Tuesday, June 14, 2011

Peniaga di Beijing Macam Tembok Besar China

Lima hari di Beijing dan Tianjin memberi banyak pengalaman kepada Makngah dan rakan-rakan sependerak. Kami dapat mengenali satu bangsa unik yang suatu ketika dahulu ramai bertebaran ke merata dunia mencari kehidupan termasuk di negara kita Malaysia ini. Komuniti mereka makin membesar di Malaysia setelah bergelar warganegara Malaysia.

Mengenali sejarah kehidupan rakyat China yang diperintah oleh Parti Komunis China dalam dekad Mao Tse Tung amat berbeza dengan kehidupan rakyat China bermula tahun 80-an. Ketika itu pakaian mereka macam uniform kerana semuanya serupa, rakyat bekerja untuk negara dan negara menyediakan semua keperluan hidup untuk rakyat secukup hidup. Bagi mengekang pertumbuhan penduduk, pemerintah menghadkan seorang anak sahaja untuk sepasang suami isteri dan ia berlangsung hingga hari ini.

Kini mereka hidup gaya moden dan sedang cuba menguasai ekonomi dunia dalam bidang pembuatan menyaingi Jepun yang lebih awal mendahului negara anak-anak keturunan 'naga' itu. Pada hari ini Medan Tianamen yang terpampang gambar besar Mao Tse Tung menjadi tempat kunjungan ramai pelancong.






Selain matlamat utama melihat Tembok Besar China (TBC) atau Great Wall, Makngah juga berhasrat membeli belah. Hasrat itu tersemat kerana momokan ramai yang pernah ke sana tentang banyaknya pilihan barangan keluaran China walaupun mutunya agak kurang. Hal itu memang diakui sendiri oleh pemandu pelancong kami bernama Sandy yang mendakwa barangan elektrik buatan China 'kurang kualitasnya' dalam telor bahasa Indonesia yang digunakannya. Malahan menurut beliau, kereta buatan China kurang dibeli oleh penduduk China sendiri.

Namun hasrat itu terbantut apabila melihat gelagat dan tektik peniaga China berniaga. Harga tidak diletak pada barangan jualan mereka. Apabila ditanya mereka menyebut harga yang amat tidak munasabah untuk sesuatu barang dengan menggunakan kakulator. Apabila kita tidak bersetuju, mereka menyuruh kita meletak harga kita. Apabila kita meletak harga dengan kadar yang agak patut dengan kita, mereka memarahi kita dan Makngah sendiri mendapat jerkahan 'crazy' kerana harga yang Makngah minta tidak disukai mereka. Sikap mereka juga ramai yang biadap dan merampas barang dari tangan kita dengan kasar jika mereka tidak suka. Bebelan mereka berbakul dalam bahasa China.

Ramai yang terkena dengan harga mahal kerana malas berbalah pasal harga. Ada juga yang terbeli barang yang amat rendah mutunya dengan harga mahal tetapi didakwa berkualiti oleh peniaga itu. Jika di India tahun lepas Makngah namakan "belitan India". Di China ini pula bolehlah diumpamakan sikap peniaganya "berbelit-belit macam TBC". Seorang rakan Makngah membeli beg tangan dengan harga RM90.00 kerana didakwa dibuat daripada kulit yang bagus. Dalam perjalanan pulang dari kedai lagi beg itu sudah menggelupas kerana dibuat daripada salutan kulit pvc kualiti rendah yang amat nipis....kesian ustazah kita....heheheh. Harga patut untuk beg itu hanya RM15.00 sahaja.

Mungkin kerana musim cuti sekolah dan tawaran tambang murah Air Asia, maka ramai sungguh orang Malaysia melancong ke sini. Di dalam pesawat lagi Makngah sudah nampak keramaian warga kita itu. Kami berjumpa di banyak lokasi dengan mereka ini termasuk di restoran, kawasan pelancongan dan kedai. Kami sempat bergambar dengan artis Salleh Yaacob yang juga melancong ke sini bersama 4 orang isteri dan anak-anaknya. Kami mengambil kesempatan bergambar bersama.




Ketika di Summer Palace, Makngah begitu terkejut dan takjub melihat batang pokok yang berada di satu kawasan istana itu yang mempunyai corak celoreng seperti uniform askar. Ada yang tidak percaya dan menyangka ia sengaja ditoreh atau dicorakkan. Jika dicorakkan, takkan semua pokok di situ daripada pokok kecil hingga besar dan daripada umbi hingga hujung ranting berkeadaan sama. Semuanya itu ciptaan Allah SWT.



Lihatlah bukti kebesaran-Nya

Satu perkara lagi yang perlu disebut ialah bandaraya Beijing sebagai sebuah kota yang terbesar di China tidak mempunyai kumpulan anak-anak jalanan atau terbiar. Hal ini disebabkan oleh setiap pasangan hanya mempunyai seorang anak maka anak tersebut ditatang sebaik mungkin. Makngah tak nampakpun kelibat anak-anak muda berfoya-foya samada di jalanan atau di pusat-pusat membeli belah. Itulah perbezaan yang jelas antara Beijing atau Tianjin dengan kota-kota lain di dunia.

