Monday, November 8, 2010

MASJID NABAWI DAN KENANGANKU



Bulan haji, telah tiba lagi,
Menunaikan ibadah, panggilan Baitullah,
Tanah suci Mekah, ya Makkatulmukarramah....


Itulah antara senikata lagu nasyid Panggilan Haji yang dibawa oleh Orkes el Suraya dari Medan yang melekat kuat dalam memori sejak saya kecil. Saya sangat menggemari senikata dan tempo lagu tersebut. Bermula bulan Zulhijjah maka lagu tersebut semakin kerap diputarkan di radio.


Memori itulah yang selalu bermain di dalam diri saya menjadi angan-angan lalu membentuk cita-cita untuk sampai ke Tanah Haram itu. Lantunan bait-bait seni kata nasyid tersebut amat melekat di dalam diri saya.


Setiap kali tiba musim haji, saya selalu mengikut ibu mengunjungi orang-orang yang akan ke Mekah. Adat berziarah dan bermaaf-maafan dengan orang yang akan berjalan jauh masih kukuh diamalkan sambil menghulur hadiah atau sedekah mengikut kemampuan. Ketika itu pelbagai pengalaman daripada orang-orang yang pernah pergi dapat saya dengar. Hal itu mengukuhkan lagi azam dan cita-cita saya untuk turut menjadi tetamu Allah. Sebelum pulang selalu keluar permintaan agar mendoakan kami yang belum pergi ini untuk dipermudahkan dan diizinkan-Nya untuk turut serta nanti.


    Sebaik sahaja bekerja, saya terus membuka akaun Tabung Haji dan mula menyimpan. Simpanan sering terganggu kerana keperluan semasa masih memerlukan menyebabkan keinginan ke Tanah Suci sering terbantut.


Tahun 2000 ayah pergi meninggalkan kami setelah sakit hampir dua tahun kerana serangan angin ahmar. Hal ini menyebabkan ibu yang belum mengerjakan haji tidak mempunyai muhrim. Mujurlah ada adik ibu yang sudi menjadi peneman dan mereka disahkan dapat ke Mekah pada  tahun 2002. Namun, berita kurang mengembirakan berlaku iaitu disebabkan beberapa hal yang tidak dapat dielakkan, adik ibu saya itu menangguhkan pemergiannya. 


Ibu menjadi agak terkilan sedangkan beliau merasakan kekuatannya dan usianya sudah tidak dapat menunggu lama lagi. Hal itu menyebabkan saya terfikir, apa salahnya saya yang menjadi teman ibu. Tetapi macam mana dengan kebenaran daripada pihak Tabung Haji kerana saya belum mendaftar?


Suatu hari jika tidak silap pada Februari 2001,  seorang rakan saya sedang tekun menaip sesuatu. Saya rasa tertarik lalu menghampirinya. Surat rupanya. Rakan tersebut yang masih muda baru tiga tahun bekerja sedang menaip surat rayuan untuk bersama abang dan ibunya mengerjakan haji pada tahun itu. Hati saya terlonjak riang dan berfikir apa salahnya saya turut berbuat hal sama, demi ibu seorang. Dia menyatakan apa salahnya. Kami pun rancak berbincang akan hal-hal yang perlu dilakukan.


Setelah turun naik pejabat Tabung Haji beberapa kali, alhamdulillah  saya disahkan bakal jamaah haji 1423 Hijrah bersama dengan ibu. Rasa seperti tidak percaya. Tuah datang bergolek, bulan jatuh ke riba. Serba mudah, serba senang. Rasa amat bertuah, doa saya sejak kecil kerana terlalu meminati lagu nasyid Panggilan Haji, Allah makbulkan dalam keadaan tidak saya jangkakan. Saya dan ibu segera mendaftar kursus haji di sebuah masjid.  


Makkahtulmukarramah.............tunggulah kehadiranku.


Awal Januari 2002 dalam usia 38 tahun saya, ibu 62 tahun dan beberapa orang lagi orang sekampung berangkat ke Kelana Jaya sebelum ke Madinah dan Mekah. 43 hari di Madinah dan Mekah, pelbagai pengalaman dapat kami rasai. Ada satu peristiwa yang amat menarik telah saya dan ibu alami yang tidak akan kami lupakan. Ia masih segar dalam ingatan kami. Apa yang ingin saya sebutkan, pengalaman tersebut telah disiarkan di dalam majalah Mastika keluaran Januari 2009.






Anda yang ingin mengetahui apakah kisah tersebut bolehlah mencari Mastika keluaran tersebut yang diberi tajuk "kerana perempuan banyak dosa?"

Friday, November 5, 2010

Asal Usul Bangsa Melayu-Pembongkaran Sejarah Sebenar

# Tulisan di bawah merupakan ubah suai beberapa artikel yang dihasilkan oleh orang yang peka kepada penipuan dalam rakaman sejarah kita khasnya dan sejarah dunia amnya. PALING SESUAI DIBACA DAN DIFAHAMI OLEH PELAJAR STPM YANG MENGAMBIL BAHASA MELAYU KERTAS SATU DI BAWAH ASPEK 1- Sejarah dan Perkembangan Bahasa Melayu.
-Tolong Baca Sampai Habis Baru Buat Rumusan



Lambang Kedaulatan Bangsa Melayu


Peta Kawasan Penting Tamadun Melayu

Pembongkaran Sejarah Sebenar – Sedikit Mendalam Tentang Melayu.

