Saturday, January 21, 2012

Ayat-ayat Allah Yang Menakjubkan - Bhgn 2

Dari 5 Bintang Ke 0 Bintang
 
Katakanlah:
""""' Berjalanlah di bumi, 
maka perhatikanlah bagaimana Allah memulai penciptaan makhluk, kemudian Allah menjadikan kejadian yang akhir (membangkitkan semula manusia setelah mati)."
Sesungguhnya Allah Mahakuasa atas segala sesuatu.

Ayat-ayat Allah atau tanda-tanda kebesaran-Nya boleh dihayati di mana-mana jua. Malahan tanda kebesarannya yang paling asas ialah udara yang kita sedut setiap hari. Bayangkan kita berada di tempat tinggi misalnya di Everest, jika tidak dibawa tabung oksigen bolehkah pendaki berada lama di puncaknya?

Jadi untuk kali ini Makngah nak ingati semula peristiwa yang berlaku pada bulan Disember 2008 ketika pergi berjalan-jalan di negeri jiran Makngah. Ada berlaku satu insiden yang biasa sahaja tetapi besar ertinya bagi menunjukkan apa yang berlaku ada hikmahnya. Ia berlaku di luar jangkaan kami.

Kisahnya, kami ingin berehat sambil berjalan-jalan di KT. Ada kawan lama Makngah di situ iaitu Abe Din dan Kak Moh. Mereka cadangkan kami cuba menginap di Felda Residence yang baru sahaja beroperasi dan bakal dirasmikan oleh Sultan Mizan. Hotel itu berbintang lima dan merupakan yang terbaru dan punya bangunan tertinggilah di bandar KT pada masa tu. Okeylah tu.

Berdasarkan petunjuk yang diberi Abe Din kami dapat mencari letak hotel itu di Jalan Hiliran tepi Sungai Terengganu iaitu tengah-tengah bandar KT. Anak-anak seronok kerana dapat bilik berpemandangankan sungai. Pengunjung hotel tidak ramai mungkin kerana masih belum dikenali dan akan dirasmikan lebih kurang dua minggu lagi. Kelihatanlah banyak persiapan sedang berjalan.


Hotel Felda Residence
Katil dalam bilik

Berehat, makan minum sambil menonton

Bilik ayaq

Berposing atas katil?

Selepas daftar masuk, kami keluar ke Taman Tamadun Islam sambil makan-makan di tepi benteng. Juga meronda-ronda di kawasan masjid yang beruba replika pelbagai masjid dari seluruh dunia itu.


Santai tepi sungai




Nampak orang sedang mengail di Sungai Terengganu
Bas Warisan yang membawa pelancong mengelilingi Taman Tamadun Islam

Keesokan paginya anak-anak mahu mandi di Cherating, iaitu antara pantai tercantik di Malaysia. Masuk sahaja di kawasan itu, suasana sudah bertukar lain. Pelancong mat saleh dah ramai duduk bersidai. Pakaian mereka biasalah sekadar ada sahaja.Kami datang masa cuti main redah sahaja dan tak buat tempahan awal pula. Maka jenuhlah mencari tempat penginapan. Ingatkan sampai awal pagi senang dapat penginapan rupanya tidak.

Penat mencari, Makngah hampir berputus asa dan ingin berpatah balik. Namun anak-anak berkeras mahu mencari lagi. Kami ternampak satu papan tanda di tepi jalan ,The Kampung Inn. Cubalah kata kami. Masuk je lorong tepi papan tanda itu, jelas kelihatan kawasan kampungnya. Bersih. Kelihatan deretan rumah-rumah kecil di celahan pokok kelapa. Tak nampak macam penginapan. Suasana sunyi. Kami cuba juga berhenti dan ingin bertanya. Terjenguk-jenguk mencari jika ada kaunter pertanyaan. Tiada langsung kelibat orang.

      "Hello.......ada orang????"

Dua tiga kali diulang, tiba-tiba ada yang menjawab,

"Yop.......ada apa?" Terkejut kami dan tercari-cari sebab suara kedengaran dekat sahaja tetapi tak nampak.
Dua kali terkejut kerana seorang lelaki hanya berseluar pendek tak berbaju melurut turun dari sebatang pokok kelapa dekat situ. Lelaki Melayu separuh umur dengan badan berpeluh-peluh itu terus bertanya,

" Nak bilik ke?"

