Sunday, November 20, 2011

Rabbana atina fidunya hasanah, wafil akhirati hasanatan waqina azabannar

Genggam dunia, dunia digenggam dengan kalimah Allah

 

Takrif tamadun ikut sunah Rasulullah

TAMADUN dalam bahasa Melayu secara lumrah ditakrifkan sebagai kemajuan sesuatu bangsa, negara atau masyarakat.

Berasal dari perkataan Arab, istilah tamadun menurut laman maya Pusat Rujukan Persuratan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bermaksud ‘‘cara hidup yang serba berkemajuan; peradaban. bertamadun sudah maju dalam cara hidup; berkemajuan; beradab.”

Tamadun dalam bahasa Inggeris ialah civilisation. Jika dirujuk kepada kamus-kamus bahasa Inggeris, huraian maksudnya adalah sama dengan huraian DBP.

Persoalannya, apakah bentuk peradaban dan cara hidup yang menjadi kayu ukuran? Di kalangan masyarakat Islam di Malaysia, istilah tamadun juga diterima pakai sebagaimana huraian DBP yang pasti turut dipengaruhi oleh kamus-kamus bahasa Barat.

Maka ketamadunan lumrah diukur berdasarkan kemajuan dari segi pembangunan fizikal, peradaban dan budaya manusia sejagat, bukan dari sudut ketentuan Allah yang bersumberkan al-Quran dan sunah Rasulullah SAW.

Secara mudah, seseorang yang bertamadun akan dinilai dari segi kemampuan ekonominya, pendidikan duniawinya, status sosial dan akhlak sejagat. Adakah matlamat menjadikan Malaysia sebuah negara maju pada tahun 2020 juga berasaskan nilai tamadun sejagat ini, atau kita hanya bersandarkan kepada pencapaian ekonomi?

Jika kita terus menerus menilai tamadun dengan acuan ini, maka kita sebenarnya hanyalah pak turut kepada nilai-nilai sogokan Barat yang subur di Eropah. Nilai-nilai ini mula diterapkan ke benua lain melalui penjajahan bersenjata pada zaman Roman, diikuti kolonialisme Britain, Belanda, Sepanyol, Perancis dan Itali.

Seorang pemikir dan penulis Islam yang masyhur, Muhammad Asad telah membuat catatan menarik mengenai perkara ini dalam buku klasiknya The Road to Mecca yang diterbitkan pada 1954. Petikan yang relevan itu hamba terjemahkan di sini:

‘‘Sejak zaman Greek dan Rom, para pemikir dan sejarawan Eropah lebih cenderung untuk melihat sejarah dunia dari sudut pandangan dan kehendak sejarah Eropah serta pengalaman budaya Barat semata-mata.

‘‘Ketamadunan bukan Barat hanya akan dijelmakan ke dalam perspektif mereka jika kewujudannya atau sebarang pergerakan di kalangan penduduknya telah atau mungkin mempengaruhi secara langsung nasib orang Barat; maka dari kaca mata Barat, sejarah dunia dan kepelbagaian budayanya hanyalah titik terakhir dalam sejarah perkembangan Barat.”

Muhammad Asad berketurunan Yahudi dilahirkan di Austria dengan nama Leopold Weiss. Beliau bertugas sebagai wartawan dengan beberapa akhbar terkemuka Eropah sebelum memeluk Islam dan berhijrah ke Mekah kerana katanya berasa muak dengan ‘‘kekosongan hidup masyarakat Eropah yang terlampau mengejar kemewahan dunia dengan penuh ketamakan.”

Betapa pengamatan yang dicatatkan pada tahun 1954 itu masih relevan hingga sekarang. Bahawa istilah tamadun, sama ada dari sudut ilmu atau amalinya, masih dalam acuan Barat sekalipun di dunia Islam.

Lalu kita pun mahu mengejar ketamadunan mengikut acuan Barat, iaitu kemajuan lahiriah yang berpaksikan pembangunan ekonomi. Dalam proses ini, kita berkemungkinan mengorbankan identiti budaya, politik dan sosial asal kita. Jika tidak berwaspada, akhirnya institusi agama Islam yang kita dakap juga akan runtuh.

