Saturday, February 26, 2011

Orang Kita dan Budu

Tengah hari  tadi ke rumah mek. Makan nasi dengan hidangan biasa tetapi istimewa. Ulaman kampung seperti kacang botol, pucuk gajus dan jering yang ada di sekitar rumah dan dicicah budu. Limau nipis, cili dan bawang juga diletak di dalam budu. Lauknya ikan rebus dan ikan kekek kering goreng. Lebih menyelerakan ada durian di dalam budu itu. Duriannya pula yang baru gugur dari belakang rumah mek. Durian nan sebatang itu tidak pernah mengecewakan. 

Berbunga dan berbuah tidak mengira musim. Cuma kali ini ia tidak berapa mahu gugur. Ada yang mengering di dahan. Mungkin kerana keadaan cuaca yang kurang sesuai dengan pertumbuhannya. Manakala yang gugur pula berebut dengan Sang Tupai. Selalunya dah 'kelontong'. Tinggal sepangsa dua sahaja yang tidak ditebuk Cik Tupai itu.


Begitulah mek selalunya akan segera menyiapkan hidangan di meja apa bila nampak anak menantu cucunya tiba. Walaupun perut sudah kenyang tetapi hidangan sebegitu tidak mampu ditolak. Mesti juga dijamah walaupun sedikit. 



Hidangan Mek hari ini.

Di bawah ini Makngah menyertakan cerita mengenai budu dan kehebatan khasiatnya yang dipetik daripada Wikipedia. Bacalah kajian terperinci yang telah dibuat oleh pakar asing ini untuk pengetahuan am dan ilmu tambahan serta manfaatkannya.
Budu yang berasal dari negeri sebelah pantai timur Malaysia ini mendapat perhatian dan menjadi kajian para ahli pemakanan berkhasiat Jepun, Amerika Syarikat, Australia, New Zealand dan Jerman. Penemuan baru-baru ini membuktikan kandungan budu memiliki glutathione sebagai bahan antioksidan, mengeluarkan sisa toxic dan meningkatkan daya tahan tubuh (immune) yang dapat memerangi pelbagai penyakit merbahaya dan menghalang kanser.

Kenyataan ini bagaikan satu kejutan bagi golongan yang selama ini memperlekehkan kewujudan budu yang dianggap makanan "kuno".

Budu didapati berpotensi untuk melawan radikal bebas dan dipercayai mampu menghalang proses penuaan dan mencegah terjadinya penyakit degeneratif seperti aterosklerosis, koroner jantung, penyakit kencing manis, kanser dan selainnya pada peringkat lebih awal. Kajian mendalam juga mendapati budu turut mengandungi zat antibakteria penyebab cirit (diarrhoea), penurunan kolestrol darah, pencegah penyakit jantung dan hipertensi.

Budu memiliki zat gizi yang lebih mudah dicerna, diserap dan dimanfaatkan oleh tubuh berbanding jenis protein yang lain. Khasiat budu yang diproses dari ikan bilis yang diperam terbukti mampu mengatasi masalah kanak-kanak yang menderita penyakit diarrhoea kronik akibat kurang zat pada tubuh. Dengan pengambilan budu sebagai makanan sampingan, ia mampu menggalakkan pertumbuhan berat badan bagi golongan yang menderita penyakit diarrhoea kronik ini serta menyembuhkannya dalam waktu singkat.

Ia juga dapat mempertingkatkan IQ kepada sesiapa yang memakannya, kerana ia merangsangkan sel-sel otak dan akan memperkukuhkan ikatan di antara neuron-neuron serta menguatkan neuron-neuron yang lemah. Pemakanan budu turut bertindak membantutkan pertumbuhan bakteria raffinosa dan stokiosa, penyebab utama gejala flatulensi dan masalah kembung perut bagi kanak-kanak dan orang dewasa. 2 kelompok vitamin yang terdapat pada budu iaitu, vitamin larut air (vitamin B kompleks) dan vitamin larut lemak (vitamin A, D, E dan K).