Si Intan dah ketawa tersengih,

" Laaaaa reception ker??" Begitu sempoinya tuan punya The Kampung Inn. Reception dia di atas pokok........kami ketawa sampai pecah perut dan Makngah sampai terkencing-kencing.

Inilah penginapan kami pada malam kedua, kelas  tak ada bintang



         Bersyukur jugalah dapat penginapan. Ena memuncung aje kerana tak suka dengan bilik sempit itu namun kerana tak ada pilihan, terpaksalah juga. Inilah dinamakan daripada 5 Bintang Kepada 0 Bintang. Anak-anak kena dibiasakan tahan lasak dengan pelbagai suasana. Tidak boleh dimewahkan.

Pantainya tidak jauh, lagipun tidak ramai orang, privasilah katakan. Lebih kurang 200 meter sahaja pantainya. Deruan ombakpun kuat kedengaran. Selepas  rehat, makan dan solat kami keluar ke pantai hingga ke malam.









Esoknya selepas solat Subuh kami ke situ lagi sambil mandi manda dan bermain di pepasir pantai. Melihat matahari di ufuk timur Pantai Cherating merupakan saat yang terindah.....subhanallah, alhamdulillah, allahuakhbar.

Akan ke Cherating lagi melihat orang Melayu kat situ sudah larut dengan gaya hidup pelancong asing......apa nak kata?





Selipar sapo dihanyut ombak ni?

Sunday, January 15, 2012

Ayat-ayat Allah Yang Menakjubkan...Bhg 1

A Quran surah ke-20 iaitu Al Ankabut pada ayat ke-20 Allah SWT ada berfirman yang bermaksud:

Katakanlah:
""""'Berjalanlah di bumi, 
maka perhatikanlah bagaimana Allah memulai penciptaan makhluk,kemudian Allah menjadikan kejadian yang akhir (membangkitkan semula manusia setelah mati)."
Sesungguhnya Allah Mahakuasa atas segala sesuatu.

Allah suruh kita pergi berjalan bukan dengan saja-saja atau sia-sia sekadar seronok-seronok. Jika demikian niat kita maka jadilah kita manusia yang rugi. Jika kita memasang niat pergi berjalan itu demi memenuhi suruhan-Nya agar meningkatkan lagi keimanan kerana terbukti Allah Maha Mencipta, maka alangkah besarnya pahala kita.

Dalam banyak-banyak dok berjalan, berderak, melancong atau makan angin tu, ada beberapa tempat atau perkara yang menarik hati Makngah yang menyebabkan minda ini cepat teringat apabila ada kaitan dengannya. Makngah akan susun mengikut keutamaannya berdasarkan kaca mata Makngah.

1. Kulit pokok berwarna dan bercorak macam celoreng baju askar atau tentera.

Ditemui di kawasan Istana Larangan Beijing. Terkejut Makngah apabila memerhatikannya kerana sebelum itu tiada siapa yang perasan. Rombongan kami ramai tetapi tiada yang perasan. Puas Makngah membelek-beleknya untuk kepastian. Manalah tahu entah-entah ia sengaja dicorakkan dengan torehan macam tu. Maklumlah orang China, macam-macam boleh mereka lakukan yang kekadang tidak terjangkakan orang lain. Jika ia ditoreh, takkan di ranting-ranting kecil itu juga bercorak sama. Setelah sah ia memang corak asal kulit pokok itu, maka barulah ramai kumpulan kami yang memberi perhatian.