Lihatlah betapa gelombang demokrasi dan kebebasan acuan Barat yang dipacu oleh sistem ekonomi kapitalisme telah meruntuhkan sistem pemerintahan yang sedia ada di beberapa negara Islam. Sama ada ia berlaku kerana kesalahan atau kesilapan presiden-presiden yang memerintah, perkara ini masih jadi bahan perbahasan. Malah golongan raja yang masih memerintah di beberapa negara Islam juga dalam keadaan gelisah kerana dihambat rasa tidak selamat.

Yang nyata gelombang demokrasi, kebebasan dan kapitalisme ini lebih hebat daripada arus komunisme yang gagal dalam percubaan untuk berkembang ke negara-negara Islam di Asia Timur dan Asia Tenggara, termasuk Malaysia dan Indonesia. Komunisme yang berpusat di Rusia hanya berjaya menakluki beberapa negara Islam berhampiran Asia Tengah ( Kazakhstan, Tajikistan, Turkmenistan, Uzbekistan).

Sebaliknya sistem demokrasi, kebebasan dan kapitalisme acuan Barat itu telah berjaya menembusi tempat-tempat di mana komunisme menemui kegagalan. Komunisme gagal kerana prinsip keadilan untuk semua yang dilaungkan hanyalah retorik yang tidak menjadi kenyataan. Pada realitinya, ia menyekat perkembangan ekonomi dan akhirnya menyempitkan rezeki rakyat.

Ledakan kemajuan ICT turut memberikan dimensi baru kepada demokrasi dan kebebasan bersuara. Dibawa bersamanya suara hak asasi manusia termasuk gelombang seksualiti sejenis yang kuman-kumannya sudah pun merebak ke Malaysia. Inilah realiti yang kita hadapi pada hari ini dan mungkin lebih tenat pada masa akan datang.

Umat Islam di Malaysia wajar mencemburui segala anasir dan nilai acuan Barat yang mudah dibawa masuk melalui lorong demokrasi, kebebasan, kapitalisme dan hak asasi ini. Jika kita tidak berwaspada, institusi agama Islam juga boleh runtuh. Kita masih boleh menimba ilmu untuk kehidupan dunia (sains dan teknologi, ilmu perniagaan dan sebagainya) dengan syarat kita menapis segala nilai-
nilai yang bertentangan dengan syariat Islam.

Maka dari sudut ilmiahnya, kita wajar menakrifkan semula istilah tamadun supaya benar-benar menepati kehendak Allah SWT sebagaimana yang dinyatakan dalam Quran dan dihuraikan melalui sunah Nabi Muhammad SAW.

Ketamadunan acuan Barat sangat dipacu oleh ketamakan kepada kekayaan duniawi. Ia berpaksikan prinsip ‘siapa yang kaya akan lebih berkuasa.’ Kekuasaan Ilahi tidak wujud lagi dalam kerangka istilah ketamadunan Barat ini. Pendokong-pendokong konsep tamadun Barat melalui media baru yang bebas tanpa sempadan dengan rakus melaungkan slogan-slogan mudah memikat nafsu manusia yang tidak beriman.

Sebab itulah kita lihat sudah tampil orang Melayu yang mempunyai kedudukan dan pengaruh turut menyuarakan sokongan kepada Program Seksualiti Merdeka. Mereka termasuklah tokoh politik lelaki dan wanita ternama yang mempunyai kelibat penglibatan dengan projek-projek golongan ‘Islam liberal.’

Akhir kalam, renungliah maksud ayat 26 surah Ar Ra‘d sebagai panduan kehidupan di dunia ini.
‘‘Allah meluaskan dan menyempitkan rezeki bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Mereka (yang ingkar) bergembira dengan kehidupan di dunia, padahal kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang kecil dan tidak kekal berbanding kesenangan akhirat .”

Jika kita beriman kepada firman Allah ini, maka wajib ditulis semula takrif tamadun supaya sejajar dengan bait doa dari al Quran (Al Baqarah 2: 201) yang lazim dibaca selepas solat:

Rabbana atina fidunya hasanah, wafil akhirati hasanatan waqina azabannar (Ya Tuhan, berikanlah kami kebaikan di dunia dan di akhirat, dan peliharalah kami kami dari azab neraka).

Tamadun inilah yang junjungan kita Nabi Muhammad SAW telah gariskan ketika empayar Rom sedang menuju ke kehancurannya. Kenapa kita mahu melupai sejarah ini?

Pada Makngah: Makna tamadun yang utama ialah keelokan dan ketinggian akhlak, rohani dan jiwa manusianya bukan benda-benda fizikal sekeliling kita.