Apa-apapun..............Malaysia jua yang terbaiiiiikkkkkkkkkkkkkk...............

Wednesday, June 1, 2011

Majlis Perkahwinan Abu Anip

Makngah baru balik dari menghadiri majlis perkahwinan anak saudara lelaki yang mendapat pasangan dengan gadis Merlimau Melaka. Perkahwinan Abu Hanif anak saudara Makngah itu dikira istimewa kerana dia cucu pertama Mek yang berkahwin daripada 40 orang cucu.

Apa yang Makngah ingin perkatakan ialah Anip anak sulung dan pasangannya anak bongsu dalam keluarga. Ngam bebenor nampaknya mereka. Majlis perkahwinan di Merlimau dikira meriah dengan adat perkahwinan orang Parit Perawas. Walau bagaimanapun mereka telah banyak mentiadakan acara-acara yang dikira tidak islamik kerana menghormati permintaan keluarga Anip yang amat mementingkan cara hidup Islam. Yang diadakan hanya setakat bersanding untuk bergambar sahaja. Renjis merenjis dan banyak lagi ditiadakan.

Majlis menyambut menantu di Wakaf Bharu akan diadakan pada 4 Jun nanti. Semoga majlis bekwoh Anip berjalan lancar dan selamat datang ke Wakaf Bharu kepada orang Parit Perawas, Merlimau terutama kepada pengantin perempuannya kerana Lin tidak pernah menjejakkan kakinya ke Kelantan. Jangan terkejut kerana majlis kami biasa-biasa aja. Yang penting akad nikah dan kalian hidup bahagia membina keluarga cara hidup Islam. Terimalah kami sebagai anggota keluarga seadanya.

SELAMAT PENGANTIN BARU KEPADA ANIP DAN LIN



Friday, May 27, 2011

Cuti Datang Lagi....Ke Mana Nak Pergi?

Alhamdulillah........segala puja puji dipanjatkan kepada Allah SWT di atas segala kurnianya kerana kita masih diberi kesempatan untuk menikmati semua pemberian-Nya sehingga ke saat ini.

Pada jam 1 petang semalam, suasana SMKWB sudah mulai lengang. Ramai warganya sudah 'ghaib'. Maklumlah sebahagian berprogram di pulau belum balik termasuk sebahagian pentadbirnya. Sebahagiannya sudah mulai bercuti kerana mengerjakan umrah, manakala pelajarpun begitu juga termasuk yang tidak hadir kerana bercuti awal....emmmmmm.

Makngah pula, walaupun semua warga sudah pulang, tetapi bersama 9 orang pelajar tekun menjalani latihan untuk persembahan syarikat Kelab PUM yang akan diadakan pada 18 Jun nanti. Jam 5.30 baru bersurai dari dewan auditorium dalam keadaan banyak perkara lagi perlu dibereskan. Sebelum bersurai sesi penggambaran untuk slaid persembahan diadakan. Masing-masing bergerak turun dalam keletihan dari tingkat 4 dewan  auditorium. Makngah sendiri belum makan tengah haripun lagi.

Cuti dua minggu padat dengan pelbagai acara. Kelas tambahan, berlarok ke Melaka, bekwoh dua anak buah, bekwoh saudara mara dan jiran serta berderak ke Tembok Besar China.....

Dalam banyak-banyak bercuti ini, paling Makngah ingati ialah peristiwa yang berlaku pada awal tahun lepas di sebuah tempat bernama Cherating, negeri Pahang. Setiap kali menyebut The Kampong Inn Cherating, kami berempat (yang mengalaminya) pasti akan ketawa besar. Makngah akan ceritakan lain kali peristiwa itu apabila gambar-gambar tempat itu dapat dicari. By.................

Monday, May 16, 2011

Tumasik, Temasik, Singa Pura-pura, Singapura, Oh.... Singapore

Apa bila disebut Singapore, seluruh dunia mengenalinya walaupun di dalam peta dunia ia hanya ditandakan dengan setitik warna merah sahaja. Letaknya pula hanya di bawah Semenanjung Malaysia dan banyak bergantung kepada Malaysia terutamanya 'air'.
 

Suatu ketika dahulu ketika belajar di JB selama 3 tahun, boleh dikatakan sebulan sekali pasti akan ke Woodlands, Rochor atau Arab Street untuk membeli barang keperluan. Ketika itu Singapura menjadi tumpuan kerana pilihan yang banyak dan pertukaran wangnya lebih kurang dengan ringgit kita.


11 Mei 2011 Makngah menjejakkan kaki semula setelah 25 tahun meninggalkannya. Sebaik menyelesaikan kursus perguruan inilah kali pertama peluang datang. Bersama 36 pelajar pra u dan 4 orang guru, kunjungan kami sebagai lawatan sambil belajar ke sebuah negara Asean yang maju.