Setelah pasti ia memang asli, maka tiada perkataan lain lagi yang terdetik di hati dan terkeluar di mulut kami kecuali SUBHANALLAH ALHAMDULILLAH ALLAHUAKHBAR......agungnya penciptaan-Mu wahai Allah.

hutan pokok-pokok celoreng askar

jelas sekali corak celoreng askar

bergaya dalam hutan pokok askar

laluan selepas pokok askar

laluan berbatu tepi tasik selepas kawasan pokok askar

Wednesday, December 7, 2011

Takbai-Naratiwat-Bangkok-Chengmai-Chengrai-Golden Triangle-Pattaya, Satu Catatan

Khamis 24 Nov.2011

7.30 pagi berkumpul di imigresen Pengkalan Kubor. Sudah ramai ahli rombongan yang tiba. Selesai pemeriksaan pasport di situ, kami menaiki feri JKR P.Kubor ke Takbai. Perjalanan feri hanya 5 minit dengan tambang 60 sen sahaja sudah berada di negara orang. Pemeriksaan pasport sekali lagi di imigresen Takbai. Bangunan sementaranya amat uzur dengan tandas yang daif. Bangunan barunya kelihatan sedang dalam pembinaan. Sebelum itu kami menukar duit dengan seorang pakcik yang hanya bermotosikal sahaja. Beliau menunggu pelanggan di tepi pagar pasar Takbai.

Pakcik 'money changer'



Hiasan di dalam ruang menunggu

Lama menunggu van kedua yang akan membawa kami ke lapangan terbang Naratiwat. Van itu terpaksa berpatah balik ikut jalan lain kerana jalan biasa mereka dinaiki air. Banjir sedang melanda di kawasan itu walaupun pada ketika itu cuaca panas.

10.20 pagi baru van kedua tiba lalu terus memuatkan rombongan kami seramai 27 orang dan segera berlepas ke lapangan terbang.  Sebelum sampai kami singgah makan pagi di sebuah restoran yang hanya menghidangkan lauk serati sahaja. Jalan di Naratiwat ini luas dengan empat lorong dan tidak banyak kenderaan. Pergerakan van amat lancar.


11.10 pertama kali tiba di lapangan terbang Naratiwat yang katanya  berusia sudah 10 tahun. Penerbangan Air Asia cuma ada sekali sahaja sehari ke Bangkok. Kapal kami dijangka jam 1.20 tengah hari atau 12.20 waktu Siam. Kami disambut oleh wakil pemandu pelancong daripada Al Quds yang dipanggil Abe Li. Abe Li yang mengurus pergerakan kami di Siam ini.


3.00 petang tiba lapangan terbang Bangkok. Berehat sambil makan bekalan daripada Abe Li dan solat jamak di situ sementara menunggu penerbangan ke Chengmai. Masalah kerana tak ada paip air di bilik tandasnya. Terpaksa berbotollah kami sebelum ke tempat solat.


8.40 malam tiba di lapangan terbang Chengmai. Pemandu pelancong kami dua orang wanita sedia menunggu di pintu keluar. Terus ke tempat penginapan kami iaitu Chiengmai Traveller Lodge. Panorama waktu malam bandaraya kedua besar di Siam ini hanya samar-samar dalam pemerhatian. Insyaallah esok masih ada. Namun malam tu kami masih sempat ke pasar malamnya yang terletak beberapa rantai sahaja dari penginapan kami.

Pn Mariani dengan anak perempuannya

Jumaat 25 Nov.2011

7.00 pagi terus ke Chengrai dengan bas. Sepanjang perjalanan dapatlah menatap corak penghidupan penghuni bandaraya Chengmai. Persekitarannya bersih sekali. Setiap rumah dan kedai ada hiasan pokok mereka sendiri walaupun hanya berpasu. Kagum melihatnya.

Pokok hiasan depan kedai

11.00 pagi tiba di Hot Spring. Berihat di kolam air panasnya sambil makan minum di gerai halal di situ. Seterusnya ke bandar Mae Sai yang bersempadan dengan Laos dan Burma atau lebih dikenali sebagai Segi Tiga Emas (Golden Triangle ) yang terkenal dengan perdagangan dadah suatu ketika dahulu. Peniaga ramai berdagang di situ dengan pelbagai barangan. Kebanyakannya lebih kurang dengan barangan di Rantau Panjang (buatan China) kecuali ada yang lebih murah sedikit kerana faktor jarak / kos pengangkutan.
Kilang tenun sutera

Sutera Thai



26 Nov.2011

7.00 pagi dah berkumpul di lobi penginapan untuk lawatan sekitar Chengmai. paling menarik ialah Royal Flora Ratchaphruek 2011 yang begitu hebat. Walaupun belum dirasmikan oleh Raja Siam yang katanya minggu depan majlisnya, namun kerana kehebatan pemandu kami mengurus, dapatlah kami memasukinya dengan bayaran RM40.00 seorang. Kerja-kerja penyelenggaraan akhir masih berjalan. Kami menaiki tren yang disediakan kerana kawasannya yang amat luas.



