Thursday, February 10, 2011

Oh Negaraku.......

 Bercakap mengenai pemartabatan bahasa kebangsaan ini, secara peribadinya Makngah merasa sedih sekali. Walaupun jelas kedudukannya amat tinggi termaktub dalam Perlembagaan Negara Malaysia Perkara 152 yang menetapkan bahawa:

"Bahasa kebangsaan ialah BAHASA MELAYU dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukkan dengan undang-undang oleh Parlimen."

 Seterusnya ia diperkuatkan oleh  Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 yang menguatkuasakan pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi iaitu semua urusan kerajaan sama ada Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa awam MESTI menggunakan bahasa Melayu.

Makngah melihat ini dari sudut penggunaan nama-nama kementerian dan jabatan kerajaan Persekutuan yang hampir kesemuanya menggunakan bahasa Inggeris, contohnya MOSTI, MITI, MOE dll. Jadi, apa lagi yang boleh diharapkan untuk bahasa kebangsaan itu hendak diperkasakan jika kerajaan sendiri tidak memandang sepicingpun? Tinggallah ia semakin menjadi sekadar batu nisan.


Makngah pernah ke sebuah kompleks membeli belah dan rekreasi di Seri Kembangan, Selangor. Sebuah pusat rekreasinya langsung tidak menggunakan bahasa kebangsaan di semua papan tanda dan risalah edarannya. Yang diutamakan ialah bahasa Cina dan Inggeris. Terasa macam berada di luar negara ditambah dengan persekitaran orang-orangnya pula. Makngah yang berbaju kurung ini dipandang semacam sahaja......oh negaraku......

Apabila Usaha Martabat Bahasa Melayu Dipersoal
2011/02/10

Kaji selidik rakyat tak faham bahasa kebangsaan perlu dibuat

NAMPAKNYA apa yang saya bangkitkan minggu lalu mengenai ada sesetengah rakyat negara ini yang masih tidak boleh bertutur bahasa Melayu dan terus memperlekehkannya sudah menyentuh saraf otak seorang blogger dan membuatkannya begitu marah hingga menghina saya secara peribadi.

Blogger ini bernama Khoo Kay Peng, memetik sesetengah daripada apa yang saya tulis itu ke dalam bahasa Inggeris dan membuat perhitungannya sendiri kononnya saya sudah persoalkan patriotisme semua bukan Melayu kerana tidak berusaha untuk menggunakan dan memahami serta boleh bertutur bahasa Melayu.
Dia juga sengaja tidak hiraukan apa yang menjadi pokok persoalan saya, iaitu kenapa ada sesetengah pihak dalam negara ini tidak langsung menghormati bahasa Malaysia dengan menggunakan bahasa Inggeris dan Mandarin saja dalam iklan dan risalah yang mereka edarkan kepada orang ramai.
Persoalan yang saya bangkitkan kenapa tuan punya atau pengurusan syarikat itu sengaja tidak menghormati langsung bahasa negara mereka dengan mengabaikan penggunaannya tidak pula dinyatakannya.

Dia sedikit pun tidak menyentuh persoalan pokok yang saya timbulkan itu seperti juga kenapa masih ada warga negara ini yang beria-ia kononnya mereka menyanjungi negara ini, tetapi tidak berusaha untuk memahami bahasa Melayu, apa lagi menggunakannya.

Baik juga jawapan saya kepada tulisannya itu sudah dimuatkan dalam blognya, walaupun ditohmahkan pula kesangsian apakah saya sendiri yang memberikan jawapan itu. Kenapa hal ini pun mahu diragui? Siapa pula yang hendak menulis kepada blognya menyamar sebagai saya?

Mengulas jawapan saya itu, dia minta pula saya nyatakan statistik warga negara ini yang tidak faham atau boleh bertutur bahasa itu. Sememangnya statistik demikian ini tidak ada sebab kaji selidik mengenainya tidak pernah dijalankan.
Bagaimanapun, seorang rakan berbangsa Cina pernah menyatakan kepada saya bahawa ramai juga lulusan sekolah Cina yang tidak boleh bertutur bahasa Melayu, walaupun selepas menjalani peperiksaan mendapatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Rakan saya itu menyatakan bahawa ada murid sekolah menengah Jenis Kebangsaan Cina mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu pun hanyalah kerana mahu lulus SPM saja.