Monday, November 14, 2011

Taman Indraloka Sekangkang Keraku


Akar dani sedang berjuntaian memekar wangi

Setahun kemudian akar dani sedang bersaing pula dengan garlic vine atau bunga bawang putih

Harmoni?






Jiran sedang memilih daun sirih

Anakanda yang manis

Kakak dan adik


Rumput dan bunganya yang tidak diketahui namanya.


Yang ini rumput yang bunganya warna kuning juga tidak diketahui nama






Demikianlah seadanya sebahagian gambar-gambar  yang ada di taman indraloka sekangkang kera Makngah. Makngah amat meminati kedamaian dalam kehijauan.

Wednesday, November 9, 2011

Gambar Hari Mengikat Dan Diikat



Raya Haji yang kedua, adik Makngah dapat bakal menantu (majlis pertunangan). Insyaallah awal tahun depan dapat menantu. Berbesan dengan orang Peghok.....

Saturday, November 5, 2011

Di sebalik penyakit NCD -bukti penyakit akhir zaman

 

oleh KHAIRUL AZHAR IDRIS- Fellow Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

NCD atau 'non communicable diseases' ialah penyakit yang lama dideritai oleh umat manusia di seluruh dunia dan terus menjadi kelompok penyakit yang ditakuti hari ini.


Unjuran menunjukkan ia akan menjadi antara penyakit paling utama yang membawa kematian di kalangan manusia pada masa akan datang.

NCD merupakan sekumpulan pelbagai jenis penyakit kronik yang berlaku bukan dengan cara jangkitan oleh ejen biologi seperti virus, bakteria, fungus atau parasit, tetapi disebabkan oleh gaya hidup dan tingkah laku yang tidak sihat di kalangan individu serta suasana persekitaran yang memudaratkan.

Masyarakat perlu memahami bahawa perkara yang disebutkan itu sebenarnya turut mempengaruhi tahap kesihatan dan risiko mereka untuk menghidapi pelbagai penyakit kronik.

Penyakit NCD yang sering dihadapi manusia ialah penyakit jantung, kencing manis, kegemukan, kanser, tekanan darah tinggi, strok, penyakit gangguan sistem pernafasan, kesan buruk akibat penyalahgunaan dadah, alkohol dan merokok, serta keuzuran dan kepayahan yang dialami akibat kemalangan jalan raya, di tempat kerja dan sebagainya.

Malah, pelbagai jenis penyakit neuropsikiatri seperti penyakit kebimbangan dan kemurungan, ketagihan, stres, bunuh diri, dan sebagainya juga tergolong dalam kategori penyakit NCD ini.

Kesan buruk yang perlu diketahui ialah semua ini mengakibatkan berlakunya kematian pramatang atau kematian di usia muda, dan mendatangkan ketidakupayaan kekal atau sementara yang akhirnya membawa kepada kemerosotan hidup yang sempurna dan baik serta menjejaskan produktiviti. Juga mengakibatkan kehilangan kepada sumber tenaga manusia serta ekonomi dalam masyarakat dan negara. Kematian pada usia muda merupakan satu ciri utama komplikasi NCD.

Terdapat banyak kes dilaporkan berhubung kematian pada usia muda, seperti kematian akibat dari penyakit jantung koronari dan diabetis pada usia sebelum 30 tahun. Malahan pernah terdapat kanak-kanak seawal usia 10 juga ada yang membunuh diri.

Hakikatnya, peningkatan mendadak penyakit NCD bukan hanya berlaku di negara luar, malah termasuk di Malaysia. Di seluruh dunia, WHO menganggarkan dalam dua dari tiga kematian ialah akibat penyakit NCD dan kemalangan, manakala pada 2005 sahaja terdapat seramai 35 juta manusia mati akibat NCD iaitu 80 peratus daripadanya datang dari negara miskin dan negara membangun.

Sementara itu, trend di negara maju menunjukkan kadar NCD yang tinggi juga tetapi dengan jumlah kematian menurun dan terkawal. Di Malaysia, menurut kajian oleh Kementerian Kesihatan, dianggarkan seramai 4.8 juta masyarakat negara ini atau 17 peratus daripada 29 juta penduduk menghidapi pelbagai jenis penyakit dalam NCD.