Sebahagian pengkaji sejarah mengaku MELAYU adalah bangsa terawal, kenapa tidak Melayu sendiri dan kenapa sebahagian besar EROPAH cuba menutup sejarah. Bangsa MELAYU adalah terdiri dari Bugis, Jawa, Banjar, Minangkabau, orang-orang Asli di Malaysia dan lain-lain negara. Jelas bahawa bangsa Melayu ialah salah satu kaum terbesar di dunia.

Suatu ketika dahulu, di Asia Tenggara terdapat kawasan Kepulauan MELAYU, yang merangkumi, Indonesia, Malaysia, Papua New Guine. dan lain-lain lagi. Bermakna, kini Eropah memecahkan kepulauan tersebut kepada beberapa negara. Dipercayai sekiranya terlalu besar akan menyusah penjajahan mereka. Tulisan di bawah ini tidak diketahui ditulis oleh siapa, namun ia mengambil sedikit maklumat daripada persidangan, seminar, pembentangan tesis dan sedikit merujuk kepada Hadis dan lain-lain. Orang Eropah ke angkasa lepas kerana takutkan 'tahi bintang'. Eropah kaji bangsa MELAYU kerana takutkan bangsa Melayu, Kerana apa? Parang terbang sendiri, bas berjalan tanpa dipandu dan minyak diceduk hanya di perigi. Sebelum Melayu menjajah dunia, Eropah datang untuk kononnya membantu kemerdekaan. Selamatkan bangsa Melayu kononnya, dan selamat membaca,

Berasal Dari Nusantara

Seorang sarjana Inggeris bernama J. Crawfurd telah membuat kajian perbandingan bahasa yang ada di Sumatera, Jawa, Kalimantan, dan kawasan Polinesia. Beliau berpendapat bahawa asal bahasa yang tersebar di Nusantara ini berasal daripada bahasa di Pulau Jawa (bahasa Jawa) dan bahasa yang berasal dari Pulau Sumatera (bahasa Melayu). Bahasa Jawa dan bahasa Melayulah yang merupakan induk bagi bahasa serumpun yang terdapat di Nusantara ini.

J. Crawfurd menambah hujahnya dengan bukti bahawa bangsa Melayu dan bangsa Jawa telah memiliki taraf kebudayaan yang tinggi dalam abad kesembilan belas. Taraf ini hanya dapat dicapai setelah mengalami perkembangan budaya beberapa abad lamanya. Beliau sampai pada satu kesimpulan bahawa:
(a) Orang Melayu itu tidak berasal dari mana-mana, tetapi malah merupakan induk yang menyebar ke tempat lain.
(b) Bahasa Jawa ialah bahasa tertua dan bahasa induk daripada bahasa yang lain.

K. Himly, yang mendasarkan kajiannya terhadap perbandingan bunyi dan bentuk kata bahasa Campa dan pelbagai bahasa di Asia Tenggara menyangkal pendapat yang mengatakan bahawa bahasa Melayu Polinesia serumpun dengan bahasa Campa. Pendapat ini disokong oleh P.W. Schmidt yang membuat kajiannya berdasarkan struktur ayat dan perbendaharaan kata bahasa Campa dan Mon-Khmer. Beliau mendapati bahawa bahasa Melayu yang terdapat dalam kedua-dua bahasa di atas merupakan bahasa ambilan sahaja.

Sutan Takdir Alisjahbana, ketika menyampaikan Syarahan Umum di Universiti Sains Malaysia (Julai 1987) menggelar bangsa yang berkulit coklat yang hidup di Asia Tenggara, iaitu Thailand Selatan, Malaysia, Singapura, Indonesia, Brunei, dan Filipina Selatan sebagai bangsa Melayu yang berasal daripada rumpun bangsa yang satu. Mereka bukan sahaja mempunyai persamaan kulit bahkan persamaan bentuk dan anggota badan yang berbeza daripada bangsa Cina di sebelah timur dan bangsa India di sebelah barat.

Gorys Keraf di dalam bukunya Linguistik Bandingan Historis (1984) mengemukakan teori Leksikostatistik dan teori Migrasi bagi mengkaji asal usul bangsa dan bahasa Melayu. Setelah mengemukakan hujah tentang kelemahan pendapat terdahulu seperti: Reinhold Foster (1776), William Marsden (1843), John Crawfurd (1848), J.R. Logan (1848), A.H. Keane (1880), H.K. Kern (1889), Slametmuljana (1964), dan Dyen (1965) beliau mengambil kesimpulan bahawa "...negeri asal (tanahair, homeland) nenek moyang bangsa Austronesia haruslah daerah Indonesia dan Filipina (termasuk daerah-daerah yang sekarang merupakan laut dan selat), yang dulunya merupakan kesatuan geografis".

