Wajah terbaru mek |
Mek pandai menggunakan hp |
Setiap kali hari raya inilah kuih utama mek, ketupat pulut berkacang |
Bersama sesuku daripada anak cucu mek |
Tekun menjaga 'chek' selama hampir dua tahun terlantar kerana strok. |
Mek masih mampu memasak, bertanam di sekeliling rumah, melayan anak cucu yang bertandang ke rumahnya dll pekerjaan yang biasa dilakukan. Maklumlah semasa muda mek seorang ibu dan isteri yang tidak pernah kenal lelah bekerja mencari duit untuk menyara anak-anak yang seramai 7 orang. Membantu ayah kami yang hanya bekerja di bendang dan mengayuh beca.
Sebab itu kami adik-beradik masih mampu ke sekolah berbanding dengan sesetengah anak-anak orang lain di kampung itu. Ramai yang kandas separuh jalan kerana ketidakmampuan ibu ayah menyara belanja persekolahan. Cuma kakak sulung kami sahaja yang dipanggil 'Kaknik' menjadi mangsa diberhentikan kerana berkorban untuk menjaga adik-adik yang masih kecil. Kaknik, pengorbananmu juga kami sanjung tinggi.
Mek pernah menjadi peraih ke Golok, bekerja di bendang, berkedai runcit, kedai makan dan pelbagai lagi asal sahaja mendatangkan wang. Mek pandai memasak. Nasi kerabu mek amat special sebab itu Makngah hanya makan ala kadar sahaja nasi kerabu orang lain tetapi kalau nasi kerabu hasil air tangan mek, dua tiga hari masih dimakan. Nasi kerabu dan berlauk mek terkenal di kedai makan kami suatu ketika dahulu.
Tidur satu atau dua jam sahaja sehari sudah menjadi kebiasaan kepada mek. Beliau tidak akan tidur selagi bahan-bahan jualannya belum siap. Tidur jam 4 pagi dan bangun jam 5 tidak menyusahkan dirinya. Apa lagi untuk tidur di siang hari, sesuatu yang tidak pernah dilakukannya.
Mek pandai mengaji al Quran dan boleh mengajarkannya. Suara mek lunak ketika mengalunkan ayat-ayat suci itu. Mek ada ramai anak murid cuma sejak setahun ini mek berhenti mengajar al Quran kerana kerap tidak ada di rumah. Mek selalu bertandang ke rumah anak-anaknya menyebabkan jadual mengajarnya sentiasa terganggu dan dibatalkan yang pastinya menyusahkan mereka. Akhirnya keputusan diambil kelas mengaji percuma itu dihentikan.
Mek tidak pernah mengenakan bayaran kerana memang begitu stail kami di kampung. Cuma ada juga seorang dua ibu bapa anak-anak itu yang dermawan akan menghulurkan sepuluh dua rm sebagai tanda terima kasih setiap kali hari raya. Kekadang kain sepasang. Itulah sahaja habuan dunia yang mek dapat hasil mengajar al Quran. Ramai yang buat tidak tahu sahaja namun tidak menjadi hal kepada mek kerana mek ikhlas mengajar ayat-ayat suci itu kepada anak-anak mereka.
Setelah kematian ayahanda pada tahun 2000, hajat mek untuk menunaikan haji seperti ada halangan besar. Makngah berusaha mencari jalan untuk menjadi muhrim mek walaupun belum lagi mendaftar di Tabung Haji. Alhamdulillah, hajat murni kami diterima Allah kerana awal tahun 2002 berangkatlah kami berdua ke Tanah Haram itu dengan penuh kesyukuran.
Mek, tersangat banyak memori suka duka kehidupan kita yang anakmu ini ingin coretkan. Namun, tidak semua mampu dititipkan di sini. Keikhlasan, kegigihan, kesungguhan, kefokusan dalam perjuangan menjadi ibu istimewa amat kami hargai. Semoga mek terus diberi Allah dengan kesihatan dan usia yang diberkati lagi dirahmati, terus menjadi sumber inspirasi kami anak cucumu ini. Puan Hajah Som bt Haji Jusoh, dikaulah bondaku yang satu........
terharunya
ReplyDeleteTkasih, itulah seadanya............
ReplyDelete