Budu merupakan sumber vitamin B yang paling banyak menyumbang kepada pecahan lain seperti vitamin B1 (thiamin), vitamin B2 (riboflavin), asid pantotenat, asid niasin, vitamin B6 dan vitamin B12 (sianokobalamin). Secara saintifik, budu merupakan penyumbang utama vitamin B12 yang dihasilkan oleh bakteria klebsiella pneumoniae dan Citrobacter frundiin - yang mana vitamin B12 ini tidak dimiliki dari mana-mana sumber makanan laut, ikan-ikan dan daging-daging lain. vitamin B12 ini perlu untuk pembentukan sel darah merah, di mana kekurangan vitaman ini mengakibatkan terjadinya penyakit anemia perisiosa (pucat), sakit perut dan berat badan menurun.

Kadar vitamin B12 dalam budu adalah di antara 1.5 sehingga 6.3 mikrogram per 100 gram bagi setiap satu hidangan atau 2 sudu besar. Jumlah ini jauh lebih cukup untuk keperluan badan manusia dalam sehari. Dengan adanya vitamin B12 para pengamal diet (jaga badan) tidak perlu lagi merasa khuatir akan kekurangan vitamin B12 di dalam badan.

Selain pembekal kepada protein yang tinggi, ia turut mengandungi mineral makro dan mikro dalam jumlah yang cukup. Jumlah mineral zat besi, kalsium dan magnesium adalah sebanyak 9, 39, 2, 87 dan 8.05 mg bagi setiap 100 gram budu. Budu juga mengandungi zat antioksidan dalam bentuk isoflavon.

Seperti halnya vitamin C, vitamin E dan karotenoid, isoflavon juga merupakan antioksidan yang sangat diperlukan oleh tubuh untuk menghentikan reaksi pembentukan radikal bebas. Radikal bebas merupakan atom atau molekul yang mempunyai satu atau lebih elektron yang tidak berpasangan, sehingga menjadi sangat aktif hingga menyebabkan ketumbuhan tumor, kanser, penuaan dan kematian sel. Radikal bebas didapati berpunca dari makan seharian yang dimakan dan juga dari reaksi yang terjadi di dalam tubuh. Adanya antioksidan di dalam budu akan mencegah pembentukan radikal bebas tersebut.

Kebiasaannya di dalam apa jua jenis ikan terdapat 3 jenis isoflavon unsur antioksidan iaitu daidzein, glisitein dan genistien. Pada budu, di samping 2 jenis unsur ini, terdapat juga antioksidan faktor 11 (6, 7, 4 trihidroksi isoflavon) yang mempunyai sifat antioksidan paling kuat dibandingkan isoflavon dalam ikan-ikan lain.

Penelitian yang dilakukan di Universiti North Carolina, Amerika Syarikat menemukan bahawa unsur genestein dan phytoestrogen yang terdapat pada budu terbukti dapat mencegah penyakit kanser, proses penuaan dan barah payu dara.


Penyakit jantung koroner (PJK) merupakan salah satu bentuk kelainan pembuluh darah koroner akibat penumpuan lemak di dalam dinding pembuluh darah iaitu satu keadaan yang disebut aterosklerosis. Ini mungkin disebabkan oleh faktor usia, pemakanan, jantina dan keturunan. Manakala faktor dimodifikasi adalah peningkatan kadar lipida darah (hiperkolestrolemia), hipertensi, obesiti, stress dan kurang aktiviti lasak. Pemakanan budu yang mempunyai sifat hipokolesterolemik (menurunkan lemak darah) seperti kandungan protein, serta makanan, niasin, vitamin E, karotenoid dan kalsium. Satu ujikaji rambang yang dijalankan, mendapati pengambilan budu sebanyak 150 gm sehari selama 2 minggu dapat menurunkan kadar kolestrol ke tahap luar dari jangkaan.

