Tuesday, March 15, 2011

Bahasa Benteng Bangsa



Bahasa mengenal bangsa. Bangsa Melayu merupakan antara beratus-ratus jenis  bangsa yang Allah SWT jadikan di atas muka bumi dengan tanah airnya tersendiri. Peredaran masa, banyak bangsa yang pupus, ada  yang tercatat dan banyak juga yang tiada dalam mana-mana catatan sejarah. Ada di kalangan bangsa itu bertukar daripada  nama asalnya demi meneruskan survival mereka.

Mengapa pupus?.  Pertama, kerana mereka tidak terfikir bahawa bangsa mereka  yang kuat boleh pupus. Kedua, kerana ketololan bangsanya sendiri. Ketiga, lahirnya golongan pengkhianat, penderhaka bangsa, diperalat pihak luar, kerakusan, ketamakhalobaan, kepentingan diri sendiri yang berleluasa, dan tidak mengakui kehebatan bangsanya sendiri. Bagi bangsa Melayu, Melaka adalah singkapannya.

Bangsa Melayu dapat dikatakan sebagai satu bangsa kerana ada bahasanya tersendiri. Budayanya tersendiri serta kepercayaan kepada tuhannya tersendiri.  Seorang yang beragama Islam, bertutur dalam bahasa Melayu dan mengamal  adat istiadat Melayu diklasifikasikan sebagai bangsa Melayu. Ingat,  tiga komponen mudah iaitu  Islam, Bahasa dan Adat (IBA).

Sesuatu bangsa yang  bertamadun akan membangunkan bahasanya sendiri mengikut persekitaran yang dinamik.Walaupun demikian mereka tidak pula etnosentrik malah terbuka. Bahasa yang dapat bertahan lama ialah bahasa yang dapat mengasimilasikan bahasa lain yang bertamadun mengikut persekitaran yang berubah.

Adat Istiadat lebih mendekati makna budaya atau cara hidup yang membezakan ciri-cirinya dengan etnik lain. Suatu ciri Melayu ialah mempunyai ciri yang halus, tersusun, tersurat dan tersirat. Sopan ialah intisarinya. Kaya bahasa bukanlah memaknakan tutur kata sahaja tetapi ia bersalut keluhuran, keikhlasan, kesucian, akhlak dan moral serta akal budi. Pancaran dari itulah lahirnya kebudayaan.

Namun demikian sedang bangsa Melayu hangat membina tamadun, terpaksa berhempas pulas menghadapi ancaman dari luar dan dalam. Dari luar menerjah masuk berniat jahat melenyapkan keperibadian Melayu. Sentiasa ada penjuru cuba dibolosi.

Memusingkan kepada dari dalam lahirnya pengkhianat dari kepelbagaian faktor sosial  namun dapat dirumuskan sebagai faktor memburu kuasa. Hambatan itu menghalalkan semua cara sama ada bermoral atau tidak bermoral. Meminggirkan nilai agama, injeksi budaya haiwan yang tidak masuk akal, xenosentrik iaitu memuja budaya luar dan merendahkan budaya sendiri.  Jika dibiar ia akan terus menular menyelimuti bangsa Melayu.

Ada dua keadaan untuk mempertahankan kukuhan  bangsa. Pertama secara berhemah dan bermoral. Kedua cara kebinatangan jika keadaan sudah kritikal. Manifestasi dari sifat kehaiwanan untuk membolos masuk merentap kekuatan bangsa itulah maka lahir golongan yang  bersifat agresif  ala 'Rambo' untuk mempertahankannya bermati-matian.

Golongan Rambo Melayu ini tidak mengira apa cara jika mereka berpendapat bahawa sifat kebinatangan tidak boleh dihadapi dengan cara adab bermoral kemanusiaan. Cara berhemah akan menjadi 'lauk' mereka. Sifat tunggu dan lihat tidak lagi mengizinkan apa lagi ia berhemah dengan kehaiwanan dalam memperkecilkan bangsa Melayu.

Apabila peperangan sudah bermula, tiada suatu yang dapat menghalang cara. Sempadan harus dijaga dengan benteng tubuh. Terserahlah kepada Allah SWT Sebab itu niat kita mempertahankan agama, bangsa dan negara kena betul. Niat tidak menghalalkan cara. Jangan jadi seperti sebuah parti politik Melayu  yang sanggup menjual apa sahaja demi secebis kuasa, masyaAllah...berserahlah kita kepada-Nya.

Dalam peperangan bahasa, budaya menjadi kecil. Budaya, bahasa dan agama dapat hidup dalam keadaan aman makmur. Sejauh ini, bahawa, agama, budaya bangsa itu dapat berkembang kerana hasil kemakmuran pejuang terdahulu. Tetapi sekarang tidak dihargai. Dalam kondisi kecamuk anda tidak dapat bertahan soal bahasa, agama dan budaya, maka janganlah bercakap soal itu lagi, jika kita sendiri  memihak  kepada yang mana?. Kerana apa?. Mengapa?.

Rumusnya, sekali lagi saya tekankan bahawa bahasa, agama dan budaya Melayu itu dapat berkembang dan menunjangi tamadun Melayu dalam suasana aman damai. Dalam mengejar aman damai kadang kala semua dijadikan peluru dan benteng. Tidak hairan jika Rambo Melayu menjadikan bahasa kesat, kasar, ganas  dan tidak bermoral dalam menghadapi suasana melawan amalan hukum rimba. Bahasa digunakan sebagai peluru.  Mengeluarkan air dari telinga seharusnya air juga.

Selagi ia berperinsip kebenaran dan keadilan ayuh teruskan serangan, jangan ragu. Kita tawakkal.

* Entri di atas diambil daripada penulisan seseorang yang Makngah lupa daripada mana dan harap diizinkan. Rambo Melayu di sini dimaksudkan kepada sesiapa sahaja yang dituduh berkasaran dalam menuntut hak Melayu Islam kerana dikatakan Melayu itu sifatnya lembut dan beradab sopan.

No comments:

Post a Comment