Thursday, February 16, 2012

Akhirnya DBP Bersuara- Tahniah

DBP audit bahasa Melayu
Oleh Matzidi Dris
mzidi@bharian.com.my
2012/02/16

pix_gal0
Garis panduan hampir siap, kemuka kepada kerajaan Jun

PETRA JAYA: Masih ada kementerian, jabatan dan agensi kerajaan tidak menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya dalam dokumen urusan rasmi masing-masing, sebaliknya menggunakan bahasa Inggeris, termasuk dalam surat pekeliling dan minit mesyuarat bulanan.

Sehubungan itu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menubuhkan jawatankuasa khas untuk mengaudit penggunaan bahasa Melayu dalam semua dokumen rasmi kerajaan bagi mengenal pasti tahap penggunaan bahasa kebangsaan itu setakat ini.

Ketua Pengarah DBP, Dr Awang Sariyan, berkata ia berlaku kerana ada pegawai atasan dan penjawat awam tidak memahami atau terlepas pandang Dasar Bahasa Kebangsaan yang turut disokong Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan.

Katanya, setakat ini ada beberapa kementerian, jabatan dan agensi kerajaan mencapai tahap 80 hingga 90 peratus penggunaan bahasa Melayu dalam semua dokumen rasmi.

"Pada masa sama, masih ada kementerian, jabatan dan agensi kerajaan tidak menggunakan bahasa Melayu dalam beberapa dokumennya, iaitu surat pekeliling dan laporan tahunan.

"Cara terbaik meningkatkan penggunaan bahasa Melayu dalam sektor awam adalah mengadakan audit bahasa dari semasa ke semasa," katanya selepas menyampaikan ucaptama Dasar Bahasa Kebangsaan: Tuntutan Iltizam Kepada Seluruh Warga Negara, di DBP Cawangan Sarawak, di sini semalam.

Ia dianjurkan DBP Cawangan Sarawak dan Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (PEKASA) sempena Hari Pejuang Bahasa 152 Peringkat Negeri Sarawak 2012.

Awang berkata, mungkin ada pihak yang ketawa dengan langkah itu, tetapi DBP beriltizam melaksanakannya kerana ia bukan satu kesalahan, malah dapat meningkatkan penggunaan bahasa Melayu di kalangan penjawat awam di negara ini.

Katanya, cara kerajaan memperbaiki pencapaian dalam pengurusan dan pentadbiran adalah menerusi proses audit, termasuk aspek kewangan.

“Jadi, dalam penggunaan bahasa Melayu, wajar juga dilaksanakan audit. DBP kini dalam peringkat akhir menyediakan garis panduan untuk digunakan dalam audit berkenaan dan jika semua berjalan lancar, garis panduan itu akan dikemukakan kepada kerajaan Jun ini,” katanya.
Komen Anda









Senarai komen

kedai
sanggat bagus ..kalau boleh masukan dalam KPI setiap jabatan dan kementerian . Maklumat audit juga perlu di dedahkan kepada umun seperti laporan jabatan audit supaya rakyat tahu .
 
ikhlas
media juga perlu mainkan peranan, di tv baik pemimpin atau orang biasa perlu berbahasa melayu, mengaku orangg malaysia tapibila wartawan tanya dlm bm mrk dengan bangga jawab dalam english, kalau memang orang luar tidak apalah, baik ceo, orang biasa, bila perlu disiarkanperlulah berbahasa melayu. Malah iklan2 billboard sekarang tulisan bahasa lain lagi besar dari bahasa melayu malah tiada bahasa melayu pun ada. Pokok pangkalnya penguatkuasaan, zaman menteri penerangan Tok Mat dulu saya tabik kerana benar2 buatkerja, papan tanda dimestikan menggunakan bahasa kebangsaan........yang sekarang ni sibuk buat apa agaknya kat pejabat tu ya?
 
Semut Biru
Memang patut pun disemak semula. Buat pengetahuan umum, agensi kerajaan yang dimaksudkan tu adalah dari pihak atasan. Jangan kerana tinggi ilmu seseorang tu dah cukup hebat dimata umum. Perlu banyak belajar. Bukankah ilmu itu ada dimana-mana...
 
Tayyar Sikarap
syabas DBP. Masih belum terlambat untuk brtindak. Sepatutnya perkara ini dilakukan 12 tahun yang lalu sebelum penggunaan bahasa dalam kalangan penjawat jawatan awam dan swasta menjadi rojak. Dalam kalangan penjawat awam, mungkin penggunaan bahasa Melayu masih pada tahap 60-70 peratus. Tetapi dalam kaangan penjawat swasta, terlalu sukar untuk kita mendengar dan melihat penggunaan Bahasa Kebangsaan. Keadaan ini bertambah parah apabila Kementerian Pelajaran Malaysia mengisytiharkan penggunaan BI dalam pengajaran dan pembelajaran subjek Matematik dan Sains di peringkat sekolah. Akibatnya, bahasa Melayu menjadi kelas kedua atau kelas ketiga bagi organisasi swasta. .... bersambung.... kemudian.
 
HJ SHARI
Sedarnya kita bahawa bahasa melayu seakan dipingirkan oleh warga negara sendiri. Apakah kita tidak mampu menaiktaraf bahasa melayu. Sudah lebih 50 tahun merdeka bahasa masih belum merdeka?.
 
Hassan Markoli
Syabas DBP!
 
Zaninov
Salam sejahtera, pada pendapat saya DBP perlu memperluaskan lagi penguatkuasaan atau audit di sektor perbankan. Sebagai contoh borong yang diisi ditulis Bahasa Melayu diatas dan bahasa Inggeris dibawah. Ini keterbalikan dimana bahasa Inggeris atas bahasa Melayu dibawah sangat menyayangkan. Buku-buku ilmiah bagi kegunaan Universiti perlu diterjemahkan sepenuhnya kedalam Bahasa Melayu secara berperingkatkan dan diwajibkan penggunaannya. DBP usulkan di Parlimen bahawa untuk melayakkan menjadi warganegara Malaysia mewajibkan warga Malaysia fasih bertutur kata dalam bahasa Melayu. 
 
Adi
Akhirnya, DBP bertindak dengan tegas. Kalau tidak, sampai bila? Syabas DBP.
Saya juga cadangkan bagi semua iklan dan poster perlu diaudit DBP sebelum boleh mendapat kelulusan Majlis Perbandaran.

No comments:

Post a Comment