Selesai persekolahan ada antara mereka tidak berusaha menggunakannya pun. Ini juga mungkin kerana tidak perlu kerana mereka hanya bergaul dengan sebangsa saja tidak dengan orang Melayu.

Apa pun lulus mata pelajaran Bahasa Melayu pada peringkat SPM pun tidak semestinya membuktikan mereka boleh bertutur bahasa Melayu. Maka saya mengesyorkan Kementerian Pelajaran mensyaratkan semua murid perlu lulus lisan Bahasa Melayu untuk lulus mata pelajaran Bahasa Melayu.

Bagaimanapun, Khoo mendakwa kononnya semua murid sekolah rendah baik dari sekolah kebangsaan mahu pun sekolah jenis kebangsaan sudah belajar bahasa Melayu selama enam tahun dan tentunya boleh faham dan boleh bertutur bahasa Melayu.

Katanya, hari ini tidak mungkin ada rakyat Malaysia yang sudah menghabiskan pelajaran rendahnya selama enam tahun baik di sekolah kebangsaan mahu pun sekolah jenis kebangsaan yang tidak boleh memahami atau tidak boleh bertutur bahasa Melayu.

Tentunya kenyataannya itu juga tidak disandarkan kepada statistik. Ada baiknya Kementerian Pelajaran mengadakan satu kaji selidik untuk mengetahui jumlah atau kadar peratusan warga negara ini yang tidak faham atau boleh bertutur bahasa Melayu.

Tanpa statistik itu pun, kita tahu masih ada dalam kalangan rakyat negara ini yang tidak faham atau boleh bertutur bahasa Melayu. Itulah sebabnya hingga sekarang ini pun jurubahasa Cina dan Tamil masih diperlukan di mahkamah dalam negara ini kerana masih ada rakyat negara ini yang tidak faham pertuduhan terhadap mereka yang dibuat dalam bahasa Melayu apabila dihadapkan ke mahkamah.

Jika benar semua rakyat negara ini tahu bahasa Melayu kenapa perlu diadakan jurubahasa di mahkamah? Mungkin mahkamah perlu mengkaji semula kenapa perlu diadakan jurubahasa Cina dan Tamil untuk warga negara sendiri.

Tetapi ini pun mungkin boleh diterima jika tidak wujud puak ekstrem dalam kalangan sesetengah daripada mereka yang berterusan memperlekehkan bahasa Melayu. Kenapa hingga hari ini ada kopitiam tidak mahu langsung menggunakan bahasa Melayu dalam kedainya baik dalam menu mahupun di papan tanda terpampang dalam kedai memberikan harga hidangan yang disediakannya? Lihat saja dua kedainya di Seksyen 13 dan Seksyen 7 di Shah Alam.

Ada yang cuba mempertahankan kopitiam ini kononnya tidak dikunjungi orang Melayu kerana tidak mempunyai sijil halal. Sama ada kedai itu mempunyai sijil halal yang diiktiraf atau tidak bukanlah persoalannya.

Jika tidak dikunjungi Melayu, apakah mereka bukan beroperasi dalam negara ini? Bagaimana pun kopitiam itu sememangnya mempunyai ramai pelanggan Melayu. Ini boleh dilihat sendiri.

Dalam hal ini apakah yang dilakukan Majlis Bandar Raya Shah Alam? Tidakkah pihak berkuasa boleh membuat tinjauan dan bertindak terhadap pengurusan yang bersikap begini biadap?

Khoo ini juga menimbulkan suatu perkara yang saya tidak sentuh pun, iaitu perbualan bukan Melayu sesama sanak saudara mereka sendiri dalam bahasa ibunda. Siapa pula hendak menyekat mereka menggunakan bahasa ibunda sendiri bila bertutur sesama adik-beradik? Jadi kenapa hal ini mahu ditimbulkan? Inilah apabila ada pihak yang cuba mahu menegakkan benang basah dan tidak mahu menerima kenyataan.