Pendapat lain yang tidak mengakui bahawa orang Melayu ini berasal dari daratan Asia mengatakan bahawa pada Zaman Kuarter atau Kala Wurn bermula dengan Zaman Ais Besar sekitar dua juta sehingga lima ratus ribu tahun yang lalu. Zaman ini berakhir dengan mencairnya ais secara perlahan-lahan dan air laut menggenangi dataran rendah. Dataran tinggi menjadi pulau. Ada pulau yang besar dan ada pulau yang kecil. Pemisahan di antara satu daratan dengan daratan yang lain berlaku juga kerana berlakunya letusan gunung berapi atau gempa bumi. Pada masa inilah Semenanjung Tanah Melayu berpisah dengan yang lain sehingga kemudian dikenali sebagai Pulau Sumatera, Pulau Jawa, Pulau Kalimantan, dan pulau lain di Indonesia.

Proto homonoid yang dianggap sebagai pramanusia dianggarkan sudah ada sejak satu juta tahun yang lalu dan ia berkembang secara evolusi. Namun, manusia yang sesungguhnya baru bermula sejak 44,000 tahun yang lalu dan manusia moden (Homo sapiens sapiens) muncul sekitar 11,000 tahun yang lalu.

Pada masa pramanusia dan manusia yang sesungguhnya di Asia Tenggara, Asia Timur, dan Australia telah ada manusia. Hal ini dibuktikan dengan ditemuinya Homo soloinensis dan Homo wajakensis (Manusia Jawa = "Java Man") yang diperkirakan berusia satu juta tahun. Pada masa ini wilayah tersebut didiami oleh tiga kelompok Homo sapiens sapiens, iaitu orang Negrito di sekitar Irian dan Melanesia, orang Kaukasus di Indonesia Timur, Sulawesi, dan Filipina, serta orang Mongoloid di sebelah utara dan barat laut Asia.

Masing-masing bangsa ini terpisah kerana berlakunya pemisahan daratan. Mereka berpindah dengan cara yang perlahan. Orang Kaukasus ada yang berpindah ke sebelah barat dan ada pula yang ke sebelah timur. Yang berpindah ke arah timur seperti ke Maluku, Flores, dan Sumba bercampur dengan orang Negrito. Yang berpindah ke arah barat mendiami Kalimantan, Aceh, Tapanuli, Nias, Riau, dan Lampung. Yang berpindah ke arah utara menjadi bangsa Khmer, Campa, Jarai, Palaung, dan Wa.

Hukum Bunyi yang diperkenalkan oleh H.N. van der Tuuk dan diperluas oleh J.L.A. Brandes yang menghasilkan Hukum R-G-H dan Hukum R-D-L dikatakan oleh C.A. Mees bahawa "Segala bahasa Austronesia itu, walaupun berbeza kerana pelbagai pengaruh dan sebab yang telah disebut, memperlihatkan titik kesamaan yang banyak sekali, baik pada kata-kata yang sama, seperti mata, lima, talinga, dan sebagainya, mahupun pada sistem imbuhan, dan susunan tatabahasanya. Perbezaan yang besar seperti dalam bahasa Indo-Eropah, misalnya: antara bahasa Perancis dan Jerman, antara Sanskrit dan Inggeris, tidak ada pada bahasa-bahasa Austronesia. Apalagi Kata Dasar (terutama bahasa Melayu) tidak berubah dalam morfologi" juga menunjukkan bahawa bahasa yang terdapat di Asia Selatan dan Tenggara berbeza dengan bahasa yang terdapat di Asia Tengah.

Kesimpulan

Pendapat Geldern tentang kapak tua masih boleh diperdebatkan. Budaya kapak tua yang diperbuat daripada batu sebenarnya bukan hanya terdapat di Asia Tengah dan Nusantara. Budaya yang sama akan ditemui pada semua masyarakat primitif sama ada di Amerika dan juga di Eropah pada zaman tersebut. Lagi pula, secara kebetulan Geldern membuat kajiannya bermula dari Asia kemudian ke Nusantara. Kesimpulan beliau tersebut mungkin akan lain sekiranya kajian itu bermula dari Nusantara, kemudian ke Asia Tengah.

Kajian Kern berdasarkan bukti Etnolinguistik memperlihatkan bahawa persamaan perkataan tersebut hanya terdapat di alam Nusantara dengan pengertian yang lebih luas dan perkataan tersebut tidak pula ditemui di daratan Asia Tengah. Ini menunjukkan bahawa penutur bahasa ini tentulah berpusat di tepi pantai yang strategik yang membuat mereka mudah membawa bahasa tersebut ke barat, iaitu Madagaskar dan ke timur hingga ke Pulau Easter di Lautan Pasifik.

Secara khusus, penyebaran bahasa Melayu itu dapat dilihat di sepanjang pantai timur Pulau Sumatera, di sepanjang pantai barat Semenanjung Tanah Melayu; di Pulau Jawa terdapat dialek Jakarta (Melayu-Betawi), bahasa Melayu Kampung di Bali, bahasa Melayu di Kalimantan Barat, bahasa Melayu Banjar di Kalimantan Barat dan Selatan, Sabah, Sarawak, dan bahasa Melayu di Pulau Seram.