Royal Flora berupa taman flora yang menempat segala jenis konsep taman tumbuhan daripada seluruh dunia. Taman daripada Malaysia juga. Kami hanya sempat lalu dengan tren sahaja. Tidak sempatpun mengambil gambar, rasa juga terkilan.

8.00 malam. Ramai yang keluar lagi ke Pasar Malam tidak jauh dari hotel, termasuk makngah. Macam-macam yang dilihat dan dibeli. Yang ambil peluang berurutpun ada.....hahahhaha.

27 Nov.2011

6.30 pagi sudah bertolak ke lapangan terbang Chengmai untuk ke Bangkok semula. Bai bai Chengmai.

10.00 pagi tiba di Suvarnhabumi disambut oleh Abe Li. Kami terus ke Pattaya dengan bas. Gegak gempita dalam bas dengan seloroh dan gelak ketawa penumpangnya apabila pemandu bas membawa kami melalui kawasan tepi pantai tempat bersidainya mat-mat saleh dengan kupu-kupu Siam mereka. Gelagat dan pakaian mereka me..........kan, agak-agak ler sendiri.


12.00 tengah hari selepas makan tengah hari di sebuah restoran Muslim dan solat di masjid Toatillah di sebelahnya, kami dibawa ke Noong Nooch Village. Di situ terdapatnya tempat pertunjukan kebudayaan Siam termasuk pertunjukan gajah yang amat menghiburkan. Ia berupa sebuah taman bunga yang terbesar di Asia Tenggara. Namun kami tidak sempatpun meredah tamannya kerana faktor masa.

9.00 malam. Keluar shopping lagi kumpulan kami di pasar malam Bangkok yang letaknya hanya beberapa langkah sahaja dari Hotel Dynasty tempat penginapan kami. Kuat betullah mereka bershopping. Makngah tengok-tengok aje. Semasa di lobi untuk balik ke bilik, kami bertembung dengan satu kumpulan yang kami agak dari gaya bercakapnya dari Indonesia.

28 Nov.2011

7.00 pagi bersarapan di kafe halal hotel. Makanannya biasa-biasa aje. Antara yang semeja dengan Makngah dengan Abe Li. Baru tahu grup yang kami bertembung di lobi hotel malam tadi merupakan tenaga kerja Sukan SEA Jakarta 2011. Kerajaan mereka hadiahkan mereka melawat Bangkok kerana Sukan SEA di negara mereka telah berjaya dianjurkan. BERJAYA DIANJURKAN??????? Sebenarnya pada Makngah berjaya menjadikan Sukan SEA sudah tidak rasional sebagai satu aktiviti memupuk perpaduan sesama Asean kerana semangat kesukanannya berada di tahap zero. Betapa teruknya kontinjen Malaysia diperhina. Ada pemimpin mereka memohon maaf?


12.55 tiba di Naratiwat. Satu insiden telah berlaku. Beg berisi kereta sorong bayi salah seorang ahli kami tidak sampai bersama kami. Rupa-rupanya masih di Bangkok.

4.00 petang, alhamdulillah tiba di Takbai.

Sunday, November 20, 2011

Rabbana atina fidunya hasanah, wafil akhirati hasanatan waqina azabannar

Genggam dunia, dunia digenggam dengan kalimah Allah

 

Takrif tamadun ikut sunah Rasulullah

TAMADUN dalam bahasa Melayu secara lumrah ditakrifkan sebagai kemajuan sesuatu bangsa, negara atau masyarakat.

Berasal dari perkataan Arab, istilah tamadun menurut laman maya Pusat Rujukan Persuratan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bermaksud ‘‘cara hidup yang serba berkemajuan; peradaban. bertamadun sudah maju dalam cara hidup; berkemajuan; beradab.”