Ini ialah jumlah besar yang sudah pasti memberi kesan terhadap produktiviti dan unjuran ekonomi, peningkatan dalam perbelanjaan penjagaan kesihatan dan perubatan, serta kestabilan situasi psikososial pesakit dan ahli keluarga mereka.

Terdapat pelbagai faktor risiko yang boleh mendedahkan mana-mana individu itu kepada penyakit NCD. Antaranya pemilihan gaya hidup yang bersifat sedentari dan tidak mengamalkan senaman sebagai rutin, cara pemakanan yang tidak membantu meningkatkan tahap kesihatan yang baik atau yang boleh menghindarkan penyakit, tabiat buruk seperti ketagihan dadah dan alkohol serta merokok.

Cara pemanduan kenderaan yang tidak berkhemah juga boleh mengakibatkan kemalangan, tidak mengamalkan prosedur keselamatan di tempat kerja, dan pendedahan kepada alam persekitaran yang tercemar.

Begitu juga, gaya hidup yang tidak mengutamakan penjagaan kesihatan mental yang baik dan pengawalan stres yang sempurna turut mendedahkan seseorang kepada risiko gangguan mental seperti kebimbangan dan kemurungan serta kejadian bunuh diri.

Mana-mana individu yang menghidapi NCD sudah pasti akan berdepan dengan pelbagai krisis dalam kehidupannya. Krisis ini melibatkan aspek penjagaan kesihatan diri, kos perubatan, perbelanjaan dan kewangan, pekerjaan, kekeluargaan dan perhubungan interpersonal serta lain-lain yang semakin merumitkan kehidupan mereka.

Namun apa yang perlu diketahui, setiap masalah akibat daripada penyakit NCD sudah pasti akan memberi impak negatif kepada kestabilan psikososial mereka. Tahap kestabilan psikososial yang terjejas ini pula akhirnya akan memberi kesan yang negatif kepada kestabilan kesihatan mental.
Oleh itu, sesuatu perlu dilakukan berhubung aspek kesihatan mental di kalangan pesakit yang menghidapi NCD ini agar tekanan psikososial dan kesihatan mental yang terjejas itu tidak memburukkan lagi keadaan penyakit NCD yang mereka alami.

Sememangnya, banyak kajian saintifik yang dilakukan menunjukkan keadaan kesihatan mental yang amat terjejas di kalangan pesakit, baik pesakit fizikal mahupun pesakit mental. Malah, terdapat kajian yang telah membuktikan bahawa tekanan mental yang dialami seseorang dalam apa jua keadaan sudah cukup berisiko untuk menjejaskan kesihatan fizikal mereka.

Terutamanya bagi pesakit kanser, keadaan tekanan mental yang dialami seperti kemurungan dan kebimbangan serta ketidakpastian selama mana lagi jangka hayat yang mereka ada di samping ketidakpastian subjektif terhadap keberkesanan sejauh mana rawatan yang diterima berkesan, telah didapati menjejaskan keberkesanan rawatan kemo, malah lebih memburukkan keadaan penyakit yang dialami.

Walaupun kewujudan sesuatu penyakit fizikal yang dihidapi itu nampaknya lebih ketara berbanding penyakit mental, namun ini tidak bermakna pesakit tersebut sihat dan stabil keadaan mental dan pemikiran mereka.

Sikap dan pandangan ini hanya berdasarkan kepada aspek luaran fizikal pesakit sahaja yang mengakibatkan rawatan yang diberikan tidak menyeluruh kerana mengabaikan aspek mental, emosi dan spiritual pesakit.

Walhal terdapat banyak kajian lain menunjukkan bahawa ramai pesakit yang datang ke hospital bagi mendapatkan rawatan penyakit fizikal yang dialami sebenarnya memerlukan rawatan yang lebih bagi gangguan mental dan emosi mereka, berbanding masalah fizikal yang diutarakan.

Perhatian terhadap kestabilan kesihatan mental di kalangan pesakit NCD perlu dipertingkatkan dengan memberi keyakinan dan dorongan motivasi kepada mereka agar mereka memahami dan menyedari bahawa segala keperluan rawatan yang membawa kesejahteraan mereka telah mereka terima.
Mereka akan berasa lebih selamat jika mereka menyedari segala keperluan rawatan itu mudah mereka perolehi.

Oleh itu, memastikan agar mereka merasa selamat dan selesa dengan rawatan dan persekitaran yang ada juga merupakan prasyarat dalam mengekalkan kesihatan mental mereka di tahap yang terbaik.