7.30 pagi berkumpul di imigresen Pengkalan Kubor. Sudah ramai ahli rombongan yang tiba. Selesai pemeriksaan pasport di situ, kami menaiki feri JKR P.Kubor ke Takbai. Perjalanan feri hanya 5 minit dengan tambang 60 sen sahaja sudah berada di negara orang. Pemeriksaan pasport sekali lagi di imigresen Takbai. Bangunan sementaranya amat uzur dengan tandas yang daif. Bangunan barunya kelihatan sedang dalam pembinaan. Sebelum itu kami menukar duit dengan seorang pakcik yang hanya bermotosikal sahaja. Beliau menunggu pelanggan di tepi pagar pasar Takbai.
Pakcik 'money changer' |
Hiasan di dalam ruang menunggu |
Lama menunggu van kedua yang akan membawa kami ke lapangan terbang Naratiwat. Van itu terpaksa berpatah balik ikut jalan lain kerana jalan biasa mereka dinaiki air. Banjir sedang melanda di kawasan itu walaupun pada ketika itu cuaca panas.
10.20 pagi baru van kedua tiba lalu terus memuatkan rombongan kami seramai 27 orang dan segera berlepas ke lapangan terbang. Sebelum sampai kami singgah makan pagi di sebuah restoran yang hanya menghidangkan lauk serati sahaja. Jalan di Naratiwat ini luas dengan empat lorong dan tidak banyak kenderaan. Pergerakan van amat lancar.
11.10 pertama kali tiba di lapangan terbang Naratiwat yang katanya berusia sudah 10 tahun. Penerbangan Air Asia cuma ada sekali sahaja sehari ke Bangkok. Kapal kami dijangka jam 1.20 tengah hari atau 12.20 waktu Siam. Kami disambut oleh wakil pemandu pelancong daripada Al Quds yang dipanggil Abe Li. Abe Li yang mengurus pergerakan kami di Siam ini.
3.00 petang tiba lapangan terbang Bangkok. Berehat sambil makan bekalan daripada Abe Li dan solat jamak di situ sementara menunggu penerbangan ke Chengmai. Masalah kerana tak ada paip air di bilik tandasnya. Terpaksa berbotollah kami sebelum ke tempat solat.
8.40 malam tiba di lapangan terbang Chengmai. Pemandu pelancong kami dua orang wanita sedia menunggu di pintu keluar. Terus ke tempat penginapan kami iaitu Chiengmai Traveller Lodge. Panorama waktu malam bandaraya kedua besar di Siam ini hanya samar-samar dalam pemerhatian. Insyaallah esok masih ada. Namun malam tu kami masih sempat ke pasar malamnya yang terletak beberapa rantai sahaja dari penginapan kami.
Pn Mariani dengan anak perempuannya |
Jumaat 25 Nov.2011
7.00 pagi terus ke Chengrai dengan bas. Sepanjang perjalanan dapatlah menatap corak penghidupan penghuni bandaraya Chengmai. Persekitarannya bersih sekali. Setiap rumah dan kedai ada hiasan pokok mereka sendiri walaupun hanya berpasu. Kagum melihatnya.
Pokok hiasan depan kedai |
11.00 pagi tiba di Hot Spring. Berihat di kolam air panasnya sambil makan minum di gerai halal di situ. Seterusnya ke bandar Mae Sai yang bersempadan dengan Laos dan Burma atau lebih dikenali sebagai Segi Tiga Emas (Golden Triangle ) yang terkenal dengan perdagangan dadah suatu ketika dahulu. Peniaga ramai berdagang di situ dengan pelbagai barangan. Kebanyakannya lebih kurang dengan barangan di Rantau Panjang (buatan China) kecuali ada yang lebih murah sedikit kerana faktor jarak / kos pengangkutan.
Kilang tenun sutera |
Sutera Thai |
26 Nov.2011
7.00 pagi dah berkumpul di lobi penginapan untuk lawatan sekitar Chengmai. paling menarik ialah Royal Flora Ratchaphruek 2011 yang begitu hebat. Walaupun belum dirasmikan oleh Raja Siam yang katanya minggu depan majlisnya, namun kerana kehebatan pemandu kami mengurus, dapatlah kami memasukinya dengan bayaran RM40.00 seorang. Kerja-kerja penyelenggaraan akhir masih berjalan. Kami menaiki tren yang disediakan kerana kawasannya yang amat luas.
Royal Flora berupa taman flora yang menempat segala jenis konsep taman tumbuhan daripada seluruh dunia. Taman daripada Malaysia juga. Kami hanya sempat lalu dengan tren sahaja. Tidak sempatpun mengambil gambar, rasa juga terkilan.
8.00 malam. Ramai yang keluar lagi ke Pasar Malam tidak jauh dari hotel, termasuk makngah. Macam-macam yang dilihat dan dibeli. Yang ambil peluang berurutpun ada.....hahahhaha.
27 Nov.2011
6.30 pagi sudah bertolak ke lapangan terbang Chengmai untuk ke Bangkok semula. Bai bai Chengmai.
10.00 pagi tiba di Suvarnhabumi disambut oleh Abe Li. Kami terus ke Pattaya dengan bas. Gegak gempita dalam bas dengan seloroh dan gelak ketawa penumpangnya apabila pemandu bas membawa kami melalui kawasan tepi pantai tempat bersidainya mat-mat saleh dengan kupu-kupu Siam mereka. Gelagat dan pakaian mereka me..........kan, agak-agak ler sendiri.
12.00 tengah hari selepas makan tengah hari di sebuah restoran Muslim dan solat di masjid Toatillah di sebelahnya, kami dibawa ke Noong Nooch Village. Di situ terdapatnya tempat pertunjukan kebudayaan Siam termasuk pertunjukan gajah yang amat menghiburkan. Ia berupa sebuah taman bunga yang terbesar di Asia Tenggara. Namun kami tidak sempatpun meredah tamannya kerana faktor masa.
9.00 malam. Keluar shopping lagi kumpulan kami di pasar malam Bangkok yang letaknya hanya beberapa langkah sahaja dari Hotel Dynasty tempat penginapan kami. Kuat betullah mereka bershopping. Makngah tengok-tengok aje. Semasa di lobi untuk balik ke bilik, kami bertembung dengan satu kumpulan yang kami agak dari gaya bercakapnya dari Indonesia.
28 Nov.2011
7.00 pagi bersarapan di kafe halal hotel. Makanannya biasa-biasa aje. Antara yang semeja dengan Makngah dengan Abe Li. Baru tahu grup yang kami bertembung di lobi hotel malam tadi merupakan tenaga kerja Sukan SEA Jakarta 2011. Kerajaan mereka hadiahkan mereka melawat Bangkok kerana Sukan SEA di negara mereka telah berjaya dianjurkan. BERJAYA DIANJURKAN??????? Sebenarnya pada Makngah berjaya menjadikan Sukan SEA sudah tidak rasional sebagai satu aktiviti memupuk perpaduan sesama Asean kerana semangat kesukanannya berada di tahap zero. Betapa teruknya kontinjen Malaysia diperhina. Ada pemimpin mereka memohon maaf?
12.55 tiba di Naratiwat. Satu insiden telah berlaku. Beg berisi kereta sorong bayi salah seorang ahli kami tidak sampai bersama kami. Rupa-rupanya masih di Bangkok.
4.00 petang, alhamdulillah tiba di Takbai.
No comments:
Post a Comment