Selagi bahasa Melayu ini tidak diberikan tempat sewajarnya dan masih ada pihak yang berterusan memperlekehkannya, selagi itulah akan wujud kesangsian oleh sesetengah pihak terhadap sanjungan mereka itu kepada negara mereka sendiri.

Penulis adalah Felo Kanan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Saturday, February 5, 2011

3H2M Di Utara

Khamis 03022011

Sekali lagi ke Gua Kelam, Kaki Bukit, Perlis. Anakanda-anakanda nak tengok gua terpanjang di semenanjung (kalau tak silap hehehe). Makngah dah banyak kali ke sini. Kalau betul ingatan kali pertama datang pada tahun 1993 dengan rombongan sekolah. Orang agak ramai maklumlah musim cuti perayaan.

Namun, mereka kecewa kerana Gua Kelam telah dua bulan ditutup. Di luarnya tak adapun pemberitahuan. Penjaga parkir kata untuk kerja-kerja pembaikan. Orang ramai hanya datang berkelah di aliran sungai kecil di kaki gua yang airnya kelihatan mengalir lesu sahaja. Anak-anak kecil dan sekumpulan budak-budak lelaki sahaja yang bermain air.



Kebersihan persekitaran berfaktor utamakan manusia
Tahniah kepada pengurusan kawasan itu kerana penjagaan kebersihan kawasan boleh dipuji berbanding dengan tempat rekreasi di tempat Makngah sendiri.  Maklumlah tukang menyapunyapun ada.

Perkataan manakah yang ejaannya salah di papan tanda ini?





Kami tidak lama di situ kerana tidak ada apa lagi yang boleh dinikmati. Kedai cenderamatapun tidak dibuka. Gerai jualan hanya menjual minuman dan makanan ringan. Anak-anak mahu ke Padang Besar yang letaknya lebih kurang 20 km dari situ.


Di Padang Besar orang kelihatan ramai juga walaupun menurut salah seorang pekedai kunjungan orang ramai semakin berkurang saban tahun. Kami makan dahulu di salah sebuah gerai. Anak-anak membeli beberapa barang keperluan. Makngah tidak membeli apa-apa kerana pada pandangan Makngah harganya lebih kurang dengan di Rantau Panjang. Jadi tidak perlulah bersusah payah mengangkutnya balik. Maklumlah kebanyakannya barangan Thailand. Hinggakan baju T bercop nama-nama tempat di negara itu juga banyak dijual. Yang bercop Perlis tak adapun Makngah jumpa, pelik-pelik. Masa ke Rantau Panjang seminggu lepas ada juga Makngah jumpa baju T bercop Rantau Panjang dan Kelantan. Hal ini demikian apakah disebab oleh kebanyakan peniaganya Melayu Siam? Tuan kedai tempat anakanda Makngah membeli tali pinggang mengakui dia berasal daripada Patani, Selatan Thai. Pertuturan peniaga-peniaga lain juga membuktikan mereka berasal daripada sana. Peniaga penduduk asal Perlis ada atau tidak? Tak perasan pula Makngah.
Mihun sup Padang Besar

Baju T bercop negara orang

Banyaknya anak patung bear.

Tanda nama di tembok banyak yang tanggal
Tuan punya gerai anak patung bear pula seorang wanita Cina. Berpeluh-peluh dia melayan pengunjung di gerainya yang agak ramai termasuklah Makngah. Makngah bertanyalah "Awak tak cuti beraya Kong Si Fat Choi ke?" Tersipu-sipu malu dia menjawab antara nak dengan tidak bahawa dia baru je buka gerai "cepat-cepat datang tadi' katanya.....heheheh..ambil peluang orang ramailah tu (faham dah).

Dalam perjalanan balik kami singgah di tempat penternakan burung unta atau kasawari. Penjaganya pula tak ada. Kalau ada, nak juga Makngah merasa menunggang burung terbesar di dunia itu.


Burung tu diberi makan 'petai belalang' yang ada dijual di situ.

Demikianlah corat coret 3H2M Makngah di utara..................

Wednesday, February 2, 2011

Tahniah Anak Melayu

Ahad 30012011

Pertama kali dapat merasa RFC kepunyaan HPA. Terletak di KBTC. Kedudukan dan kemudahan restoran tidak kalah dengan restoran makanan segera lain namun layanan dan kecekapan  perlu dipertingkatkan. Begitu juga dengan rasanya yang secara peribadi Makngah kurang selesa kerana rasa dan bau rempah ratus yang terlalu kuat.