Pendapat Marsden bahawa bahasa Melayu yang termasuk rumpun bahasa Nusantara serumpun dengan rumpun bahasa Mikronesia, Melanesia, dan Polinesia dengan induknya bahasa Austronesia secara tidak langsung memperlihatkan adanya kekerabatan dua bahasa tersebut yang tidak ditemui di Asia Tengah. Penyebaran bahasa Austronesia juga terlihat hanya bahagian pesisir pantai timur (Lautan Pasifik), pantai barat (Lautan Hindi), dan Selatan Asia (kawasan Nusantara) sahaja dan ia tidak masuk ke wilayah Asia Tengah.

Kesamaan pembentukan kata di antara bahasa Melayu dengan bahasa Polinesia yang dinyatakan oleh J.R. Foster dan kesamaan struktur bahasa Melayu dengan struktur bahasa Kampuchea juga memperlihatkan bahawa bahasa yang berada di Asia Selatan dan Asia Timur berbeza dengan bahasa yang berada di Asia Tengah. Jika kita lihat rajah kekeluargaan bahasa akan lebih nyata lagi bahawa bahasa di Asia Tengah berasal dari keluarga Sino-Tibet yang melahirkan bahasa Cina, Siam, Tibet, Miao, Yiu, dan Burma. Berdekatan dengannya agak ke selatan sedikit ialah keluarga Dravida, iaitu: Telugu, Tamil, Malayalam, dan lain-lain. Kedua-dua keluarga bahasa ini berbeza dengan bahasa di bahagian Timur, Tenggara, dan Selatan Asia, iaitu keluarga Austronesia yang menurunkan empat kelompok besar, iaitu Nusantara, Melanesia, Mikronesia, dan Polinesia.

Jika ditinjau dari sudut ilmu kaji purba pula, penemuan tengkorak yang terdapat di Nusantara ini memberi petunjuk bahawa manusia telah lama ada di sini. Penemuan tersebut di antara lain ialah:
1. Pithecanthropus Mojokerto (Jawa), yang kini berusia kira-kira 670,000 tahun.
2. Pithecanthropus Trinil (Jawa), kira-kira 600,000 tahun.
3. Manusia Wajak (Jawa), kira-kira 210,000 tahun. 

Jika tiga fosil tersebut dibandingkan dengan fosil Manusia Peking atau Sinanthropus Pekinensis (China) yang hanya berusia kira-kira 550,000 tahun terlihat bahawa manusia purba lebih selesa hidup dan beranak-pinak berdekatan dengan Khatulistiwa. Hal ini diperkuat lagi dengan penemuan fosil tengkorak manusia yang terdapat di Afrika yang dinamai Zinjanthropus yang berusia 1,750,000 tahun. Beberapa hujah ini menambah kukuh kesimpulan Gorys Keraf di atas yang menyatakan bahawa nenek moyang bangsa Melayu ini tentulah sudah sedia ada di Kepulauan Melayu yang menggunakan bahasa keluarga Nusantara. 

PERSOALAN LAIN

Masih ada soalan yang belum terjawab, iaitu jika betul bangsa Melayu ini sememangnya berasal dari Alam Melayu ini, sebelum itu dari manakah asal mereka? Pendapat orang Minangkabau di Sumatera Barat bahawa keturunan mereka ada hubungan dengan pengikut Nabi Nuh, iaitu bangsa Ark yang mendarat di muara Sungai Jambi dan Palembang semasa berlakunya banjir besar seperti yang diungkapkan oleh W. Marsden (1812) masih boleh dipertikaikan.

Yang agak berkemungkinan disusurgaluri ialah dari salasilah Nabi Nuh daripada tiga anaknya, iaitu Ham, Yafit, dan Sam. Dikatakan bahawa Ham berpindah ke Afrika yang keturunannya kemudian disebut Negro berkulit hitam, Yafit berpindah ke Eropah yang kemudian dikenali sebagai bangsa kulit putih, dan Sam tinggal di Asia menurunkan bangsa kulit kuning langsat. Putera kepada Sam ialah Nabi Hud yang tinggal di negeri Ahqaf yang terletak di antara Yaman dan Oman. Mungkinkah keturunan Nabi Hud yang tinggal di tepi laut, yang sudah sedia jadi pelaut, menyebar ke Pulau Madagaskar di Lautan Hindi hingga ke Hawaii di Lautan Pasifik lebih mempunyai kemungkinan menurunkan bangsa Melayu? Satu kajian baru perlu dilakukan.

“Barangsiapa mencintaiku dan mencintai keduanya itu iaitu Al-Hassan dan Al-Hussein - serta mencintai ibu dan bapa mereka, iaitu Fatimah Az-Zahra dan Sayyidina ‘Ali -kemudian ia meninggal dunia sebagai pengikut sunnahku, ia bersamaku di dalam syurga yang sedarjat.”