Selain dari sumber protein yang berkualiti tinggi, budu turut dikenali sebagai sumber serat (dietary fiber) yang baik. Kandungan serat di dalam budu mampu mencapai di antara 8 hingga 10% bagi setiap 100 gm. Ia menyumbangkan kepada 30% dari jumlah serat yang dianjurkan oleh National Cancer Research.

Berbanding serat di dalam ikan-ikan atau sumber protein lain, serat pada budu lebih mudah untuk dicernakan, kerana ia telah disepara cerana oleh bakteria. Dari apa yang dinyatakan ini jelas sekali bahawa khasiat serta kebaikan sepiring budu yang dimakan bersama hidangan nasi pagi, tengahari dan malam melampau jangkauan yang anda fikirkan. Budu seumpama cecair pelbagai vitamin yang memenuhi segala keperluan untuk tubuh badan.


Friday, February 25, 2011

Kita dan Mereka Berbeza

Makngah tertarik aksi perempuan ini ketika berkunjung ke utara tempoh hari lalu merakamkannya. Kira-kira sedang bersembahyanglah wanita ini. Tempatnya mudah sahaja, di belakang kedai. Kedai itu pula sebuah kopitiam yang ada menjual arak.
Nampak jelas tak yang sedang dibuat oleh wanita ini?

Dah minta izin sebelum mengambil gambar ini.
Carlsberg.......................
Lihatlah pakaian sembahyang wanita ini. Seksi woooiiii. Agak-agak siapalah agaknya yang akan menghabiskan hidangan enak itu? Ada ayam golek dalam dulang itu selain kuih, buah dan minuman. Rasa terliur pula Makngah....heheheheh.

Inilah perbezaan antara agama logik akal dengan agama wahyu. Agama logik manusia akan menyamakan tuhan yang disembah bersifat sama dengan manusia yang juga diciptakan. Jika difikir secara rasional, apa lebihnya tuhan itu jika berzat dan bersifat seperti kita manusia ini? Entah ler labu................pakat-pakat berfikirlah kita.

Monday, February 21, 2011

Urut Badan

Setelah hampir dua tahun tidak mengurut, Jumaat lepas Makngah berpeluang diurut oleh tukang urut "profesional" berusia akhir 80-an dipanggil Mok Yam. Tempahan perlu dibuat dua minggu awal kerana jadual mengurutnya yang panjang. Mok Yam juga boleh mengurut perempuan bersalin dan berbidan.

Dua tahun lepas upah mengurut beliau dalam kadar RM20.00 tetapi hari itu kerana kasihan upahnya ditambah. Maklumlah dengan harga barangan yang agak melampau kenaikannya sekarang terasa biarlah berbaloi dengan urutannya selama hampir dua jam itu.

Pelbagai cerita keluar daripada Mok Yam sambil mengurut itu untuk menghilangkan mengantuk. Barulah Makngah tahu suaminya yang juga tukang urut berusia 90-an telah meninggal dunia sudah hampir setahun.

Apa-apapun kelegaan urat-geramat menjadi hakmilik Makngah pada hari itu.

Wajah kental Mok Yam
Minyak panas dicampur minyak kelapa 
































Tuesday, February 15, 2011

Cara Nabi Besar Kita Makan

Sempena dengan sambutan hari lahir / hari jadi / birthday Nabi Muhamad pada hari ini, elok rasanya kita memperingati cara Rasul kita itu makan. Hal ini kerana pada hari ini ramai masyarakat kita menghadapi pelbagai penyakit samada yang kronik atau tidak.
Semuanya banyak berpunca daripada amalan makan yang tidak mengikut sunnah Nabi Kita itu. Tambahan lagi dengan kemewahan hidup rakyat Malaysia pada hari ini menjadikan kita hidup selalu dalam kekenyangan iaitu MATI KERANA KENYANG. Hal ini berbeza dengan sesetengah tempat di dunia ini yang MATI KERANA LAPAR, berbezakan ...........................