Menu di kaunter tempahan

Hanya ini sahaja yang ada

Gadis manis ini sahaja di kaunter untuk banyak tugasan

Model sambilan

Selasa 01022011

Jam 2.20  minit petang tiba di Sungai Petani. Berhenti di Jalan Legenda kawasan perkedaian baru, tempat terletaknya Village Mall. Perut lapar, masuk ke dalam Restoran Resepi Organik. Semasa menunggu tempahan mihun sup, perut Makngah meragam. Staf restoran menyuruh menggunakan tandas di hotel bersebelahan. Boleh ke? "Tak pa" katanya. Masuk  sahaja ke kawasan lobi, terpukau Makngah melihat hiasannya yang ala Timur Tengah. Tandaspun dijaga bersih.

Selesai menunaikan hajat, Makngah terus ke kaunter bertanyakan jika ada bilik dan ada tak cawangannya di Alor Setar. El Zahraa Inn hanya ada di Sungai Petani. Rupanya sekarang mereka sedang membuat harga promosi, wow.........boleh merasalah "Hotel Berkonsepkan Islamik" ini. Banyak kemudahnnya berdasarkan keperluan orang Islam iaitu kain pelikat dan batik disediakan, telekung solat, sejadah, selipar wuduk, al Quran dan rehal, tempat solat bersebelahan bilik dengan tempat berwuduknya dan barangan kebersihan serta minuman keluaran HPA. Pendek kata amat berbaloi.........

Anakanda sedang menunggu tempahan

Hiasan lampu di lorong bilik

Bangunan hotel

Hiasan dalam bilik
Setelah diamati, banyak unit kedai di situ kepunyaan rangkaian niaga HPA. Tahniahlah daripada Makngah untuk tuan punya HPA anak jati Kedah yang begitu sukses dalam perniagaan ini. Makngahpun ahli HPA....pagi-pagi minum Radix dulu.

Saturday, January 29, 2011

Dulu Was-was, Sekarang Tidak



Melihat gambar di atas, ramai yang tahu, yang kenal, yang selalu makan, yang jarang-jarang makan, yang tak pernah makan, nak makan tetapi ragu-ragu dan bermacam komen lagi. Tulisan Makngah kali ini bukan mahu mempromosi percuma kepada KFC tetapi hanya sekadar menyatakan kebenaran. Menyatakan apa yang diketahui kerana sebelum ini tidak tahu dan setelah tahu ingin dikongsikanlah dengan orang lain.

KFC merupakan restoran makanan segera yang berasal daripada Amerika. Kini ia sudah berada di seluruh dunia. Sebelum ini kita diberitahu tentang kekurangan dan kelemahan makanan tersebut kerana sifat 'kesegeraannya' yang mengandungi banyak bahan perasa dan paling utama persoalan halal atau tidak. Satu perkara lagi ialah ia kepunyaan 'Yahudi' yang banyak melakukan kemungkaran di bumi ini yang menyebabkan kita sering menganjurkan pemboikotan ke atas jenama-jenama Yahudi termasuk KFC.


Pada 20 - 22 Jun 2010 berlangsung Konvensyen Program Usahawan Muda Peringkat Negeri Kelantan di Perdana Resort PCB.  SMKWB sekali lagi dinobatkan sebagai juara keseluruhan termasuk Juara Persembahan Terbaik serta lima hadiah yang lain. Seiringan dengan itu sekolah Makngah diamanahkan mewakili Kelantan ke Konvensyen Nasional PUM di Persada Johor Bharu. Ya, Johor dengan Jcorpnya yang kaya raya dan terkenal itu. Jcorplah yang menjadi tuan rumah dan penganjur konvensyen tersebut.