“ Pada hari kiamat aku akan menjadi syafi’ (penolong) bagi empat golongan. Yang menghormati keturunanku; yang memenuhi keperluan mereka; yang berupaya membantu urusan mereka pada waktu diperlukan dan yang mencintai mereka sepenuh hati.” Dalam sebuah hadeeth Al-Hakim berasal dari Zaid bin Arqam RA, Rasulullah SAW menegaskan antara lain;

 “ …Mereka (ahlul-bait) adalah keturunanku, dicipta dari darah dagingku dan dikurniai pengertian serta pengetahuanku. Celakalah orang dari umatku yang mendustakan keutamaan mereka dan memutuskan hubungan denganku melalui (pemutusan hubungan dengan) mereka. Kepada orang-orang seperti ini, Allah SWT tidak akan menurunkan syafaatku (pertolonganku).”

Sabda Rasulullah SAW maksudnya : “Wasiatkanlah kebajikan bagi ahlul-baitku. Pada hari kiamat esok kalian akan ku gugat mengenai ahlul-baitku. Orang yang kelak menjadi lawanku ia menjadi lawan Allah, dan siapa yang menjadi lawan Allah ia akan dimasukkan ke dalam neraka.”

Telah termaklum kini bahawa para ahlul-bait Rasulullah SAW merupakan cabang dari satu keluarga istimewa yang dipilih oleh Allah SWT, iaitu pada jurai-jurai salasilah ke atas dari keluarga para anbiyya’ cabang Nabi Ibrahim a.s sehinggalah kepada jurai-jurai ke bawah, dan mahkota terunggul keluarga nubuwwah ini tidak lain dari Nabi Muhammad SAW sendiri. Sedangkan para ahlul-bait baginda sendiri duduknya pada jurai-jurai dari cabang Al-Hassan dan Al-Hussein RA anhum, iaitu dua cucu kesayangan Rasulullah SAW dari puterinya Fatimah Az-Zahra. Maha Suci Allah yang telah menganugerahi keistimewaan, kemuliaan dan ketinggian kepada sesiapa sahaja yang dikehendakiNya.

Mengikut kesinambungan resam nenek moyang ahlul-bait dari kalangan Keluarga Nubbuwah sehingga pada nenda mereka, baginda Rasulullah SAW, menjadi da’iee, pemerintah dan alim-ulamak adalah tiga perkara yang tidak dapat dipisahkan; dan menjadi seperti darah daging bagi diri para ahlul-bait. Sejarah membuktikan ramai dari mereka tampil sebagai ulamak, mubaligh serta pemerintah yang bertebaran di serata pelusuk muka bumi ini. Jazirah Arab, benua Afrika, India, Asia dan Asia Tenggara dari zaman Khulafa’ Al-Rashidin sehinggalah kepada abad ini para ahlul-bait masih tetap memainkan peranan penting samada secara langsung atau tidak langsung. Dan insya-Allah Ta’ala peranan ini akan terus berkekalan.

Jika kita mengakui beriman dan mencintai Allah SWT dan RasulNya SAW dengan sebenar-benar iman, maka wajiblah kita mengambil berat akan apa diwanti-wantikan oleh baginda Rasulullah SAW : “Kalian kuingatkan kepada Allah akan ahlul-baitku” Tidakkah kita wajib mengambil isyarat ini dengan penuh keikhlasan bagi menunjukkan kecintaan dan ketaatan kita kepada Nabi kita ? Oleh itu sebagai menyambut seruan baginda, semestinyalah kita memberikan penghormatan, kemuliaan dan keutamaan kepada para ahlul-bait, bukan atas sifat mereka sebagai manusia seperti kita, tetapi semata-mata bagi menghormati dan memuliakan diri mereka yang merupakan keturunan dari Rasulullah SAW sendiri.

Walaupun ahlul-bait tidak mewarisi kudrat kenabian dan kerasulan melalui keturunan mereka di kalangan keluarga nubuwwah, dan mereka sememangnya terdedah kepada kelampauan batasan syariah kerana mereka tidak maksum, namun hakikatnya, ini sama sekali tidak menghilangkan jatidiri dan kudrati mereka sebagai anak cucu dari keturunan suci, iaitu baginda Rasulullah SAW. Umat Islam yang kasih dan taat pada perintah baginda perlu lebih berprihatin dalam urusan dengan ahlul-bait dan bersedia memaafkan segala kekeliruan dan kesilapan mereka. Adalah terlebih afdhal jika umat Islam yang teraniayai itu memaafkannya sebagai tanda cinta dan demi memuliakan nendanya, iaitu Rasulullah SAW yang terlalu amat besar jasa baginda pada umat Islam. Jikalah umat Islam sedunia bersatu dalam usaha membalas jasa-jasa Rasulullah SAW tidak akan ke mana dan pasti tidak kesampaian .

Bagi pihak ahlul-bait Rasulullah SAW pula, perlulah mereka menghargai anugerah Allah SWT yang tak terhitung nilainya itu. Apakah mereka tidak mensyukuri dan merasa bangga dengan hakikat bahawa asal mereka dari cabang-cabang pokok yang teramat baik bakanya, dan nama wira-wira Islam yang tercatat dalam lembaranlembaran sejarah dari kalangan ahlul-bait semuanya merupakan nenek moyang yang berkongsi nasab dan susur galur sehingga ke Rasulullah SAW?