Tamadun dalam bahasa Inggeris ialah civilisation. Jika dirujuk kepada kamus-kamus bahasa Inggeris, huraian maksudnya adalah sama dengan huraian DBP.

Persoalannya, apakah bentuk peradaban dan cara hidup yang menjadi kayu ukuran? Di kalangan masyarakat Islam di Malaysia, istilah tamadun juga diterima pakai sebagaimana huraian DBP yang pasti turut dipengaruhi oleh kamus-kamus bahasa Barat.

Maka ketamadunan lumrah diukur berdasarkan kemajuan dari segi pembangunan fizikal, peradaban dan budaya manusia sejagat, bukan dari sudut ketentuan Allah yang bersumberkan al-Quran dan sunah Rasulullah SAW.

Secara mudah, seseorang yang bertamadun akan dinilai dari segi kemampuan ekonominya, pendidikan duniawinya, status sosial dan akhlak sejagat. Adakah matlamat menjadikan Malaysia sebuah negara maju pada tahun 2020 juga berasaskan nilai tamadun sejagat ini, atau kita hanya bersandarkan kepada pencapaian ekonomi?

Jika kita terus menerus menilai tamadun dengan acuan ini, maka kita sebenarnya hanyalah pak turut kepada nilai-nilai sogokan Barat yang subur di Eropah. Nilai-nilai ini mula diterapkan ke benua lain melalui penjajahan bersenjata pada zaman Roman, diikuti kolonialisme Britain, Belanda, Sepanyol, Perancis dan Itali.

Seorang pemikir dan penulis Islam yang masyhur, Muhammad Asad telah membuat catatan menarik mengenai perkara ini dalam buku klasiknya The Road to Mecca yang diterbitkan pada 1954. Petikan yang relevan itu hamba terjemahkan di sini:

‘‘Sejak zaman Greek dan Rom, para pemikir dan sejarawan Eropah lebih cenderung untuk melihat sejarah dunia dari sudut pandangan dan kehendak sejarah Eropah serta pengalaman budaya Barat semata-mata.

‘‘Ketamadunan bukan Barat hanya akan dijelmakan ke dalam perspektif mereka jika kewujudannya atau sebarang pergerakan di kalangan penduduknya telah atau mungkin mempengaruhi secara langsung nasib orang Barat; maka dari kaca mata Barat, sejarah dunia dan kepelbagaian budayanya hanyalah titik terakhir dalam sejarah perkembangan Barat.”

Muhammad Asad berketurunan Yahudi dilahirkan di Austria dengan nama Leopold Weiss. Beliau bertugas sebagai wartawan dengan beberapa akhbar terkemuka Eropah sebelum memeluk Islam dan berhijrah ke Mekah kerana katanya berasa muak dengan ‘‘kekosongan hidup masyarakat Eropah yang terlampau mengejar kemewahan dunia dengan penuh ketamakan.”

Betapa pengamatan yang dicatatkan pada tahun 1954 itu masih relevan hingga sekarang. Bahawa istilah tamadun, sama ada dari sudut ilmu atau amalinya, masih dalam acuan Barat sekalipun di dunia Islam.

Lalu kita pun mahu mengejar ketamadunan mengikut acuan Barat, iaitu kemajuan lahiriah yang berpaksikan pembangunan ekonomi. Dalam proses ini, kita berkemungkinan mengorbankan identiti budaya, politik dan sosial asal kita. Jika tidak berwaspada, akhirnya institusi agama Islam yang kita dakap juga akan runtuh.

Lihatlah betapa gelombang demokrasi dan kebebasan acuan Barat yang dipacu oleh sistem ekonomi kapitalisme telah meruntuhkan sistem pemerintahan yang sedia ada di beberapa negara Islam. Sama ada ia berlaku kerana kesalahan atau kesilapan presiden-presiden yang memerintah, perkara ini masih jadi bahan perbahasan. Malah golongan raja yang masih memerintah di beberapa negara Islam juga dalam keadaan gelisah kerana dihambat rasa tidak selamat.