9 - 13 Julai berlangsunglah konvensyen tersebut. Di sinilah Makngah mendapat maklumat baru tentang KFC yang sebelum ini mewujudkan perasaan was-was di hati Makngah dan juga orang lain akibat kekurangan maklumat. Dalam satu sesi ceramah oleh seorang pengurus Jcorp,rupa-rupanya Jcorp telah memiliki kepentingan KFC untuk menguasai rangkaian restorannya di beberapa negara dengan nilai RM500 juta (kalau tak salah, kalau salah tolong betulkan). Selain Malaysia negara tersebut ialah Singapura, Brunei, Indonesia, India dan beberapa buah negara lagi. Ketika ke India hujung tahun lepas Makngah tidak berkesempatan mengunjunginya. Teringin juga merasa KFC Malaysia di negara orang.

Semuanya berlaku ketika Jcorp diketuai oleh Tan Sri Ali Hashim yang telah meletak semua jawatannya di dalam Jcorp hujung tahun lepas. Diberitahu bahawa ketika berlaku pemboikotan ke atas KFC dan jenama-jenama lain produk berasal daripada Amerika / Yahudi pada tahun 2009 menyebabkan KFC rugi teruk. Sedangkan KFC Malaysia sudah dimiliki warga Malaysia dan tuan punyanya Jcorp (Perbadanan Kemajuan Ekonomi Johor) yang diurus oleh anak Melayu Johor.

Terbit rasa bangga dan bersyukur di hati Makngah di atas pendedahan itu kerana berpuluh ribu rakyat tempatan mendapat peluang pekerjaan bermula daripada jawatan paling bawah iaitu tukang cuci hinggalah kepada pengurus-pengurus cawangan yang berada di seluruh negara malahan dunia. Begitu juga dengan pembekalan bahan-bahan makanan terutamanya ayam yang menjadi tanda niaga KFC. Semua ayam yamg diguna ialah yang dipelihara dalam negara dan disembelih secara halal. Hanya 5% sahaja lagi bahan KFC yang diambil daripada tuan punya asal. Jelasnya 95% hasil keluaran tempatan. Jadi jika kita memboikot KFC samalah seperti kita mematikan sebuah perniagaan rakyat tempatan yang hebat.

Sejak itu Makngah meletak garis panduan agar jangan mudah mengata dan menuduh itu ini jika kita belum menyiasat atau mendapat maklumat yang sahih tentang sesuatu perkara. Perkara ini juga diajar oleh Islam.

Wednesday, January 26, 2011

Maju bangsa, majulah negara


Lokasi pejabatnya.
Semalam Makngah ke Pejabat Pendaftaran Pasir Mas untuk mengambil kad pengenalan anakanda. Sukalah menyatakan kepuasan hati Makngah melihat perkhidmatan yang mereka berikan yang boleh dikatakan 'berkelas dunia'. Senyum manis dan kata-kata mesra pegawainya amat mengujakan.

Persekitarannya pun menarik, peraturan tersusun, layanan terbaik dan perkhidmatannya amat cekap. Perhatikan gambar di bawah.


Kreatifkan mereka ini................Agak-agak Makngah letak di petak mana?

Pada Makngah mereka amat kreatif di samping boleh menggantikan tempat membuang kertas nombor giliran daripada dibuang merata-rata. Perhatikan ruangan petak "Cemerlang" untuk menyatakan tahap perkhidmatan mereka hampir penuh untuk hari itu. Makngah perhatikan di meja kaunter lain pun demikian juga.

Wajah pegawai-pegawai mereka jernih-jernih yang menggambarkan keikhlasan mereka ketika bekerja dan berhubung dengan orang ramai. Malahan ketika kunjungan pertama Makngah sebelum ini seorang pegawai mereka begitu ikhlas memberi khidmat nasihat kepada anakanda Makngah tentang kes kehilangan kad pengenalannya.

Kad pengenalan gantian anakanda Makngah siap mengikut tempoh. Makngah hanya menunggu 5 minit sahaja.

Sudut bacaan yang amat menarik terdapat di ruangan menunggu pejabat.

Berada di dalam pejabatnya amat menyenangkan dengan pelbagai sudut yang afektif. Antaranya sudut bacaan, sudut runding cara perkahwinan, sudut pertanyaan dan sudut jualan.

Saranan Makngah jikalau semua jabatan kerajaan dan swasta sedemikian, maka bahagialah semuanya. Maju bangsa, majulah negara.