Kami menginap di asrama YPJ Bandar Baru Tampoi. Seawal jam 7.30 pagi kami sudah berkumpul di bas yang akan membawa kami ke Pemeriksaan Imigresen Link 2 Gelang Patah.
Lambang kepada Kota Singa


Pada Makngah, Singapura masih macam itulah kerana keluasan yang begitu terhad tiada apa yang boleh mengketarakan kecuali lebuh raya yang dibina di atas tanah yang ditambak dan bilangan bangunan tinggi yang bertambah.

Papan tanda hanya dalam bahasa Inggeris dan Cina. Tiada langsung dalam bahasa Melayu. Yang ada hanya beberapa baris ayat di kain rentang yang dipasang di pagar Masjid Sultan mengenai kursus haji dan umrah. Mengecewakan apabila membaca ayat, ejaan dan makna dalam bahasa Melayu yang terdapat dalam satu risalah yang diambil di kawasan pelancongan Water Front.
Fahamkah anda akan bahasa Melayu yang digunakan?
Pekedainya juga tidak tahu berbahasa Melayu kecuali yang berketurunan Arab di kawasan Arab Street. Malahan Makngah yang bertudung labuh ini dipanggilnya 'ibu' kerana menyangka datang dari Indonesia. Maksud lainnya, betapa jarang atau tiadanya pelancong Muslimah dari Malaysia yang sudi (mampu?) membeli-belah di Singapura.


Masjid Sultan masih dalam rupa yang begitu-begitu juga cuma Istana Kg.Gelam yang sudah dijadikan Taman Warisan Melayu tidak dapat dimasuki kerana katanya dalam proses baik pulih. Kami cuma berlegar di kawasan halaman sahaja. Ternyata tiada apa yang menarik. Secara peribadi boleh dikatakan itulah lambang "Melayu yang sudah dimuziumkan".
Masjid Sultan dari satu sudut yang terhad




Apa yang melucukan ialah komen seorang pelajar dengan mengatakan "di sini serta merta kita merasa miskin. Harga sekali makan di sini, boleh makan tiga kali di tempat kita". Hai.....al maklumlah, duit kita hampir tiga kali ganda daripada duit mereka. Sampai nasi sebutir gugurpun dikutip kerana merasa sangat berharga. Itulah hikmatnya mencari pengalaman di tempat orang. Biar pelajar-pelajar itu dapat menghargai nikmat tinggal di sebuah negara bernama Malaysia.


Keesokannya kami meronda JB termasuk ke Kota Iskandar di Nusajaya kawasan pentadbiran baru kerajaan Johor yang ala-ala Putrajaya itu. Kami diberi penerangan yang panjang lebar oleh PRO Dewan Negeri Johor iaitu Encik Mohd Hashim. Kota Iskandar baru 30 peratus dibangunkan. Tahun 2015 dijangka siap sepenuhnya. Begitu tertarik dengan kehebatan rekabentuk Dewan Negeri Johor yang terletak di Bangunan Sultan Ismail.




Pada jam 7.30 malam keretapi Senandung Malam bertolak ke Tumpat. Sepanjang perjalanan kami berceloteh pelbagai cerita hal lawatan di dalam koc tempat tidur yang disewa khas itu. Setelah penat masing-masing tertidur lena sehingga sedar-sedar keretapi sudah melepas stesen Gua Musang lebih kurang jam 5 lagi. Semua yang dialami akan menjadi sejarah bersama untuk Unit Bitara STPM SMKWB.

Thursday, May 5, 2011

Bahasa Kita Gunakanlah

Berita hari ini  seperti di bawah menyebabkan hati menjadi gundah, apakah disebabkan orang Melayu lemah bertindak, maka semua perkara yang berkait dengan kemelayuan termasuk bahasanya diambil mudah dan diremehkan?

Bahasa kebangsaan terus dipinggirkan

KUALA LUMPUR 4 Mei - Tidak sensitif dan membelakangkan kedudukan bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan negara ini.

Itulah kesimpulan yang dapat dibuat berikutan tindakan beberapa pemilik premis di sekitar ibu kota menggunakan sepenuhnya bahasa Inggeris pada papan tanda perniagaan dan papan iklan mereka.
Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar Jalan Sultan Ismail, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Dang Wangi, Jalan Alor dan Jalan Bukit Bintang mendapati perkara itu berleluasa dan seolah-olah dihalalkan.

Tindakan pemilik premis menggunakan seratus peratus bahasa Inggeris pada papan tanda perniagaan dan papan iklan mereka sangat dikesali dan seolah-olah menggambarkan lokasi tersebut bukannya berada di Malaysia.

Pada masa sama, pihak berkuasa tempatan harus bertegas dalam perkara ini kerana jika dibiarkan, ia memberi gambaran bahawa rakyat Malaysia sebagai bangsa yang tidak berbangga dengan bahasa sendiri.