Selera makan dan minum Rasulullah S.A.W sangat halus. Baginda S.A.W. sangat gemar makan daging tulang, daging leher, daging pinggang dan rusuk. Masakan istimewa orang Arab , sup dimakan bersama roti juga disukai. Madu, cuka, tembikai, timun, labu, mentega dan beras dimasak bersama kacang juga disukai. Nabi S.A.W. juga gemar memasukkan kurma bersama susu dan mentega. Baginda S.A.W. tidak suka makanan pedas. Makanan manis menjadi kegemaran Baginda S.A.W. Nabi S.A.W. tidak makan makanan yang menyebabkan nafas berbau seperti bawang.
Ketika minum Baginda tidak bersuara dan mengangkat gelas tiga kali dari bibirnya . Setiap kali gelas diangkat ia mengucapkan syukur kepada Allah. Selepas makan Nabi S.A.W akan membersihkan tangannya dengan membasuh (bukan mengelapnya).


Nabi S.A.W pernah bersabda ; “Barang siapa yang mengikuti sunnahku, bererti dia cinta kepadaku. Dan barang siapa yang cinta kepadaku, maka akan masuk syurga bersamaku.”

Sesiapa mengamal sunnah Baginda ini, maka akan mendapat dua keuntungan. Apakah keuntungan itu?

a.Pahala yang berlipat ganda
b.Keberkatan.

1. Cara duduk ialah seperti duduk tahiyat awal tapi lutut kanan dinaikkan.
Posisi duduknya ialah peha/lutut kanan dinaikkan manakala kita duduk pada bahagian kaki kiri.

Cara duduk sebegini banyak kebaikannya. Posisi ini dapat memberikan keselesaan pada perut dan ia menjaga keseimbangan komposisi ruang dalam perut kepada 3 bahagian. Iaitu 1/3 ruang adalah untuk makanan, 1/3 untuk udara dan 1/3 lagi adalah untuk air.


2.Makan menggunakan tangan. Bukan guna sudu / garfu, bukan guna chopstick. Tetapi guna tangan kanan. Ada kajian membuktikan bahawa, pada tangan / jari kita ni, ada enzim yang 10 kali ganda lebih banyak dari enzim yang ada dalam air liur. Enzim ini berguna untuk mencerna makanan.

3.Makan dengan menggunakan 3 jari. Ada orang kata, macammana nak makan dengan 3 jari saja. Susah la kalau nak makan nasi. Nabi dulu tak apa, Baginda banyak makan roti dan buah-buah kurma saja.

Saya sarankan kepada mereka yang nak mula amal sunnah ini, gunakan 3 jari pada suapan pertama tu dulu. Lepas-lepas tu, boleh lah makan macam biasa.


4.Apabila nampak makanan, disunatkan baca doa “Allahumma baariklana………”

5.Sebelum makan, disunnahkan untuk basuh kedua belah tangan dan juga berkumur-kumur. Ada banyak kelebihan bagi mereka yang mengamalkan perbuatan membasuh tangan dan berkumur ni.

6.Sebelum menyuapkan makanan ke dalam mulut, sila baca doa “Bismillahiwa’ala barokatillah“

7.Lepas makan, kita disunnahkan untuk menjilati jari-jari kita yang digunakan untuk mengambil makanan tadi. Hikmah kepada perbuatan ini, kandungan enzim yang ada pada tangan / jari kita tadi akan makin cepat bercampur dengan makanan dan seterusnya memudahkan proses pencernaan.

8.Makan dalam satu dulang yang sama secara berjemaah. Sebenarnya cara ini akan meningkatkan rasa sayang terhadap sesama kita.

9.Makan ketika lapar, berhenti sebelum kenyang.
Biasanya kita makan  ikut nafsu. Selagi tak kenyang, selagi itu lah kita ‘melantak’.