Sabda baginda : “ Setiap sebab dan nasab terputus pada hari kiamat, kecuali sebab dan nasabku.” Sesungguhnya seseorang ahlul-bait yang dapat menghayati sejarah nenek moyang mereka yang tampil ke saf terkehadapan dalam penampilan peribadi mulia serta usaha gigih mengembangkan Islam, patutlah merasa malu untuk merendahkan nama baik keturunan mulia ini. Mereka seharusnya bertanggungjawab menjaga diri dan keluarga bagi menzahirkan kesyukuran dan penghargaan atas nikmat yang diberikan oleh Allah SWT ini.

Tanggungjawab ini haruslah dipikul bagai menatang minyak yang penuh . Jika semua ahlul-bait sedar akan peranan mereka, nescaya lebih mudahlah umat Islam mengambil mereka sebagai suri teladan masyarakat sezaman, sebagaimana nenek moyang ahlul-bait di zaman dahulu dicontohi. Insaflah! Umat Rasulullah SAW diibaratkan sebuah keluarga yang besar, dan seharusnyalah ahlul-bait tampil terkehadapan bersama-sama dengan para alim ulamak sebagai waris-waris Nabi dan penguasa-penguasa umat Islam lainnya, memegang panji-panji agama sebagai ketua-ketua dalam sebuah keluarga yang besar ini . Merekalah yang semoleknya dan berhak berada dalam saf hadapan, baik dalam menyebarkan seruan tauhid, dalam menjaga maruah dan kehormatan agama dan juga dalam berjihad menentang musuh-musuh Allah SWT.

Kedatangan para ahlul-bait Rasulullah SAW ke Alam Nusantara berpunca dari beberapa masalah, antaranya, latar belakang politik yang wujud di bumi Arab. Sesungguhnya ahlul-bait Rasulullah SAW sentiasa menjadi sasaran kedengkian dari ramai pihak di atas status istimewa yang dimiliki. Khalifah-khalifah dari Daulah Umayyah dan Abbassiyyah sentiasa mencari peluang menghambat, mengusir, menindas dan melakukan berbagai bentuk kekejaman kepada mereka kerana merasakan tidak selamat pada jawatan pemerintah selagi kaum kerabat ahlul-bait ada di kalangan mereka, apatah lagi para ahlul-bait sentiasa mendapat ihsan dan simpati dari kebanyakan umat Islam yang insaf akan zuriat mereka dari titisan darah Rasulullah SAW.

Berlebih lagi, ahlul-bait sentiasa sahaja mensohorkan diri sebagai tokoh-tokoh terunggul dengan sifat kepahlawanan, kependetaan, menguasai lautan ilmu dan firasat serta dianugerahkan Allah SWT ilmu-ilmu ladunniy, berbakat sebagai pemimpin dan penguasa, selain menjadi darah dagingnya untuk membuat usaha dakwah dan tabligh dengan penuh keikhlasan.

Para ahlul-bait yang datang sebagai mubaligh yang mukhlisin di bumi Nusantara sehinggakan begitu mudah sahaja diterima oleh masyarakat tempatan yang melihat pada diri mereka sifat-sifat kemuliaan, keunggulan dan teristimewa yang dikira tidak layak diberikan status awam dalam masyarakat. Penduduk tempatan merasa rugi jika tidak dapat memenafa’atkan ilmu dan kepimpinan mereka, lalu merasa amat besar hati jika para mubaligh ahlul-bait ini dapat diberikan status istimewa sebagai raja, pemerintah atau sekurang-kurangnya menjadi penasihat dan ketua agama bagi mereka.
Dalam memperkatakan mengenai nasab Rasulullah SAW dalam sejarah pemerintahan umat Islam, dua perkara perlu ditekankan semula. Iaitu soal ‘kepekatan’ daulah zuriat Rasulullah SAW yang ‘mengatasi dan menguasai’darah-darah lain , serta hakikat bahawa para ahlul-bait pun tidak terlepas dari perkiraan sebab dan akibat yang mendatangkan keputusan dan hukuman dari Kerajaan Langit.

Dalam konteks ini, perhatikan misalan-misalan yang terang dan nyata yang dapat dibuktikan dalam beberapa peristiwa sejarah kehidupan ahlul-bait Rasulullah SAW di istana Raja-Raja Melayu dan peristiwa musibah yang melanda sebahagian dari mereka yang melampaui dalam batasan syariat agama Allah SWT. Kemasukan ahlul-bait Rasulullah SAW ke istana raja-raja Nusantara khasnya, dan Alam Melayu ‘amnya, telah mencelikkan mata dan hati kita betapa bumi timur jauh ini ‘redup’ dengan kehadiran cucu cicit Rasulullah SAW yang menjadi para penguasa, pembesar dan ‘alim-ulamak negeri, selain bercampur gaul dengan masyarakat tempatan, menjalani kehidupan dengan segala pengalaman buruk baiknya masing-masing.