Yang nyata gelombang demokrasi, kebebasan dan kapitalisme ini lebih hebat daripada arus komunisme yang gagal dalam percubaan untuk berkembang ke negara-negara Islam di Asia Timur dan Asia Tenggara, termasuk Malaysia dan Indonesia. Komunisme yang berpusat di Rusia hanya berjaya menakluki beberapa negara Islam berhampiran Asia Tengah ( Kazakhstan, Tajikistan, Turkmenistan, Uzbekistan).

Sebaliknya sistem demokrasi, kebebasan dan kapitalisme acuan Barat itu telah berjaya menembusi tempat-tempat di mana komunisme menemui kegagalan. Komunisme gagal kerana prinsip keadilan untuk semua yang dilaungkan hanyalah retorik yang tidak menjadi kenyataan. Pada realitinya, ia menyekat perkembangan ekonomi dan akhirnya menyempitkan rezeki rakyat.

Ledakan kemajuan ICT turut memberikan dimensi baru kepada demokrasi dan kebebasan bersuara. Dibawa bersamanya suara hak asasi manusia termasuk gelombang seksualiti sejenis yang kuman-kumannya sudah pun merebak ke Malaysia. Inilah realiti yang kita hadapi pada hari ini dan mungkin lebih tenat pada masa akan datang.

Umat Islam di Malaysia wajar mencemburui segala anasir dan nilai acuan Barat yang mudah dibawa masuk melalui lorong demokrasi, kebebasan, kapitalisme dan hak asasi ini. Jika kita tidak berwaspada, institusi agama Islam juga boleh runtuh. Kita masih boleh menimba ilmu untuk kehidupan dunia (sains dan teknologi, ilmu perniagaan dan sebagainya) dengan syarat kita menapis segala nilai-
nilai yang bertentangan dengan syariat Islam.

Maka dari sudut ilmiahnya, kita wajar menakrifkan semula istilah tamadun supaya benar-benar menepati kehendak Allah SWT sebagaimana yang dinyatakan dalam Quran dan dihuraikan melalui sunah Nabi Muhammad SAW.

Ketamadunan acuan Barat sangat dipacu oleh ketamakan kepada kekayaan duniawi. Ia berpaksikan prinsip ‘siapa yang kaya akan lebih berkuasa.’ Kekuasaan Ilahi tidak wujud lagi dalam kerangka istilah ketamadunan Barat ini. Pendokong-pendokong konsep tamadun Barat melalui media baru yang bebas tanpa sempadan dengan rakus melaungkan slogan-slogan mudah memikat nafsu manusia yang tidak beriman.

Sebab itulah kita lihat sudah tampil orang Melayu yang mempunyai kedudukan dan pengaruh turut menyuarakan sokongan kepada Program Seksualiti Merdeka. Mereka termasuklah tokoh politik lelaki dan wanita ternama yang mempunyai kelibat penglibatan dengan projek-projek golongan ‘Islam liberal.’

Akhir kalam, renungliah maksud ayat 26 surah Ar Ra‘d sebagai panduan kehidupan di dunia ini.
‘‘Allah meluaskan dan menyempitkan rezeki bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Mereka (yang ingkar) bergembira dengan kehidupan di dunia, padahal kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang kecil dan tidak kekal berbanding kesenangan akhirat .”

Jika kita beriman kepada firman Allah ini, maka wajib ditulis semula takrif tamadun supaya sejajar dengan bait doa dari al Quran (Al Baqarah 2: 201) yang lazim dibaca selepas solat:

Rabbana atina fidunya hasanah, wafil akhirati hasanatan waqina azabannar (Ya Tuhan, berikanlah kami kebaikan di dunia dan di akhirat, dan peliharalah kami kami dari azab neraka).

Tamadun inilah yang junjungan kita Nabi Muhammad SAW telah gariskan ketika empayar Rom sedang menuju ke kehancurannya. Kenapa kita mahu melupai sejarah ini?

Pada Makngah: Makna tamadun yang utama ialah keelokan dan ketinggian akhlak, rohani dan jiwa manusianya bukan benda-benda fizikal sekeliling kita.