10. Baginda makan buah dahulu sebelum menjamah makanan lain. Hadis ada menceritakan penghuni syurga makan buah dahulu sebelum makan makanan lain. Hal ini dibuktikan oleh ahli sains pada hari ini bahawa enzim di dalam buah akan membantu mencerna makanan kita. Amalan makan buah tamar / kurma dahulu oleh orang kita dalam bulan Ramadan itu ialah buktinya. Maka teruskanlah untuk setiap masa.Jangan diikut budaya barat yang menyajikan buah-buahan selepas makan dengan istilah "pencuci mulut".

Buah yang boleh digelar buah ajaib kerana khasiatnya

Nasi ayam kegemaran ramai

Hidangan biasa di restoran.....mana buahnya?

Sampai tinggal tulang baru berhenti..........




Thursday, February 10, 2011

Oh Negaraku.......

 Bercakap mengenai pemartabatan bahasa kebangsaan ini, secara peribadinya Makngah merasa sedih sekali. Walaupun jelas kedudukannya amat tinggi termaktub dalam Perlembagaan Negara Malaysia Perkara 152 yang menetapkan bahawa:

"Bahasa kebangsaan ialah BAHASA MELAYU dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukkan dengan undang-undang oleh Parlimen."

 Seterusnya ia diperkuatkan oleh  Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 yang menguatkuasakan pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi iaitu semua urusan kerajaan sama ada Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa awam MESTI menggunakan bahasa Melayu.

Makngah melihat ini dari sudut penggunaan nama-nama kementerian dan jabatan kerajaan Persekutuan yang hampir kesemuanya menggunakan bahasa Inggeris, contohnya MOSTI, MITI, MOE dll. Jadi, apa lagi yang boleh diharapkan untuk bahasa kebangsaan itu hendak diperkasakan jika kerajaan sendiri tidak memandang sepicingpun? Tinggallah ia semakin menjadi sekadar batu nisan.


Makngah pernah ke sebuah kompleks membeli belah dan rekreasi di Seri Kembangan, Selangor. Sebuah pusat rekreasinya langsung tidak menggunakan bahasa kebangsaan di semua papan tanda dan risalah edarannya. Yang diutamakan ialah bahasa Cina dan Inggeris. Terasa macam berada di luar negara ditambah dengan persekitaran orang-orangnya pula. Makngah yang berbaju kurung ini dipandang semacam sahaja......oh negaraku......

Apabila Usaha Martabat Bahasa Melayu Dipersoal
2011/02/10

Kaji selidik rakyat tak faham bahasa kebangsaan perlu dibuat

NAMPAKNYA apa yang saya bangkitkan minggu lalu mengenai ada sesetengah rakyat negara ini yang masih tidak boleh bertutur bahasa Melayu dan terus memperlekehkannya sudah menyentuh saraf otak seorang blogger dan membuatkannya begitu marah hingga menghina saya secara peribadi.

Blogger ini bernama Khoo Kay Peng, memetik sesetengah daripada apa yang saya tulis itu ke dalam bahasa Inggeris dan membuat perhitungannya sendiri kononnya saya sudah persoalkan patriotisme semua bukan Melayu kerana tidak berusaha untuk menggunakan dan memahami serta boleh bertutur bahasa Melayu.
Dia juga sengaja tidak hiraukan apa yang menjadi pokok persoalan saya, iaitu kenapa ada sesetengah pihak dalam negara ini tidak langsung menghormati bahasa Malaysia dengan menggunakan bahasa Inggeris dan Mandarin saja dalam iklan dan risalah yang mereka edarkan kepada orang ramai.
Persoalan yang saya bangkitkan kenapa tuan punya atau pengurusan syarikat itu sengaja tidak menghormati langsung bahasa negara mereka dengan mengabaikan penggunaannya tidak pula dinyatakannya.