Dalam menghuraikan sejarah kemasukan ahlul-bait ke istana Raja-Raja Melayu, tidak dapat tidak kita perlu memahami konsep dan takrif Daulah Raja-Raja yang sering dikaitkan dengan diri raja-raja yang memerintah. Hakikatnya, konsep Daulah Raja-Raja ini bukan metos atau mistikal, melainkan ianya ujud seperti yang dibuktikan dalam lembaran-lembaran sejarah Raja-Raja Melayu dan Alam Nusantara lainnya. dan berada di dalam batasan lingkungan hukum syari’ee.

Hakikatnya, Daulah Zuriat, Daulah Institusi Raja-Raja dan Daulah Peribadi merupakan sebahagian dari cabang yang mewujudkan konsep atau istilah Daulah Raja-Raja ini. Tegasnya, Daulah Raja-Raja amat berkait rapat dengan hubungan antara raja-raja umat Islam yang memerintah dengan Raja bagi Kerajaan Langit dan Bumi, iaitu Allah SWT. Hubungan itu di meteri melalui institusi yang merangkum raja-raja tersebut, serta tahap keperibadian dan pengamalan agama mereka. Berlebih lagi daulah seseorang raja bertambah ‘pekat’ jika ia mempunyai hubungan kekeluargaan dengan baginda Rasulullah SAW .

Oleh itu seseorang raja yang teguh pegangan dan pengamalan agamanya serta beramanah dalam fungsinya yang sebenar akan mendapat daulah yang ‘bisa’ dan ‘berbadi’, kerana Allah SWT sendiri berada di belakang pemerintah yang adil. Jika ia berketurunan Rasulullah SAW, maka ‘subsidi’nya akan bertambah. Sebaliknya bagi raja yang tidak beramanah dengan peranannya sebagai wakil Allah dan RasulNya, dan rakyat yang gagal memelihara Institusi Raja-Raja dari pencabulan mana-mana pihak hatta dari raja-raja sendiri sekalipun, maka Allah SWT sendiri akan menghakis daulah Institusi Raja-Raja dan memutuskan naunganNya. Maka jadilah raja-raja berkerajaan tanpa daulah, dan rakyat pula sebagai anak-anak yatim yang kehilangan identiti serta daulah bangsa dan agamanya.

Lembaran-lembaran sejarah menjadi bukti akan kecemerlangan bangsa Melayu sebagai bangsa yang berdaulat dan disegani apabila raja-rajanya berpegang pada fungsi sebenar mereka sebagai wakil Allah dan RasulNya SAW setelah ketiadaan sistem pemerintahan berkhalifah yang berakhir selepas era Khulafa’ Ar-Rashidin. Raja-Raja Melayu sebagai tunggak pemelihara bangsa dan agamanya, yang mengambil Islam sebagai asas pemerintahan, dan dengan gandingan para alim ulamak, para pembesar beserta rakyat jelata; menyebar, menegak, memelihara dan membela syariat Islam serta Daulah Islamiyyah mereka dengan sendirinya menjamin naungan dan pertolongan dari Allah SWT sendiri.

Semoga Allah SWT mengembalikan naunganNya pada Institusi Raja-Raja Melayu sebagai tunggak pemelihara identiti bangsa dan agamanya. Semoga Allah SWT memilih bangsa Melayu dan raja-raja mereka untuk khidmat agamaNya serta mengampuni, memuliakan dan akhirnya meningkatkan darjat bangsa Melayu di hari akhirat kelak melalui wasilah Rasulullah SAW yang menjadi nenda bagi sebahagian besar Raja-Raja Melayu kita !!
“Ya Allah! Limpahkan selawat kepada Sayyidina Muhammad dan kepada Aal (ahlul-bait dan kerabat) Muhammad.”

Nota:
Sedar tidak sedar, banyak keistimewaan dan sejarah bangsa kita, yang tidak terdapat dalam khutub-khanah di Malaysia. Kerana terus dipupuk bahawa, sejarah Melayu hanya bermulanya MELAKA, dan orang EROPAH yang membuka. Namun sedarkah kita bahawa, kebanyakan peristiwa berlaku di depan mata tidak diambil berat contohnya: -
1. Sedarkah kita bahawa, anak hasil perkahwinan China dan India, anaknya pasti berwajah MELAYU, dan
2. Sedarkah kita bahawa bukan semua bangsa, ‘TEGAK BULU ROMA’ menjadi sifat semula jadi, jika tidak percaya, bertanyalah pada teman Cina atau India kita. Anda akan tahu siapa kita dan apa keistimewaan bangsa kita. banyak lagi tentang Melayu akan didedahkan. Sifat tersebut memberi saya semangat untuk terus mencari fakta sejarah Bangsa Melayu sebenarnya. 

Batu Bersurat Teresat, Kuala Berang, Terengganu
Bukti  Perkembangan Agama Islam di Negeri Melayu

Peringatan daripada saya, 

BERBANGGA DAN MARTABATKAN BAHASA MELAYU, PASTIKAN BAHASA INGGERIS HANYA UNTUK SEKADAR KITA TAHU.

