang Dikeluarkan Oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM); Dan
V. Tidak / Belum Menerima Elaun OKU Daripada Mana-mana Agensi Kerajaan Atau Pertubuhan Bukan Kerajaan.


Berdasarkan gambar Mohd Qhobir di bawah tentu pembaca dapat meneka apa kecacatan Mohd Qhobir. Matanya juga agak kurang jelas; untuk membaca terpaksa ditatap secara dekat. Apa yang ingin Makngah ketengahkan ialah sikap istimewa Mohd Qhobir. Dia seorang yang peramah, mempunyai keyakinan diri yang tinggi dan tidak mudah berputus asa, walaupun sering disindir dan diejek oleh kawan-kawannya di atas kekurangan fizikal yang dia alami. Dia belajar sekelas dengan pelajar-pelajar sempurna walaupun sekolah itu mempunyai Kelas Pendidikan Khas. Jika disebut nama Mohd Qhobir, maka satu sekolah itu akan mengenali siapa Moh Qhobir.

Mohd Qhobir berjuang untuk meletakkan dirinya setaraf dengan pelajar-pelajar lain yang sekelas dan sesekolah dengannya. Dia ada cita-cita menjadi pemimpin dan pernah dilantik menjadi ketua tingkatan.

Renungan hensom Qhobir atau Amir Ekuin
Dia juga aktif menyertai aktiviti kokurikulum dengan menyertai Pasukan Bulan Sabit Merah dan Kelab Program Usahawan Muda (PUM). Pada tahun lepas dia menyertai unit redaksi majalah sekolah bahagian iklan. Sikap peramah dan berhemahnya memberi kepercayaan kepada beberapa orang penaja lalu menjadikan Mohd Qhobir antara ajk yang berjaya mencari penaja kepada majalah sekolah kami. Hal ini menunjukkan kebolehan berkomunikasi Mohd Qhobir berbanding dengan ramai pelajar lain yang hanya 'tahu menyebut malu' sahaja apabila disuruh membuat tugasan sedemikian. 

Pada tahun ini Mohd Qhobir aktif membuat jualan di dalam Kelab PUM dan dilantik sebagai admin mengurus facebook syarikat PUM sekolah. Dia juga aktif bersosial di dalam facebook dengan menggunakan nama Amir Ekuin. Makngah pernah bertanya kenapa ada 'ekuin"? Dia menjawab kerana dia suka menunggang kuda.








   
 







Amir Ekuin sedang mengira bungkusan kerepek untuk jualan.
Pada suatu hari kami pernah berbual-bual. Mohd Qhobir menyatakan keinginannya memiliki komputer riba sendiri kerana yang digunakannya sekarang kepunyaan abangnya. Makngah bertanya kenapa tidak digunakan duit elaun bulanan yang kerajaan beri itu? Jawabnya duit itu disimpan untuk mengerjakan umrah apabila cukup nanti. Terkedu Makngah mendengar jawapan Mohd Qhobir. Inilah kebesaran Allah Yang Maha Pencipta, diciptakan seorang insan yang kurang fizikalnya tetapi tidak kurang sedikitpun daya juang dan pengesaannya kepada Tuhan Pencipta malahan jauh lebih hebat daripada sesetengah insan yang diciptakan sempurna fizikal dan mental.

Selamat maju jaya untuk Amir Ekuin.

3 comments:

  1. ermmm sedih saya dengarnya.... tq makngah

    ReplyDelete
  2. wah.. en amir ni ada kuda ker? dah setaraf dengan sultan mizan nih... hohohho : ) papehal, en amir, teruskan usaha.. dah ada batang pancing, biar terus mengail.. : )

    ReplyDelete
  3. terima kasih... ermm pancing hampir2 patah tapi dah beli baru

    ReplyDelete