Dia sedikit pun tidak menyentuh persoalan pokok yang saya timbulkan itu seperti juga kenapa masih ada warga negara ini yang beria-ia kononnya mereka menyanjungi negara ini, tetapi tidak berusaha untuk memahami bahasa Melayu, apa lagi menggunakannya.

Baik juga jawapan saya kepada tulisannya itu sudah dimuatkan dalam blognya, walaupun ditohmahkan pula kesangsian apakah saya sendiri yang memberikan jawapan itu. Kenapa hal ini pun mahu diragui? Siapa pula yang hendak menulis kepada blognya menyamar sebagai saya?

Mengulas jawapan saya itu, dia minta pula saya nyatakan statistik warga negara ini yang tidak faham atau boleh bertutur bahasa itu. Sememangnya statistik demikian ini tidak ada sebab kaji selidik mengenainya tidak pernah dijalankan.
Bagaimanapun, seorang rakan berbangsa Cina pernah menyatakan kepada saya bahawa ramai juga lulusan sekolah Cina yang tidak boleh bertutur bahasa Melayu, walaupun selepas menjalani peperiksaan mendapatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Rakan saya itu menyatakan bahawa ada murid sekolah menengah Jenis Kebangsaan Cina mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu pun hanyalah kerana mahu lulus SPM saja.

Selesai persekolahan ada antara mereka tidak berusaha menggunakannya pun. Ini juga mungkin kerana tidak perlu kerana mereka hanya bergaul dengan sebangsa saja tidak dengan orang Melayu.

Apa pun lulus mata pelajaran Bahasa Melayu pada peringkat SPM pun tidak semestinya membuktikan mereka boleh bertutur bahasa Melayu. Maka saya mengesyorkan Kementerian Pelajaran mensyaratkan semua murid perlu lulus lisan Bahasa Melayu untuk lulus mata pelajaran Bahasa Melayu.

Bagaimanapun, Khoo mendakwa kononnya semua murid sekolah rendah baik dari sekolah kebangsaan mahu pun sekolah jenis kebangsaan sudah belajar bahasa Melayu selama enam tahun dan tentunya boleh faham dan boleh bertutur bahasa Melayu.

Katanya, hari ini tidak mungkin ada rakyat Malaysia yang sudah menghabiskan pelajaran rendahnya selama enam tahun baik di sekolah kebangsaan mahu pun sekolah jenis kebangsaan yang tidak boleh memahami atau tidak boleh bertutur bahasa Melayu.

Tentunya kenyataannya itu juga tidak disandarkan kepada statistik. Ada baiknya Kementerian Pelajaran mengadakan satu kaji selidik untuk mengetahui jumlah atau kadar peratusan warga negara ini yang tidak faham atau boleh bertutur bahasa Melayu.

Tanpa statistik itu pun, kita tahu masih ada dalam kalangan rakyat negara ini yang tidak faham atau boleh bertutur bahasa Melayu. Itulah sebabnya hingga sekarang ini pun jurubahasa Cina dan Tamil masih diperlukan di mahkamah dalam negara ini kerana masih ada rakyat negara ini yang tidak faham pertuduhan terhadap mereka yang dibuat dalam bahasa Melayu apabila dihadapkan ke mahkamah.

Jika benar semua rakyat negara ini tahu bahasa Melayu kenapa perlu diadakan jurubahasa di mahkamah? Mungkin mahkamah perlu mengkaji semula kenapa perlu diadakan jurubahasa Cina dan Tamil untuk warga negara sendiri.

Tetapi ini pun mungkin boleh diterima jika tidak wujud puak ekstrem dalam kalangan sesetengah daripada mereka yang berterusan memperlekehkan bahasa Melayu. Kenapa hingga hari ini ada kopitiam tidak mahu langsung menggunakan bahasa Melayu dalam kedainya baik dalam menu mahupun di papan tanda terpampang dalam kedai memberikan harga hidangan yang disediakannya? Lihat saja dua kedainya di Seksyen 13 dan Seksyen 7 di Shah Alam.

