Lima hari di Beijing dan Tianjin memberi banyak pengalaman kepada Makngah dan rakan-rakan sependerak. Kami dapat mengenali satu bangsa unik yang suatu ketika dahulu ramai bertebaran ke merata dunia mencari kehidupan termasuk di negara kita Malaysia ini. Komuniti mereka makin membesar di Malaysia setelah bergelar warganegara Malaysia.
Mengenali sejarah kehidupan rakyat China yang diperintah oleh Parti Komunis China dalam dekad Mao Tse Tung amat berbeza dengan kehidupan rakyat China bermula tahun 80-an. Ketika itu pakaian mereka macam uniform kerana semuanya serupa, rakyat bekerja untuk negara dan negara menyediakan semua keperluan hidup untuk rakyat secukup hidup. Bagi mengekang pertumbuhan penduduk, pemerintah menghadkan seorang anak sahaja untuk sepasang suami isteri dan ia berlangsung hingga hari ini.
Kini mereka hidup gaya moden dan sedang cuba menguasai ekonomi dunia dalam bidang pembuatan menyaingi Jepun yang lebih awal mendahului negara anak-anak keturunan 'naga' itu. Pada hari ini Medan Tianamen yang terpampang gambar besar Mao Tse Tung menjadi tempat kunjungan ramai pelancong.
Selain matlamat utama melihat Tembok Besar China (TBC) atau Great Wall, Makngah juga berhasrat membeli belah. Hasrat itu tersemat kerana momokan ramai yang pernah ke sana tentang banyaknya pilihan barangan keluaran China walaupun mutunya agak kurang. Hal itu memang diakui sendiri oleh pemandu pelancong kami bernama Sandy yang mendakwa barangan elektrik buatan China 'kurang kualitasnya' dalam telor bahasa Indonesia yang digunakannya. Malahan menurut beliau, kereta buatan China kurang dibeli oleh penduduk China sendiri.
Namun hasrat itu terbantut apabila melihat gelagat dan tektik peniaga China berniaga. Harga tidak diletak pada barangan jualan mereka. Apabila ditanya mereka menyebut harga yang amat tidak munasabah untuk sesuatu barang dengan menggunakan kakulator. Apabila kita tidak bersetuju, mereka menyuruh kita meletak harga kita. Apabila kita meletak harga dengan kadar yang agak patut dengan kita, mereka memarahi kita dan Makngah sendiri mendapat jerkahan 'crazy' kerana harga yang Makngah minta tidak disukai mereka. Sikap mereka juga ramai yang biadap dan merampas barang dari tangan kita dengan kasar jika mereka tidak suka. Bebelan mereka berbakul dalam bahasa China.
Ramai yang terkena dengan harga mahal kerana malas berbalah pasal harga. Ada juga yang terbeli barang yang amat rendah mutunya dengan harga mahal tetapi didakwa berkualiti oleh peniaga itu. Jika di India tahun lepas Makngah namakan "belitan India". Di China ini pula bolehlah diumpamakan sikap peniaganya "berbelit-belit macam TBC". Seorang rakan Makngah membeli beg tangan dengan harga RM90.00 kerana didakwa dibuat daripada kulit yang bagus. Dalam perjalanan pulang dari kedai lagi beg itu sudah menggelupas kerana dibuat daripada salutan kulit pvc kualiti rendah yang amat nipis....kesian ustazah kita....heheheh. Harga patut untuk beg itu hanya RM15.00 sahaja.
Mungkin kerana musim cuti sekolah dan tawaran tambang murah Air Asia, maka ramai sungguh orang Malaysia melancong ke sini. Di dalam pesawat lagi Makngah sudah nampak keramaian warga kita itu. Kami berjumpa di banyak lokasi dengan mereka ini termasuk di restoran, kawasan pelancongan dan kedai. Kami sempat bergambar dengan artis Salleh Yaacob yang juga melancong ke sini bersama 4 orang isteri dan anak-anaknya. Kami mengambil kesempatan bergambar bersama.
Ketika di Summer Palace, Makngah begitu terkejut dan takjub melihat batang pokok yang berada di satu kawasan istana itu yang mempunyai corak celoreng seperti uniform askar. Ada yang tidak percaya dan menyangka ia sengaja ditoreh atau dicorakkan. Jika dicorakkan, takkan semua pokok di situ daripada pokok kecil hingga besar dan daripada umbi hingga hujung ranting berkeadaan sama. Semuanya itu ciptaan Allah SWT.
suka baca coretan kak dah ni..jauh jalan byk pengalaman cumanya bila perjlnan di program kan nmpak mcm terhad pemandangan. saya rasa kena fikir balik lah kalau nk shopping kat beijing tu kan. bila pulak i nak pegi ni.
ReplyDeletePerjalanan diprogramkan sedemikian krn syarat pemerintah China.Jadi kita terpaksa kena ikut wpun ada tmpt2 yg kita tidak minat............
ReplyDelete