“SELAMATKAN DAN MARTABATKAN BANGSA MELAYU, 

BAGI MEMENANGI ISLAM” 

Thursday, November 4, 2010

Syair Mati


Sampailah waktu ajal akan datang
Malaikat Maut segera menjelang
dicabut nyawa tiada terbilang
sakit terasa bukan kepalang.

Mati itu terlalu sakit
di dalam kubur terlalu sempit
ular dan kala datang menggigit
papan dan bumi pula menghimpit.

Masuklah mayat ke dalam bumi
Mungkar dan Nangkir tanyakan diri
tiada terjawab amalan sendiri
dipukul malaikat ke dasar bumi.

Setelah dikubur baru menyesal
teringat diri membuat dosa
teringat diri tiada beramal
tak mungkin lagi pulang ke dunia.

Mati itu terlalu lazat
bagi syuhada di medan jihad
oleh itu wahai sahabat
iman di dada perlu ditingkat.

Wednesday, November 3, 2010

Bacalah Doa Naik Kenderaan.....InsyaAllah Selamat


Setiap kali membaca atau mendengar berita kemalangan ngeri yang sejak akhir-akhir ini semakin kerap berlaku membuat Makngah selalu terfikirkan sesuatu. Terfikir sama ada pemandu dan penumpang kenderaan itu ada tak menyebut nama Allah dan membaca doa sebelum menaiki kenderaan mereka.

Hal ini demikian kerana Makngah teringatkan cerita seorang pengendali bengkel di tempat Makngah lebih kurang sepuluh tahun dahulu. Lelaki itu berjalan tempang dan semasa berbual-bual Makngah tanyalah sama ada tempangnya itu sejak lahir atau akibat kemalangan. Secara bersahaja sahaja dia bercerita bahawa kecacatannya itu akibat kemalangan. Lelaki berumur awal 30an itu mendakwa semua kenderaan yang ada di atas jalan itu pernah melanggar dia atau dia melanggar kenderaan itu. Terlopong mulut Makngah mendengarnya. Mukanya selamba sahaja memberitahu sudah tujuh kali dia kemalangan dengan tujuh jenis kenderaan iaitu basikal, beca, motosikal, kereta, van, lori dan bas. 

Wow......hebat orang ini............ kata Makngah. Dia pun berceritalah secara terperinci mengapa, bila, di mana, siapa dan bagaimana dia menghadapi  kemalangan itu. Ingat pula dia semua sejarah kemalangannya itu, tetapi kalau sudah tujuh kali macam dia tak beringat-ingatpun. Dia masih hidup kerana umurnya masih panjang dan Allah masih memberi peluang kepadanya untuk berbuat yang lebih baik. 

Makngah pun bertanya satu soalan "cepumas" kepada dia:
"Awak ada baca bismillah tak sebelum bawa kenderaan itu, atau baca doa?" tanya Makngah sambil memandang muka dia. Makngah memerhatikan gelagat dia apabila soalan itu ditujukan. 

Dia memalingkan mukanya ke arah lain sambil menjawab antara dengar dengan tidak sahaja ke telinga Makngah:
"Bacalah juga..............." Gaya dan ayat jawapannya itu tentu dapat kita teka bahawa lelaki ini seorang yang lalai memohon pertolongan Allah.

Makngah dapat membuat kesimpulan bahawa kemalangan banyak sangat berlaku pada hari ini kerana antara penyebab utamanya ialah "Manusia Melupakan Pertolongan Allah". Fikir-fikirkanlah.

Doa Menaiki Kenderaan

سُبْحانَ الَّذِي سَخَّرَ لَنَا هَذَا وَمَا كُنَّا لَهُ مُقْرِنِينَ
 . وَإِنَّا إِلَى رَبِّنَا لَمُنقَلِبُونَ

Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya” 
“Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali”(Az-Zukhruf : 13-14) 
“Glory to Him Who has subjected these to our (use), for we could never have accomplished this (by ourselves), And to our Lord, surely, must we turn back!”

Tuesday, November 2, 2010

Sajak Untuk Bahasa Melayu




Tuturmu lunak dan bertenaga
Tersirat kias, pantun dan seloka
Kalimah Allah bersulam merata
Akhlakmu menyentuh hati pembicara

Gerakmu meluas ke seluruh Nusantara
Tidak beza nadamu dari Acheh ke Melaka
Kitab lama dipenuhi dengan petua
Kitab baru pun berkembang mengikut masa
Walau diubah Melayu kepada Malaysia


Namun di sana
   Insan Khianat memarut saat ingin menghancurkanmu
Berfikir malam dan siang kiranya kamu tiada di bumi
  Relakan bahasa lain berada di singgahsanamu
Punah ranah kulit jati diri tercemar puaka

Mereka menghurai simpulan badanmu
Meracuni kosa katamu
Menukar bentuk tulisanmu

Kuasa yang ada diguna buat meminda
Memaksamu terpelanting di tepi sana
Mengemis untuk dipandang mulia
Seribu celaan seribu herdikan

Wahai bahasaku
Mari sayang singgah ke ribaku
Aku akan perjuangkan engkau seperti anakku
Kita akan harungi perjuangan suci ini bersama
Biar kita hidup mulia atau mati bergembira.