Ada yang cuba mempertahankan kopitiam ini kononnya tidak dikunjungi orang Melayu kerana tidak mempunyai sijil halal. Sama ada kedai itu mempunyai sijil halal yang diiktiraf atau tidak bukanlah persoalannya.

Jika tidak dikunjungi Melayu, apakah mereka bukan beroperasi dalam negara ini? Bagaimana pun kopitiam itu sememangnya mempunyai ramai pelanggan Melayu. Ini boleh dilihat sendiri.

Dalam hal ini apakah yang dilakukan Majlis Bandar Raya Shah Alam? Tidakkah pihak berkuasa boleh membuat tinjauan dan bertindak terhadap pengurusan yang bersikap begini biadap?

Khoo ini juga menimbulkan suatu perkara yang saya tidak sentuh pun, iaitu perbualan bukan Melayu sesama sanak saudara mereka sendiri dalam bahasa ibunda. Siapa pula hendak menyekat mereka menggunakan bahasa ibunda sendiri bila bertutur sesama adik-beradik? Jadi kenapa hal ini mahu ditimbulkan? Inilah apabila ada pihak yang cuba mahu menegakkan benang basah dan tidak mahu menerima kenyataan.

Selagi bahasa Melayu ini tidak diberikan tempat sewajarnya dan masih ada pihak yang berterusan memperlekehkannya, selagi itulah akan wujud kesangsian oleh sesetengah pihak terhadap sanjungan mereka itu kepada negara mereka sendiri.

Penulis adalah Felo Kanan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Saturday, February 5, 2011

3H2M Di Utara

Khamis 03022011

Sekali lagi ke Gua Kelam, Kaki Bukit, Perlis. Anakanda-anakanda nak tengok gua terpanjang di semenanjung (kalau tak silap hehehe). Makngah dah banyak kali ke sini. Kalau betul ingatan kali pertama datang pada tahun 1993 dengan rombongan sekolah. Orang agak ramai maklumlah musim cuti perayaan.

Namun, mereka kecewa kerana Gua Kelam telah dua bulan ditutup. Di luarnya tak adapun pemberitahuan. Penjaga parkir kata untuk kerja-kerja pembaikan. Orang ramai hanya datang berkelah di aliran sungai kecil di kaki gua yang airnya kelihatan mengalir lesu sahaja. Anak-anak kecil dan sekumpulan budak-budak lelaki sahaja yang bermain air.



Kebersihan persekitaran berfaktor utamakan manusia
Tahniah kepada pengurusan kawasan itu kerana penjagaan kebersihan kawasan boleh dipuji berbanding dengan tempat rekreasi di tempat Makngah sendiri.  Maklumlah tukang menyapunyapun ada.

Perkataan manakah yang ejaannya salah di papan tanda ini?





Kami tidak lama di situ kerana tidak ada apa lagi yang boleh dinikmati. Kedai cenderamatapun tidak dibuka. Gerai jualan hanya menjual minuman dan makanan ringan. Anak-anak mahu ke Padang Besar yang letaknya lebih kurang 20 km dari situ.


Di Padang Besar orang kelihatan ramai juga walaupun menurut salah seorang pekedai kunjungan orang ramai semakin berkurang saban tahun. Kami makan dahulu di salah sebuah gerai. Anak-anak membeli beberapa barang keperluan. Makngah tidak membeli apa-apa kerana pada pandangan Makngah harganya lebih kurang dengan di Rantau Panjang. Jadi tidak perlulah bersusah payah mengangkutnya balik. Maklumlah kebanyakannya barangan Thailand. Hinggakan baju T bercop nama-nama tempat di negara itu juga banyak dijual. Yang bercop Perlis tak adapun Makngah jumpa, pelik-pelik. Masa ke Rantau Panjang seminggu lepas ada juga Makngah jumpa baju T bercop Rantau Panjang dan Kelantan. Hal ini demikian apakah disebab oleh kebanyakan peniaganya Melayu Siam? Tuan kedai tempat anakanda Makngah membeli tali pinggang mengakui dia berasal daripada Patani, Selatan Thai. Pertuturan peniaga-peniaga lain juga membuktikan mereka berasal daripada sana. Peniaga penduduk asal Perlis ada atau tidak? Tak perasan pula Makngah.
Mihun sup Padang Besar

Baju T bercop negara orang

Banyaknya anak patung bear.

Tanda nama di tembok banyak yang tanggal
Tuan punya gerai anak patung bear pula seorang wanita Cina. Berpeluh-peluh dia melayan pengunjung di gerainya yang agak ramai termasuklah Makngah. Makngah bertanyalah "Awak tak cuti beraya Kong Si Fat Choi ke?" Tersipu-sipu malu dia menjawab antara nak dengan tidak bahawa dia baru je buka gerai "cepat-cepat datang tadi' katanya.....heheheh..ambil peluang orang ramailah tu (faham dah).

Dalam perjalanan balik kami singgah di tempat penternakan burung unta atau kasawari. Penjaganya pula tak ada. Kalau ada, nak juga Makngah merasa menunggang burung terbesar di dunia itu.


Burung tu diberi makan 'petai belalang' yang ada dijual di situ.

Demikianlah corat coret 3H2M Makngah di utara..................

Wednesday, February 2, 2011

Tahniah Anak Melayu

Ahad 30012011

Pertama kali dapat merasa RFC kepunyaan HPA. Terletak di KBTC. Kedudukan dan kemudahan restoran tidak kalah dengan restoran makanan segera lain namun layanan dan kecekapan  perlu dipertingkatkan. Begitu juga dengan rasanya yang secara peribadi Makngah kurang selesa kerana rasa dan bau rempah ratus yang terlalu kuat.

Menu di kaunter tempahan

Hanya ini sahaja yang ada

Gadis manis ini sahaja di kaunter untuk banyak tugasan

Model sambilan

Selasa 01022011

Jam 2.20  minit petang tiba di Sungai Petani. Berhenti di Jalan Legenda kawasan perkedaian baru, tempat terletaknya Village Mall. Perut lapar, masuk ke dalam Restoran Resepi Organik. Semasa menunggu tempahan mihun sup, perut Makngah meragam. Staf restoran menyuruh menggunakan tandas di hotel bersebelahan. Boleh ke? "Tak pa" katanya. Masuk  sahaja ke kawasan lobi, terpukau Makngah melihat hiasannya yang ala Timur Tengah. Tandaspun dijaga bersih.

Selesai menunaikan hajat, Makngah terus ke kaunter bertanyakan jika ada bilik dan ada tak cawangannya di Alor Setar. El Zahraa Inn hanya ada di Sungai Petani. Rupanya sekarang mereka sedang membuat harga promosi, wow.........boleh merasalah "Hotel Berkonsepkan Islamik" ini. Banyak kemudahnnya berdasarkan keperluan orang Islam iaitu kain pelikat dan batik disediakan, telekung solat, sejadah, selipar wuduk, al Quran dan rehal, tempat solat bersebelahan bilik dengan tempat berwuduknya dan barangan kebersihan serta minuman keluaran HPA. Pendek kata amat berbaloi.........

Anakanda sedang menunggu tempahan

Hiasan lampu di lorong bilik

Bangunan hotel

Hiasan dalam bilik
Setelah diamati, banyak unit kedai di situ kepunyaan rangkaian niaga HPA. Tahniahlah daripada Makngah untuk tuan punya HPA anak jati Kedah yang begitu sukses dalam perniagaan ini. Makngahpun ahli HPA....pagi-pagi minum Radix dulu.